Mistik dan Misteri
Pengalaman Hidup Seorang Muslimah XIV
From: Sari Nande
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Wednesday, October 24, 2012 10:01 PM
Subject: Mistik dan Misteri
Salamun alaikum, Tuan,
Pengalaman Hidup Seorang Muslimah XIV
Mistik dan Misterimystic – 1. Having an import not apparent to the senses nor obvious to the intelligence; beyond ordinary understanding; 2. Inspiring a sense of mystery and wonder.
3. a. Mysterious; strange. b. Enigmatic; obscure.mystery – Puzzling event or situation; an event or situation that is difficult to fully understand or explain.
Salamun alaikum,Selamat bertemu lagi, semoga sejahtera semuanya dan sentiasa diberkati Allah.
Dalam artikel pertama saya PHSM I ada menyebut tentang penyakit aneh, déjà vu, dan mimpi nyata. Kini ingin dikongsikan interpretasi saya mengenainya walau hanya sebagai renungan.
4:119. Dan sungguh, aku akan sesatkan mereka, dan penuhi mereka dengan khayalan, … Sesiapa yg ambil syaitan untuknya sebagai wali (pelindung), menggantikan Allah, dia menderita satu kerugian yg nyata, serugi-ruginya.
4:120. Ia janjikan mereka, dan penuhi mereka dengan khayalan, tetapi tiadalah yg syaitan janjikan mereka melainkan tipuan.
24:21. Wahai orang-orang yg percaya, jangan mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesiapa ikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia menyuruh pada kesumbangan dan mungkar. …
Khayalan atau Tipuan
1991 - Penyakit misteri melanda diri. Datangnya tidak menentu, sekali dalam dua tiga hari, selama tujuh bulan. Jangka serangan dua hingga sepuluh minit. Jika serangan watu azan, ia paling teruk. Ada ketika, waktu mula berdiri ‘solat subuh’ terasa bahang suam naik dari kaki, perlahan-lahan hingga ke tengkuk. Gagahkan juga untuk solat. Namun gagal. Tarik dan buang telekung dan menangis. Kadang-kadang perasaan takut teramat dan berdebar-debar itu menyelinap tidak tentu masa dan tempat, walaupun ketika sedang sibuk membuat kerja-kerja rumah, dalam perjalanan, atau memandu.
Waktu itu macam-macam fikiran berkecamuk di minda. “Adakah ajal akan tiba? Adakah bencana akan menimpa? Alamat apakah ini???” Perasaan takut bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku itu begitu mencengkam dada. Resah gelisah tidak keruan. Keluh-kesah dan gementar. Bangun, duduk, mundar-mandir. Air mata berjuraian. Mulut terus-menerus melafaz, “Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah…” dan ‘berselawat’ (tapi cuma di mulut). Jika sedang memandu terpaksa berhenti kerana merasakan kereta di hadapan akan merempuh bila-bila masa.
Misteri atau Kebetulan
Suatu senja kami pulang mengikuti jalan lama/pintas setelah seharian bersantai di rumah kakak. Kerana ketiadaan lampu jalan ia hanya dilalui oleh yang biasa dengan tempat tersebut. Lebih dua kilometer memandu, tiba-tiba kereta mati di tengah jalan. Saya masih ingat, minyak cukup. Beberapa kali dicuba enjin gagal berfungsi. Di sekitar paya belukar gelap gelita. Lampu suluh pula tiada. Bagi menambah kekalutan penyakit aneh itu datang lagi bertandang. Aduh!!! Melihat anak saudara dengan bayinya dan tiga orang kanak-kanak di belakang, saya gagahi turun menahan kereka untuk kembali ke pekan.
Dengan sebotol petrol di tangan saya menumpang sebuah kereta lain yang penuh sesak sekeluarga. Setelah diisi minyak enjin masih melahu. Overflow? Entahlah…
Satu jam telah berlalu. Kemudian saya menahan sebuah kereta, ke pekan lagi. Terdesak di situ, saya meminjam sebuah basikal dan berkayuh ke rumah kakak sejauh setengah kilometer. Malangnya hanya kakak yang ada di rumah. Talian hayat yang lain juga gagal. Kembali ke pekan saya lihat sebuah lori pickup dari kedai hardware berdekatan. Saya merayu pemandunya untuk membantu. Dia simpati. Dia kemudian bercadang menarik kereta itu ke pekan untuk mencari mekanik. Sebelum itu Mini Cooper itu ditolak menghala balik ke belakang. Gatal tangan, dengan bismillah, saya mencuba hidupkannya. Grrr! Rrr! Rrr! Engin menderam, disambut sorakan kegembiraan. Masya-Allah! Itu seharusnya saya lakukan, menolak kereta itu, tapi keadaan tidak mengizinkan. Saya meminta pemandu lori itu mengekori kami sebelum kami berbalas bunyi horn untuk dia berpatah balik. Dalam masa ordeal/kecemasan itu saya hanya meminta pertolongan manusia, Tuhan saya lupakan! Tuhan Yang Pemurah, Yang Pengasih, yang kulafazkan hanya di bibir. Astaghfirullah al-Adzim…
Perjalanan Mistik
Kerana penyakit itu ramai bomoh dan dukun merata tempat kami temui. Namun tiada yang memberi kesan. Setiap minggu ke hospital. Ubat penenang juga tidak membantu. Seorang dokter menyarankan saya supaya banyak berzikir dan solat sunat. Jawab saya, jika saya tidak melakukannya, sudah lama saya jadi gila. Akhirnya saya dikenalkan dengan seorang guru tarekat. Maka bermulalah episod perjalanan saya mengenal ‘Islam’. Kisah yang saya tulis dalam Mengenal Syeikh.
Dalam perjalanan itu beberapa pengalaman yang menarik saya tempuhi, berbentuk mimpi, khayalan nyata (laduni?), dan déjà vu. Namun hamba yang jahil ini tidak memahami. Tuan Syeikh juga bila ditanya diam membisu. Jika ia anugerah Allah, saya tidak tahu manfaatnya kerana setiap kali didatangi mimpi-mimpi atau kejadian tersebut, hati saya berasa gusar tidak tenteram. Sepanjang hari setiap kali terlintas di ingatan, hati saya seperti diselaputi awan mendung walaupun saya telah lupa perincian mimpi itu.
Saya mengimbas kembali amalan-amalan yang telah saya usahakan selama ini dan bertanya, adakah selama ini tanpa disedar saya telah termasuk golongan orang-orang yang mengikuti syaitan. Mengamalkan ajaran sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yg dengannya Allah tidak mengizinkan (42:21). Dan syaitan menampakkan indah bagiku amalan-amalanku.
Kerana saya telah mengabaikan ajaran al-Quran.
2:101. Apabila datang kepada mereka seorang Rasul daripada Allah, mengesahkan apa yg bersama mereka, segolongan daripada mereka yg diberi Kitab melemparkan Kitab Allah ke belakang punggung mereka, seolah-olah mereka tidak tahu.
Juga selama ini saya mengucapkan zikir hanya di bibir. Saya yang jahil bahawa Zikir itu sebenarnya adalah seperti yang diajari-Nya seperti Zikir ajaran al-Qur'an.
Dan kerana Iblis telah berkata: "Wahai Pemeliharaku, oleh kerana Engkau telah membuat aku bersalah, aku akan menampakkan semuanya indah bagi mereka di bumi, dan aku akan membuat mereka bersalah, kesemuanya, (15:39). Maka saya dengan mudah tergoda, dan termasuklah dalam golongan mereka yang dinampakkan indah bagi mereka amalan-amalan mereka dan terus berada di pinggir lubang Api (3:103), dan mendirikan bangunannya di atas pinggir tebing yg rapuh, yg runtuh bersama dia ke dalam api Jahanam (9:109).
Iblis telah berkata lagi, “Kecuali hamba-hamba Engkau, antara mereka, yg tulus." (15:40). Mungkinkah terdapat sekelumit ketulusan maka jiwa saya di bawah sedari memberontak, mencari jalan keluar, dengan rahmat kasih-Nya.
Déjà vu atau Firasat
Sebelum ke Nagore, India, untuk bersuluk selama dua minggu di Maqam Hazrath Syed Shahul Hameed Qadiri saya didatangi beberapa mimpi yang saya abaikan. Setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Madras, saya tergamam kerana saya telah berada kembali ke tempat di dalam mimpi saya dahulu. Ternyata semuanya sama. Berpandukan ‘petunjuk’ itu kerja kami menjadi lebih mudah. Di hotel sekali lagi saya terpegun. Untuk mempastikan, saya memanggil salah seorang pekerja yang kebetulan pernah bekerja di Malaysia dan pandai BM. Saya tunjukkan kepadanya bilik-bilik mana di tingkat satu itu untuk penginapan dan dua bilik lagi yang dipenuhi perabot, hinggalah ke balkoni di hadapan. Tekaan saya tepat, hingga membuat dia kehairanan.
Setelah sepanjang malam dalam perjalanan dengan bas ke Nagore (300 km dari Madras), diringi pekikan horn dan laungan pemandu dan pembantunya kepada setiap kenderaan, manusia dan haiwan yang melintas, kami sampai ke destinasi. Pagi itu saya dikejutkan dengan satu lagi penemuan. Inilah Dargah (bangunan yang menempatkan maqam ‘para wali’) yang ‘pernah saya masuki’. Saya terhuyung-hayang seketika melihat tiang demi tiang besar berkerawang yang bersusun berbaris-baris dalam bangunan itu.
Banyak lagi peristiwa pelik berlaku dalam masa dua minggu dalam bulan Ramadan itu. Namun saya masih lagi mencari dua keadaan yang masih belum ditemui. Dua hari sebelum meninggalkan Dargah kami dibawa ke suatu tempat bernazar. Beberapa orang remaja perempuan tinggal berkumpulan untuk belajar, beribadah – puasa, mengaji, berzikir, dan solat di situ. Mereka makan dan tidur ada yang hingga seminggu, sebelum menduduki peperiksaan. Tidak ada bilik kecuali kaki lima yang sejuk yang ditabiri kain. Oleh kerana mereka masak sendiri maka bertaburanlah nasi dan bekas-bekas cili di keliling sebuah perigi di tengah kawasan lapang di situ. Tempat inilah yang saya cari-cari dari dalam mimpi itu. Entah mengapa hati saya merasa begitu pilu.
Yang terakhir, saya tidak yakin akan bertemu. Mustahil mereka makan buah-buah tomato kecil bewarna oren yang pasti masam itu, fikirku. Tapi ternyata sangkaan saya silap! Ketika keluar buat kali terakhir dari Dargah itu saya melihat ramai pengunjung yang datang ke sana untuk bernazar dan memohon agar disembuhkan daripada berbagai-bagai penyakit. Mereka ‘berumah’ di pangkal-pangkal tiang yang besar itu, beribadat dan berdoa. Dan ada yang saya lihat sedang memakan ‘buah tomato’! Apabila saya dekati ternyata apa yang mereka makan itu ialah buah peach oren jenis kecil. Allah Disanjung!
Sebenarnya apa yang saya alami itu bukanlah déjà vu
tetapi lebih kepada firasat dalam bentuk mimpi.
Déjà vu dr Bahasa Perancis yang bermaksud ‘pernah terlihat’; suatu fenomena yang perasaan kuat mengatakan bahawa kejadian atau pengalaman tersebut pernah dilalui.
Sedangkan firasat pula ialah petanda/petunjuk (yang diterima secara telepati menerusi
mimpi atau ilham/laduni) mengenai sesuatu kejadian atau perkara
yang akan dilihat/alami pada masa akan datang.
Peringatan-Nya,
6:108. Jangan mencaci-maki orang-orang yang mereka seru selain daripada Allah, atau mereka akan mencaci-maki Allah dalam membalas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menampakkan indah bagi setiap umat amalan-amalan (perbuatan) mereka, kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka kembali, dan Dia beritahu mereka apa mereka buat.
Déjà vu dan pengalaman misteri yang saya (dan kawan-kawan) lalui itu berkesinambungan hingga kami pulang ke tanah air. Biarlah saya simpan fail-fail kenangan itu dahulu. Selain boleh menimbulkan perasaan riak dan ujub ia juga boleh menimbulkan fitnah. Seperti mana saya pernah difitnah mengamalkan sihir dan ilmu hitam. Tapi bagi saya ia tidak lain daripada usaha bisikan-bisikan syaitan yang jahat mengajak agar terus lalai dan ‘duduk’ berwalikan sekutu-sekutu mereka.
Keluar dari situ, al-Quran banyak menyedarkan saya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Hanya Allah berhak disanjung!
24:21. … Sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu dan pengasihan-Nya, tentu tiada seorang pun antara kamu yg menjadi suci selama-lamanya; tetapi Allah menyucikan siapa Dia menghendaki; dan Allah Mendengar, Mengetahui.
4:49. Tidakkah kamu renungkan orang-orang yg menyucikan diri-diri mereka? Tidak, hanya Allah sucikan siapa Dia hendaki, dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.
Insya-Allah…
Catatan:
Buat Sdr ZR khasnya, menulis itu therapeutic. Waktu belajar saya suka menulis diari. Dan saya amat menggalakkannya. Mencurahkan rasa dan perasaan. Bercakap dengan diri sendiri. Mudah untuk keep track and check perjalanan hidup. Kini dengan komputer menulis menjadi lebih mudah. Maklumat dihujung jari. Dunia tanpa sempadan! Betapa besarnya anugerah Tuhan. Menulis, berfikir, mencari maklumat, mengkaji, bertukar-tukar pendapat, semuanya boleh berjalan selari.
Yang baik itu datang dari Ilahi. Tapi dalam penulisan mestilah jujur. Katakanlah seperti mana ia berlaku (say it as it is), seperti yang sdr telah lakukan. Teruskan! Tidak perlu ditokok tambah untuk menyedapkan jalan cerita. Tuhan tahu walaupun apa yang tersembunyi di lubuk hati. Ikhlas dengan tujuan. Matlamat bukan untuk mencari nama. Bagi saya ini adalah salah satu proses pembelajaran dan kaedah untuk sampaikan ayat-ayat Allah. Semoga kita semua diberkati-Nya. Insya-Allah.
Sekian. Salam.
Kepada Tuan PL, Terima Kasih.
Salamun alaikum,
Terima kasih Puan atas kesudian melanjutkan cerita satu pengalaman hidup yang tidak ingin dilalui lagi. Walaupun sudah jauh pergi, namun Dia masih temukan dengan Petunjuk-Nya kerana Dia sesungguhnya Pemurah, Pengasih. Segala puji bagi Allah Pemelihara semua alam!
Diharap mereka yang ramai, yang masih berpergian jauh, akan kembali, seperti Puan, apabila ditemukan dengan Petunjuk sebenar.
Allah disanjung!
25 Oktober 2012
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Artikel
Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman