Ramadan, Penurunan al-Qur'an & Tiga Elemen

 


Salamun alaikum,

Ramadan telah dikemukakan untuk dibincang beberapa kali. Kali ini ia didatangkan bersama ayat pertama mengandungi kalimat al-Qur'an yang menyentuh mengenai penurunannya pada bulan tersebut.

Maksud kalimat itu menurut kamus belum lagi diketengahkan. Untuk tujuan tersebut kamus Hans Wehr dirujuk, dan di muka surat 360, didapati ia berada di bawah kata akar ra mim dha:

Ra Mim Dha - to be consumed by grief and sorrow [1]

ra mim dha  ramad - parchedness, scorchedness (esp of the ground due to excessive heat) [2]

ra mim dha alif hamza  ramda'  - sun-baked ground, <Arabic phrase with the word is not copied> approx: to jump out of the frying pan into the fire [3]

ra min dha alif nun  ramadan - Ramadan, the ninth month of the Muslim calendar [4]

Apabila maksud-maksud diterjemah didapati seperti berikut:

to be consumed by grief and sorrow [1]:
dilanda kesedihan dan rasa duka (iaitu keseluruhan maksud bagi akar ra mim dha),

parchedness, scorchedness (esp of the ground due to excessive heat) [2]:
kering kontang, lecuh (terutamanya ke atas tanah akibat terlalu panas),

sun-baked ground, <Arabic phrase with the word is not copied> approx: to jump out of the frying pan into the fire [3]:
tanah
bermandikan cahaya matahari, <frasa Arab dengan kata ramda' tidak disalin> kira-kira bermaksud: keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya,

Ramadan, the ninth month of the Muslim calendar [4]:
Ramadan, bulan kesembilan kalendar Islam.

Dapat dilihat kata akar menerbitkan 3 kalimat yang berlainan bunyi dan ejaan. Namun begitu hanya ramadan disebut di dalam al-Qur'an menurut Concordance (Kassis) halaman 1019, dan pengertian yang diberi sama dengan kamus.

Adalah tidak diketahui sama ada terdapat mana-mana penterjemah al-Qur'an menterjemahkan frasa syahru ramadhaana (2:185) kepada selain bulan Ramadan, atau month of Ramadan, atau bukan nama khas bagi sesuatu bulan, kecuali "A Monotheist Translation/Progressive Muslim" kepada month of aspiration atau bulan (untuk) aspirasi atau cita-cita atau hasrat. Selain perselisihan ini, terdapat juga orang al-Qur'an lain menterjemahkannya kepada bulan panas pula.

Pun begitu, kami syak kesemua mereka berpuasa pada bulan bernama Ramadan.

Daripada "panas" terbit beberapa pandangan ke atas ayat berkaitan, dan satu daripadanya jadi antara kandungan emel yang dikirim kepada kami, tercatat di bawah:


From: nama.disembunyikan
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Friday, May 18, 2012 2:33 AM
Subject: Re: Ayat 53:14 dan Penurunan al-Qur'an


In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful


Salammun Alaikum,
<Harap hide email address dengan nama sekali>

Sekadar berkongsi pengertian mengenai Al Quran. Tolong betulkan kalau ada kesilapan.

Al Baqarah (2:185) “Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza. ...... <ayat yg selanjutnya adalah berkenaan tuntutan berpuasa>

Atau, kalau saya baca semula mengikut bahasa dan pemahaman saya....

“Di dalam satu jangka waktu (period) yg panas (Romad) ini, yg mengelisahkan kita, yg buat kita tidak tenteram (dengan banyaknya isu2 yg panas & memeningkan). Yg buatkan kita gelisah kerana tidak tahu mana yg Hak dan mana yg Batil....... Pada masa itulah Allah Yg Pemurah turunkan kepada kita Al Quran (pada masa kondisinya malam, di dalam kondisi pemahaman kita yg kurang jelas/kegelapan, di mana malam itu adalah yg lebih baik dr seribu malam) .....

Al Quran ini yang Allah turunkan meliputi 3 elemen,

1) Petunjuk kepada manusia
2) Bukti2 kepada petunjuk itu
3)
Pembeda (Al Furqan)

1) Petunjuk itu boleh datang dlm bentuk kertas atau manusia (nabi/Rasul). Petunjuk ini datang mengikut kondisi. Kita berkemungkinan besar tidak akan memahami petunjuk itu kalau di baca bukan pada kondisinya. Seperti yg berlaku pada zaman saudara Ahmad bin Abdullah dahulu. Setiap ayat2 yg diturunkan mengikut kondisi dan keperluan semasa itu. Sebab itu ayat2 Al Quran itu 'relevant' sepanjang zaman.

2) Bukti kepada petunjuk – bukti itu terdapat di bumi. Allah berulang kali menyuruh kita perhatikan kejadian bumi. Bumi itu juga Al Quran.

3) Pembeda (Al Furqan) – Apabila telinga kita mendengar petunjuk, mata kita melihat bukti2 nya, process Akal pun berjalan untuk membedakan mana yg salah mana yg betul.
Al Furqan ini Allah sudah turunkan sebelum al-Kitab di turunkan lagi. Mungkin kita lebih mengenalinya dengan nama 'HATI NURANI'. Al Furqan ini merupakan ‘default setting yg Maha Pencipta telah pre-installed’ dlm diri manusia sejak dr awal kejadian lagi.

Ali Imran (3:3) Dia turunkan kepada kamu al-Kitab dengan yang benar, mengesahkan apa yang sebelumnya, dan Dia turunkan Taurat dan Injil,
Ali Imran (3:4) Sebelumnya, sebagai petunjuk bagi manusia, dan Dia turunkan Pembeza. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, bagi mereka azab yang keras; dan Allah Perkasa, Pendendam

Saudara Ahmad bin Abdullah dulu pernah di tanya oleh sahabat2 beliau apakah itu DOSA & KEBAJIKAN.

Katanya “KEBAJIKAN itu adalah apa-apa yang MENTENTERAMKAN jiwa dan menenangkan hati; dan DOSA itu adalah apa-apa yang MERAGUKAN jiwa dan MERESAHKAN hati”.

Apa pun yg kita lakukan, jikalau kita bertanya jauh kedalam hati kita. Sebenarnya kita sendiri pun tahu apakah itu DOSA atau KEBAJIKAN. Deep in our heart….. sebenarnya kita sudah dapat menilai (Al Furqan).

Itu pemahaman saya mengenai Al Quran. Kalau ada yg salah minta tolong perbetulkan.


Kami percaya pemahaman tersebut adalah peribadi tetapi ingin dikongsi pula dengan para pembaca. Atas itu, diucapkan berbanyak terima kasih.

Permintaan supaya kami membetulkannya jika didapati salah adalah berat, kerana bagi kami amat sukar mengatakan pendapat yang berlainan dengan kami sebagai salah. Kami hanya beri pendapat dari sudut penglihatan kami, yang selalu saja buat muka orang lain mengerut dan masam.


Ia memang menarik perhatian, misalan frasa "yg panas (Romad)" yang terkandung di dalamnya, sedangkan pada teks asal (seperti diturunkan Allah) ia berbunyi ramadan yang jelas kelihatan berlainan ejaan serta sebutan. Dan kalimat ini pula, atau ramad menurut ejaan daripada kamus, tidak termasuk dalam senarai kata-kata Allah di dalam al-Qur'an.

Andaikata kalimat ramadan ditolak kerana ingin diberi pengertian, maka kami berpendapat, frasa dilanda kesedihan dan rasa duka harus diutamakan kerana ia adalah maksud bagi kata akarnya.

Sementara dua kalimat terbitannya, didapati seolah beri gambaran kepadanya pula, dengan bermaksud tanah yang kering kontang, lecuh akibat kepanasan, atau tanah bermandikan cahaya matahari, atau pun laksana keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya. Mereka harus dipertimbangkan juga untuk diguna sebagai ganti kepada kalimat ramadan.


Turut jadi perhatian ialah nama Saudara Ahmad bin Abdullah yang kami tidak tahu siapa. Adakah Ahmad itu seperti disebut ayat 61:6 di mana ia bermakna "yang dipuji". Dan adakah "bin Abdullah" (yang tidak disebut di dalam al-Qur'an) diguna kerana orang ramai sudah mengetahuinya? Kalau begitu, mengapa pula Ramadan yang diketahui umum lagi disebut di dalam al-Qur'an, ingin ditolak pula?

Jika Ahmad (disebut sekali di dalam al-Qur'an) itu Muhammad (disebut empat kali) bila pula beliau berkata mengenai kebajikan dan dosa seperti disebut di atas? Kerana tidak disebut di dalam al-Qur'an, maka ia dipetik daripada sumber yang bukan petunjuk sebenar.


Kami tidak ada sebarang komen mengenai kebajikan, tetapi bagi dosa ada sedikit, yang kononnya berbunyi dan DOSA itu adalah apa-apa yang MERAGUKAN jiwa dan MERESAHKAN hati”. Pendapat kami ke atas dosa agak berlainan sedikit.

Bagi kami, secara am maksud dosa ialah mana-mana perbuatan yang salah di sisi Allah. Sebagai contoh ialah perbuatan minum arak yang menurut Allah "dosa besar" (2:219). Namun ia dilakukan oleh sesetengah pihak dengan jiwa tanpa ragu dan hati yang resah. Untuk mengetahui contoh lain, sila rujuk ayat-ayat mengandungi kalimat dosa di dalam al-Qur'an, yang tentu terdapat beberapa lagi contoh dosa yang dilakukan tanpa meragukan jiwa mahupun meresahkan hati.


Menyentuh mengenai penurunan al-Qur'an pula. Boleh dikatakan sebab pertama diturunkan ialah beri amaran kepada kaum yang seorang pemberi amaran belum datang kepada mereka supaya mereka dapat petunjuk, atau kepada kaum yang belum diberi amaran supaya mereka tidak jadi lalai. Demikianlah difahamkan daripada ayat-ayat berbunyi,

32:2. Penurunan Kitab, di dalamnya tiada keraguan, adalah daripada Pemelihara semua alam.
32:3. Atau, adakah mereka berkata, "Dia mengada-adakannya"? Tidak, ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, supaya kamu beri amaran kepada kaum yang kepadanya tiada seorang pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka dapat petunjuk.

36:5. Penurunan daripada Yang Perkasa, Yang Pengasih,
36:6. Supaya kamu beri amaran kepada kaum yang bapa-bapa mereka tidak diberi amaran, lalu mereka lalai.

Ia juga didapati diturunkan bagi semua alam. Petunjuk Allah dirujuk lagi, yang bermaksud,

25:1. Berkatnya Dia yang turunkan Pembeza kepada hamba-Nya agar dia menjadi seorang pemberi amaran bagi semua alam.


Ayat pertama mengandungi kalimat al-Qur'an mengisahkan penurunannya dan ayat itu, seperti dikatakan terlebih dahulu, mengandungi 3 elemen di dalam al-Qur'an. Pendapat kami, kesemua elemen itu - petunjuk, bukti-bukti yang jelas, dan Pembeza - berada di satu tempat iaitu al-Qur'an. Al-Qur'an ialah petunjuk, dan ia adalah juga bukti yang jelas dan jadi Pembeza.

Mungkin terdapat sedikit kelainan dengan dua Kitab diturunkan sebelumnya, di mana bukti yang jelas ditambah dengan mukjizat Nabi-Nabi, yang tentunya terletak di luar Kitab. Sedia maklum, Nabi terakhir tidak lakukan sebarang mukjizat. Mukjizatnya hanya al-Qur'an.

Tiga elemen itu jadi pakaian dalam kehidupan. Mereka seterusnya diguna dalam melihat keadaan sekeliling, dan untuk memahaminya jua.


Setiap manusia yang dilahirkan tidak diberi Pembeza bersamanya. Nilai betul dan salah datang kemudian, iaitu setelah diajar oleh manusia lain kepadanya. Pendapat ini, pada hemat kami, sejajar dengan mesej ayat 25:1 yang baru dipetik, iaitu mengenai Pembeza yang diturunkan kepada hamba-Nya supaya dengannya dia beri amaran kepada semua manusia.

Daripada ayat lain difahamkan Pembeza diberi kepada orang-orang bertakwa kepada Allah:

8:29. Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan untuk kamu satu Pembeza, dan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan ampunkan kamu; Allah mempunyai pemberian yang besar.

Bagi hari pun ada yang digelar Hari Pembeza, iaitu hari apabila dua kumpulan bertemu dalam peperangan. Sila rujuk ayat-ayat mengandungi kalimat Pembeza, dan juga ayat-ayat Petunjuk serta bukti-bukti yang jelas dalam pertimbangkan pemahaman yang didatangkan kali ini.

Kami ingin berhenti di sini kerana setakat ini sahaja yang mampu ditulis. Maaf.

Terima kasih. Allah disanjung!


25 Mei 2012

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman