Berkhatan dalam Islam

 


From: Idham
To: pengurus bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Saturday, November 15, 2008 1:58:32 AM
Subject: Berkhatan dalam Islam

Salam buat sdr pengurus laman;

 

Saya ingin mendapatkan kepastian adakah terdapat hukum dalam al Quran yang mewajibkan orang Islam lelaki/wanita berkhatan. Bukankah ianya amalan orang Yahudi?

Saya majukan soalan ini kerana pernah terbaca dan mendengar kisah Siti Sarah. Isteri nabi Ibrahim itu dipotong bahagian kemaluan oleh madunya ekoran rasa cemburu. Justeru itulah permulaan berkhitan dalam Islam. Jika ini benar berlaku mengapa pula perbuatan khianat itu dijadikan perkara wajib dalam Islam, sedangkan Allah ciptakan manusia itu makhluk yang sempurna?


Salamun alaikum,

Atas kesudian sahabat menulis lagi kami ucapkan ribuan terima kasih. Walaupun perkara disentuh sudah ditulis beberapa kali, seperti Khatan dan AIDS dan Berkhatan atau di dalam artikel Wanita dalam Islam sebenar, namun e-mel sahabat diterbitkan juga kerana terdapat di dalam kandungannya sebuah cerita yang menarik.

Umat Islam berkhatan kerana kononnya mengikut Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah. Menurut ulamak, mereka harus ikut Nabi Ibrahim sebab terdapat ayat di dalam al-Qur'an yang menyuruh Nabi Muhammad ikut anutan Nabi Ibrahim.

Ayat tersebut memang ada (3:68 atau 3:95), tetapi tentang Nabi Ibrahim dan isteri berkhatan tidak ada. Kalau berkhatan jadi satu suruhan dalam agama tentu al-Qur'an telah menyebutnya, seperti solat yang disebut bersama Nabi Ibrahim.

Sebaliknya, tentang Nabi Ibrahim berkhatan disebut pula di dalam kitab lain iaitu kitab agama Kristian. (Kitab-kitab karangan ulama Islam mengenainya tidak disebut di sini sebab mereka ditulis lama selepas penulisan kitab Bible dan juga al-Qur'an.) Sebutan Bible mengenai khatan Nabi Ibrahim dipetik daripada ALKITAB (Bible bahasa Indonesia/Melayu, terbitan Lembaga Alkitab Indonesia, Jakarta, 1996) berbunyi,

Kejadian 17:
9. Lagi firman Allah kepada Abraham: "Dari pihakmu, engkau harus memegang perjanjian-Ku, engkau dan keturunanmu turun-temurun.
10. Inilah perjanjian-Ku, yang harus kamu pegang, perjanjian antara Aku dan kamu serta keturunanmu, yaitu setiap laki-laki di antara kamu harus disunat;
11. haruslah dikerat kulit khatanmu dan itulah akan jadi tanda perjanjian antara Aku dan kamu.

24. Abraham berumur sembilan puluh sembilan tahun ketika dikerat kulit khatannya.

Cerita ulama Islam mengenai khatan Nabi Ibrahim hampir serupa, iaitu ia adalah perintah Allah, dan dilakukan sendiri olehnya. Tetapi usia Nabi Ibrahim ketika berkhatan agak berbeza sedikit. Ulama Islam mengatakan 80 tahun berbanding 99 menurut Bible Kristian.

Khatan bagi lelaki diamal dengan luas di kalangan orang-orang Yahudi. Bagi Kristian pula tidak, kerana menurut mereka, suruhan tuhan hanya ke atas Yahudi. Untuk penjelasan selanjut sila rujuk bahagian Kamus di dalam ALKITAB (muka 351) yang tertulis seperti berikut:

Sunat  Tanda, bahwa seorang sudah terhisab dalam perjanjian dengan Allah. Dilakukan pada tubuh setiap anak laki-laki di Israel pada umur delapan hari (Kej. 17:9-14). "Orang-orang yang tidak bersunat" berarti: bangsa-bangsa bukan Israel (mis. Gal. 2:7).

Hanya lelaki dikhatan. Di dalam kitab-kitab Kristian dan Yahudi khatan bagi perempuan tidak disebut, tetapi hanya segelintir Yahudi dikatakan mengamalkannya.

Mengkhatan perempuan dalam Islam didapati meluas, kelihatan seperti wajib dilakukan. Kononnya ia bermula dengan khatan Siti Sarah isteri pertama Nabi Ibrahim. Petikan daripada sebuah laman web mengenainya berbunyi,

Seperti amalan khatan di kalangan lelaki yang bermula pada zaman Nabi Ibrahim, amalan berkhatan bagi wanita juga berlaku pada zamannya apabila isterinya Sarah, dikhatankan.

Peristiwa itu bermula apabila Hajar yang juga isteri Nabi Ibrahim mengandung, Sarah berasa cemburu lalu bersumpah untuk memotong tiga bahagian anggotanya sendiri.

Nabi Ibrahim bimbang kalau-kalau Sarah akan memotong hidung dan telinganya lalu Baginda menyuruhnya melubangkan kedua-dua telinganya dan berkhatan. Setelah itu amalan khatan jadi sunnah bagi wanita Islam.

Cerita agak berlainan sedikit dengan kandungan e-mel di atas. Lain ustaz lain pula ceritanya. Namun, isteri yang cemburu dengan sebahagian anggotanya dikerat tidak dilupakan.

Dapat difahamkan juga iaitu bukan sahaja Nabi Ibrahim tetapi Siti Sarah, yang kedua-duanya sudah tua, mengkhatankan diri-diri mereka sendiri, tanpa mengundang atau mengupah tukang-tukang kerat yang mahir.

Nabi Ibrahim kononnya berkhatan atas perintah Allah, sementara Siti Sarah atas arahan suaminya. Dan perbuatan itu dikatakan jadi amalan agama Ibrahim.

Cerita berkhatan Nabi Ibrahim dengan Siti Sarah tidak disahkan oleh Allah di dalam al-Qur'an. Itu penting kerana ia diturunkan untuk mengawal dan mengesahkan kandungan kitab-kitab sebelumnya. Firman Allah,

"Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya." (5:48)

Apapun sebab diberi oleh orang-orang yang menyokong amalan berkhatan, misalan agama, kesihatan, seksual dan lain, harus diingat bahawa ia bukan suruhan Allah lantas tidak jadi suruhan agama.

 

Justeru, harus difikirkan tentang kebaikan tidak mengkhatankan anak-anak lelaki dan perempuan. Biarlah mereka hidup tanpa kehilangan sebahagian daripada anggota badan, walaupun sedikit. Dan biarlah mereka hidup tanpa ikut ajaran-ajaran kitab Kristian, Yahudi atau Islam palsu tetapi hanya ikut Kitab al-Qur'an yang diturunkan Tuhan mereka.


16.11.08

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman