Solat dan Tatatertibnya

 

From: "noroding ding" <norodingding@yahoo.com>
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Praktik lakukan Sembahyang
Date: Thursday, February 09, 2006 8:10 PM

Salam Sejahtera kepada Tuan Pengurus Laman E Bacaan:

Saya telah meneliti artikal sdr bertajuk "Solat Mengikut Al Qur'an" http://www.e-bacaan.com/artikel_solat.htm untuk mencari kaedah lakukan sembahyang seperti mana yang sepatutnya bagaimana pun penerangan sdr melalui rujukan ayat-ayat Al Qur'an, yang di temui ia-lah setakat tiga perkara sahaja ia-itu:

1. Berdiri
2. Rukuk
3. Sujud

Quote: 
Berdiri, rukuk (tunduk) dan sujud disebut berulang kali di dalam al-Qur'an. Bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengannya adalah keputusannya yang paling baik untuk dirinya. Begitu juga dengan bacaan bagi tiap-tiap laku, terpulanglah kepada individu untuk memilih ayat-ayat yang bermakna lagi wajar dalam solatnya. 

Apa yang ingin dibaca semasa tunduk (rukuk) misalnya, bolehlah ambil teladan daripada Nabi Daud yang  memohon ampun semasa tunduk." 

Dengan ini saya mohon penerangan lanjut mengenai tatatertib lakukan setiap satu perbuatan itu seperti berikut:

BERNIAT UNTUK SEMBAHYANG:
1.Adakah perlu berniat untuk melakukan sembahyang tertentu (ikut waktu)?
2. Kalau perlu,apakah lafaznya?
3. Kalau tak perlu bagaimana mula untuk mengambil kedudukan? Adakah setelah datang dari tempat wuduk terus berhenti berjalan dan berdiri tegak mengadap qiblat serta terus baca apa-apa ayat?
4. Perlukah takbiratul ihram?
5. Kalau perlu, apa sebutannya?

BERDIRI: 
6.Bagaimanakah keadaan berdiri itu? 
7.Apa yang dilakukan selepas berdiri? 
8.Bagaimanakah kedudukan tangan ketika memulakan sembahyang? 

RUKUK: 
9.Daripada kedudukan berdiri kepada rukuk, ada apa-apa bacaan? atau senyap sahaja? 
10.Bagaimana perlakuan tangan ketika bergerak drp berdiri kpd rukuk? 
11.Semasa rukuk, dimana kedudukan tangan? adakah serupa dengan amalan ASWJ? Atau tangan bebas diletakkan dimana-mana umpamanya dibiarkan terbuai-buai atau bercekak pinggang atau bagaimana? 
12.Setelah lakukan rukuk dan selesai membaca apa-apa ayat, kemana pula pergerakan badan seterusnya? Adakah balik kepada berdiri atau terus sujud? 

SUJUD: 
13. Dari mana mula pergerakkan badan untuk melakukan sujud? Adakah daripada berdiri setelah bangkit daripada rukuk atau terus dari rukuk? 
14. Selepas selesai sujud apa perlu dilakukan? 

MENGAKHIRI SEMBAHYANG: 
15.Pada kedudukan mana untuk menamatkan ibadat sembahyang? Adakah semasa sujud? Atau selepas sujud? Jika selepas sujud pada kedudukan badan macam mana? 

Selain dari kemusykilan diatas, saya juga ingin tahu bagaimana kaedah menunaikan sembahyang jemaah dan juga sembahyang Jumaat?

16. Adakah imam perlu buat pengumuman dahulu bahawa sembahyang yg akan dilaksanakan akan dibuat sekian-sekian rakaat? Kerana jika tak dibuat pengumuman, nanti imam buat dua rakat manakala makmum pula buat lebih atau kurang drp imam kerana merujuk kepada "pendapat" Othman Ali: 

"Cara solat di dalam al-Qur'an adalah senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri. Umpamanya bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali di dalam al-Qur'an, dan dengan ini ia beri peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam lakukan solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau memendekkannya." 

17. Adakah imam perlu buat pengumuman penggunaan bahasa yg akan digunakan semasa solat? Bagaimana jika imam gunakan bahasa yg tidak difahami oleh makmum (contoh: Imam berbahasa tamil, makmum tidak faham bahasa tamil) sedangkan mengikut Othman Ali: 

"Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang lakukan solat jika apa yang diucapkan di dalamnya tidak difahami." 

Sediamaklum sdr hanya menggunakan petunjuk daripada Al Qur'an sahaja, maka bagi menjelaskan tiap-tiap satu daripada 17 kemusykilan saya diatas, dapat kiranya sdr kemukakan ayat serta surah Al Qur'an yang menjelaskan setiap perlakuan anggota badan semasa lakukan sembahyang, kerana sebelum pergi lebih jauh, soal sembahyang wajiblah dimenjelaskan terlebih dahulu. Saya telah buat semakan dalam Al Qur'an dan dapati lebih 80 tempat perkataan sembahyang/solat ditemui, tetapi seperti yang sdr jelaskan, yang ditemui kaedah lakukanya ia-lah berdiri, rukuk dan sujud sahaja.

Berbeza dengan praktikal sembahyang yang diamalkan oleh kebiasaan orang Islam, yang mempunyai peraturan dan rukun yang jelas serta bacaan-bacaan tertentu pada kedudukan badan yang tertentu.

Sukacita sdr tidak keberatan membantu saya dalam hal ini.

Terima kasih.

Sekian.

Yang benar,

Nordin bin Hj Jusoh


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara Nordin bin Hj Jusoh yang telah membaca artikel solat di laman web ini. Diharap beliau turut membaca artikel-artikel lain seperti: 

Sebenarnya, kami tidak suka menjawab soalan-soalan berkenaan solat di sini kerana ia sangat sensitif, walaupun selalu ditekan oleh orang-orang seperti saudara Nordin. Lazimnya soalan-soalan mereka dijawab secara peribadi. Tapi kali ini lain pula nampaknya.

Mengenai tatatertib sembahyang yang ditanya, ia tidak disyariatkan Allah di dalam al-Qur'an. Oleh kerana tidak disyariatkan Allah, tidak terkandung di dalam al-Qur'an, maka ia tidak akan ditanya di akhirat esok. Manusia akan hanya ditanya mengenai kandungan al-Qur'an, ajaran Allah. Firman-Nya,

"Sesungguhnya ia (al-Qur'an) adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu; dan sungguh, kamu akan ditanya" (43:44).

Tatatertibnya tidak diperincikan di dalam al-Qur'an supaya solat jadi fleksibel, tidak regimented, serta dilakukan dengan ikhlas menurut kemampuan masing-masing. Demikianlah itu adalah menurut kefahaman mereka sendiri setelah mengkaji ayat-ayat al-Qur'an.

Sehubungan itu, elok direnungkan mesej ayat 2:62, di mana Allah menyatakan "orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik " juga mampu masuk "syurga" selain daripada orang-orang yang melabel diri mereka Islam. Soalan yang berkait ialah bagaimana mereka lakukan solat? Kami tidak tahu secara terperinci, tapi yang jelas ialah solat mereka tidak serupa solat yang dilakukan oleh saudara Nordin.

Beliau kelihatan amat bangga dengan sembahyang yang dilakukan. Mungkin kerana merasa tenteram dengannya. Begitu juga dengan orang-orang lain yang disebut di dalam ayat 2:62 tadi, mereka turut rasa tenteram dengan sembahyang mereka. Bezanya ialah ketenteraman mereka tidak mengusik ketenteraman orang lain yang turut menyembah Tuhan dengan ikhlas.

Selanjutnya, ketenteraman mereka didapati tidak menyebabkan bom-bom meletup, ada kalanya pada diri sendiri, untuk membunuh orang-orang awam yang tidak berdosa. Ini kami sebut (dengan maaf) sebab antara cerita yang dibaca mengenai "teroris" Islam di akhbar ialah mereka dikatakan tidak pernah tinggalkan sembahyang lima waktu sehari, seperti sembahyang saudara Nordin. Bukankah solat, menurut Allah, mampu menghilangkan kejahatan?

Tambahan lagi, Islam dewasa ini sedang rancak dihina oleh orang-orang daripada agama lain. Walhal, Allah berjanji letakkannya tinggi di atas semua kepercayaan di bumi ini. Mungkin satu daripada sebabnya ialah sembahyang, yang saudara Nordin dan orang-orang sealiran dengannya menganggap sebagai tiang agama.

Buat menutup di sini, kami ingin menegaskan bahawa kami tidak sekali-kali menyatakan sembahyang saudara Nordin tidak betul, atau tidak diterima Allah. Tetapi hanya mencadangkan (sebagai tindak balas) supaya ia dinilai semula, sebelum memanjangkan lagi pandangan rendah atau mempersoalkan atau mempersendakan solat yang diajar Tuhan di dalam al-Qur'an, Kitab yang dikatakan-Nya sempurna.

Kami juga berharap saudara Nordin dan orang-orang lain yang bersikap sama dapat meluangkan masa untuk renungkan ayat-ayat Allah di bawah supaya al-Qur'an dipegang satu-satunya dalam keislaman mereka:

"Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui." (6:115)

"Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab; kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka akan dikumpulkan. (6:38)"

"Dan Kami turunkan kepada kamu al-Kitab, penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk" (16:89).

"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?" (45:6).

Sekian, terima kasih. 

11 Feb 2006


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman