Tudung Kepala

 

Persoalan mengenai pemakaian tudung kepala bagi kaum wanita di laman web ini telah mencuit perasaan sesetengah pihak. Kami amat memahami betapa sensitifnya isu tersebut, dan memohon maaf atas segala perasaan yang terganggu. Akan tetapi, kami terus beri penjelasan kepada pengunjung yang memerlukannya. Yang benar tetap benar, walaupun pahit apabila ditelan. Namun begitu, kami tidak memaksa sesiapa untuk menerima pendapat kami, dan tidak juga memandang rendah orang-orang yang memakai tudung kepala.

Selanjutnya pula, kami mengalu-alukan teguran daripada pihak yang memakainya atas nama agama. Teguran tersebut, di samping diabadikan di sini, diberi juga sedikit ulasan kami - seperti yang dilakukan di bawah ini:

 

From: "zahra Md"
Subject: Pakaian Wanita
Date: Wednesday, March 26, 2003 10:42 AM


Assalamualaikum...

Saya keliru dengan soalan lazim ke 21 yang pernah diutarakan oleh pembaca iaitu berkenaan dengan "Pakaian Wanita" dan sebuah artikel "Wanita Dalam Islam Sebenar" dengan tajuk kecilnya, Kesopanan.

Berikut adalah petikan dari artikel tersebut..."Tudung yang dipakai oleh wanita dewasa ini, yang dikatakan Islam oleh sesetengah pihak, adalah mindeel dalam bahasa Arab, bukan jilbab. Perkataan mindeel tidak terdapat di dalam al-Qur'an, sekali gus mengesahkan bahawa tudung itu tidak dianjurkan oleh Tuhan dalam agama-Nya."

Soalan :

Apakah yang penulis Bacaan maksudkan sebagai "....bahawa tudung itu tidak dianjurkan oleh Tuhan dalam agamaNya?" Adakah bermaksud tudung itu tidak perlu dipakai oleh kaum wanita Islam?

Saya pernah terbaca tentang firman Allah yang bermaksud: “dan katakan kepada perempuan mukmin supaya menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka lihatkan perhiasan tubuh badan mereka kecuali yang lahir. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka.” - (An-Nur: 31).

Berikutan dengan firman tersebut, ada fatwa mengatakan bahawa sebab turun ayat ini ialah pada masa itu kaum wanita apabila menutup kepala dengan ‘khumur’ (semacam kain tudung) maka mereka tarik ke belakang sehingga leher, dada dan telinga terdedah. Maka Allah perintah mereka menutup bahagian hadapan, termasuk dada, leher, telinga dan rambut. 

Selepas turun ayat itu, wanita mukmin segera mengoyakkan kain untuk menutup apa yang terbuka. Aisyah sendiri pernah menegur tudung Hafsah, anak seorang saudaranya. Hafsah datang dengan bertudung menutup leher tetapi nipis. Kata Aisyah: “Ini amat nipis, tidak dapat menutupnya.” 

Dalam ayat al-Quran juga, Allah melarang wanita mukmin lihatkan perhiasan (tubuhnya) kecuali yang lahir (yang biasa nampak seperti tangan dan muka.

Dalam artikel lain yang pernah saya baca ada ceritakan juga mengenai hal menutup aurat, Aisyah pernah ceritakan teguran Rasulullah terhadap Asma binti Abu Bakar. Ketika Asma menemui Rasulullah, dia memakai pakaian nipis. Rasulullah lalu menegurnya.

“Wahai Asma, sesungguhnya jika seseorang perempuan sudah sampai masa haid (baligh) maka tidak layak baginya nampakkan kecuali yang ini (baginda mengisyaratkan pada muka dan tangannya). Daripada beberapa keterangan itu nyatalah wanita Islam wajib menutup perhiasan yang tersembunyi termasuklah rambut kepala.

Untuk itu,tolong berikan jawapan berhubung dengan penjelasan dan kekeliruan di atas. Sekian berbanyak terima kasih dan semoga Tuhan memberkati anda.

Wassalam.

 

Salamun alaikum. Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami. Kami faham maksud kandungan surat saudari dan di sini kami cuba beri sebaik jawapan yang boleh.

Pada pendapat kami, kekeliruan yang timbul adalah kerana perbezaan yang wujud dalam terjemahan ayat-ayat al-Qur'an, iaitu antara fahaman kami dengan orang-orang yang saudari rujuk. Kehadiran beberapa buah cerita daripada orang-orang zaman dahulu mengenai kewajipan memakai tudung kepala pula merumitkan lagi keadaan sehingga jadi lebih mengelirukan.

Namun begitu, kami bersedia untuk beri jawapan supaya kekusutan yang timbul dapat dihuraikan. Jawapan dimulakan dengan huraian bagi kenyataan saudari "zahra" yang berbunyi:

Apakah yang penulis Bacaan maksudkan sebagai "....bahawa tudung itu tidak dianjurkan oleh Tuhan dalam agamaNya?" Adakah bermaksud tudung itu tidak perlu dipakai oleh kaum wanita Islam?

Benar, itulah maksudnya. Tudung kepada adalah tidak wajib dipakai oleh kaum wanita Islam. Kerana tidak disuruh di dalam al-Qur'an.

Lalu sebuah firman Allah dikemukakan sejurus selepas soalan tadi dibuat, untuk menangkis jawapan yang sedia diketahui. Ayat itu berbunyi,

Saya pernah terbaca tentang firman Allah yang bermaksud: “dan katakan kepada perempuan mukmin supaya menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka lihatkan perhiasan tubuh badan mereka kecuali yang lahir. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka.” - (An-Nur: 31).

Maaf, kami dapati ayat Tuhan di atas telah diterjemah dengan tidak tepat. Terdapat beberapa perkataan yang sepatutnya tidak berada di situ tetapi ada, seperti "daripada melihat yang haram", "tubuh badan" dan "belahan leher baju". Maka kandungan ayat yang suci itu telah dicemari oleh tambahan kata-kata manusia yang bersifat agak nakal. Bagi kami ayat tersebut bermaksud:

"dan katakan kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka, dan tidak nampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya; dan hendaklah mereka letak penudung mereka pada dada mereka" ( 24:31)

Sekiranya berasa waswas dengan terjemahan kami, sila rujuk teks asal dan  terjemahkanlah ayat itu, perkataan demi perkataan.

Kembali memperkatakan mengenai terjemahan yang diutarakan oleh saudari tadi. Izinkan kami beri sedikit komen setelah petikan sebahagian daripada ayat diturunkan:

1. "menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram"

Frasa melihat yang haram di situ tidak terdapat di dalam teks asal al-Qur'an. Ia bukan dari sisi Allah. Ia, tidak syak lagi, adalah suntikan daripada orang atau orang-orang empunya agenda tersendiri.

Beberapa soalan timbul akibat perbuatan itu. Apakah yang dimaksudkan dengan yang haram? Adakah kaum lelaki yang berjalan-jalan sambil berpakaian kemas haram dipandang? Atau babi, yang diharamkan Tuhan, adakah ia haram dipandang sewaktu ia meluru untuk menyondol orang yang memandang? Bagaimana pula cara untuk menyekat pandangan?

Maka kata-kata itu tidak datang dari Tuhan. Yang datang dari Tuhan tidak mengandungi kekeliruan seperti itu.

Terjemahan sebenar bagi petikan di atas adalah "tundukkan pandangan mereka". Bermaksud, pandangan mereka harus ditundukkan, dan tidak pergi jauh, tatkala berdepan atau bergaul dengan kaum lelaki. Bagi lelaki juga terdapat suruhan yang sama (24:30). Itu kesopanan ajaran Tuhan. Dia tidak melarang lelaki dan perempuan bergaul.

2. "Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka.”

Apa yang dikatakan "belahan leher baju" tidak disebut di dalam al-Qur'an untuk ditutup. Yang disuruh tutup ialah bahagian dada. Ia ditutup dengan kain "penudung", firman-Nya, "hendaklah mereka letak penudung mereka pada dada mereka".

(Sila rujuk di sini untuk huraian selanjut mengenai "penudung". Terima kasih.)

Kemudian saudari menyatakan "Dalam ayat al-Quran juga, Allah melarang wanita mukmin lihatkan perhiasan (tubuhnya) kecuali yang lahir (yang biasa nampak seperti tangan dan muka." Terdapat pula fahaman lain, walaupun semazhab, yang menyatakan muka dan tangan pun tidak boleh dinampakkan!

Tidak, Tuhan tidak menyebut bahagian muka dan tangan di dalam ayat yang berkaitan. Itu adalah andaian sesetengah pihak sahaja. Dan perkataan "perhiasan" tidak bermaksud "tubuh" seperti yang didakwa. Sila rujuk di sini untuk maksud perkataan perhiasan yang sebenar dan di sini untuk mengetahui ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan tersebut. 

Dengan itu, apa yang dimaksudkan Tuhan dengan perhiasaan bukanlah segala anggota badan wanita kecuali bahagian muka dan tangan. Atau kesemuanya sekali bagi sesetengah orang, lalu harus diselubungkan kesemuanya!

Ayat yang dimaksudkan itu sebenarnya berbunyi "dan tidak nampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya." Oleh kerana perhiasan di situ bermaksud apa yang tumbuh di dada perempuan, maka itulah yang tidak patut dinampakkan, kecuali apa yang nampak daripadanya sahaja, setelah ia ditutup.

Ia ditutup kerana menimbulkan "keinginan seks" (perkataan ini disebut di hujung ayat 24:31) di kalangan sesetengah pihak. Dan rambut pula, yang disebut dalam salah sebuah cerita zahra, tidak pula disebut Allah di dalam ayat-ayat mengenai pakaian wanita. Ia tidak disuruh supaya ditutup. Rambut perempuan tidak mungkin dapat menyemarakkan keinginan seks kaum lelaki dengan hanya melihatnya sahaja, kecuali mereka yang mindanya berpenyakit.

Cerita-cerita yang diutarakan saudari kononnya menguatkan lagi pentafsiran sesetengah orang terhadap ayat-ayat Tuhan mengenai tudung kepala. Akan tetapi cerita-cerita tersebut, yang menggunakan nama isteri dan Nabi sendiri, menimbulkan keraguan kerana tafsiran yang dibuat ke atas ayat-ayat yang dilandaskan didapati tidak tepat dan jujur. Malah, cerita-cerita itu tidak disebut di dalam al-Qur'an dan tidak juga ditulis sendiri oleh Nabi. Nabi tidak mungkin mengetahui tentang adanya orang atau orang-orang yang menulis cerita-cerita tersebut. Kitab-kitab yang di dalamnya tercatat cerita-cerita itu ditulis beratus tahun selepas baginda wafat.

Lagi pun, adalah sukar untuk menerima hakikat bahawa Nabi telah sampaikan ajaran agama yang selain daripada perintah Tuhan.

Justeru, sungguh berat bagi kami untuk menerima cerita-cerita orang zaman dahulu sebagai perkara wajib diimani dalam Islam. Bagi kami kesemuanya bukan petunjuk. Kerana petunjuk bagi orang-orang yang takut kepada-Nya hanyalah al-Qur'an, seperti firman-Nya yang berbunyi,

"Kitab itu (al-Qur'an), di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan)," (2:2).

Tuhan menyebut (hanya) sebuah kitab sebagai petunjuk. Sekiranya Dia hendak hamba-hamba-Nya memegang lebih daripada sebuah kitab, tentu Dia telah menjamakkan perkataan "kitab" di situ. Dan Kitab yang satu itu tidak menyuruh kaum wanita memakai tudung kepala.


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman