Rampasan Perang


Dalam perang, solat boleh dipendekkan (4:101). Begitu juga beberapa perbuatan lain, yang dilarang tetapi dibolehkan dalam perang, misalan membunuh, menyalib, memotong tangan dan kaki, atau buang negeri orang-orang yang memerangi (5:33).

Para musuh juga boleh ditawan, dijadikan hamba, atau dijadikan sebagai "tangan kanan miliki". Dengan itu mereka menjadi sebahagian daripada rampasan perang, atau spoils, atau spoils of war, atau booty, dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, harta benda orang-orang yang memerangi turut boleh diambil atau dirampas dan dijadikan sebagai rampasan perang.


Rampasan perang merupakan suatu keuntungan. Namun, ia diambil hanya dalam perang. Allah larang merampas harta orang tidak percaya dalam keadaan aman, walaupun untuk mendapatkan keuntungan kehidupan dunia. Ayat berikut menjelaskannya:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berpergian di jalan Allah, telitilah kamu, dan janganlah kata kepada orang yang lemparkan kepada kamu 'Salam', 'Kamu bukan orang mukmin', kerana cari keuntungan kehidupan dunia. Di sisi Allah rampasan perang yang banyak. Demikianlah kamu dahulunya; tetapi Allah berbudi baik kepada kamu. Maka telitilah kamu; sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat." (4:94)

Di situ Dia tegaskan bahawa sekiranya orang-orang yang percaya ingin merampas harta orang-orang tidak percaya maka mereka harus pergi berperang terlebih dahulu. Nabi sendiri telah dilarang mengambil keuntungan dunia seperti itu, misalan dengan mengambil orang-orang tawanan, selagi baginda tidak pergi berperang. Firman-Nya,

"Tidak patut bagi seseorang Nabi untuk mempunyai tawanan, sehingga dia membunuh beramai-ramai di bumi, kerana kamu hendak keuntungan dunia, dan Allah hendakkan akhirat; dan Allah Perkasa, Bijaksana." (8:67)


Rampasan perang yang diperoleh dibahagi-bahagikan antara orang-orang yang pergi berperang, dan tidak hanya kepada orang-orang kaya sahaja
(59:7). Ia adalah halal dan baik, menurut Allah:

"Makanlah daripada apa kamu ambil sebagai rampasan perang, yang halal, yang baik; dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (8:69)


Selanjutnya Allah menetapkan bahawa dua puluh peratus daripada rampasan perang adalah khas bagi pihak-pihak tertentu. Pihak-pihak tersebut disenaraikan di dalam ayat berikut:

"Ketahuilah bahawa apa sahaja rampasan perang yang kamu ambil, satu per limanya kepunyaan Allah, dan kepunyaan Rasul, dan kepunyaan sanak saudara yang dekat, dan kepunyaan anak-anak yatim, dan untuk orang-orang miskin, dan musafir, jika kamu percaya kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada Hari Pembeza, hari dua kumpulan bertemu; dan Allah berkuasa atas segala sesuatu." (8:41)

Pertama dalam senarai ialah Allah. Penulis berpendapat bahawa ia bermaksud untuk al-Qur'an - penerbitan dan penyebarannya - di samping membina masjid yang didirikan atas dasar takwa. Demikianlah hanya dua contoh bagi maksud "kepunyaan Allah".

Kedua ialah Rasul. Pada hari ini pendapat berbeza mengenai Rasul, ada yang kata tidak ada lagi, dan ada pula yang kata sebaliknya. Penulis tidak ingin mempertikaikannya di sini, kerana sudah jelas iaitu tugas Rasul hanya menyampaikan ayat-ayat-Nya.

Orang-orang yang menyampaikan ketika dalam peperangan (sesudah zaman Rasul Allah) seharusnya ada. Mereka terdiri daripada sekumpulan orang-orang mukmin yang tinggal di belakang untuk menjadi arif dalam agama supaya dapat beri amaran kepada kaum mereka apabila mereka pulang dari medan peperangan. Itu difahamkan daripada ayat berbunyi,

"Tidak patut bagi orang-orang mukmin pergi kesemuanya; tetapi mengapa sekumpulan daripada tiap-tiap golongan antara mereka tidak pergi untuk menjadi arif dalam agama, dan untuk beri amaran kepada kaum mereka apabila mereka kembali kepada mereka, supaya mereka berawas-awas?" (9:122)

Justeru mereka harus diberi dalam pengagihan rampasan perang, sekiranya Rasul dikatakan tidak ada lagi. Atau mungkin diberi kepada ketua angkatan perang, kerana Rasul Allah juga menjadi ketua dalam peperangan. Iktibar diambil daripada ayat berbunyi,

"Apabila kamu berangkat pada pagi hari daripada keluarga kamu untuk menempatkan orang-orang mukmin di tempat-tempat untuk berperang - Allah Mendengar, Mengetahui." (3:121)

Ketiga, sanak saudara yang dekat. Mungkinkah yang dimaksudkan di sini sanak saudara orang-orang yang terbunuh dalam peperangan? Pendapat pembaca atas perkara ini adalah dipelawa.

Dan yang lain - anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan musafir - mereka adalah jelas dengan tersendirinya.


Kembali kepada keadaan hari ini, di negara kita yang aman, tanpa perang, lalu terbit pendapat menyatakan rampasan perang boleh diertikan kepada pendapatan bulanan yang diterima, atau gaji, atau keuntungan dalam perniagaan demi melaksanakan "zakat" mereka.

Penulis tidak ingin berbalah mengenainya kerana percaya mereka sedia maklum tentang perang (di jalan Allah, untuk menegakkan agama), dan kepahitan yang dialami dalam hal bunuh-membunuh, dan mereka seterusnya dipercayai memberi dua puluh peratus daripada pendapatan atau keuntungan yang didapati kepada kegunaan dalam urusan untuk Allah, Rasul, dan lain yang telah disebut. Sementara lapan puluh peratus adalah bagi diri-diri mereka, serupa bahagian ke atas orang-orang yang pergi berperang, menurut ayat 8:41 tadi yang mereka berpandukan.

Bolehkah apa yang diertikan itu sebagai rampasan perang?


Sila rujuk:
Kalimat
Rampasan Perang dan Perang

Penulis Bacaan
16 Disember 2012


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman