Laknat Allah
Gejala laknatullah orang Islam lain didapati luas diamalkan oleh orang-orang Islam yang kurang celik dalam isi kandungan kitab al-Qur'an. Frasa itu diguna dengan sewenang-wenang bila sahaja kepercayaan orang lain didapati tidak sama dengan mereka. Itu kerana mereka sangka sudah dapat petunjuk yang benar walaupun petunjuk al-Qur'an enggan disimpan dalam karung pengetahuan mereka.
Perkataan laknat diterjemah daripada kalimat Allah, la'ana dan la'nah di dalam al-Qur'an. Kamus Dewan mengertikan laknat kepada "1. kemurkaan Allah dan jauh drpd petunjuk dan rahmat-Nya, kutukan: .... 2. terkutuk, keji, hina, celaka." Dan frasa laknatullah pula diertikannya kepada "dikutuk Allah". Sambil pengertian daripada al-Qur'an didapati agak berbeza sedikit dengan ditambah azab daripada-Nya, atau manusia, ke dalam maksud perkataan tersebut.
Allah
laknat
Al-Qur'an, selaku sebuah kitab petunjuk yang lengkap, telah menjelaskan perkara laknat dengan cukup. Ayat-ayat yang mengandungi kalimat itu beri jawapan kepada soalan-soalan yang berbangkit. Misalan, sebab-sebab manusia dilaknati Allah. Sebabnya banyak, dan disenaraikan di sini menurut kronologi ayat-ayat tersebut. Enam belas sebab utama telah dikesan, seperti berikut:
1. Tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.
Firman-Nya,
"Tidak, tetapi Allah laknati mereka kerana ketidakpercayaan mereka;" (2:88).
Ayat yang pertama itu kemudian disokong oleh ayat yang berikut:
"Allah laknatkan orang-orang tidak percaya, dan sediakan untuk mereka yang Menyala," (33:64).
2. Ingkar kepada ayat-ayat Allah.
Ayat di bawah mengisahkan orang zaman dahulu yang didatangi Kitab Allah tetapi mengingkarinya. Mereka juga dikatakan tidak percayainya. Firman-Nya,
"Apabila datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah yang mengesahkan apa yang bersama mereka, .... maka apabila datang kepada mereka apa yang mereka kenali, mereka mengingkarinya; maka laknat Allah ke atas orang-orang tidak percaya." (2:89)
Tentu dilaknati-Nya juga orang-orang zaman ini yang mengingkari ayat-ayat-Nya.
3. sembunyikan ayat-ayat Allah.
Firman-Nya,
"Orang-orang yang sembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan petunjuk yang Kami turunkan, setelah Kami jelaskan kepada manusia di dalam al-Kitab, mereka dilaknati Allah ...." (2:159)
4. Tidak percaya sesudah beriman.
Firman-Nya,
"Mereka itu (yang tidak percaya sesudah beriman lalu jadi zalim), balasan mereka ialah bahawa ke atas mereka laknat Allah ...." (3:87)
5. Mengelirukan makna-makna perkataan dalam agama.
Orang-orang (agama) Yahudi zaman dahulu telah mengelirukan makna perkataan, putarbalikkan lidah mereka, dan mencela agama Allah. Sebenarnya, mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Sebahagian daripada orang-orang Yahudi kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka berkata, 'Kami dengar dan kami tentang', dan 'Dengarlah, dan jadilah kamu tidak mendengar', dan 'Peliharalah kami', putarbalikkan lidah mereka dan mencela agama. Sekiranya mereka kata, 'Kami dengar dan kami taat', dan 'Dengarlah', dan 'Awasilah kami', tentulah itu lebih baik bagi mereka, dan lebih tegak; tetapi Allah laknati mereka kerana ketidakpercayaan mereka," (4:46).
Jangan pula sangka apa yang dilakukan oleh orang agama di kalangan Yahudi dahulu tidak dilakukan oleh orang agama dalam Islam. Penyakit manusia sama antara kaum.
Selain mengelirukan makna-makna perkataan, mereka juga memecahkan perjanjian mereka, dan lupa apa yang diperingatkan kepada mereka. Firman-Nya,
"Maka kerana memecahkan perjanjian mereka, Kami laknatkan mereka, dan jadikan hati mereka keras. Mereka kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka lupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diingatkan;" (5:13).
6. Melanggar larangan Allah.
Seperti larangan pada hari Sabat bagi kaum Bani Israil. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang diberi al-Kitab , percayalah kepada apa yang Kami turunkan, yang mengesahkan apa yang bersama kamu sebelum Kami hapuskan muka-muka, dan pusingkannya di atas belakangnya, atau laknat mereka sebagaimana Kami telah laknati orang-orang Sabat, dan perintah Allah adalah dibuat." (4:47)
7. ambil sebahagian sahaja daripada al-Kitab.
Orang-orang diberi Allah hanya sebahagian daripada Kitab, atau yang mengambil sebahagian daripadanya sahaja (atau yang tidak berpegang pada seluruh Kitab), didapati berpegang pada, seperti Jibti dan Thagut, yang telah dipegang oleh sesetengah orang zaman dahulu. Mungkin pada hari ini di kalangan orang Islam namanya lain pula.
Selanjutnya mereka mengatakan mereka lebih dapat petunjuk daripada orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah seluruhnya. Ini sedang berlaku. Firman Allah,
"Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab percayai Jibti dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang tidak percaya bahawa mereka lebih dapat petunjuk pada jalan daripada orang-orang yang percaya. Mereka itulah orang-orang yang Allah laknat, dan sesiapa Allah laknati, kamu tidak akan dapati baginya sebarang penolong." (4:51-52)
8. Membunuh orang mukmin.
Firman-Nya,
"Dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan Allah murka padanya dan melaknatnya, dan sediakan bagi mereka azab yang besar." (4:93)
9. sangka Allah lokek.
Orang-orang yang disebut dalam ayat di bawah telah direzekikan Allah, namun, mereka merasa tidak cukup lalu Allah dikatakannya lokek. Firman-Nya,
"Orang-orang Yahudi berkata, 'Tangan Allah terbelenggu.' Yang terbelenggu ialah tangan-tangan mereka, dan mereka dilaknati kerana apa mereka kata. Tidak, tetapi tangan-Nya terjulur; Dia nafkahkan sebagaimana yang Dia hendaki." (5:64)
10. Munafik.
Orang-orang munafik adalah mereka yang mengatakan percaya kepada ayat-ayat Allah tetapi sebenarnya tidak percaya. Mereka dikategorikan sama dengan orang-orang tidak percaya (kafir). Firman-Nya,
"Allah janjikan orang-orang munafik lelaki, dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang tidak percaya, dengan api Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya. Cukuplah itu bagi mereka; Allah laknati mereka, dan bagi mereka, azab yang kekal." (9:68)
Dalam ayat berikut pula, orang-orang munafik disebut bersama orang-orang yang sekutukan, dan yang bersangkaan buruk terhadap Allah, sebagai golongan yang dilaknati Allah seterusnya. Firman-Nya,
"Dan supaya Dia azab orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang lelaki yang sekutukan dan orang-orang perempuan yang sekutukan, dan orang-orang yang bersangkaan dengan sangkaan buruk terhadap Allah; terhadap merekalah giliran yang buruk. Allah murka pada mereka, dan laknatkan mereka, dan sediakan untuk mereka Jahanam - satu kepulangan yang buruk!" (48:6)
11. Berdusta terhadap Allah.
Mereka juga dianggap zalim. Firman-Nya,
"Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dikemukakan kepada Pemelihara mereka, dan para saksi berkata, 'Mereka itulah orang-orang yang berdusta terhadap Pemelihara mereka.' Ingatlah, laknat Allah adalah ke atas orang-orang zalim," (11:18).
Sekiranya kandungan kitab al-Qur'an tidak difahami bagaimana pula hendak mengenali orang-orang yang berdusta terhadap Allah!
12. Memecahkan perjanjian, memutuskan apa yang harus dihubungkan, dan buat kerosakan di bumi.
Firman-Nya,
"Dan orang-orang yang pecahkan perjanjian setelah diikat dengan teguh, dan yang memutuskan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan yang buat kerosakan di bumi - bagi mereka adalah laknat, dan bagi mereka, tempat kediaman yang buruk." (13:25).
13. Menuduh wanita-wanita mukmin yang berkahwin melaku kesumbangan.
Firman-Nya,
"Sesungguhnya orang-orang yang membalingnya kepada wanita-wanita yang berkahwin, yang lalai tetapi mukmin, akan dilaknati di dunia dan di akhirat; dan bagi mereka, azab yang besar." (24:23)
14. Menyakiti Allah dan Rasul-Nya.
Tentu sekali orang-orang yang dimaksudkan itu adalah yang tidak ikut ayat-ayat-Nya. Atau ingkar, dan sebagainya. Firman Allah,
"Orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, merekalah yang Allah laknat di dunia dan akhirat, dan sediakan bagi mereka azab yang hina." (33:57)
Tidak mungkin orang-orang yang ikut ayat-ayat-Nya baik dianggap sebagai "menyakiti Allah dan Rasul-Nya."
15. Zalim (sila rujuk Zalim: siapa mereka sebenarnya.)
Firman Allah,
"Pada hari apabila alasan-alasan mereka tidak bermanfaat kepada orang-orang zalim, dan bagi mereka laknat, dan bagi mereka, tempat tinggal yang jahat." (40:52)
16. Tidak renungkan al-Qur'an.
Ayat terakhir, tetapi mungkin jadi ayat atau perkara utama bagi tajuk (seperti difahamkan dalam penulisan Arab), menyebut mengenai al-Qur'an, yang tidak direnungkan manusia lalu dilaknati-Nya manusia itu. Firman-Nya,
"Mereka itulah orang-orang yang Allah laknat, lalu jadikan mereka pekak, dan membutakan mata mereka. Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Atau, adakah adanya kunci pada hati mereka?" (47:23-24)
Mereka yang dimaksudkan di situ adalah yang berpaling, dan buat kerosakan di bumi serta memutuskan pertalian darah. Mereka ditanya sama ada mereka telah renungkan al-Qur'an. Benar, al-Qur'an jadi punca manusia dilaknat pada hari ini.
Allah, malaikat dan
manusia laknat
Bukan sahaja didapati Allah laknatkan orang-orang yang wajar dilaknati tetapi para malaikat dan manusia turut buat demikian. Orang-orang yang dilaknati mereka, dan Allah, adalah yang sembunyikan ayat-ayat Allah, yang mati dalam ketidakpercayaan kepada ayat-ayat Allah, dan yang jadi tidak percaya sesudah beriman. Ayat-ayat berikut jelaskannya dengan lebih lanjut:
"Orang-orang yang sembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan petunjuk yang Kami turunkan, setelah Kami jelaskan kepada manusia di dalam al-Kitab, mereka dilaknati Allah, dan mereka dilaknati para pelaknat," (2:159).
"Tetapi orang-orang tidak percaya dan mati dengan tidak percaya, ke atas merekalah laknat Allah, dan para malaikat, dan manusia kesemuanya," (2:161).
"Mereka (tidak percaya sesudah beriman lalu jadi zalim) itu, balasan mereka ialah bahawa ke atas mereka laknat Allah, dan para malaikat, dan manusia, kesemuanya." (3:87)
Nabi Daud dan Nabi Isa telah laknati kaum mereka, Bani Israil, yang tidak percaya, ingkar, dan mencabul. Firman-Nya,
"Telah dilaknati orang-orang tidak percaya daripada Bani Israil oleh lidah Daud, dan Isa putera Mariam; itu adalah kerana keingkaran mereka, dan pencabulan mereka." (5:78)
Dipohon
Laknat Allah ke atas seseorang boleh dipohon, misalan dalam tuduhan lakukan kesumbangan. Ayat-ayat berikut menjelaskan bagaimana tuduhan itu dilaksana, dalam kes suami menuduh isteri:
"Dan orang-orang yang membaling kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar.
Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta.
Ia akan hindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta.
Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar." (24:6-9)
Bagi yang dituduh, mereka memohon kemurkaan Allah bukan laknat Allah. Adakah dengan itu Allah beritahu kita bahawa laknat-Nya itu adalah juga kemurkaan-Nya?
Iblis dan
Syaitan
Seperti dalam pengetahuan umum, Iblis dan Syaitan telah dilaknati Allah. Mereka dilaknati hingga ke Hari Pengadilan. Firman-Nya,
"Yang dilaknati Allah. Ia (Syaitan) berkata, 'Sungguh, aku akan ambil untukku sebahagian yang ditetapkan daripada hamba-hamba-Mu,'" (4:118).
"Ke atas kamu (Iblis) laknat hingga Hari Pengadilan." (15:35)
Laknat di dunia dan Hari
Kiamat
Beberapa ayat al-Qur'an menyebut mengenai laknat di dunia dan Hari Kiamat, atau akhirat. Pertama disebut dapat laknat di dunia dan Hari Kiamat adalah Ad, iaitu kaum Hud (11:60), dan kemudian, Firaun dan pembesar-pembesarnya (11:99).
Ayat seterusnya ialah ayat 24:23, yang telah diturunkan. Ayat itu menyentuh mengenai orang-orang yang buat tuduhan ke atas wanita-wanita mukmin yang berkahwin. Mereka menerima laknat dunia dan akhirat.
Akhir sekali, ialah orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya (33:57), yang juga telah terlebih dahulu disebut, turut menerima laknat-laknat tersebut.
Laknat di
dunia
Contoh laknat di dunia, selain daripada kemusnahan kaum (seperti ke atas kaum Ad) dan ditenggelamkan di laut (bagi Firaun dan pembesar-pembesarnya), ada juga laknat berbentuk lain, misalan, manusia dijadikan-Nya beruk dan babi, atau yang bersifat seperti dua haiwan tersebut. Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Bolehkah aku beritahu kamu, sebagai ganjaran di sisi Allah, yang lebih buruk daripada itu? Sesiapa Allah laknatkan, dan padanya Dia murka, dan jadikan antara mereka beruk dan babi,'" (5:60).
Dan, ada pula laknat itu di tangan manusia, seperti terhadap orang-orang yang buat tuduhan ke atas wanita-wanita mukmin yang berkahwin, tetapi lalai (24:23), yang baru disebut lagi. Oleh kerana ayat itu tidak menjelaskan dengan tepat rupa laknat di dunia daripada-Nya, maka hukuman sebat maksima lapan puluh sebatan seperti yang tercatat pada ayat 24:4 adalah difikirkan wajar dikenakan sebagai laknat di dunia, tetapi dilaksanakan oleh manusia pula. Namun, ia hanya pendapat penulis sahaja.
Ke atas orang-orang munafik pula, laknatnya jelas, iaitu mereka dibunuh apabila mereka tidak berhenti daripada buat kegemparan di kota, sebagai laknat di tangan manusia. Firman-Nya,
"Mereka (munafik dan hati berpenyakit) dilaknat, dan di mana sahaja mereka dijumpai, mereka diambil dan dibunuh, dibunuh." (33:61)
Bersama orang-orang munafik di situ adalah orang-orang yang hatinya berpenyakit, macam yang ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah. Mereka juga diambil dan dibunuh di mana sahaja mereka dijumpai apabila mereka tidak berhenti daripada buat kekecohan.
Memohon di
akhirat
Di akhirat pun sesetengah manusia akan memohon laknat Allah ke atas orang lain. Mereka adalah orang-orang yang sesat, yang memohon dilaknatkan dengan laknat yang besar atau dua kali ganda, ke atas ketua-ketua dan pembesar-pembesar mereka, dalam agama, yang dituduhnya sebagai orang-orang yang telah sesatkan mereka. Firman Allah,
"Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, kami telah taati ketua-ketua kami dan pembesar-pembesar, dan mereka sesatkan kami daripada jalan. Wahai Pemelihara kami, berikan mereka azab dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang besar!'" (33:67-68)
Lantaran itu, masyarakat kini mengharapkan semoga orang-orang yang laknatullah orang Islam lain dengan sewenang-wenangnya akan memberhentikannya, dan tidak akan mengulangi tabiat itu, di akhirat kelak, di mana mereka akan memohon laknat Allah ke atas orang lain pula, iaitu ke ketua-ketua agama mereka.
Sila rujuk:
Kalimat laknat di dalam
al-Qur'an
Penulis Bacaan
Ramadan 1424
Oktober 2003
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman