Bunuh
di dalam al-Qur'an

 

Tidak lama selepas penciptaan manusia yang pertama dosa membunuh sesama sendiri telah berlaku. Ia keingkaran kedua oleh manusia terhadap perintah Allah, selepas Adam dan isteri makan daripada pohon yang dilarang.

Malah ia, bersama buat kerosakan di bumi, telah diketahui akan dilakukan oleh manusia sebelum Adam dicipta lagi. Al-Qur'an meriwayatkan:

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau letak di dalamnya orang yang akan buat kerosakan di dalamnya dan tumpahkan darah, sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)

Allah meneruskan rancangan-Nya cipta manusia. Dengan itu tidak bermaksud Dia membenarkan perbuatan membunuh setelah diketahui manusia akan lakukannya. Larangan-Nya terhadap membunuh telah diketahui oleh dua anak Adam tetapi seorang daripada mereka ingkari, kerana tidak bertakwa, atau tidak takut kepada-Nya. Ayat-ayat yang menjelaskan adalah:

"Dan kamu bacakan kepada mereka cerita dua orang anak Adam dengan sebenarnya; ketika mereka persembahkan satu qurban, lalu ia diterima daripada seorang daripada mereka, dan tidak diterima daripada yang lain. Seorang berkata, 'Sungguh, aku akan bunuh kamu,' Berkata yang lain, 'Allah hanya terima daripada orang-orang bertakwa.
Sungguh, jika kamu menjulurkan tangan kamu kepadaku, untuk membunuhku, aku tidak akan menjulurkan tanganku kepada kamu untuk membunuh kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Pemelihara semua alam.
Aku hendak supaya kamu dipenuhi dosaku dan dosa kamu, dan jadi orang Api; itulah balasan ke atas orang-orang zalim'" (5:27-29).

Api (neraka) pun sudah diketahui seawal itu, tetapi "Kemudian jiwanya (saudara yang zalim) mendorongnya untuk membunuh saudaranya, dan dia membunuhnya, dan jadi antara orang-orang yang rugi" (5:30).

Pembunuhan manusia yang pertama adalah kerana dengki dalam lakukan ibadah, dan sifat tidak bertakwa serta zalim. Ia dilakukan semasa manusia masih dalam keadaan gelap dengan tidak tahu bagaimana mayat harus dikebumikan. Lalu Allah ajar seperti berikut:

"Kemudian Allah kirim seekor burung gagak, dengan mencakar-cakar di atas bumi, untuk perlihatkan kepada dia bagaimana dia akan sembunyikan mayat saudaranya yang aib. Dia berkata, 'Celakalah aku! Tidakkah aku mampu untuk menjadi seperti burung gagak ini, untuk aku sembunyikan mayat saudaraku yang aib?' Dan dia jadi antara orang-orang yang menyesal." (5:31)

Pembunuhan pertama disusuli dengan penyesalan daripada pihak pembunuh. Mungkin agak berbeza dengan hari ini di mana sesetengah pembunuhan dilakukan dengan bangga, atas nama agama dan Allah.

Membunuh disebut seiring perbuatan menyeru tuhan yang lain bersama Allah, dan berzina, dan dikategorikan sebagai dosa di sisi Allah menurut ayat di bawah:

"Yang tidak menyeru tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan patut, dan tidak juga berzina, kerana sesiapa yang buat demikian itu akan temui harga dosa." (25:68)

Dosanya di sisi Allah amat berat. Demikianlah dijelaskan oleh ayat yang menyusul, berbunyi,

"Akan dilipatgandakkan azab untuknya pada Hari Kiamat, dan dia tinggal di dalamnya, terhina selama-lamanya." (25:69)

Pun begitu, Allah didapati Pengampun, Pengasih, dengan firman-Nya bermaksud,

"Kecuali orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat amalan (kerja-kerja) yang baik; bagi mereka itu, Allah akan tukar kejahatan-kejahatan mereka dengan yang baik, dan Allah Pengampun, Pengasih." (25:70)

Pembunuh, penyekutu Tuhan, atau penzina, dihendaki bukan sahaja bertaubat tetapi percaya kepada-Nya dan buat kerja-kerja baik untuk menukarkan kejahatan yang dilakukan dengan yang baik.

Selepas pembunuhan anak Adam Allah menetapkan bahawa:

"Oleh kerana itu, Kami tuliskan (tetapkan) untuk Bani Israil bahawa sesiapa bunuh satu jiwa, bukan untuk membalas atas satu jiwa yang dibunuh, dan bukan juga kerana kerosakan yang dilakukan di bumi, adalah seakan-akan dia membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa menghidupkannya, seakan-akan dia hidupkan manusia kesemuanya. Rasul-Rasul Kami telah pun datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, kemudian ramai antara mereka sesudah itu adalah orang-orang yang membazir (berlebihan) di bumi." (5:32)

Dua sebab membunuh diizinkan iaitu untuk membalas orang yang dibunuh dan membalas atas kerosakan yang dibuat di bumi. Membunuh seorang manusia diibaratkan membunuh semua manusia, tetapi, jika pembunuh dibiarkan hidup maka ia serupa hidupkan semua manusia.

Membunuh diterangkan sebagai perbuatan membazir. Akan tetapi, manusia selepas itu berterusan dalam amalan membazir, dan ditambah dengan mengusir orang lain dari tempat tinggal serta jadikan mereka tebusan. Al-Qur'an menyatakan:

"Kemudian kamu ini, kamu membunuh sesama sendiri dan usir segolongan kamu daripada tempat-tempat tinggal mereka, dengan bantu-membantu terhadap mereka dalam dosa dan permusuhan, dan jika mereka datang kepada kamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, walaupun pengusiran mereka telah diharamkan."

Sebab kejahatan-kejahatan tersebut dilakukan dinyatakan di dalam sambungan ayat di atas berbunyi,

"Adakah kamu percayai sebahagian al-Kitab, dan kamu tidak percaya kepada sebahagian yang lain? Maka apakah balasan ke atas orang-orang daripada kamu yang buat demikian itu, melainkan kerendahan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat, dikembalikan kepada azab yang paling keras, dan Allah tidak lalai daripada apa kamu buat." (2:85)

Itu adalah juga sebab berlaku pembunuhan sesama sendiri dalam Islam hari ini - kerana hanya percayai sebahagian daripada al-Kitab! Perangai sesetengah manusia yang diberi al-Kitab tidak berubah dari zaman dahulu hingga ke zaman sekarang.

Pembunuhan tidak terhad kepada sesama sendiri, mereka juga membunuh Rasul:

"dan setiap kali datang kepada kamu seorang Rasul dengan apa yang jiwa kamu tidak inginkan, kamu menyombong, dan sebahagian kamu dustakan, dan sebahagian kamu bunuh?" (2:87)

Dan Nabi tidak dikecualikan daripada dibunuh, sebab hanya percaya kepada apa yang ada pada mereka, dan enggan percaya sesuatu yang baru. Allah mengisahkan:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Percayalah kepada apa yang Allah turunkan', mereka berkata, 'Kami percayai apa diturunkan kepada kami', dan mereka tidak percaya kepada apa yang sesudah itu, sedang ia yang benar, yang mengesahkan apa yang bersama mereka. Katakanlah, 'Mengapa pula kamu bunuh Nabi-Nabi Allah masa dahulu, jika kamu orang-orang mukmin?'" (2:91)

Lalu mereka menanggung akibat membunuh Nabi, seperti berikut:

"Dan, kehinaan dan kemiskinan ditimpakan kepada mereka, dan mereka dipenuhi beban kemurkaan Allah. Itu ialah kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh para Nabi tanpa patut. Itu ialah kerana mereka ingkar, dan mereka mencabuli." (2:61)

Pembunuhan Nabi dan Rasul tidak berterusan hingga ke hari ini. Tetapi apa yang dilakukan adalah lebih besar iaitu mengadakan cerita-cerita yang buruk terhadap mereka. Contoh, hadis mengenai Nabi Musa yang dipetik daripada Lain yang dicari lain yang jumpa berbunyi,

Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Nabi saw, bersabda " Banu (turunan atau bangsa) Israil itu mendi bertelanjang, satu sama lain saling lihat melihat. Tetapi Nabi Musa mandi seorang dirinya. Mereka mengatakan : Demi Allah ! Tidak ada yang melarang Musa mandi bersama-sama dengan kita, kecuali kerana dia berpenyakit, buah pelirnya besar" Pada suatu kali Nabi Musa mandi, kainnya diletakkannya di atas batu. Lalu batu itu melarikan kain Nabi Musa, dan beliau dan beliau menyusulnya sambil berteriak: Kain-ku ... ! Hai, batu !
Sehingga oleh kerana itu, Bani Israil dapat melihat (aurat ) Nabi Musa, lantas mereka berkata, "Demi Allah Musa tidak berpenyakit apa-apa" Lalu Nabi Musa ambil kainnya dan dipukulnya batu itu" Sahih Bukhari Jilid 1 No 177 ms. 109.

Atau hadis Nabi dengan Monyet, dan sebagainya. Fitnah yang dilakukan adalah lebih besar daripada pembunuhan.

Di samping Nabi, manusia yang menyuruh pada keadilan turut dibunuh. Firman-Nya,

"Orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-Nabi tanpa patut, dan mereka membunuh manusia yang menyuruh pada keadilan, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih." (3:21)

Senarai pembunuhan dipanjangkan dengan kemasukan golongan anak-anak. Mereka dibunuh atas nama agama, menurut ayat bermaksud,

"Demikianlah sekutu-sekutu mereka nampakkan indah bagi kebanyakan orang yang sekutukan supaya membunuh anak-anak mereka, untuk binasakan mereka, dan untuk kelirukan agama mereka kepada mereka. Sekiranya Allah hendak, tentu mereka tidak membuatnya; maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (6:137)

Dewasa ini anak-anak dibunuh dengan disuruh memegang senjata untuk membunuh orang-orang kafir yang menceroboh masuk ke dalam negeri, atau dibunuh bersama orang-orang dewasa dengan bom-bom daripada golongan sendiri, atau dibunuh kerana lakukan zina.

Sebab membunuh anak-anak selanjutnya dinyatakan dalam ayat berbunyi,

"Rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka dalam kebodohan, tanpa pengetahuan, dan mereka haramkan apa yang Allah rezekikan mereka, dengan mengada-adakan terhadap Allah; mereka sesat, dan tidak dapat petunjuk yang benar." (6:140)

Mereka terkorban kerana ajaran agama yang sesat, tidak menurut ajaran Allah.

Al-Qur'an turut menyebut mengenai membunuh anak-anak kerana takut akan kemiskinan. Firman-Nya,

"Dan jangan bunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan; Kami beri rezeki untuk kamu dan mereka. Sesungguhnya pembunuhan mereka adalah kesalahan besar." (17:31)

Membunuh orang mukmin, dengan sengaja atau silap, juga jadi isi kandungan al-Qur'an. Mengenai membunuh dengan silap ayat di bawah menjelaskan:

"Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan silap, dan sesiapa bunuh seorang mukmin dengan silap, maka hendaklah dia merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka sedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan merdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak dapatkan, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:92)

Ganti rugi tidak ditetapkan oleh Allah lalu jadikannya terbuka supaya disesuaikan dengan zaman dan keadaan. Namun pihak tertentu telah menetapkannya pula pada zaman dahulu dan diterima sebagai hukum Islam pada hari ini, walaupun didapati lapuk kerana antara yang dijadikan ganti rugi ialah unta dan wang emas. Maka manusia pada hari ini (yang menolak melontar batu sebagai hukuman bagi penzina) harus berpakat memikirkan ganti rugi yang sesuai lagi adil. (Sila rujuk Ayat 4:92 (bunuh) bukan Islam?)

Terhadap orang mukmin membunuh mukmin yang lain dengan sengaja pula Allah berfirman,

"Dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan Allah murka padanya dan melaknatnya, dan sediakan bagi mereka azab yang besar." (4:93)

Kelihatan tiada kemaafan diberi kepada mukmin yang membunuh mukmin lain dengan sengaja. Tiada ganti rugi disebut. Mungkin dia tergolong dalam kumpulan orang-orang yang patut dibunuh.

Pembalasan ke atas mangsa yang dibunuh tetap ada, menurut Allah, tidak kira orang merdeka, hamba atau wanita. Saudaranya pula boleh maafkan pembunuh, dan boleh juga menuntut bayaran, dengan baik. Dengan itu adalah satu keringanan dan pengasihan daripada-Nya. Firman Tuhan,

"Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan (ditetapkan) bagi kamu ialah pembalasan (qisas), mengenai orang yang dibunuh - orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan; tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Pemelihara kamu, dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (2:178)

Allah telah menunjukkan keringanan dan pengasihan-Nya terhadap pembunuh. Sifat-Nya Yang Pengasih dituruti.

ambil nyawa manusia adalah haram kecuali orang-orang yang patut dibuat demikian. Firman Tuhan,

"Dan jangan bunuh jiwa yang Allah haramkan, kecuali dengan patut, dan sesiapa yang dibunuh dengan tidak adil, kami beri walinya (warisnya) kuasa; tetapi janganlah dia membazir dalam pembunuhan; dia ditolong." (17:33)

Bagi orang yang dibunuh dengan tidak adil, walinya dinasihatkan supaya tidak membalas dengan yang serupa, iaitu dengan lakukan pembaziran.

Orang-orang empunya minda, termasuk para hakim (pada hemat penulis) harus bertakwa, kerana diingatkan iaitu dalam pembalasan ada peruntukan untuk tidak menghukum bunuh orang-orang yang membunuh. Firman Allah,

"Dalam pembalasan (qisas) ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang empunya minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)

Kerana hanya membunuh orang-orang yang patut dibunuh, maka jumlah kematian umat seharusnya tidak ramai. Tidak seperti yang berlaku di dunia, khas dunia Islam, pada hari ini. Tiap-tiap hari terdengar berita orang-orang Islam dibunuh atau terbunuh dengan zalim, sama ada di tangan musuh atau di tangan saudara Islam sendiri.


Bacaan lanjut:
Kalimat Bunuh di dalam al-Qur'an


Penulis Bacaan
13 Okt 2008


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman