Al-Qur'an - soalan, keraguan
& benci kerana tidak kenal


 

Allah berfirman, "Orang-orang tidak percaya berkata, 'Jangan dengarkan Qur'an ini, dan cakaplah yang sia-sia mengenainya supaya kamu dapat kalahkan,'" (41:26).

Orang-orang tidak percaya (kafir) di situ adalah mereka yang tidak percaya kepada al-Qur'an, atau ayat-ayat-Nya, setelah ditemukan dengannya. Contoh ayat atau ayat-ayat yang kerap tidak dipercayai ialah yang menyatakan al-Qur'an itu lengkap (6:38, 12:111 dan 16:89).

Kemudian mereka menghasut orang lain supaya tidak mendengarkan al-Qur'an dan untuk kalahkan hujah-hujah mengenainya, yang dikemukakan oleh orang-orang yang percaya, mereka menganjurkan percakapan yang sia-sia pula. Seperti soalan-soalan yang mereka fikir mampu untuk meyakinkan orang lain bahawa al-Qur'an itu tidak lengkap untuk menjadi petunjuk dalam agama. 

Dalam usaha tersebut, kadang-kadang orang yang menyoal akan mendedahkan keraguan atau kejahilannya terhadap al-Qur'an dengan tanpa disedar. Serupa yang didapati dalam kandungan soalan-soalan berikut yang telah dikirim oleh salah seorang daripada mereka yang dimaksudkan, berbunyi:

...... how do you Quran is the word of Allah ? Who told you ? Why do you believe the person who told you ? How do you know if he did not lie to you ? 
How do you know it was revealed to Rasullah SAW ? How does Quran descended from Rasulallah SAW until you recieved it ? How do you know it is authentic ? You may refer to verse that mentioned Allah SWT will protect Quran from such disturbance. But how do you know the verse from Allah, who tell you. May be another lier isn't it ? 
What is the first surah revealed ? How do you it is the first surah ? How told you ? Why do you believe him ? 
How was it revealed, Jibril (Malaikat) ? Who told you it is not written in Quran ?

Gaya dan bahasa yang diguna oleh penyoal kelihatan lintang-pukang dan kasar. Justeru, terjemahannya pun ditulis semacamnya: 

...... bagaimana kamu Quran adalah kata Allah ? Siapa beri tahu kamu ? Kenapa kamu percaya orang yang beritahu kamu ? Bagaimana kamu tahu dia tidak berdusta kepada kamu ? 
Bagaimana kamu tahu ia diwahyu kepada Rasullah SAW ? Bagaimana Quran diturunkan daripada Rasulallah SAW hingga kamu menerimanya ? Bagaimana kamu tahu ia sahih ? Kamu boleh rujuk ayat yang menyatakan Allah SWT akan melindungi Quran daripada gangguan seumpamanya. Tapi bagaimana kamu tahu ayat itu daripada Allah, siapa beri tahu kamu. Mungkin seorang lagi pendusta bukan ? 
Apakah surah yang pertama diwahyukan ? Bagaimana kamu tahu ia adalah surah yang pertama ? Bagaimana beri tahu kamu ? Kenapa kamu percaya kepadanya ? 
Bagaimana ia diwahyukan, Jibril (Malaikat) ? Siapa beri tahu kamu ia tidak ditulis di dalam Quran ?

Soalan-soalan di atas boleh dianggap sia-sia belaka kerana penyoalnya orang Islam dan sasarannya juga orang Islam, melainkan dia menganggap sasarannya orang Islam yang jahil. Apapun motifnya, ia tidak dibincangkan di sini, kerana ingin terus menjawab soalan-soalannya yang agak menarik juga walaupun mampu untuk mengelirukan orang lain yang tidak tahu al-Qur'an itu sempurna. 

Soalan dan jawapan disenaraikan di bawah ini:


bagaimana kamu Quran adalah kata Allah
?

Pertama, percayakah adanya Tuhan? Sekiranya tidak percaya, maka tidak perlu bertanya tentang al-Qur'an kerana ia sebuah Kitab petunjuk yang wajib diikuti oleh manusia yang percaya adanya Tuhan.

Kemudian, manusia yang belum yakin tentu akan minta bukti atas kepercayaan al-Qur'an itu kata-kata-Nya. 

Bukti yang diminta terdapat di dalam Kitab itu sendiri. Umpamanya, pada ilmu yang terkandung di dalamnya yang tidak mampu ditampil dan dijelaskan oleh manusia tatkala al-Qur'an mula jadi buah mulut mereka lebih 1,400 tahun dahulu. Lantas, yang menampilkannya adalah tidak lain hanya Allah sahaja, sekali gus buktikan al-Qur'an itu adalah kata-kata-Nya. Contoh ilmu yang dimaksudkan terdapat di ruangan Penemuan laman web ini.

Firman Allah:

"Katakanlah, 'Jika manusia dan jin berkumpul untuk datangkan yang serupa dengan al-Qur'an ini, mereka tidak akan dapat datangkan yang serupa dengannya, walaupun mereka membantu satu sama lain.'" (17:88)

(Sila rujuk artikel The New Scientific Case for God dan Scientific Revelation di mana bukti-bukti kewujudan Tuhan dan al-Qur'an itu daripada-Nya dibentang dengan banyak. Terima kasih.)

Siapa beri tahu kamu ?

Sejak dari kecil lagi, ramai orang termasuk guru agama, telah beritahu penulis bahawa al-Qur'an adalah kata-kata Allah. Dan juga melalui bacaan pelbagai bahan. Begitulah Allah beritahu atau ajar hamba-hamba-Nya, yakni melalui manusia juga. Kerana Dia tidak turun ke bumi untuk mengajar manusia.

Setelah membaca al-Qur'an, dan yakin ia datang dari sisi Tuhan, Dia pula yang beritahu melalui beberapa ayat-Nya. Satu daripadanya berbunyi:

"Al-Qur'an ini tidak mungkin diada-adakan oleh selain daripada Allah, tetapi ia adalah satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan satu penjelasan Kitab, yang di dalamnya tiada keraguan, daripada Pemelihara semua alam." (10:37)

Dengan pemberitahuan daripada Allah, al-Qur'an jadi lebih digerun dan diyakini lagi untuk ditaati, tanpa sebarang keraguan.

Kenapa kamu percaya orang yang beritahu kamu ?

Baru dijelaskan iaitu bukan orang yang beritahu akhirnya, tetapi Tuhan sendiri, melalui Kitab-Nya. Mengapa pula harus tidak percayai-Nya? Bukankah kepada-Nya kita dikembalikan? 

Atau, kalau manusialah yang beritahu, dan dia tunjukkan bukti-bukti sama yang telah dijelaskan, mengapa pula enggan percayainya?

Bagaimana kamu tahu kalau dia tidak berdusta kepada kamu ?

Tuhan berdusta?

Tidak, orang yang datang dengan bukti yang jelas dan kukuh bukan seorang pendusta. Jangan pula melihat pada rupa orang itu untuk mengatakan dia pendusta. Kerana ada, kalau tidak ramai, daripada mereka yang "berwajah Islam" didapati berdusta mengenai Allah dan agama-Nya.

Bagaimana kamu tahu ia diwahyu kepada Rasullah SAW ?

Tuhan yang beritahu. Antara firman-Nya yang banyak mengenainya adalah yang berikut:

"Tetapi orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan percaya kepada apa diturunkan kepada Muhammad, dan ia adalah yang benar daripada Pemelihara mereka, Dia akan lepaskan mereka daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan membetulkan keadaan mereka." (47:2)

Kalau apa yang tersembunyi selama 1,400 tahun di dalam al-Qur'an itu didapati benar, mengapa pula tidak mahu membenarkan ayat di atas mengenai Nabi Muhammad sebagai orang yang telah diwahyukan Tuhan.

Sebenarnya, baginda telah "dikenali" sebelum al-Qur'an diturunkan, sejak penurunan kitab Taurat dan Injil lagi, yang di dalamnya menyebut mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab. Sila lihat ayat ini:

"Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy, yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil," (7:157).

(Untuk penjelasan lanjut mengenai kalimat ummiy yang turut bermaksud orang Arab, sila rujuk bahagian pertama artikel Nabi pandai membaca, menulis. Terima kasih.)

Dan, setelah al-Qur'an mula diturunkan hingga ke hari ini, tiada nama lain yang disebut oleh manusia, baik yang Islam mahupun yang bukan Islam, melainkan Muhammad sahaja sebagai orang yang bertanggungjawab atas al-Qur'an dan Islam.

 

Bagaimana Quran diturunkan daripada Rasulallah SAW hingga kamu menerimanya ?

Menerusi proses percetakan, yang merupakan satu rahmat daripada Tuhan!

Seperti yang dimaklumkan di dalam artikel Nabi pandai menulis, membaca, atau ayat 29:48, baginda telah menulis al-Qur'an. Selepas itu ia ditulis oleh para jurutulis (80:15). Kemudian, setelah kegiatan mencetak buku meluas di dunia, ia dicetak pula lalu bilangan naskahnya bertambah banyak untuk disampaikan ke seluruh dunia (atas kehendak-Nya).

Selain menerima cetakan al-Qur'an dari luar negeri, penduduk Malaysia, termasuk penulis, bernasib baik kerana dapat membaca al-Qur'an yang dicetak di dalam negeri. Itu juga satu rahmat daripada Tuhan.

 

Bagaimana kamu tahu ia sahih ? Kamu boleh rujuk ayat yang menyatakan Allah SWT akan melindungi Quran daripada gangguan sepertinya. Tapi bagaimana kamu tahu ayat itu daripada Allah, siapa beri tahu kamu. Mungkin seorang lagi pendusta bukan ? 

Sejak dari dulu, penulis telah mendengar orang berkata atau membaca akhbar mengenai sesebuah terbitan baru al-Qur'an yang mengandungi kesilapan. Contoh, beberapa ayatnya didapati "hilang". Lalu umat Islam membetulkan kesilapan yang dikesan. Itu satu cara Tuhan memelihara mesejnya, dengan media massa, yang merupakan satu lagi rahmat daripada-Nya.

Juga, kerana al-Qur'an telah ditulis sejak zaman Nabi Muhammad lagi maka naskah-naskah lama telah disimpan dan jadi rujukan apabila timbul keraguan mengenai kandungannya. Proses itu berterusan hingga ke hari ini.

Ingin dinyatakan di sini iaitu penjelasan bagi naskah al-Qur'an yang pertama tidak dapat dibuat dengan lebih lanjut. Apa yang terjadi padanya tidak diketahui dengan pasti, melainkan melalui cerita orang sahaja, yang mengkhabarkan ia telah dimusnah dalam peperangan Hasan-Husin (cucu Nabi). 

Malah, Allah tidak berjanji untuk memelihara buku (kertas dan dakwat), yang membentuk al-Qur'an, akan tetapi Dia berjanji untuk memelihara Peringatan atau Mesej-Nya sahaja menurut ayat di bawah. Mungkin ada hikmah-Nya mengapa Dia tidak memelihara buku tersebut.

Firman Allah:

"Kamilah yang turunkan Peringatan, dan Kamilah yang menjaganya." (15:9)

Sehubungan itu, amalan menghafal al-Qur'an ada disebut di dalam al-Qur'an. Amalan yang dilakukan sejak dari zaman dahulu lagi turut dapat memelihara kesahihan kandungan al-Qur'an. Amalan menghafal al-Qur'an tersurat di dalam ayat ini:

"Tidak, ia adalah ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, di dalam dada orang-orang diberi pengetahuan; dan tiada yang sangkal ayat-ayat Kami kecuali orang-orang zalim." (29:49)

Dengan cara-cara itulah Allah memelihara Mesej-Nya.

Sekali lagi, penyoal menyebut mengenai pendusta. Mungkinkah ayat 15:9 tadi telah ditulis oleh pendusta? Maksudnya, "Kami" di situ pendusta!

 

Apakah surah yang pertama diwahyukan ? Bagaimana kamu tahu ia adalah surah yang pertama ? Bagaimana beri tahu kamu ? Kenapa kamu percaya kepadanya ?

Firman Allah,

"Atas Kamilah untuk mengumpulkannya," (75:17).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa al-Qur'an yang dibaca pada hari ini - bermula dari surah Al-Fatihah hingga ke surah terakhir, An-Nas - adalah dikumpul atau disusun oleh Tuhan sendiri. 

Tambahan pula, Dia juga yang telah membahagi-bahagi kandungan al-Qur'an (kepada surah) untuk senang disampaikan kepada manusia dengan berjarak-jarak. Firman-Nya:

"Dan sebuah al-Qur'an yang Kami bahagi-bahagikan, untuk kamu baca kepada manusia berjarak-jarak" (17:106)

Oleh yang demikian, penulis percaya surah Al-Fatihah (Pembukaan) adalah yang pertama diwahyukan kepada Nabi Muhammad.

Mengenai surah Iqra' (Bacalah), yang dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai surah yang pertama diwahyukan, penulis berpendapat mungkin itulah surah yang pertama disampaikan oleh Nabi Muhammad kepada orang ramai, untuk menyuruh mereka membaca al-Qur'an yang baru diterimanya. Hari ini pun sama. Untuk menyuruh orang ramai ikut ajaran Tuhan maka yang pertama disuruh ialah membaca Kitab-Nya.

Walau bagaimanapun, soalan itu tidak akan ditanya di akhirat kerana tidak penting. Apa yang penting dan akan ditanya adalah sama ada umat sudah mentaati kandungan al-Qur'an, atau tidak. Firman-Nya:

"Sesungguhnya ia adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu; dan sungguh, kamu akan ditanya" (43:44).

Lagi penyoal bertanya mengenai kesahihan orang yang beritahu! Nampaknya, kehidupannya penuh dengan keraguan dan kegelisahan.

 

Bagaimana ia diwahyukan, Jibril (Malaikat) ? Siapa beri tahu kamu ia tidak dicatat di dalam Quran ?

Soalan terakhir mengesahkan yang menyoal benar-benar tidak membaca al-Qur'an. Tidak mungkin sesuatu yang penting seperti itu telah dilupakan Tuhan. Sila lihat ayat-ayat berikut:

"Katakanlah, 'Sesiapa yang jadi musuh kepada Jibril, maka dialah yang turunkannya ke dalam hati kamu, dengan izin Allah, mengesahkan apa yang sebelumnya, dan petunjuk, dan berita gembira bagi orang-orang mukmin.'" (2:97)

"Katakanlah, 'Roh Qudus (Suci) turunkannya daripada Pemelihara kamu dengan benar, dan untuk meneguhkan orang-orang yang percaya, dan untuk menjadi satu petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang muslim.'" (16:102)

Sekiranya dia sudah membaca al-Qur'an dengan memahaminya tentu dia tidak datangkan soalan tersebut.

Mungkin tidak salah untuk sangka soalan-soalan di atas telah diaju kerana benci kepada orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an, dan seruan kepada ayat-ayat-Nya. Kedua-dua kebencian itu disebut di dalam ayat 40:10. Dan, mungkin tidak salah juga untuk menyimpulkan bahawa penyoal benci mereka kerana tidak kenal al-Qur'an, serta enggan menerima kebenaran dengan fikiran terbuka, dan menganggap orang lain semuanya berdusta melainkan orang-orang yang dipuja atau disembahnya sahaja.

 

Bacaan tambahan:
Kebencian orang tidak percaya

Penulis Bacaan
Mac 2003


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman