Sebat di depan khalayak ramai
The Star, Selasa 23 April 2002, muka 1
Berita melaporkan mengenai suatu pertimbangan yang akan dibuat untuk menghukum pesalah inses, atau perbuatan sumbang muhrim, dengan sebat di depan khalayak ramai.
Hukum sebat adalah ke atas penzina, lelaki atau perempuan. Firman-Nya:
"Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan, dan dalam agama Allah, janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan orang-orang mukmin saksikan azab mereka" (24:2).
Azab seratus sebatan ke atas penzina adalah hudud atau had-had Allah. Justeru, azab itu adalah had maksima bagi penzina.
(Sekiranya sebatan itu serupa dengan yang dikenakan ke atas pesalah jenayah berat di negara ini, pada hari ini, maka seratus kali itu boleh membawa maut. Menurut ceritanya, orang yang telah menjalani hukuman beberapa sebatan sahaja, setelah dibebaskan, jadi personaliti yang berlainan, seperti suka duduk menyendiri, dan yang paling berat sekali ialah kehilangan keupayaan untuk memenuhi nafsu kelakiannya.)
Azab itu pula, menurut ayat tadi, dilangsungkan di suatu tempat yang tertutup, hanya disaksikan oleh "segolongan daripada orang-orang mukmin". Tentu ada hikmahnya mengapa Allah menganjurkan begini.
Kalau azab itu ditonton oleh orang ramai, termasuk kanak-kanak (sama ada cara sah atau tidak), memang akan mempengaruhi minda orang yang saksikannya, tetapi kejahatan ini tidak mungkin dapat dihapuskan (yang mungkin dilakukan pula oleh orang yang tidak menontonnya!).
Namun, kesannya ke atas kanak-kanak harus dipandang serius. Janganlah hendaknya kita mendidik mereka sehingga suka melihat keganasan dikenakan ke atas orang lain di depan khalayak ramai.
Memang benarlah pendapat yang menyatakan bahawa pendidikan adalah lebih berkesan daripada hukuman untuk hapuskan amalan jahat seperti inses.
Orang Melayu harus dididik supaya takut kepada Allah dan seksaan-Nya. Ajaran-ajaran yang mereka terima seperti neraka itu tempat sementara, bersyahadat akan membawa ke syurga, haji hapuskan segala dosa, salawat mengahpuskan dosa, kasih kepada ulama akan masuk syurga tanpa hisab, syafaat, dan beberapa yang lain yang tidak disebut di dalam al-Qur'an tidak akan membawa mereka jadi takut kepada Tuhan.
Justeru, orang Melayu harus digalakkan supaya membaca al-Qur'an dengan memahaminya sekali kerana kes-kes yang sumbang sedang meningkat di kalangan mereka. Hanya dengan pengetahuan al-Qur'an masyarakat Melayu akan jadi benar-benar takut kepada Tuhan dan seterusnya membawa mereka kepada kehidupan yang lebih sempurna dan bahagia di dunia dan di akhirat.
Terkini Artikel
Perpustakaan
Bacaan E-Mail
Hiasan Kalimat
Pilihan
Penemuan
Soalan
Lazim Sudut
Pelajar English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman