"Yang mengajar dengan pena" (96:4)

 

 

10 Tahun E-Bacaan

 

Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam!


Tempoh satu dekad boleh dikatakan singkat, namun tetap kami rasa puas hati kerana dapat berhubung dengan insan-insan istimewa iaitu mereka yang membaca dan percaya kepada Kitab Allah. Dengan buat demikian, mereka telah lakukan sesuatu yang sukar bagi kebanyakan orang Islam. Kesukaran terbit daripada pelbagai alasan yang mengakibatkan Kata-Kata Allah tidak dibaca dan dipedulikan, walaupun diterjemah ke dalam bahasa yang difahami.


Paling utama dalam pujian dirakam di atas ialah keizinan-Nya yang melicinkan penerbitan laman web e-bacaan ini serta memanjangkan usianya sehingga sampai ke hari ini. Ia didaftar pada bulan Februari, oleh seorang sahabat, dan beberapa minggu kemudian, kami dengan rasmi melancarnya pula pada 1hb April 2002.

Masih ingat sambutan daripada beberapa sahabat, tertulis di dalam emel mereka, dan dapat dibaca di sini. Terima kasih kepada mereka, dan mereka yang menyusuli, termasuk mereka yang menyumbang buah fikiran dan soalan-soalan yang membuahkan perbincangan bermanfaat terhadap kefahaman isi kandungan Kitab al-Qur'an, yang bijaksana.


Mereka adalah para sahabat kami. Tidak kira dalam keadaan apa pun mereka berada sekarang, termasuk yang tersinggung disebabkan tindakan kami, maka kami mempelawa mereka supaya tampil ke muka, sekali lagi, untuk mewarnai halaman-halaman e-bacaan dengan tulisan-tulisan mereka yang menarik, sekali gus mengekalkan kedudukan e-bacaan sebagai laman web paling aktif di dunia, dalam kategori Bahasa Melayu dan Agama, menurut sebuah lelaman yang buat perkiraan.

Perkiraan tersebut didapati beberapa bulan lalu. Lama sebelum itu, menurut perkiraan lain pula, e-bacaan didapati berada di tempat ke-3 selepas sebuah Jabatan kerajaan pusat, dan sebuah syarikat penerbit buku agama, menurut bilangan pengunjung setiap bulan - dalam kategori yang sama jua.


E-bacaan bermula dengan 14 artikel (karangan penulis Bacaan kerana belum lagi menerima daripada para pembaca) pada 1 April 10 tahun lalu, dan kerana kemaraan para sahabat dan lain yang ramai selepas itu, kini ia berjumlah lebih daripada tujuh ratus pula, seperti tercatat di ruangan Perpustakaan.

Empat belas yang dimaksudkan ialah (menurut senarai asal di ruangan Artikel):

BACAAN - jawapan kepada ulama
Surat kepada Rektor U.I.A
Sepuluh Soalan
Hanya al-Qur'an untuk Islam?  
Hudud Pas (Sunni) berbanding hudud Allah
Amalan puasa dan manusia sejagat
Wanita dalam Islam sebenar
Mungkinkah Nabi ….?
Budaya suci dalam masyarakat Melayu
Debu dalam Suci
Solat menurut al-Qur'an
Iktibar al-Qur'an mengenai Ulama
Kesucian Islam perlu dipelihara
Ketuanan Melayu perlu dipertahan

Dan satu telah disingkirkan beberapa tahun kemudian iaitu bertajuk Penterjemah al-Qur'an yang unggul.


Ruangan
Kalimat Pilihan bermula dengan 46 kalimat (kini mengandungi lebih daripada 220 kalimat) dan yang lain - Keratan Akhbar, Penemuan, Soalan Lazim, Sudut Pelajar dan Terkini - telah juga ditambah kandungan dengan banyak sejak mula diterbitkan. Turut terdapat ruangan Album tetapi telah diketepikan beberapa tahun kemudian atas sebab-sebab tertentu.
 

Tidak kami tahu tentang hari esok sebab ia suatu yang ghaib. Pun begitu, kami menaruh harapan semoga selalu dapat berita tentang insan-insan baru yang membaca dan percayai Kitab al-Qur'an. Berita serupa itu amat menggembirakan kami selain dapat membantu pembaca dalam miliki naskhah berkenaan.


"Wahai Pemelihara kami, janganlah simpangkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berikan kami pengasihan daripada sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkau yang kumpulkan manusia untuk satu hari yang padanya tiada keraguan; sesungguhnya Allah tidak mungkiri janji temu." (3:8-9)

"Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya." (3:147)

 

Allah disanjung!


Pengurus Laman
www.e-bacaan.com

28.2.12

Respon Sambutan 10 Tahun E-Bacaan
Balik ke Terkini