Rencana di bawah ini telah disiarkan di ruangan Surat, akhbar Berita Harian, pada hari Sabtu 27 November 1999.


Iktibar al-Quran mengenai ulama

 

Sejak dari zaman dahulu kala lagi golongan 'ulama palsu' telah membengkokkan jalan agama Allah yang lurus. Mereka berjaya memesongkan umat daripada ajaran kitab Taurat, Injil dan al-Quran.

Menurut kisah yang dipetik daripada al-Quran, pada zaman Nabi Musa seorang bernama Samiri berjaya menghasut pengikut Nabi itu supaya menyembah sebuah patung berbentuk anak lembu yang direkanya. Kejahatan itu berlaku sejurus setelah Nabi Musa berlepas untuk menerima kitab Taurat di Gunung Sinai. Dia berada di sana hanya selama 40 hari.

Setelah kembali dengan perasaan marah dia menyoal Samiri mengenai apa yang berlaku. Samiri menjawab "Aku lihat apa yang mereka tidak lihat, dan aku ambil segenggam debu daripada jejak Rasul, dan melemparnya ke dalam benda itu. Demikian jiwaku menghasutku" (20:96).

Samiri berjaya menipu umat dengan bertopengkan amalan yang dikatakannya menuruti amalan Rasul, dan dengan ilmu pengetahuan yang kononnya ada hanya padanya.

Sebenarnya pengikut Nabi Musa telah diuji Tuhan dengan kemunculan ajaran Samiri yang berperanan seperti seorang ulama. Firman-Nya, "Sungguh, Kami uji kaum kamu sepeninggalan kamu, dan Samiri sesatkan mereka'" (20:85).

Justeru, topeng berwajah amalan Rasul sejak dahulu kala lagi berjaya sesatkan manusia daripada jalan Allah. Pada hari ini pula topeng itu ditambah warna yang kononnya berupa sebuah firman Allah berbunyi "Para ulama adalah pewaris Nabi."

Di sebalik topeng ini, yang paling berbahaya ialah hukum atau peraturan agama yang diadakan. Hukum hudud, hukum murtad, hukum kafir, hukum sesat, hukum halal dan haram, dan undang-undang keluarga Islam, adalah beberapa contoh yang wujud di negara ini sekarang.

Hanya Allah berhak tetapkan hukum agama. Akan tetapi sesetengah manusia, kerana keangkuhan mereka, terus menggubal hukum-hukum agama yang dilarang Allah. Mereka yang buat demikian digelar-Nya sekutu, seperti firman berbunyi, "Adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan?" (42:21).

Lantaran, seorang lagi disebut dalam al-Quran. Namanya Uzair (9:30), atau Ezra menurut panggilan antarabangsa. Al-Quran tidak beri keterangan lanjut mengenainya tetapi dalam Injil ada, berbunyi "Ezra ini berangkat pulang dari Babil. Ia adalah seorang ahli kitab, mahir dalam Taurat Musa yang diberikan Tuhan, Allah Israel" (Ezra 7:6).

Ezra adalah seorang ulama Yahudi yang hidup kira-kira seribu tahun selepas Nabi Musa. Namun, ajaran agamanya, yang bertentangan dengan ajaran Allah, masih diikuti hingga ke hari ini. Sebagai contoh, dia telah mengharamkan orang Yahudi berkahwin dengan orang bukan Yahudi.

Hukuman rejam batu hingga mati ke atas pesalah kerana sesuatu kesalahan dalam agama dikatakan bermula daripada ulama agung ini di samping hukuman lain seperti buang negeri, merampas harta benda dan penjara atas sebab yang sama.

Beberapa acara agama juga dipercayai telah dirancangnya. Contoh: 

(i) Passover, iaitu untuk mengingati kebebasan dan pelarian kaum Yahudi daripada pengabdian di Mesir. Ini serupa dengan Maal Hijrah orang Islam, 

(ii) Pentecost, atau Nuzul Qur'an dalam Islam, untuk merayakan turunnya Taurat kepada kaum Yahudi di Gunung Sinai, dan 

(iii) Rosh Hashanah, atau Maal Hijrah umat Islam, disambut pada 1hb Tishri kalendar Yahudi. Pada hari yang kesepuluhnya mereka berpuasa dan menghabiskan hari itu dengan ibadah dan sembahyang.

Persamaan beberapa ajaran ulama Yahudi dengan ulama Islam dibuktikan lagi dengan sebuah petikan daripada Injil: "Lalu Ezra memuji Tuhan, Allah yang maha besar, dan semua orang menyambut dengan, "Amin, Amin!" (Nehemia 8:7). Selain didapati sama dengan cara orang Islam berdoa, perkataan Amin telah diselitkan oleh ulama Islam di belakang surah al-Fatihah, yang di dalam al-Quran tiada perkataan itu.

Kerana ajaran agamanya, ulama Ezra digelar anak Tuhan (9:30). Ezra disebut di dalam al-Quran sebagai iktibar supaya jangan ada lagi orang bergelar ulama yang mengadakan hukum atau peraturan agama menurut kemahuan mereka.

Ulama agama dipanggil habr dalam al-Quran. Kebanyakan sebutan mengenai mereka adalah yang tidak baik seperti firman berbunyi, "Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai tuhan selain daripada Allah" (9:31). Ayat ini mengingatkan mengenai ulama yang dijadikan tuhan oleh manusia kerana mentaati ajaran mereka yang selain daripada ajaran Allah.

Allah juga telah menyatakan mereka memakan harta manusia dengan cara palsu dan menghalangi dari jalan-Nya. Firman-Nya, "Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka makan harta manusia dengan cara palsu, dan halangi jalan Allah" (9:34).

Dengan kekayaan yang dikutip daripada umat atas ajaran agama, ulama hidup mewah pada hari ini. Menyara hidup cara begini bukan jalan Rasul, termasuk Nabi Muhammad, yang menurut al-Quran, mereka telah menyatakan tidak menerima apa-apa ganjaran atau upah dalam tugas sampaikan mesej Allah kepada umat.

Sehubungan itu, Allah mengingatkan manusia agar mereka tidak mentaati ajaran agama orang yang menerima ganjaran atau upah dengan sebuah ayat berbunyi "Ikutlah orang yang tidak minta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar" (36:21).

Mereka seterusnya mengadakan suatu sistem dalam Islam, iaitu sistem ulama, seperti sistem paderi sebuah agama lain untuk kukuhkan pengaruh mereka. Sistem ini tidak diizinkan Allah. Firman-Nya, "Kemudian Kami utus, menyusuli jejak-jejak mereka, Rasul-Rasul Kami; dan Kami utus, untuk menyusuli mereka, Isa putera Mariam, dan kami beri kepadanya Injil ..... Dan rahbaniyah (sistem paderi atau ulama) yang mereka reka - Kami tidak tetapkan untuk mereka (57:27).

Melalui sistem itu, kuasa ulama bertambah. Ia ditambah lagi dengan sokongan moral dan wang rakyat sehingga mereka mampu mempolitikkan kedudukan dan fahaman mereka. Lantas, lahirlah parti-parti politik atas nama Islam dengan tujuan hanya untuk memerintah negara. 

Setelah terbukti gagal untuk menegakkan agama Islam yang tulen seperti yang terkandung di dalam al-Quran mereka yang menggelar diri ulama pasti tidak akan berjaya mentadbir sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama untuk menuju ke arah keamanan, kemajuan atau keadilan seperti yang diigau-igaukan mereka. Malah dunia telah pun merasai kezaliman pemerintahan ulama pada zaman pertengahan dahulu.

OTHMAN ALI,
Kuala Lumpur.


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman