Rencana di bawah telah tersiar di ruangan Surat, halaman 11 akhbar Berita Harian, pada hari Sabtu 24 Julai 1999
Kewujudan pelbagai kumpulan agama dalam masyrakat Islam hari ini beri gambaran yang berbeza-beza mengenai agama itu kepada orang yang bukan Islam. Perbezaan ini seperti keadaan 10 orang buta yang cuba menjelaskan rupa bentuk seekor gajah dengan meraba atau memegang hanya satu bahagian anggotanya sahaja.
Tafsiran mereka bagi seluruh rupa haiwan itu sungguh mencuit hati. Umpamanya, yang memegang ekor gajah akan mengatakan gajah itu sejenis binatang yang kurus, seperti seekor ular, dan berjanggut pula.
Seperti itulah terjadi pada kekeliruan mengenai Islam. Orang luar yang melihat kepada kumpulan Arqam, misalnya, tentu akan mengatakan itulah contoh orang yang beragama Islam. Atau yang lain, yang merenung pada puak Taliban di Afghanistan, atau PAS di negara kita, akan juga mengatakan itulah Islam, yang penganutnya mengatakan suci.
Dalam kesucian Islam, beberapa perkara disucikan. Satu daripadanya ialah nyawa manusia. Nyawa manusia harus dipertimbangkan untuk dipelihara walaupun di dalam kes yang menuntutnya sebagai balasan. Ini adalah ketetapan daripada Tuhan di dalam sebuah firman yang berbunyi: "Dalam qisas (pembalasan) ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang empunya minda, supaya kamu bertakwa" (2:179).
Maka orang yang takut kepada Tuhan (takwa) di samping menggunakan akal mereka, tentu, dengan tanpa ragu-ragu, akan menuruti suruhan tersebut. Pun begitu, Allah telah tetapkan dalam al-Quran kategori orang yang harus dibunuh. Di dalam kategori ini didapati orang yang murtad tidak disenaraikan.
Manusia memang bebas untuk memilih agama dalam hukum Allah, iaitu hukum agama Islam yang sebenar. Kebebasan ini melanjut kepada kitab al-Quran yang Dia turunkan, di mana seseorang boleh memilih untuk percayai dan ikutinya, atau memilih yang sebaliknya. Firman-Nya: "Katakanlah, ‘Yang benar adalah daripada Tuhan kamu; maka hendaklah sesiapa yang hendak, percaya; dan hendaklah sesiapa yang hendak, tidak percaya’" (18:29).
Namun begitu, sesiapa yang tidak percaya akan dihukum pula dengan seksaan api neraka. Seksaan ini dilakukan di akhirat, dan ia abadi (Quran 2:39). Bagi orang-orang murtad pun begitu, tetapi di dunia ini mereka dibalas dengan diketepikan oleh kaum yang lain, iaitu suatu kaum yang Allah cintai. Firman-Nya "… sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan datangkan satu kaum yang Dia cintai, dan mereka mencintai-Nya" (5:54).
Justeru itu, Perlembagaan Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama bagi rakyatnya adalah lebih berbau Islam daripada kelompok yang berlabelkan kata Islam, seperti PAS, yang mendesak agar orang-orang murtad dihukum bunuh.
Dalam hidup bebas beragama, keharmonian masyrakat dipertingkatkan lagi dengan larangan mencerca kepercayaan orang lain. Larangan ini pun datang daripada Allah, dan PAS, sekali lagi kelihatan sukar untuk mematuhi larangan-Nya. Atau, sukar untuk menahan diri daripada berperasaan lebih suci daripada orang lain. Firman-Nya "… janganlah sesuatu kaum mengejek kaum yang lain, yang mungkin lebih baik daripada mereka; dan jangan juga perempuan-perempuan memperolok-olokkan perempuan-perempuan yang mungkin lebih baik daripada mereka. Dan jangan mencari kesilapan diri-diri (sesama) kamu, dan jangan juga menghina satu sama lain dengan nama-nama gelaran. Satu nama yang buruk ialah fasiq setelah iman. Dan sesiapa tidak bertaubat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim" (49:11).
Gambaran yang berbagai-bagai mengenai Islam adalah hasil ciptaan beberapa golongan manusia yang disangka mampu beri petunjuk. Lalu wujudlah di dalam dunia Islam suatu sistem yang serupa dengan sistem paderi kepunyaan sesuatu agama yang lain. Sistem ini pula didapati tidak direstui Allah (Qur’an 57:27).
Pada hari ini golongan seperti itu menubuhkan badan-badan untuk kukuhkan kedudukan mereka. Maka tertubuhlah Dewan Ulama atau Persatuan Ulama dengan kuasa yang diberi sendiri untuk buat keputusan atau fatwa. Lazimnya fatwa mereka berwarna seperti hukum murtad orang PAS. Namun, terdapat juga rakyat yang menerima mereka. Rakyat dahagakan ilmu dan mereka terhibur pula dengan ceramah golongan itu. Semakin ramai yang terhibur semakin bertambah orang yang digelar ulama dan pendakwah. Golongan pendakwah ditambah lagi dengan munculnya segolongan pendakwah baru yang digelar pendakwah bebas.
Pendapatan ulama, atau pendakwah, atau pendakwah bebas adalah lumayan sehingga sesetengah daripada mereka mampu bertanding di dalam pilihan raya. Tiket mereka tentulah PAS. Mengapa pula mereka tidak mampu sedangkan mereka mempunyai ramai peminat yang bayar? Menyara hidup dengan cara begini (iaitu bukan cara Nabi) tidak seharusnya berlaku dalam Islam pada hari ini. Allah melarangnya. Sebab larangan dibuat tersirat di dalam firman-Nya yang berbunyi: "Ikutlah orang yang tidak minta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar" (36:21).
Mereka yang menerima upah ini dikatakan ajar dengan pendekatan yang menarik sekali. Sambutan para penonton mengagumkan. Ada yang menangis, dan ada pula yang seram bulu romanya. Tidak ketinggalan gelak ketawa sehingga mereka tidak kering gusi. Kelucuan mereka memang ketara. Salah seorang daripada mereka, yang dianggap tokoh pendakwah, telah ajar suatu doa untuk dihembuskan ke dalam telinga isteri yang degil. Katanya doa itu dipetik daripada Al-Qur’an.
Setelah disemak ayat yang dimaksudkan maka malanglah orang-orang yang menerima ajaran tokoh tersebut. Ayat berkenaan sebenarnya mengandungi larangan Allah tentang amalan beza-bezakan nabi-nabi-Nya. Malah, doa untuk dihembuskan ke telinga isteri yang degil tidak diajar langsung di dalam al-Quran.
Wanita PAS atau yang sealiran fahaman dengannya harus mengetahui bahawa mereka mempunyai hak yang sama dengan lelaki. Hak ini diberi sendiri oleh Allah di dalam firman-Nya yang berbunyi: "Bagi mereka ada hak yang baik seperti ke atas lelaki" (2:228).
Walaupun begitu, kaum lelaki dipertanggungjawabkan sebagai pengurus urusan perempuan kerana kaum lelakilah yang membelanjakan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya pula (Qur’an 4:34). Tidak seperti suatu amalan dulu di sesetengah tempat di negara kita iaitu wanita atau isteri keluar dari rumah untuk berniaga di pasar sementara lelaki atau suaminya pula pergi menyabung ayam. Apapun, yang jelas ialah wanita ditindas lelaki. Penindasan ini tidak datang daripada Allah.
Pakaian rakyat tidak menunjukkan sesebuah negara itu Islam. Mungkin ini yang dilupakan PAS dan golongan lain yang seideologi dengannya di dalam keghairahan mereka untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Desakan mereka untuk menubuhkan sebuah negara Islam, seperti yang didirikan Nabi, adalah tidak berasas. Jenis kerajaannya tidak bertahan lama walaupun menempuh masalah yang tidak banyak lagi serupa dengan apa yang ditempuh pada hari ini.
Seperti yang sedia maklum, sejurus selepas kewafatan Nabi berlakulah kacau-bilau di dalam negeri. Pergolakan yang timbul berpanjangan sehingga dua khalifah, yang juga sahabat Nabi, terbunuh dan pertumpahan darah mula berlaku di kalangan rakyat. Ini menandakan kelemahan di dalam sistem kerajaan.
Nabi tidak tinggalkan suatu modul yang bertulis untuk penubuhan sebuah negara Islam. Modul itu tidak juga terdapat di dalam al-Quran. Maka umat pada hari ini haruslah mengkaji bentuk kerajaan yang telah didirikan manusia sejak beribu tahun dahulu. Ambillah iktibar daripada mereka.
Mungkin terdapat ciri-ciri yang islamik yang boleh diterima pakai di dalam kerajaan yang PAS terangkan sebagai kafir. Malah, negeri yang mereka tadbir sekarang pun bukanlah Islam menurut pengertian mereka sendiri. Segala undang-undang dan peraturan, termasuk undang-undang tanah atau peraturan di jalan raya, yang dipakainya bukanlah ilham daripada nabi.
Hukum hududnya pula didapati terlalu zalim jika tidak menurut apa yang Tuhan tunjukkan. Firman-Nya: "Dan sesiapa tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang zalim" (5:45).
Sebenarnya PAS di dalam laungan mereka untuk menubuhkan sebuah negara Islam sedang meraba-raba di dalam kegelapan. Seperti itulah teraba-raba orang-orang buta yang telah disebut dari awal.
Akan tetapi, 10 orang buta itu hatinya celik. Mereka berpakat baik dan kumpulkan segala maklumat yang diperoleh demi untuk dapat gambaran yang tepat mengenai rupa bentuk seekor gajah.
Berdasarkan musyawarah inilah mereka memperoleh gambaran yang sebenar kepada rupa bentuk seekor gajah seperti yang dicipta Tuhan. Lantas lenyaplah pengertian yang palsu iaitu gajah adalah seekor binatang yang kurus, seperti seekor ular, dan berjanggut pula.
OTHMAN ALI
Kuala Lumpur.
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman