34. adakah bekerja sebagai pengurus / eksekutif/ kerani/ejen di syarikat insurans konvensional dikira sebagai pekerjaan yang haram dan bagaimana pula dengan pendapatan bulanan yang diterima hasil daripada pekerjaan, adakah ia dikira sebagai pendapatan yang haram?
Pada hemat kami, institusi insurans adalah sebuah institusi kebajikan yang bertujuan untuk menolong orang, contoh insurans nyawa yang dapat membantu keluarga orang yang meninggal dunia.
Al-Qur'an ada menyuruh buat wasiat iaitu tinggalkan kepada isteri peruntukan selama setahun setelah seseorang meninggal dunia (2:240). Bagi kami, cara yang paling baik untuk buat demikian adalah dengan menyertai skim insurans.
Dalam perdagangan pun Tuhan menyuruh adakan cagaran (2:283), yang boleh ditakrifkan sebagai insurans juga.
Dengan itu kami tidak berpendapat bahawa segala yang berkaitan dengan insurans adalah haram.
35. Bagaimana cara memakmurkan masjid?
Soalan merujuk kepada artikel Masjid yang tidak menggariskan dengan khusus cara memakmurkan masjid.
Cara-cara yang dijelaskan di sini berpandukan ajaran Allah yang termaktub di dalam kitab al-Qur'an. Antaranya ambil iktibar daripada fungsi Masjidil Haram
Penjelasan dimulakan dengan menyatakan bahawa masjid adalah sebuah tempat di mana manusia diperlihatkan ayat-ayat Allah yang tersurat di dalam al-Qur'an (17:1).
Ia juga tempat untuk manusia percaya kepada ayat-ayat Allah (9:107) dan bersihkan diri (9:108). Manusia bertekun di dalamnya (22:25) mungkin dengan cara berbincang, mengkaji dan menulis mengenai al-Qur'an supaya dapat disebarkan dengan bijaksana.
Selain daripada itu, kawasan masjid turut jadi tempat buat kerja-kerja kebajikan terhadap orang-orang yang memerlukan. Macam di Masjidil Haram di mana air untuk diminum diberi kepada orang-orang haji, iaitu mereka yang musafir (9:19) di samping jadi tempat bagi mereka mendirikan khemah (22:25).
Usaha untuk makmurkan masjid diteruskan dengan jadikannya sebagai sebuah tempat bakal menyatukan orang-orang mukmin (9:107) dan tempat mengadakan sesuatu perjanjian, misalan perjanjian dengan orang-orang yang sekutukan Allah (9:7).
Oleh yang demikian, kawasan sesebuah masjid adalah luas dengan ruangan-ruangan disediakan untuk tujuan-tujuan tersebut termasuk mendirikan solat, atau buat seruan kepada Allah dengan menuluskan agama untuk-Nya (7:29).
Nama Allah disebut di dalam masjid (2:114), dengan banyak (22:40), dan kerana ia kepunyaan Allah maka nama-nama yang selain daripada nama-Nya dilarang untuk diseru, atau diseru bersama-Nya (72:18).
Kalau boleh, kawasan yang dipilih bagi membangunkan masjid harus mempunyai sejarah yang berkaitan dengan ketaatan kepada Allah, sebagaimana ia telah didirikan di tempat sekumpulan pemuda yang berlindung di sebuah gua setelah mereka lari daripada ancaman orang-orang tidak percaya kepada Allah (18:21).
Seterusnya, difahamkan iaitu masjid mempunyai pelindung yang terdiri daripada hanya orang-orang bertakwa (8:34), dan juga mempunyai pemakmur seperti dijelaskan dalam ayat berikut:
"Yang akan makmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan lakukan solat, dan beri zakat, dan tidak takut kecuali kepada Allah," (9:18).
Sehubungan itu, masjid-masjid Allah tidak dibenarkan untuk dimakmur oleh orang-orang yang sekutukan, yang menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri akan ketidakpercayaan mereka terhadap ayat-ayat Allah (9:17). Dan, masjid-masjid anjuran mereka dilarang daripada, bukan setakat dimakmurkan, malah dimasuk pula (9:108).
Masjid adalah sebenarnya tempat untuk sujud, yang bukan sahaja bermaksud sujud dalam solat, tetapi sujud kepada perintah Allah secara am. Akhir sekali, bagi orang-orang yang harus pergi ke masjid mereka diingatkan supaya memakai pakaian kemas (7:31).
Demikianlah beberapa cara memakmurkan masjid Allah yang dihuraikan dengan ringkas sahaja.
36. benar kah al-furqan kita ada lebih kurang 3 versi .. ?? yang hal pasal copy dari mesir tu ? saya tak biasa baca .. copy tu .. banyakkah perbezaannya atau atas tafsirannya?
Sebelum ini, ada orang bertanya mengenai 2 versi. Kali ini 3. Dan esok, entah berapa pulak! Nampaknya al-Qur'an hendak dijadikan seperti Bible yang mempunyai beberapa versi.
Sebenarnya kami tidak pernah melihat naskhahnya, kalau pun ada. Maka kami tidak tahu perbezaan pada tafsiran seperti yang ditanya itu. Yang kami pernah lihat, melalui gambar, adalah perbezaan pada kaligrafi atau huruf atau font yang perbezaannya tidak dimaksudkan oleh penanya.
Bagi kami, berita mengenai kewujudan pelbagai versi itu adalah satu cubaan untuk menimbulkan keraguan terhadap ayat-ayat Allah yang sudah lama disebar di seluruh dunia, mengikut kehendak-Nya.
Kononnya ia dimulakan oleh orang-orang bukan Islam, tetapi kami dapati ia dilakukan sendiri oleh doktor atau sarjana Islam yang dikatakan telah buat penyelidikan ke atas versi yang lain itu.
Usaha seperti itu kelihatan seperti digerakkan oleh sikap memandang rendah atau skeptis terhadap ayat Allah yang berbunyi,
"Kamilah yang turunkan Peringatan, dan Kamilah yang menjaganya." (15:9)
Kalau percaya bahawa Tuhan telah dan sedang menjaga kandungan kitab al-Qur'an mengapa pula ia dikatakan mempunyai beberapa versi? Tiada yang berkata demikian selain daripada orang-orang yang ragu-ragu.
Keraguan yang dibangkitkan oleh mereka adalah kerana al-Qur'an ditulis oleh tangan manusia. Bermula dengan Nabi Muhammad, kemudian diikuti oleh para jurutulis. Ayat yang menunjukkan Nabi telah menulisnya berbunyi,
"Mereka berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia (Muhammad) menulisnya, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang.'" (25:5)
Dan, ayat yang menunjukkan al-Qur'an ditulis oleh para jurutulis berbunyi,
"Oleh tangan-tangan para jurutulis, yang mulia, yang taat." (80:15-16)
Mungkin mereka tidak percaya bahawa terdapat manusia yang dimuliakan Allah, yang taat, yang melalui tulisan mereka Tuhan menjaga ketulenan Mesej-Nya.
Mungkin juga mereka mahukan sebuah al-Qur'an yang ditulis di langit (oleh malaikat atau Tuhan) supaya tidak timbul keraguan pada mereka. Kehendak serupa itu sudah pun berlaku kepada Nabi Muhammad dahulu. Allah meriwayatkan:
"atau sehingga kamu naik ke langit; dan kami tidak akan percayai kenaikan kamu sehingga kamu turunkan kepada kami sebuah kitab supaya kami membacanya." (17:93)
Justeru itu, al-Qur'an yang sedia ada, yang dijagai-Nya, dan sudah berada kian lama di kalangan manusia adalah merupakan satu-satunya versi al-Qur'an yang diturunkan kepada manusia. Tidak ada yang lain.
Tambahan pula, kandungan al-Qur'an yang sedia ada itu tidak seharusnya diragukan oleh orang-orang yang takut kepada Tuhan. Firman-Nya,
"Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan)," (2:2).
Sehubungan itu, terdapat satu lagi pengajaran para sarjana Islam yang mampu bangkitkan keraguan terhadap al-Qur'an. Ia adalah apa yang dikatakan sejarah pengumpulan al-Qur'an yang berlaku agak lama setelah kewafatan Nabi. Antara yang terkandung di dalamnya adalah mengenai perdebatan manusia mengenai susunan ayat-ayat atau pengumpulan ayat-ayat sebelum menjilidkan kitab al-Qur'an. Cerita seperti itu, pada hemat kami, boleh menimbulkan keraguan terhadap Kitab Allah.
Sejarah itu juga kononnya ditulis setelah dibuat penyelidikan. Dan ia pasti mengelirukan umat. Kerana, sebenarnya al-Qur'an sudah pun dikumpul atau disusun, seperti yang sedia ada, oleh Tuhan semasa Nabi masih hidup lagi. Ini buktinya:
"Atas Kamilah untuk mengumpulkannya," (75:17)
Lalu ia ditulis oleh Nabi dan kemudian oleh para jurutulis yang taat lagi dimuliakan Allah. Dan Mesej-Nya kekal dalam keadaan asal sehingga hari ini.
Bacaan
Susulan:
Versi
al-Qur'an dan Pengumpulan Ayat (2)
Versi
al-Qur'an dan Kristian
37. Saya akan tanya tentang ayat-ayat Al Qur'an yang dimansuh. Ayat-ayat yang mana sajakah itu? Apa alasannya dimansuh ? dan sekaligus mana nansehnya ? hikmah dari mansuhnya masing-masing ayat tersebut apa ?
Kalau ada ayat-ayat al-Qur'an yang dimansuh oleh Tuhan maka mereka tidak terdapat di dalam al-Qur'an yang sedang kita miliki sekarang.
Tuhan sendiri telah kumpulkan ayat-ayat al-Qur'an (75:17) untuk tatapan semua manusia. Dia menyempurnakannya (6:115) dan menetapkannya untuk menjadi "penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk" (16:89).
Adakah selepas kata-kata itu Dia akan memansuhkan sebahagian daripadanya pula?
Oleh itu, sekiranya ada ayat-ayat al-Qur'an yang dikatakan sudah dimansuh maka perbuatan itu bukan perbuatan Tuhan, tetapi perbuatan musuh manusia, iaitu syaitan.
Namun begitu, Dia ada menyebut mengenai ayat-ayat-Nya yang dimansuh atau dihapuskan-Nya sendiri, atau Dia jadikannya lupa. Sebutan-Nya bermaksud,
"Dan apa sahaja ayat yang Kami hapuskan, atau jadikan lupa, Kami datangkan yang lebih baik, atau yang serupa dengannya." (2:106)
Sebenarnya, ayat-ayat yang telah dihapus dan dijadikan-Nya lupa adalah yang diturunkan sebelum turunnya al-Qur'an. Justeru, apa yang ada di dalam al-Qur'an sekarang, seperti disebut di dalam ayat di atas, adalah "yang lebih baik, atau yang serupa dengannya (iaitu Kitab sebelum al-Qur'an)".
Selanjutnya, Dia beri beberapa contoh ayat yang telah dimansuh dan diganti dengan yang lebih baik, iaitu yang di dalam al-Qur'an. Contoh pertama ialah mengenai sebuah ayat kitab Taurat, bermaksud:
"Dan di dalamnya (Taurat) Kami tuliskan (tetapkan) untuk mereka bahawa jiwa untuk jiwa, dan mata untuk mata, dan hidung untuk hidung, dan telinga untuk telinga, dan gigi untuk gigi, dan untuk luka ada pembalasan (qisas); tetapi sesiapa bersedekah dengannya, maka ia adalah baginya satu penebus." (5:45)
Perintah seperti itu tidak terdapat di dalam al-Qur'an, kerana diganti dengan yang lebih baik berbunyi,
"Dalam pembalasan (qisas) ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang empunya minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)
Contoh kedua ialah ayat mengenai makanan yang diharamkan ke atas orang Yahudi iaitu orang yang diturunkan Kitab sebelum al-Qur'an. Ayat yang dimaksudkan yang dimansuh berbunyi,
"Dan ke atas orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala haiwan yang berkuku, dan daripada lembu dan kambing, Kami haramkan mereka lemak mereka, kecuali apa yang punggung-punggung mereka bawa, atau ususnya, atau apa yang bercampur dengan tulangnya; bahawa Kami balas mereka kerana keangkuhan mereka; sesungguhnya Kami berkata benar." (6:146)
Pengharaman serupa itu tidak dikenakan selepas al-Qur'an diturunkan, walaupun keangkuhan terus meluas dari ia diturunkan hingga ke hari ini di kalangan semua bangsa.
Contoh terakhir ialah sebuah ayat yang bercangkut pada amalan puasa, iaitu amalan yang sudah lama diperintah sebelum al-Qur'an diturunkan (2:183).
Sebelum al-Qur'an diturunkan, kemanisan bersatu dengan isteri, baik pada siang mahupun malam hari dalam bulan puasa, telah diharamkan. Pengharaman tersebut telah dimansuhkan sebahagian daripadanya lalu penyatuan tersebut dihalalkan pada malam hari pula. Ayat yang menghalalkannya, yang tentu jadi lebih baik bagi manusia, berbunyi:
"Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah tahu bahawa kamu khianati diri-diri kamu sendiri, dan terima taubat kamu, dan maafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka, dan carilah apa yang Allah tuliskan (tetapkan) untuk kamu." (2:187)
Demikianlah beberapa contoh daripada Allah bagi ayat-ayat yang diturunkan sebelum al-Qur'an yang telah dimansuhkan-Nya sendiri.
Pemansuhan ayat-ayat al-Qur'an anjuran sarjana Islam hanya menimbulkan keraguan terhadap kandungan al-Qur'an, supaya umat pergi kepada kitab-kitab karangan golongan mereka yang mereka tetapkan sebagai rukun.
Tambahan lagi, "ilmu" pemansuhan yang mereka anjur, walaupun nampak begitu meyakinkan, umpamanya dengan nansehnya, namun merupakan satu lagi ajakan kepada keingkaran terhadap ayat-ayat Tuhan. Kerana Dia telah melarang perbuatan memansuh atau membatalkan ayat-ayat-Nya dengan firman berbunyi,
"Dan orang-orang yang berusaha terhadap ayat-ayat Kami, untuk membatalkannya, mereka menjadi penghuni-penghuni Jahim." (22:51)
Terdapat dua lagi ayat al-Qur'an yang berkaitan, iaitu 34:5 dan 34:38.
Mengapa mereka memansuhkan ayat-ayat tersebut boleh jadi tajuk perbincangan tetapi di ruangan yang sempit ini peluang itu diketepikan.
Memansuhkan ayat-ayat Tuhan juga mendorong kepada perbuatan menggantikan sesuatu suruhan-Nya dengan yang lain. Atau, menukar kata-kata-Nya dengan yang lain.
Misalan, ayat yang mengajar manusia cara beri salam hormat antara mansuia dengan kata-kata-Nya yang berbunyi Salamun alaikum ditukar kepada 'As-salamu Alaikum atau 'As-salamu Alaikum wa Rahmatullah. Pertukaran disebabkan mereka yakin pada ajaran salam kitab lain yang mereka terima sebagai rukun.
Bilangan pertukaran kata-kata-Nya yang dilakukan oleh para sarjana Islam sangat banyak. Perbuatan mereka, yang dianggap terbilang dalam agama, buktikan lagi keberanian mereka dalam mengingkari ayat-ayat Allah, seperti ayat yang di bawah:
"Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui." (6:115)
Itu bukan satu-satu-Nya ayat Tuhan yang melarang menukar kata-kata-Nya. Ayat-ayat lain adalah 6:34, 10:64 dan 18:27. Sayugia diingat iaitu Iblis hanya melanggar satu sahaja ayat-Nya, lalu kemudian ia diterangkan-Nya sebagai kafir (2:34).
Perbuatan menukar kata-kata Tuhan dan memansuhkan ayat-ayat al-Qur'an adalah perbuatan yang jatuh jauh di luar perbatasan Islam, kerana Islam bermaksud tunduk patuh kepada perintah-Nya. Bagi orang-orang yang takut kepada Tuhan pula mereka akan menolak perbuatan itu dengan penolakan yang keras.