Masjid
di dalam al-Qur'an

 

Dua perkataan al-Qur'an, iaitu masjid dan sajada, terbit daripada akar yang sama. Sajada bermaksud sujud dalam bahasa Melayu, dan masjid, tempat sujud.

Terdapat dua puluh tujuh perkataan masjid di dalam al-Qur'an. Lima belas daripadanya digabung dengan perkataan haram lalu jadi satu nama khas, Masjidil Haram.

Ayat pertama yang mengandungi nama tersebut adalah mengenai kiblat. Masjidil Haram dijadikan Allah sebagai kiblat. Firman-Nya,

"sungguh Kami akan palingkan kamu kepada kiblat yang kamu puas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. orang-orang diberi al-Kitab tahu bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka" (2:144).

Arahan supaya palingkan muka ke arah Masjidil Haram telah disebut dua kali di situ. Ia disebut lagi sebanyak tiga kali di dalam al-Qur'an. Satu daripadanya di dalam ayat berikut, yang turut menyatakan ia adalah yang benar daripada Tuhan. Firman-Nya,

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, dan Allah tidak lalai daripada apa kamu buat." (2:149)

Dan dua lagi di dalam ayat di bawah ini,

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya," (2:150). 

Itu menunjukkan betapa beratnya suruhan memandang ke arah Masjidil Haram sebagai kiblat di sisi Allah. Justeru, manusia tidak ada hujah untuk menafikannya kecuali mereka yang buat zalim. Mereka tidak harus ditakuti, kerana Allah sahaja yang ditakuti, supaya manusia dapat petunjuk. Demikianlah disuratkan di dalam sambungan ayat di atas berbunyi:

"supaya manusia tidak ada hujah terhadap kamu, kecuali orang-orang buat kezaliman antara mereka; dan janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, dan supaya Aku sempurnakan rahmat-Ku ke atas kamu, dan supaya kamu dapat petunjuk."

Seterusnya, Masjidil Haram jadi tempat yang diharamkan untuk menumpahkan darah. Musuh iaitu orang-orang tidak percaya tidak diperangi di sana melainkan mereka memerangi. Firman Tuhan,

"janganlah memerangi mereka di Masjidil Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya. Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itu balasan ke atas orang-orang tidak percaya." (2:191)

Dengan itu difahamkan bahawa musuh yang memerangi boleh sampai di Masjidil Haram.

Berperang pada bulan haram adalah dilarang dan dianggap berat "tetapi untuk menghalangi jalan Allah, dan tidak percaya kepada-Nya, dan Masjidil Haram, dan mengusir penduduknya daripadanya, adalah lebih berat pada pandangan Allah," (2:217).

Maka percaya kepada Masjidil Haram adalah juga percaya kepada Allah dan jalan-Nya. Dia buatkan Masjidil Haram sama bagi manusia untuk bertekun di dalamnya dan yang berkhemah. Sesiapa yang tidak menghormatinya akan dikenakan azab yang pedih. Firman Tuhan,

"Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah dan Masjidil Haram, yang Kami buatkan sama kepada manusia, yang bertekun di dalamnya dan yang berkhemah, dan sesiapa yang tidak hendak hormatinya dengan kezaliman, Kami akan rasakan kepadanya azab yang pedih." (22:25)

Terdapat pula orang-orang yang menghalangi orang-orang lain daripada Masjidil Haram. Mereka adalah orang-orang kafir, atau tidak percaya, kepada ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

"Mereka adalah orang-orang tidak percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram" (48:25). 

Mereka akan diazab. Lagipun, mereka bukan pelindung Masjidil Haram. Pelindungnya hanyalah orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan). Al-Qur'an menjelaskan,

"Tetapi, apakah yang mereka ada, bahawa Allah tidak akan azab mereka, apabila mereka menghalangi daripada Masjidil Haram, padahal mereka bukanlah pelindung-pelindungnya? Pelindungnya hanyalah orang-orang bertakwa tetapi kebanyakan mereka tidak tahu." (8:34)

Pun begitu, jangan kerana kebencian terhadap sesuatu kaum yang menghalang, manusia mencari sebab untuk mencabuli, seperti enggan menolong dalam ketaatan dan takwa. Peringatan Tuhan berbunyi,

"Jangan kerana kebencian pada suatu kaum yang halangi kamu daripada Masjidil Haram, mendesak kamu untuk mencabul. Tolong-menolonglah kamu dalam ketaatan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam buat dosa, dan permusuhan. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam balasan-Nya." (5:2)

Masjidil Haram dimakmurkan. Namun, amalan memakmurkannya dan pemebrian air kepada orang-orang haji tidak sama dengan percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan berjuang di jalan Allah. Firman Tuhan,

"Adakah kamu mengira bahawa pemberian air kepada orang-orang haji, dan pemakmur Masjidil Haram, sama seperti orang yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan berjuang di jalan Allah? Mereka tidaklah sama pada pandangan Allah; dan Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (9:19)

Rasul Allah telah bervisi masukMasjidil Haram untuk Haji semasa ia di bawah tangan musuh. Dia akan masukinya setelah mencapai kemenangan, kata Allah. Demikianlah menurut ayat berikut:

"Sesungguhnya Allah jadikan benar visi Rasul-Nya, dengan benar: 'Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa rasa takut.' Dia tahu apa yang kamu tidak tahu, dan buatkan sebelum itu, satu kemenangan yang dekat." (48:27)

Dalam Haji juga, bagi orang yang tidak dapati sesuatu untuk amalan korban dan yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram, maka dia berpuasa tiga hari semasa Haji dan tujuh apabila dia kembali, untuk mencukupkan sepuluh (2:196). Mungkin tidak silap untuk mengandaikan bahawa jika dia mempunyai keluarga di situ maka dia berpuasa sepuluh hari dalam Haji.

Selanjutnya difahamkan iaitu hanya orang-orang yang sekutukan Allah tidak dibenarkan mendekati Masjidil Haram walaupun mereka naikkan pendapatan penduduk tempatan. Kerana mereka najis (9:28).

Selain daripada yang telah disebut, Masjidil Haram pun jadi tempat untuk mengadakan perjanjian dengan, misalnya, orang-orang yang sekutukan Allah. Ayat di bawah mengisahkannya:

"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang sekutukan satu perjanjian dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu buat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa." (9:7)

Sebutan terakhir mengenai Masjidil Haram di sini adalah mengenai Rasul Allah. Dari situlah dia diperjalankan pada suatu malam, ke sebuah masjid yang lebih jauh, untuk diperlihatkan sebahagian daripada ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

"Dia disanjung, yang menjalankan hamba-Nya pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang lebih jauh di mana sekitarannya Kami berkati, supaya Kami lihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Melihat." (17:1)

Mungkin pada malam itu bermulalah sejarah al-Qur'an di bumi ini. 

Ayat pertama di dalam al-Kitab yang mengandungi perkataan masjid berbunyi,

"Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang halangi masjid-masjid Allah supaya nama-Nya tidak disebut di dalamnya, dan berusaha untuk meruntuhkannya. Mereka tidak mungkin memasukinya, melainkan dengan takut-takut. Bagi mereka kerendahan di dunia, dan di akhirat, azab yang besar." (2:114)

Antara yang disebut di dalam ayat di atas ialah bahawa masjid jadi tempat untuk menyebut nama-Nya. Orang yang menghalanginya, seperti yang menyebut nama-nama yang selain daripada nama-Nya, dan cuba untuk meruntuhkan masjid itu, adalah orang yang paling zalim.

Masjid juga tempat beriktikaf, atau bertekun. Pada malam bulan Ramadan semasa beriktikaf di masjid, para suami dilarang mencampuri isteri-isteri mereka (2:187).

Muka disuruh ditegakkan di setiap masjid, mungkin dengan menumpukan segala perhatian kepada Allah. Firman-Nya,

"Tegakkan muka-muka di setiap masjid, dan serulah kepada-Nya dengan menuluskan agama kamu untuk-Nya. Sebagaimana Dia mulakan mencipta kamu begitulah kamu akan dikembalikan." (7:29)

Pakaian yang baik haruslah dipakai di setiap masjid, dengan tanpa membazir, atau berlebihan. Tuhan menjelaskan,

"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak suka orang-orang yang membazir." (7:31)

Masjid-masjid Allah dimakmurkan, tetapi bukan oleh orang-orang yang sekutukan, yang menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri akan ketidakpercayaan mereka terhadap ayat-ayat Allah (9:17). Mereka yang seharusnya memakmurkan masjid-masjid Allah dijelaskan di dalam ayat yang menyusul, berbunyi,

"Yang akan makmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan lakukan solat, dan beri zakat, dan tidak takut kecuali kepada Allah. Mudah-mudahan mereka itu adalah di kalangan orang-orang yang dapat petunjuk." (9:18)

Ada pula orang-orang yang menyalahgunakan masjid. Mereka, antara lain, menggunakannya dalam pertentangan, dan ketidakpercayaan kepada ayat-ayat Allah, dan memecahkan orang-orang mukmin. Namun, "mereka bersumpah, 'Kami tidak hendak sesuatu melainkan kebaikan'; dan Allah saksikan bahawa mereka adalah pendusta-pendusta" (9:107). Masjid seperti itu dilarang berdiri di dalamnya selama-lamanya. Arahan dan suruhan-Nya berbunyi,

"Janganlah berdiri di dalamnya selama-lamanya. Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka bersihkan diri mereka; dan Allah suka orang-orang yang bersihkan diri mereka." (9:108)

Hanya masjid-masjid yang didirikan atas takwa, atau takut kepada Tuhan, bukan atas sebab-sebab lain, yang Allah suruh berdiri di dalamnya.

Terdapat sebuah ayat yang ceritakan bahawa Bani Israil telah dan akan masukmasjid untuk membinasakannya - "dan untuk masuk masjid sebagaimana mereka masuk pada kali pertama, dan untuk membinasakan, dengan kebinasaan, apa yang mereka meninggikan." (17:7)

Al-Qur'an juga turut ceritakan mengenai pembinaan sebuah masjid di tempat sekumpulan pemuda mencari perlindungan di sebuah gua; mereka telah dimati dan dihidupkan semula (18:21).

Masjid dan tempat-tempat ibadat agama lain jadi sasaran apabila manusia bermusuhan. Mereka dielak daripada dirobohkan dengan Allah mengusir sesetengah manusia. Firman Allah,

"Sekiranya Allah tidak usir manusia, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara, dan gereja-gereja, tempat-tempat sembahyang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya nama Allah disebut dengan banyak. Sungguh, Allah akan menolong orang yang menolong-Nya; sesungguhnya Allah Kuat, Perkasa." (22:40)

Ayat terakhir di dalam al-Qur'an yang mengandungi perkataan masjid membawa satu peringatan keras mengenainya berbunyi,

"Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18)

Oleh yang demikian, janganlah seru, atau sebut, siapa saja yang selain daripada Allah di dalam masjid-masjid kepunyaan Allah. Takut nanti Dia murka, lalu turunkan kemurkaan dari langit yang hapuskan manusia.

Sila rujuk:
Kalimat masjid di dalam al-Qur'an
Bacaan Tambahan:
Cara Memakmurkan Masjid

Penulis Bacaan
31 Januari 2005


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman