Solat Berjemaah & Hawa Nafsu
From: sipekan
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Monday, November 12, 2012 9:51 PM
Subject: Solat Berjemaah
Salam sdr,
Harap sdr sihat di samping keluarga.
Saya mengharap jika ada artikel berkenaan Solat Berjemaah utk melanjutkan perkongsian sdr dahulu.
Salam.
Salamun alaikum,
Alhamdulillah (berbahasa Arab pulak!). Terima kasih. Diharap saudara dan saudara-saudara lain begitu jugak.
Permintaan itu sukar dibalas kerana tidak ada ayat menyuruh melakukan amalan solat berjemaah seperti yang lazim dilaksanakan oleh sesetengah pihak. Sementara yang dikatakan ada, iaitu solat jemaah hari Jumaat, solat jemaah paling besar, sudah dibincang di bawah tajuk Solat pada Hari Berkumpul yang dapat dibaca bermula di sini.
Dan satu lagi, solat berjemaah waktu perang, yang kami sangka sudah dijelaskan, tetapi setelah disemak keseluruhan halaman e-bacaan ini, didapati belum lagi dibincang. Tidak tahu mengapa kami sangka begitu, mungkin kerana sudah menjelaskannya secara peribadi melalui emel kepada seseorang atau beberapa orang.
Apapun, inilah ayatnya (atau sebahagian daripadanya):
4:102. Apabila kamu di kalangan mereka, dan lakukan solat bagi mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri bersama kamu, dan hendaklah mereka ambil senjata-senjata mereka. Apabila mereka sujud, hendaklah mereka berada di belakang kamu, dan hendaklah segolongan lain yang belum sembah datang, dan sembah bersama kamu, dengan mengambil kewaspadaan mereka dan senjata-senjata mereka.
Solat jemaah atau berkumpulan di situ tidak mengikuti "imam". Orang yang berada di belakang "kamu" akan berhenti setelah mereka sujud (perbuatan terakhir dalam solat) dan meninggalkan tempat mereka, dan tempat itu diganti pula dengan sekumpulan lain yang belum menyembah, sementara kamu didapati terus menjalankan solatnya.
Dengan itu solat berkumpulan sewaktu perang bukan seperti yang lazim dilakukan, dengan mengikuti imam dari mula hingga ke akhir solat. Justeru, ia bukan solat berjemaah dengan erti kata kini.
Selain daripada ayat tersebut tidak ada lagi ayat yang sedikit pun menunjukkan keharusan menunaikan solat berjemaah seperti diketahui umum.
Solat adalah masa untuk memohon pertolongan. Itu ditegaskan dengan dua ayat berbunyi,
2:45. Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat kerana ia adalah sungguh berat kecuali kepada orang-orang yang rendah hati,
2:153. Wahai orang-orang yang percaya, kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat; sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
Pertolongan dimohon secara individu, kerana keperluan yang berbeza. Malah, seruan kepada-Nya, menurut Allah, dilakukan dengan berahsia:
7:55-56. Serulah Pemelihara kamu dengan rendah diri dan dengan berahsia ..... dan serulah kepada-Nya dengan rasa takut, dan penuh harapan.
Tidak mungkin seruan itu dapat disempurnakan sepenuhnya apabila bersolat dengan berimam yang mempunyai seruan berahsia tersendiri.
Demikianlah adalah satu lagi bukti terhadap ketiadaan solat berjemaah dalam agama Allah. Maka solat berjemaah yang diamal dewasa ini kelihatan seperti suatu yang diada-adakan oleh orang zaman dulu sahaja. Maaf jika tersinggung.
Beralih kepada tajuk lain, tetapi berkaitan dengan solat juga, iaitu suatu
yang telah mengetuk kami tetapi tidak kesempatan untuk sampaikan ia di
sini. Yang mengetukkan itu adalah kandungan sebuah ayat berbunyi,
19:59. Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang sia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan temui kesalahan,
Tumpuan kepada frasa sia-siakan solat, dan ikut hawa nafsu (syahwat) yang kami lihat boleh bermaksud iaitu hawa nafsu akan diikuti apabila solat disia-siakan atau ditinggalkan. Contoh perbuatan mengikuti hawa nafsu berada di dalam ayat di bawah:
3:14. Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itu kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik.
Pertama disebut di situ ialah perempuan, dan kecintaannya tidak mungkin dipuaskan dengan cara yang baik. Begitu juga dengan benda lain. Kerana mereka yang meninggalkan solat didapti akan condong juga kepada perbuatan-perbuatan jahat (sila lihat Solat dan Kejahatan).
Namun, yang paling jahat dilakukan oleh mereka yang mengikuti hawa nafsu, pada hemat kami, ialah seperti disebut di dalam ayat berikut:
4:27. ... tetapi orang-orang yang ikut hawa nafsu (syahwat), mereka hendak supaya kamu menyimpang dengan penyimpangan yang besar.
Mereka hendakkan kita supaya menyimpang dengan penyimpangan yang besar, misalan meninggalkan solat kita dengan tipu daya mereka!
Sekian, terima kasih.
Allah disanjung!
14 Nov 2012
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Artikel
Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman