Salawat dan Salam Penghormatan

 

From: achedeen
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Sun, October 3, 2010 10:05:37 PM
Subject: "Salawat" / Penghormatan


Dengan Nama Allah Yang Pemurah, Yang Pengasih.

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku."


Salamun alaikum.

Kepangkuan sahabatku yang dikasihi dan semua sahabat-sahabat yang berAl-Qur’an semoga sentiasa berada dalam pengasihan Allah, sihat wal afiat dan sejahtera selalu.

Terasa masa berlalu amat  pantas, sedari-sedari sudah hampir setahun saya tidak menyumbangkan sebarang penulisan kepada e-bacaan. Harap maaf banyak-banyak. Mungkin alasan yang boleh diberi kerana kesibukan dalam tugas (awal tahun ini dinaikkan pangkat – alhamdulillahirabbil’alamin) dan sedikit kesibukan dalam urusan Usrah.

Walaubagaimanapun e-bacaan tetap jadi pilihan untuk dilayari apabila masuktalian internet. Sangat senang hati saya apabila membaca tulisan sahabat-sahabat terutamanya Uncleseekers, alhamdulillahirabbil’alamin, semoga suatu hari nanti saya dipertemukan dengan sahabat-sahabat berAl-Qur’an.

Pada kali ini saya nak respon tentang “salawat” yang dibincangkan dalam artikel-artikel Ahlul Bait vs Ahlul Quran.

Bagi kita yang berAl-Qur’an mudah sahaja untuk kita fahami, “salawat” yang mereka sebutkan itu tidak diajar oleh-Nya, apatah lagi mereka beza-bezakan antara Nabi-nabi dan juga Rasul-Rasul-Nya yang memang dilarang keras oleh Allah.
 

2:136. Katakanlah, "Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan apa diberi kepada Musa dan Isa, dan apa diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim."

3:84. Katakanlah, "Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan kepada apa diberi kepada Musa dan Isa, dan Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim."

4:150. Orang-orang tidak percaya kepada Allah, dan Rasul-Rasul-Nya, dan hendak buat perbezaan antara Allah dan Rasul-Rasul-Nya, dan berkata, "Kami percayai sebahagian, dan kami tidak percaya kepada sebahagian", dan hendak ambil di antara ini dan itu, satu jalan.
4:151. Mereka itulah orang-orang tidak percaya (kafir) yang sebenarnya; dan Kami sediakan bagi orang-orang tidak percaya, azab yang hina.
4:152. Dan orang-orang yang percaya kepada Allah, dan Rasul-Rasul-Nya, dan mereka tidak beza-bezakan antara seorang pun antara mereka, maka mereka itu, pasti Kami akan beri mereka upah mereka; Allah Pengampun, Pengasih.


Pada pendapat saya, apabila Allah perintah kita untuk ber “salawat”  atau  lebih tepat rahmati baginda-baginda, pasti Allah akan mengajarkannya kepada kita bagaimana untuk beri salam penghormatan kepada baginda-baginda Nabi dan Rasul Allah dengan penghormatan yang sebenarnya.
 

33:56 "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya rahmati Nabi. Wahai orang-orang yang percaya, rahmatilah dia, dan berilah dia penghormatan dengan penghormatan yang sebenar."


Di sini, dengan izin Allah, apa yang telah saya fahami (semoga kefahaman saya adalah dari-Nya), salam penghormatan kepada Nabi-Nabi ada terkandung dalam surah 37 (Ash Shaaffaat / Yang Berbaris) iaitu ucapan “salawat”/ salam penghormatan yang sebenarnya kepada Nabi-nabi dan Rasul-Rasul-Nya.

Ucapan salam kepada seorang Nabi atau berdua;


37:108. Dan meninggalkannya di kalangan orang-orang yang akhir.

37:109. "sejahtera ke atas Ibrahim!" 

              (Salamun ’ala Ibrohim)

37:110. Begitulah Kami balas orang-orang buat baik. 

 

37:119. Dan tinggalkan keduanya di kalangan orang-orang yang akhir. 

37:120. "Sejahtera ke atas Musa dan Harun!" 

               (Salamun ’ala Musa wa Harun)

37:121. Begitulah Kami balas orang-orang buat baik, 

 

37:129. Dan Kami meninggalkannya di kalangan orang-orang yang akhir. 

37:130. "sejahtera ke atas Elias!" 

               (Salamun ’ala Ilyasin)

37:131. Begitulah Kami balas orang-orang buat baik. 

 

Ucapan kepada keseluruhan para Utusan-Nya, yang mengesahkan tanpa sebarang perbezaan kepada para Utusan-Nya.
 

37:180. Pemelihara kamu disanjung, Pemelihara Yang Mulia, di atas apa yang mereka terangkan! 

37:181. Dan sejahtera ke atas para utusan, 

37:182. Dan segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.

             (Salamun ’ala mursalin, walhamdulillahirabbil’alamin)
 

Rasanya ucapan salam yang sama boleh juga di sebut kepada nabi-nabi atau Rasul-Rasul yang lain dengan menyebut namanya seperti begini;
 

Kepada Nabi Muhammad : “Salamun ’ala Muhammad”

                                  “sejahtera ke atas Muhammad”
 

Kepada Nabi Isa : “Salamun ’ala Isa”

                        “sejahtera ke atas Isa”

 

Begitulah ucapan salam kita kepada Nabi-nabi dan Rasul-Rasul-Nya yang lain.

 

Itu sedikit pandangan saya, semoga ia beri manfaat kepada kita semua.

Semoga apa yang saya sampaikan benar-benar menurut Faham Allah.


Sekian dari sahabatmu, Che Deen, semoga suatu hari nanti kita dipertemukan Allah.


Subhanakallahumma,
Engkau disanjung, Ya Allah,

Salam,
 

Alhamdulillahirabbil’alamin,
 

Che Deen.


Salamun alaikum,

Terima kasih sahabat, dan tahniah atas kenaikan pangkat. Kami juga terasa lama sahabat tidak menulis dan sebab yang difikirkan ialah hanya kesibukan urusan pekerjaan.

Peringatan mengenai beri salam kepada para utusan adalah patut. Salam diberi kepada mereka setelah menyebut kisah mereka (menurut kegunaannya di dalam al-Qur'an).

Akan tetapi, salam tersebut adalah tidak sama dengan apa yang dimaksudkan salawat oleh sesetengah pihak. Salawat diertikan daripada kalimat Sollu yang tidak sama maksud dengan Salam. Senarai ayat yang mengandungi kalimat-kalimat tersebut dapat dibaca melalui link yang baru diberi. Di situ juga dapat difahamkan perbezaan mereka.

Seterusnya, ayat yang diandaikan mengandungi perintah salawat (daripada kalimat sollu/yusollu) berbunyi (ayat sudah disebut di dalam emel di atas),
 

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya yusollu Nabi. Wahai orang-orang yang percaya, sollu dia, dan berilah dia penghormatan dengan penghormatan yang sebenar." (33:56)
 

Yusollu dan sollu, atau rahmati, adalah bukan salam, mahupun salawat. Pun begitu, pada hemat kami, salam penghormatan ke atas Nabi seperti disebut achedeen boleh juga diamal berdasarkan kalimat sallama (terbitannya sallim dan taslim) yang terdapat di hujung ayat tadi:
 

"... dan berilah dia penghormatan (sallim) dengan penghormatan yang sebenar (taslim)."
 

Terdapat sedikit kaitan antara kalimat sallama dengan kalimat salam; kedua-dua didapati terbit daripada akar yang sama. Justeru, kelihatan seolah ayat 33:56 mengandungi dua arahan iaitu pertama, rahmati, dan kedua, beri penghormatan (contoh beri salam hormat) kepada Nabi.

(Bagi pihak yang belum maklum mengenai pendapat kami tentang salawat, sayugia diberitahu bahawa ia telah direkod di laman web ini, dan dapat dibaca di sini. Terima kasih.)

Sekian pendapat kami tentang salawat dan salam yang didapati agak berbeza sedikit. Maaf.

Allah disanjung!


5 Okt 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman