Salawat

 


From: goontor
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Saturday, September 6, 2008 4:00:45 PM
Subject:

salam

pak maksud shalawat / cara salawat ?

terima kasih
salam


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada sahabat goontor kerana sudi menulis lagi kepada kami. E-melnya mendorong untuk menulis satu tajuk khas bagi Salawat. Perkara tersebut telah pun ditulis tetapi ditulis bersama perkara-perkara lain lalu sukar dikesan di laman web ini. Soalan mengenainya agak popular suatu masa dahulu dan kami telah menjawab secara peribadi dan meminta penyoal merujuk artikel BACAAN - jawapan kepada ulama di bawah tajuk kecil Salawat.

 

Amalan salawat ke atas Nabi dikatakan terbit dari sebuah ayat al-Qur'an berbunyi (kami salin bersama tafsirannya daripada Lafaziyah):

Innallaaha               Sesungguhnya Allah

wamalaa-ikatahuu   dan malaikat-malaikat-Nya

yushalluuna           sampaikan/memohonkan rahmat

'alan nabiyyi            atas Nabi

yaa-ayyuha             wahai

-lladziina                 orang-orang yang

aamanuu                 (mereka) beriman

shalluu                   mohonkanlah rahmat

'alaihi                      atasnya

wasallimuu              dan mohonkan kesejahteraan

tasliiman                  kesejahteraan/penghormatan

Bandingkan pula dengan tafsiran daripada kitab "Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN kepada pengertian AL-QUR'AN" terbitan Pusat Islam Malaysia berbunyi,

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat (beri segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad, s.a.w.); wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya" (33:56)

Sebab dibandingkan ialah bahawa perkataan shalluu dan salawat bukan sahaja berbunyi tidak sama malah mereka sebenarnya dua perkataan yang berlainan dengan pengertian yang berlainan juga.

 

Mengapa kalimat Allah shalluu ditukar kepada salawat? Tidak mungkin orang yang menukarnya tidak tahu bahasa Arab.

 

Kalimat shalluu terdapat di dalam tujuh ayat al-Qur'an. Terjemahannya didapati berbagai-bagai dalam kitab Tafsir tersebut. Empat daripadanya diterjemah kepada sembahyang (3:39, 4:102, 9:84, 108:2), satu kepada doa Nabi (9:103), satu kepada rahmat (33:43), dan satu (33:56) kepada salawat, yang baru disentuh.

 

Jika yang terakhir diterjemah ke dalam bahasa Melayu (seperti yang lain) tidak kepada salawat (seperti yang sengaja dilakukan) maka jadi sukar bagi penganjur amalan salawat menyakinkan umat supaya mereka turut bersama berselawat ke atas Nabi.

 

Lihat pula sebutan salawat yang diajar kepada umat - Allah humma salli ala saidina Muhammad .... Itu bermakna Allah yang beri ....., tetapi Dia, di dalam ayat berkenaan, menyuruh orang-orang beriman supaya (mereka) beri ..... Tidakkah sebutan salawat yang diajar itu tidak kena pada tempatnya? Tidakkah patut perkataan Allah di situ ditukar kepada Ana, misalannya?

 

Kalimat salawat pula dapat ditemu di dalam lima ayat al-Qur'an. Tiada satu pun kitab Tafsir tersebut mengekalkannya dalam bahasa Arab, tanpa diterjemah. Dua daripadanya diterjemah kepada do'a Rasulullah (9:99 dan 9:103), dan tiap-tiap satu kepada kebaikan dari Tuhan, sembahyang fardu, dan tempat-tempat sembahyang kaum Yahudi (2:157, 2:238, dan 22:40). 

 

Kalimat salawat yang sebenar, seperti baru disebut, adalah bukan pokok dalam perbincangan di sini. Justeru sebutan mengenainya tidak dipanjangkan lagi.

 

Pokoknya ialah amalan salawat ke atas Nabi, yang kononnya diberi ganjaran hebat apabila melafazkannya.

 

Untuk itu diturunkan ayat berkenaan seperti yang tercatat di dalam Bacaan:

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya rahmati Nabi. Wahai orang-orang yang percaya, rahmatilah dia, dan berilah dia penghormatan dengan penghormatan yang sebenar." (33:56)

Allah dan malaikat-malaikat-Nya rahmati Nabi. Bermaksud mereka mengasihani, memberkati, menganugerahi atau mengurniai Nabi semasa baginda masih hidup, dalam tugasnya sebagai penyampai ayat-ayat Tuhan. Atau bermaksud, mereka membantu Nabi.

 

Daripada kalimat yang sama didapati Allah dan malaikat-malaikat-Nya juga rahmati orang-orang mukmin. Ayat berkenaan telah disebut bersama tujuh yang lain termasuk 33:56 tadi dan ia bererti,

"Wahai orang-orang yang percaya, ingatlah Allah dengan banyak,

Dan sanjunglah Dia pada waktu awal pagi dan petang.

Dia yang rahmati kamu, dan malaikat-malaikat-Nya, untuk keluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dia adalah Pengasih kepada orang-orang mukmin." (33:41-43)

Orang-orang mukmin dirahmati semasa mereka sedang hidup, dengan dikeluarkan dari kegelapan kepada cahaya.

 

Tambahan pula, perkataan Nabi untuk Muhammad di dalam al-Qur'an, menurut pendapat sesetengah pihak, hanya diguna semasa baginda masih hidup. Kami bersetuju dengan pendapat itu. Satu contoh ayat diturunkan di bawah:

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, 'Jika kamu hendak kehidupan dunia dan perhiasannya, marilah, aku akan beri peruntukan untuk kamu, dan lepaskan kamu dengan pelepasan yang manis.'" (33:28)

Sila rujuk kalimat Nabi di dalam al-Qur'an.

 

Bahagian kedua ayat "salawat" menyuruh orang-orang yang percaya pula untuk rahmati Nabi - "Wahai orang-orang yang percaya, rahmatilah dia, dan berilah dia penghormatan dengan penghormatan yang sebenar."

 

Bagi mereka yang hidup bersama baginda mereka rahmatinya dengan beri bantuan sambil beri penghormatan yang sebenar sewajar dengan kedudukan baginda sebagai Nabi.

 

Bagi mereka yang kemudian, terus dengan tugas baginda sampaikan al-Qur'an, seperti bunyi hadisnya yang sebenar, dipetik daripada Kitab tersebut berbunyi,

"Katakanlah (Muhammad), 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai.'" (6:19).

Dan, hapuskan segala ucapan atas namanya yang palsu, akibat direka oleh musuh-musuh baginda, bertujuan untuk menipu supaya agama tidak jadi seperti yang dibawanya menurut kitab al-Qur'an. Firman Tuhan,

"Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (6:112)

Dengan hapuskan segala ajaran palsu yang mengguna nama baginda, dan sampaikan al-Qur'an yang dibawanya, maka dengan itu, pada hemat kami, adalah sebaik-baik penghormatan, atau penghormatan sebenar, yang harus diberi kepada baginda sebagai Nabi terakhir. Bukan dengan hanya melafaz sebuah ayat yang didapati tidak kena pada tempatnya.

 

Maaf jika tersinggung.

 

8.9.08

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman