Bunuh Anjing dengan Racun

 

From: azizsuriani
Date: 2010/4/4
Subject: BUNUH ANJING DENGAN RACUN
To:
ebacaan114@gmail.com


Salamun'alaikum;

Walaupun saya baru sahaja kematian anjing kesayangan dan masih dalam kesedihan tetapi masih boleh tersenyum bila membaca tulisan
US tentang BUNUH CICAK DENGAN LEMBING.
Saya tidaklah serajin US untuk mencari kitab-kitab hadis dan hadis-hadis yang sangat menghiburkan seperti itu. Satu masa dulu, saya terbaca tulisan seorang ahlul-Quran dari Mekah, beliau berkata jika kita dalam keadaan kesedihan maka bacalah kitab-kitab hadis, di dalamnya ada banyak cerita yang akan buat anda tersenyum-senyum seorang diri.

Sebenarnya saya juga ada membaca hadis-hadis sahih dalam kitab Bukhari dan Muslim mengenai perkara-perkara lucu seperti ini. Tetapi selepas beberapa lama saya dapati ia hanya satu perbuatan yang sia-sia maka saya tinggalkan sahaja kitab-kitab ini.

Yang meracun anjing saya itu bukanlah orang Islam kerana saya percaya orang Islam tidak buruk perangainya. Orang itu adalah seorang dari kumpulan ahli Sunnah Waljamaah. Ahli Sunnah Waljamaah ini adalah satu kumpulan baru yang telah wujud beratus tahun selepas Nabi Muhammad wafat. Sebahagian mereka bermazhab Shafie yang tak boleh sentuh anjing dalam keadaan basah dan yang bermazhab Maliki pula boleh pegang tak kira basah atau kering kerana anjing bukanlah najis seperti yang difatwa oleh pengikut Shafie. Yang lain-lain seperti Mazhab Hanafi dan Hambali saya pun tak tahu pula. Oleh kerana saya tidak mengikut kumpulan baru ini maka saya tak peduli apa yang mereka selisihkan. Saya berpegang dengan al-Quran surah Al-Maidah :4 dan lain-lain ayat di Surah al-Kahfi ayat  13, 18, 19, 20, 21, 22. Saya tidak sedikitpun merasa ragu-ragu tentang keterangan ayat-ayat ini. Ia sangat jelas dan terang dan tidak perlu ada perselisihan.

Setiap pagi selepas solat fajar, saya akan turun dari rumah melihat anjing kesayangan saya untuk pergi berjogging. Sama ada di rumah atau dijalan dia tidak penah menyalak sesiapa.  Walaupun ia begitu baik dan sopan terhadap manusia tetapi dia tetap jadi musuh kepada kumpulan baru ahli sunnah ini. Pada pagi yang malang ini saya lihat anjing saya terlentang di halaman rumah dan sudah tidak bernafas lagi. Lidahnya hitam dan airliurnya bercampur darah, matanya berdarah. Intestine nya pecah dan bahagian belakangnya juga mengalir darah. Saya memanggil vet untuk memeriksa bagi memastikan sebab-sebab kematiannya. Vet mengesahkan bahawa dia telah diracun. 

Kematian anjing ini telah mengubah suasana dalam keluarga kami daripada selalu ceria dan riang  jadi sedih dan muram. Saya buntu tak dapat buat apa-apa kerja. Seminggu sebelum kematiannya anjing saya telah selamatkan isteri saya dari ular tedung ditepi pagar rumah rumah kami. Dia menerkam dan menggigit ular tedung yang jaraknya hanya satu kaki sahaja dari kaki isteri saya yang tidak perasan kehadiran ular ini. Dia menggigit ular ini dan ular ini membelit kepalanya. Kami yang melihat keadaan ini berasa agak panik kerana bimbang ia akan dipatuk oleh ular berkenaan tetapi tidak dapat buat apa-apa. Beberapa minit bergelut dengan ular ini kemudian ular ini telah lemah dan tidak lagi membelit leher dan kepalanya. Ekornya menjuntai ke bawah sedang kepalanya masih berada di bawah rahang anjing, menunjukkan ia sudah lemah.  Apabila ular ini dilepaskan kami lihat ia tidak lagi bergerak kecuali sedikit pergerakan di bahagian ekornya.

Saya tidak tahu adakah tindakan meracun anjing itu adalah satu tindakan menolak sistem Allah. Apakah yang akan terjadi sekiranya sistem ini dibinasakan. Adakah manusia akan menerima reaksi dari sistem ini pula. Dua hari selepas kematian anjing saya satu kemalangan sangat ngeri di Lebuh Raya Alor Setar telah meragut nyawa seorang anak gadis remaja kepada jiran saya. Saya menziarahi keluarga mereka dan turut merasa sedih di atas apa yang menimpa keluarganya maklumlah inilah satu-satunya anak perempuan yang ada dan masih remaja. Dia seorang guru agama yang sangat berpengaruh di tempat saya.  Saya mula terfikir bahawa saya yang dalam kesedihan kehilangan seekor anjing yang sangat disayangi tetapi beliau telah kehilangan seorang anak remaja tunggal dalam keluarga. Beberapa hari saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan perkara ini.  Saya percaya guru agama ini bukanlah orang yang meracun anjing saya kerana dia seorang yang kelihatan baik dan lemah lembut. Paling tidak sekurang-kurangnya dia memahami tentang perselisihan di antara ulama mereka dalam perkara ini. Yang masih melantun-lantun di dalam fikiran saya, adakah sesuatu tindakan kita menolak dan merosakkan sistem Allah maka ia akan beri reaksi terhadap manusia ?.

Untuk melegakan perasaan yang pilu saya tetap keluar berjogging bersama isteri saya. Kami membawa makanan dan memberi makan anjing-anjing di tepi jalan (stray dogs) tempat kami berjogging. Kepiluan rasa sedikit terubat bila ada beberapa ekor anjing yang turut berjalan-jalan bersama kami setiap pagi dengan wajah-wajah mereka yang ceria kerana dapat sedikit makanan dan perhatian.

Manusia adalah khalifah. Mereka diberi akal untuk mentadbir bumi. Mereka boleh memproses racun  bagi tujuan pertanian dan mereka juga boleh meminjam tangan syaitan ambil racun itu dan meracun makluk lain yang tidak berdosa yang telah dicipta oleh Allah sebagai sebahagian dari sistem kehidupan mereka. Saya masih tidak dapat memahami hubungan manusia dengan sistem yang telah dicipta oleh Allah untuk kebajikan mereka sebagai sistem yang sempurna. Mungkin ini hanya mainan perasaan sendiri dan berharap pembaca tidak terpengaruh dengan fikiran saya ini.

Semasa saya kecil, saya tidak pernah mendengar hadis Aishah ada menyimpan lembing untuk membunuh cicak tetapi saya pernah diajar membunuh cicak dengan kapur sireh yang digentel-gentel dilekatkan dihujung lidi penyapu. Sejak kecil agama yang saya pernah anuti dulu ajar saya membunuh binatang juga boleh dapat pahala dari Allah. Kisah cicak yang meniup api supaya terus menyala dan membakar Nabi Ibrahim ini juga suatu yang baru bagi saya walaupun ia memang benar terdapat dalam kumpulan hadis-hadis Ahli Sunnah.

Sekian dan salam

AZIZ SURIANI


Salamun alaikum,

Terima kasih. Maka anti-hadith, gelaran yang dilempar, adalah sebab anjing diracun (mungkin ia merupakan satu-satunya sebab). Maksud kami, bukan anjing itu yang dilabel anti-hadith walaupun ia juga hidup menurut wahyu Tuhan, dan seperti haiwan lain, contoh, lebah. Firman-Nya,

"Dan Pemelihara kamu wahyukan lebah, 'Ambillah untuk kamu daripada gunung-gunung, rumah-rumah, dan daripada pokok-pokok, dan daripada apa yang mereka bangunkan.
Kemudian makanlah tiap-tiap buahan, dan ikutlah jalan-jalan Pemelihara kamu yang senang kepergiannya.'" (16:68-69)

Dan ia (anjing) tidak diharamkan Allah.

 

Salam.

 

Sila rujuk:
Musuh orang percaya

 

5 April 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman