Korban Palsu

 

From: abumuslim
To: Tuan Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Tuesday, March 24, 2009 11:29:12 PM
Subject: Korban.


Salamun 'alaikum.

 

Saya ingin beri sedikit info mengenai ajaran korban dan faedahnya kepada kita menurut ajaran para ulama' kita.

 

Dalam buku karangan Muhammad Abdul Hamid iaitu Buku Pedoman Lengkap Fiqh Islam terbitan Jasmin Enterprise dan karangan Ustaz Sulaiman Endut iaitu Asas-asas Fardhu Ain terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, diterangkan tentang binatang-binatang yang sah dikorbankan. Kedua-dua buah buku ini menulis perkara yang sama iaitu: 

1.Kambing biri-biri berusia satu tahun.

2.Kambing yang berusia 2 tahun.

3.Unta yang berusia 5 tahun.

4.Lembu atau kerbau yang berusia 2 tahun.

Oleh kerana buku karangan Ustaz Sulaiman Endut adalah mengenai asas-asas maka tidak diterangkan akan faedahnya berkorban kepada kita; tetapi di dalam buku karangan Muhammad Abdul Hamid iaitu Buku Pedoman Lengkap Fiqh Islam ada menyebutnya, iaitu; 

a.Titisan darahnya jadi ampunan bagi dosa kita yang telah lalu, sebagaimana Rasulullah S.A.W bersabda:

"Dari Abi Said Al-Khudri r.a., bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda kepada Fatimah r.a. 'Berdirilah saksikan korbanmu, sesungguhnya titisan yang pertama dari darahnya yang mengucur/menitis itu diampuni bagimu dosamu yang telah lalu." Hadis Riwayat Baihaqi.

 

b.Darahnya menambah berat timbangan kebajikan dihari hisab.

Rasulullah bersabda:

"Dari Aisyah r.a. dari Nabi S.A.W baginda bersabda: 'Berkorbanlah kamu dengan hati yang rela, sesungguhnya setiap muslim yang hadapkan sembelihannya ke arah kiblat(waktu disembelih) maka darahnya, kotorannya dan bulunya adalah kebajikan yang dapat menambah berat timbangan amal kebajikannya pada hari kiamat." Hadis Riwayat Baihaqi.

Ini adalah perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut, tiada penambahan daripada saya.

 

Kita lihat penerangan korban dari Al-Qur'an; 

22:36. Dan binatang-binatang korban - Kami buatkan mereka untuk kamu sebagai antara tanda-tanda Allah, di mana ada kebaikan untuk kamu. Maka ingatlah (sebutlah) nama Allah pada mereka, berdiri dalam barisan; kemudian, apabila lambungannya rebah, makanlah daripadanya, dan berilah makan kepada pengemis, dan orang yang meminta. Begitulah Kami tundukkan mereka untuk kamu, supaya kamu berterima kasih.

 

22:37. Dagingnya tidak akan sampai kepada Allah, dan tidak juga darahnya, tetapi ketakwaan daripada kamu akan sampai kepada-Nya. Begitulah Dia tundukkan mereka untuk kamu, supaya kamu agungkan Allah atas petunjuk yang Dia beri kamu. Dan kamu berilah berita gembira kepada orang-orang buat baik.

Saya ingin menambah tentang apa yang telah diajar kepada saya sewaktu kecil dahulu iaitu, binatang yang dikorbankan akan jadi tunggangan kita diakhirat sewaktu berjalan untuk berkumpul di padang masyar nanti. 

Lihatlah perbezaan penerangan kitab Al-Qur'an dan kitab-kitab karangan manusia. Semoga Allah mengasihani kita dan beri petunjuk pada jalan yang benar. Salamun 'alaikum sahabat.


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menulis sesuatu yang amat sesuai diisi ke dalam Perpustakaan laman web ini.

Terdapat dua ajaran korban yang bertentangan di dalam kandungan e-mel di atas. Justeru, satu daripadanya benar sementara yang lagi satu palsu. Kami terima ajaran daripada al-Qur'an sebagai benar, dan ajaran yang mengguna nama Nabi sebagai palsu, walaupun penulis-penulis buku di atas memilihnya. Mengapa mereka memilih yang demikian serta menyebarkannya kepada orang ramai, dan mengapa pula kebanyakan orang ramai menerima mereka tidak perlu dibincang di sini.

Tuhan tidak sebut atau wahyukan haiwan ternakan yang mana harus dikorbankan. Tidak juga umur mereka. Sebutan mereka di dalam buku-buku tersebut, pada hemat kami, lahir daripada kehilangan sikap takwa "kami dengar dan kami taat" terhadap perintah Allah. Sikap itu dituntut-Nya.

Kerana hati bertanya-tanya tentang korban suruhan Allah, maka nama-nama dan usia haiwan ternak direka lalu dijadikan hukum. Hati itu seiras hati Bani Israil yang bertanya-tanya apabila Nabi Musa menyuruh mereka berkorban, atas perintah Tuhan. Begini ceritanya:

"Dan apabila Musa berkata kepada kaumnya, 'Sesungguhnya Allah, Dia perintah kamu, hendaklah kamu korbankan seekor lembu.' ..... Mereka berkata, 'Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami yang manakah ia?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang tidak tua, dan tidak juga dara, yang pertengahan di antara yang demikian itu; maka buatlah apa yang kamu diperintah.'" (2:67-68)

Tetapi mereka tidak lakukan perintah tersebut. Sebaliknya mereka terus bertanya-tanya lagi:

"Mereka berkata, 'Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami apakah warnanya?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang keemasan, terang warnanya, menggembirakan orang-orang yang memandang.'

 

Mereka berkata, 'Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami yang manakah ia; lembu serupa sahaja bagi kami, dan jika Allah hendaki, tentu kami akan dapat petunjuk.'

 

Dia berkata, 'Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman; sesuatu yang teguh, tanpa tanda yang mencacatkan padanya.' Mereka berkata, 'Sekarang kamu sudah datangkan yang benar.' Lalu mereka korbankannya, dan hampir mereka tidak melakukannya." (2:69-71)

Sekiranya mereka tidak banyak bertanya yang bukan-bukan, korban mereka tidak jadi begitu rumit, tetapi sekadar "seekor lembu" atau "lembu yang tidak tua, dan tidak juga dara, yang pertengahan di antara yang demikian itu" sahaja.

 

Tentang korban, yang menunjukkan ketakwaan dan kesyukuran atas petunjuk yang Allah beri, biarlah tiap-tiap individu memilih sendiri haiwan yang paling baik, lagi dimampukan, untuk dimakan bersama orang-orang miskin. Contoh, kambing biri-biri yang paling baik untuk barbeku (barbecue) ialah yang berusia 6 bulan, menurut seorang penternaknya yang turut sediakan khidmat maskan jenis tersebut. Kalau ini dilakukan maka ia menyalahi ketetapan yang tertulis di dalam buku-buku agama tersebut, yang menuntut usia satu tahun. Lalu korban itu dihukum sebagai tidak sah!

 

Dengan bukti-bukti daripada al-Qur'an dan pendapat pakar tentang daging kambing biri-biri, maka tidak syak lagi, buku-buku tersebut membawa ajaran korban palsu, tetapi diterima sebagai ajaran Islam sebenar oleh kebanyakan orang Islam di sini.

 

[Tajuk korban dapat dijelaskan lagi di halaman Korban (Haji) dan Qurban di luar Mekah.]

 

 

Salam.

27.3.09

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman