Talak


Saudara ahmadi syahiri telah mengirim dua e-mel tiga bulan lalu. Yang pertama dipamerkan di bawah:


From: ahmadi syahiri
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Thursday, May 1, 2008 7:31:09 PM
Subject: kes talak malaysia

Tuan, saya membaca dalam artical WANITA DALAM ISLAM SEBENAR.

Saya tertarik dengan kes talak. Mengapa saban hari ini. Talak ni mudah dilafazkan dan yang memeranjatkan adalah setiap orang yang saya tanya, ia mengatakan ia jatuh. Sedangkan allah tak kata apa pun tapi manusia yang lebih-lebih, konon-konon mereka ni hakim bagi agama islam. Sedangkan mereka tidak menunjuk jalan penyelesaiaan. Itu yang menyedihkan. Memang dalam al-quran ada sebut talak ada tiga kali, tapi mana teknikalnya. Contoh sekarang ni di semua mahkamah kata kalau talak 1 2 3 dikira 3 kali, kalau talak 1 1 1 dikira 3, kali kalau 2 2 2 dikira 3 kali. kalau talak 3, ada kata jatuh 3, ada kata jatuh 1. Jadi di situ ada kemuskilan yang mereka sembunyikan dari pandangan umat islam kini. Yang saya nampak mereka tidak menggunakan surah 2 ayat 226-227 untuk menyelesaikan masalah ni. Yang mereka tahu ceraikan orang tanpa menyatukanya kembali. Maka statistik pencerainya negara tinggi la. Lepas tu bila suami nak bersama isteri dikata gila talak, cina buta dan sebagainya tohmahan dilemparkan. Dah la depa hukum orang macam koboi. main hitung tak tentu pasal. jadi saya mintalah jasa baik tuan beri hujah teknikal pasal talak ni yang lebih kongkrik. Dan kes yang macam mana dikatakan cina buta dan talak 3 terjadi. bersama gabungan surah 2 ayat 226-227. Sebab kalau dikira ayat itu semua sumpah yang dilafazkan oleh suami apabila ia menarik balik sumpahnya dan bersama isterinya kembali dalam masa 4 bulan maka lafaznya akan terbatal dan dia dikira 0-0 dengan isterinya. maka ia diberikan kehidupan yang baru. Saya amat memohon pada tuan menhujahkannya. moga-moga kita dapat manfaat untuk seluruh umat islam yang menghadapi kesusahan.  

E-mel kedua dikirim empat hari kemudian, masih dengan tajuk Talak:

From: ahmadi syahiri
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Monday, May 5, 2008 3:43:03 PM
Subject: kemuskilan talak dan ila (sumpah)

Assalammualaikum

Saya ingin bertanya. Adakah ILa (sumpah) boleh dikelaskan sebagai Talak.

Adakah bila seseorang melafazkan talak, dia diberi masa 4 bulan untuk menarik balik lafaz sumpahnya dan kembali kepada isterinya. Maka talak itu akan terbatal dan tidak boleh dihitung. Sebab saya berpendapat, talak juga adalah lafaz sumpah. Saya ada tanya peguam syarei, tapi keputusan yang saya dapat adalah, mereka mengatakan bahawa ila dan talak adalah satu perkara yang berlainan. Mereka mengatakan talak itu tidak termasuk dalam lafaz sumpah yang boleh ditarik balik. Sedangkan perkataan sumpah itu Univesal, tak kan nak kata aku bersumpah baru dikira sumpah. Sedangkan perkataan Talak juga adalah sumpah. Contoh: Aku Ceraikan dikau dengan Talak 1, pun dikira sumpah dalam etika penceraian. Jadi saya mohon jasa En. untuk menerangkan kemuskilan dan permasalahan ini, Sekian...  


Salamun alaikum,

Terima kasih. Dua e-mel di atas diterima semasa kami berehat daripada menulis di komputer lalu tidak dapat dibalas. Tambahan pula, ia tidak boleh dibalas dengan sedikit perkataan sahaja. Kalau boleh, tentu sudah diterimanya jawapan kami.

Terpanggil sekali lagi untuk menulis mengenai talak kerana didatangi fahaman yang berbeza dengan apa di sini percaya. Perbezaan fahaman agak ketara, macam perbezaan dalam beri salam hormat. Salam kami dipetik daripada al-Qur'an sementara salam di e-mail daripada sumber selainnya.

Talak pun sama, ia akan dibicara berlandaskan ayat-ayat al-Qur'an yang mudah difahami.

Talak adalah perkataan Arab bermaksud cerai atau kata-kata terbitannya seperti bercerai, penceraian dan lain. untuk mengambil contoh bagaimana ia diguna, diturunkan ayat pertama al-Qur'an mengandungi perkataan tersebut berbunyi,

"Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai (talak), maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui." (2:227)

Bercerai bermaksud tidak bersatu lagi, berpisah, atau berpecah. Oleh itu, talak tidak bermaksud sumpah seperti didakwa pengirim e-mel. Perbezaannya jelas.

(Sedikit penjelasan mengenai kalimat talak. Berserta dengannya di bawah akar kata yang sama, terdapat kalimat intalaqa bermaksud perbuatan bertolak atau dilepaskan - serupa bercerai. Sila rujuk Kalimat Talak di dalam al-Qur'an. Terima kasih.)

Sebelum berpecah, atau bercerai, atau talak, pasangan suami-isteri tentu alami suatu situasi pertelingkahan yang lazimnya sengit. Apabila ia berlaku, sesuatu harus diadakan dengan tujuan baik. Allah tunjukkan caranya:

"Jika kamu takut akan perpecahan antara keduanya, bangkitkan seorang pendamai daripada keluarga lelaki, dan daripada keluarga perempuan, seorang pendamai. Jika mereka hendak membetulkan, Allah akan selesaikan pertelingkahan mereka; sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari." (4:35)

Akan tetapi, jika ikhtiar pendamai-pendamai itu gagal, dan pasangan tersebut seterusnya memantangkan diri daripada satu sama lain, maka mereka tunggu empat bulan sebelum talak. Firman-Nya,

"Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka tunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:226)

Tempoh empat bulan itu harus dikira, termasuk tiga haid di dalamnya. Firman Tuhan,

"Perempuan-perempuan yang diceraikan akan tunggu sendiri selama tiga haid, dan tidaklah halal bagi mereka untuk sembunyikan apa yang Allah cipta di dalam rahim mereka jika mereka percayai Allah dan Hari Akhir. Pada masa itu suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk kembalikan mereka jika mereka hendak membetulkan. Bagi mereka ada hak yang baik seperti ke atas lelaki, tetapi para lelaki mereka adalah satu darjat di atas mereka; Allah Perkasa, Bijaksana." (2:228)

Para lelaki dikatakan di situ berkedudukan satu darjat di atas isteri-isteri mereka kerana mereka lebih berhak untuk memutuskan supaya mereka tidak bercerai.

Perkataan bersumpah telah disebut tadi, iaitu bersumpah memantangkan diri daripada pasangan masing-masing. Adakah sumpah itu sama dengan sebutan "Aku ceraikan kamu"? Atau lain yang serupa.

Menyentuh mengenai sumpah, Allah telah berfirman,

"Allah tidak pertanggungjawabkan kamu atas sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia pertanggungjawabkan kamu atas apa yang hati-hati kamu usahakan; dan Allah Pengampun, Penyantun." (2:225)

Maka paling penting bukan lafaz "Aku ceraikan kamu" tetapi perbuatan bercerai itu sendiri.

Kembali kepada empat bulan. Orang-orang yang memantangkan diri daripada pasangan hidup mereka, atau ingin bercerai, harus menunggu sehingga habis tempoh tersebut. Selepas itu mereka pilih untuk bercerai atau kembali hidup bersama.

Sekiranya talak (bercerai) dipilih maka ayat Allah di bawah harus diingati:

"Penceraian (talak) adalah dua kali" (2:229)

Talak di dalam al-Qur'an adalah sebanyak dua kali sahaja. Bukan tiga.

Merenung sejenak pada frasa selalu disebut iaitu talak satu, atau talak dua, atau talak tiga. Mereka sebenarnya bermaksud sekali bercerai, atau dua kali bercerai, atau tiga kali bercerai!!!

Maka lafaz Aku ceraikan kamu dengan talak satu, atau talak dua, atau talak tiga, (lalu diceraikan oleh Pak Imam) bukan sahaja songsang dari segi bahasa (bahasa Tuhan), malah, tidak disyariatkan dalam agama-Nya.

Setelah dua kali talak (bercerai) seperti disebut ayat 2:229 tadi, jika mereka ingin kembali lagi sebagai suami isteri, satu syarat dikenakan. Syaratnya terkandung di dalam ayat yang menyusuli berbunyi,

"Jika dia ceraikannya (setelah dua kali), dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia kahwin suami lain. Kemudian jika dia (suami baru) ceraikannya, maka tidak salah ke atas mereka untuk kembali kepada satu sama lain," (2:230)

Syarat untuk kembali setelah dua kali talak (bercerai) ialah si isteri harus berkahwin dengan lelaki lain terlebih dahulu. Jika suami baru itu menceraikannya maka dapatlah dia balik kepada suaminya yang dahulu. Ini tidak mudah diterima bagi suami mahupun isteri, dengan adanya panggilan ke atas suami baru dengan nama cina buta (harap tidak marah yu!) di kalangan masyarakat Melayu.

Penceraian (talak) suami isteri, pada hemat kami, disaksi oleh pendamai daripada kedua-dua pihak, sebagaimana dilakukan sebelum bercerai iaitu ketika pasangan berada dalam ribut pertelingkahan. Pada hari ini pula, terdapat para peguam yang dapat beri khidmat dengan sedikit upah, dan pejabat tertentu untuk menguruskan penceraian, di mana penyelesaian dapat dicapai dengan adil.

Talak yang dirakam di dalam kitab Allah, al-Qur'an, berbeza dengan amalan sedia ada. Perbezaan tidak harus berlaku kerana ia adalah hukum Allah dan Rasul-Nya pula memakainya jua. Hukum Allah diutama dan dipatuhi walaupun wujud hukum-hukum lain yang diberi nama gelaran Islam oleh sesetengah pihak. Islam bermaksud tuduk patuh kepada Allah (sahaja). Seperti Nabi tunduk patuh, dengan tidak menokok atau mengurangkan segala petunjuk diberi Allah kepadanya.


Sila rujuk
Wanita dalam Islam sebenar
(tajuk kecil Penceraian)

untuk keterangan lanjut.


12 Ogos 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman