Syahadah Bahagian Ke-2 di 94:4?

 

From: rose
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: bahagian kedua syahadat ayat 94.4
Date: Monday, February 13, 2006 10:15 AM

salamun alaikum,

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana melalui web site tuan, saya kini memahami lebih dalam lagi mengenai Islam dan melalui terjemahan Al Quran kepada Bahasa Melayu ianya memudahkan saya memahami Ajaran-Nya.

Tuan, pada pendapat tuan apakah maksud "Tidakkah Kami naikkan sebutan kamu?" dalam surah 94:4.

Ada sebahagian tafsir berpendapat bahawa ayat tersebut diatas sebagai dalil kepada bahagian kedua syahadat yang disebut didalam bang dan sembahyang.

Dibawah artikel bertajuk "syahadat tidak dirukunkan", tuan berpendapat bahawa bahagian kedua syahadat adalah ajaran ulama palsu, iaitu kesaksian ke atas kerasulan Muhammad, ia tidak perlu dilafazkan kerana sudah cukuplah Allah sebagai saksinya. 

Sekiranya "bahagian kedua syahadat" tidak perlu dilafazkan kerana sudah cukuplah Allah sebagai saksinya, maka bagaimana Allah "naikkan sebutan kamu" seperti di ayat 99.4 di atas

Oleh itu tuan, saya memohon agar dimenjelaskan kemusykilan ini dan sekiranya saya silap dalam mengutarakan soalan dan bahasa mohon dimaafkan. Saya sentiasa menyokong dan berharap laman ini terus kekal dan jadi panduan utama umat Islam di seluruh dunia, dengan izin Nya jua.

Salam.
Rose


Salamun alaikum,

Terima kasih. Satu lagi tajuk yang penulis tidak suka dibahaskan di laman web ini. Syahadah amat sensitif bagi sesetengah pihak kerana ia dianggap sebagai tiket untuk masuk syurga.

Faktor yang mendorong untuk menulis lagi ialah kekeliruan yang terbit daripada pendapat penulis terhadap bahagian kedua syahadah yang tidak perlu dilafaz. Pendapat itu ditentang oleh sesetengah tafsir yang kemukakan ayat 94:4 sebagai dalil.

Ayat yang disebut berbunyi "Tidakkah Kami naikkan sebutan kamu?" (94:4). Frasa naikkan sebutan kamu di dalamnya jadi kekuatan dalam penentangan tersebut.

Tiga pendekatan akan diguna di sini untuk menguraikan kekusutan yang berbangkit. Pertama, maksud perkataan 'sebutan'. Ia diterjemah daripada kalimat 'zikir' yang kerap diertikan kepada 'peringatan' dalam ayat-ayat al-Qur'an yang mengandunginya. (Sila rujuk senarai ayat-ayat yang mengandungi kalimat zikir, dan artikel mengenainya. Terima kasih.)

Peringatan pula didapati boleh membawa maksud ayat-ayat al-Qur'an. Contoh,

"Sad. Demi al-Qur'an yang mengandungi Peringatan (zikir)." (38:1) dan,

"Tidakkah ia masanya untuk hati orang-orang yang percaya ditundukkan kepada Peringatan (zikir) Allah, dan yang Benar, yang Dia turunkan, dan mereka tidak jadi seperti orang-orang yang telah diberi al-Kitab sebelumnya, dan tempohnya dirasakan terlalu panjang kepada mereka, lalu hati mereka jadi keras, dan  kebanyakan mereka orang-orang fasiq?" (57:16)

Oleh itu, frasa sebutan kamu boleh bermaksud zikir Nabi seperti zikir Allah di atas. Atau Peringatan Nabi, iaitu ayat-ayat al-Qur'an. Bukan namanya.

Kedua, menyentuh perkataan 'naikkan' yang hadir pada frasa tersebut - naikkan sebutan kamu.

Pada hemat penulis, apa yang dinaikkan Allah ialah ayat-ayat-Nya, yang jadi sebutan Nabi, seperti yang baru dijelaskan. Sebutan Nabi, yang pada mula dipandang rendah, tidak diterima ramai (sehingga memaksa baginda berhijrah), akhirnya jadi buah mulut seluruh penduduk kawasan-kawasan di sekitar dan berhampiran dengan tempat baginda tinggal. Bukan sahaja jadi buah mulut malah jadi pegangan mereka jua.

Kenaikan tersebut merupakan satu janji daripada Allah kerana Nabi terasa amat berat dan sukar atas apa yang dipertanggungjawab kepadanya. Demikianlah difahamkan daripada konteks ayat berkenaan, yang diturunkan di bawah ini:

"Tidakkah Kami lapangkan dada kamu untuk kamu, Dan mengangkatkan daripada kamu beban kamu, Yang memberatkan punggung kamu? Tidakkah Kami naikkan sebutan kamu? Maka sesungguhnya berserta kesukaran adalah yang mudah, Sesungguhnya berserta kesukaran adalah yang mudah. Maka apabila kamu kekosongan, bekerjakeraslah kamu, Dan hendaklah Pemelihara kamu jadi pencarian kamu." (94:1-8)

Dengan konteksnya, maka sekali lagi ayat 94:4 didapati tidak membawa pengertian sebagaimana didalilkan untuk menjadi syahadah bahagian kedua.

Ketiga, andaikata "sebutan kamu" bermaksud nama Nabi, maka nama baginda dinaikkan berserta Kitab yang dibawa. Baginda jadi masyhur pada zamannya hingga ke zaman sekarang. Seluruh dunia, baik yang Islam mahupun yang bukan Islam, mengenali nama baginda.

Pada awal tahun 80an, ketika ikut karangan-karangan dan video-video Ahmet Deedat, penulis disedarkan tentang seorang penulis kulit putih, dan bukan Islam, yang meletakkan Nabi, di dalam bukunya, sebagai pemimpin nombor satu di dunia. Ikutannya, Jesus, nombor tiga. Itu kerana perubahan dan pembaharuan yang ketara berlaku di dunia hasil kehadiran baginda dengan al-Kitab yang disampaikannya. (Nama penulis dan bukunya tidak dapat diingatkan, tapi mungkin terdapat di laman web A. Deedat.)

Begitulah, pada pandangan penulis, cara Allah "naikkan sebutan kamu" jika ia bermaksud nama Nabi. Bukan dengan bahagian kedua syahadah, yang tidak dianjurkan-Nya. Lagipun, syahadah hanya disebut oleh orang-orang Islam sahaja, bukan seluruh umat manusia.

Malah, kalau Dia menganjurkannya tentu Dia menyuratkan dengan jelas, bukan dalam bentuk teka-teki seperti memaksudkan ayat "Tidakkah Kami naikkan sebutan kamu?" kepada bahagian kedua syahadah berbunyi "Aku naik saksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah"!

Sesungguhnya Allah amat jelas dalam suruhan-Nya. Suruhan untuk naik saksi serupa itu tidak dijelaskan di dalam al-Qur'an.

Apapun, dzikraka tidak bermakna namamu atau nama kamu tetapi sebutanmu atau sebutan kamu, atau peringatanmu atau peringatan kamu.

Orang-orang yang menerima ayat tersebut sebagai bahagian kedua syahadah mungkin dipengaruhi beberapa orang pentafsir dan tafsirannya, seperti berikut:

"Dan Kami masyhurkan nama engkau." (H. Zainuddin Hamidy dan Fachruddin Hs.)

"Dan Kami tinggikan (muliakan) namamu?" (Prof. Dr. H. Mahmud Yunus)

"Bukankah sudah Kami harumkan namamu" (Muhammad Said)

"Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu" (Dept. Agama Indonesia)

Akan tetapi, A. Hassan, seperti Bacaan, menggunakan perkataan sebutan pula. "Lafzhiyah" pun sama.

Maka dengan hujah di atas, didapati tidak ada sebab mengapa harus diterima tafsir sesetengah pihak yang menyatakan ayat 94:4 mensyariatkan bahagian kedua syahadah. Pun begitu, penulis berpegang bahawa setiap orang mempunyai kuasa untuk memilih. Dan Allah mengadili.

Sekian, terima kasih.


16 Februari 2006


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman