Janggut

 

From: misykaters
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Tentang Berjanggut
Date: Monday, August 08, 2005 3:18 PM

Salamun 'alaika,

Tuan terhormat. Ketika sampaikan ayat Allah tentang larangan ikut milah kaum nasrani dan yahudi, saya terangkan pula bahwa berjanggut adalah tradisi nasrani sebagaimana terdapat di dalam bible.

Tak lama berselang saya dapat respons yang kemukakan bahwa Nabi Harun didapati berjanggut (20:94) dan beliau (Harun) tentulah muslim.

Disebutkan pula bahwa pada orang-orang terdahulu terdapat contoh yang bisa diikuti (24:34).

Menimbang alasan yang dikemukakannya saya pribadi dapat menyetujuinya, karenanya tulisan saya tentang janggut segera saya tarik.

Saya hanya ingin berbagi ini dengan tuan, mungkin dapat pula jadi bahan pertimbangan bagi tuan.


Salamun alaikum,

Atas kesudian saudara pengirim e-mail menulis lagi kami ucap ribuan terima kasih. Harap semua baik baginya dan Institutnya.

Tentang berjanggut, harus diingat bahawa kami tidak bantah pemakaiannya, walaupun mungkin terdapat sesetengah wanita tidak tertarik dengan lelaki yang berjanggut.

Bagi kami, janggut merupakan suatu perhiasan yang boleh jadi menarik. Ia mungkin juga baik bagi sesetengah penyakit kerana takut akan luka tatkala mencukurnya. Atau ketika berada di sesebuah tempat di mana iklimnya mengharuskan pemakaian janggut. Tapi, bagaimana pula dengan kaum perempuan?

Pemakaian janggut bukan suruhan agama. Kerana, sesuatu suruhan agama harus dilakukan oleh semua pihak, iaitu lelaki dan perempuan. Demikianlah difahamkan daripada ayat berikut:

"Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim,
dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin,
dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh,
dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar,
dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar,
dan lelaki yang rendah hati dan perempuan yang rendah hati,
dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah,
dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa,
dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga,
dan lelaki yang mengingati Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingati - bagi mereka, Allah sediakan ampunan dan upah yang besar." (33:35)

Ayat yang menyusulinya pula menegaskan lagi bahawa sesuatu suruhan agama harus dilakukan oleh kedua-dua kaum, lelaki dan perempuan. Lelaki tidak boleh menolaknya, dan perempuan pun tidak boleh. Ayat yang dimaksudkan bererti,

"Tidaklah patut bagi lelaki mukmin, dan tidak juga perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah tentukan satu perkara, akan ada bagi mereka pilihan dalam perkara itu." (33:36)

Demikianlah itu juga termasuk beberapa suruhan yang dituju khas bagi sesuatu kaum, seperti pada pakaian, perkahwinan dan sebagainya. Akan tetapi, suruhan memakai janggut bagi kaum lelaki tidak ada.

Memang benar Nabi Harun berjanggut. Bagaimana pula dengan Firaun, Haman, Karun dan Samiri? Tidak mungkin kesemua mereka tidak berjanggut. Malah, pada zaman itu kaum lelaki, atau kebanyakan daripada mereka, menyimpan janggut. Bagi pemerintah Mesir yang perempuan, atau Ratu, apabila dia meninggal dunia, dia dipakaikan topeng muka berserta perhiasan lain yang dipakaikan pada seluruh badan mayatnya. Rupa topengnya didapati berjanggut, sama dengan topeng pemerintah lelaki.

Kalau alasan menyimpan janggut kerana ikut Nabi Harun, maka ia serupa dengan ikut, apa yang dikatakan "sunnah Nabi". Sunnah tersebut dan suruhan ikutinya tidak disebut di dalam ajaran Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an.

Tentu sekali dalam ajaran Nabi Musa dan Harun tidak terdapat suruhan memakai janggut meskipun mereka berjanggut.

Seterusnya, kami bersetuju dengan salah satu daripada kenyataan pengirim e-mail walaupun mengandungi kata-kata "contoh yang bisa diikuti" yang tidak disebut di dalam ayat yang dirujuk. Kenyataan yang dimaksudkan berbunyi "Disebutkan pula bahwa pada orang-orang terdahulu terdapat contoh yang bisa diikuti (24:34)."

Dan ayat yang dirujuk berbunyi,

"Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu ayat-ayat yang menjelaskan, dan satu contoh orang-orang yang telah berlalu sebelum kamu, dan satu teguran bagi orang-orang bertakwa." (24:34)

Satu lagi sebab kami menegur kehadiran kata-kata tadi, yang terdapat pada kenyataan pengirim, ialah bahawa sesuatu "contoh" tidak semestinya bermaksud harus diikuti. Kerana terdapat juga contoh orang-orang terdahulu yang tidak patut diikuti.

Pun begitu, seperti yang telah dinyatakan, kami tidak menolak pendapat beliau bahawa ayat yang baru diturunkan mengandungi maksud contoh yang bisa diikuti. Tetapi tidak bersetuju pula dengan pemakaian janggut dijadikan sebagai contohnya.

Itu adalah kerana, pada pendapat kami, apa yang dimaksudkan Allah dengan "satu contoh" dan "satu teguran" di situ adalah segala yang diturun dan dijelaskan di dalam ayat yang terdahulu, berbunyi,

"Dan hendaklah orang-orang yang tidak mampu untuk berkahwin menahan sehingga Allah beri kecukupan kepada mereka daripada pemberian-Nya. Mereka yang tangan kanan kamu miliki yang inginkan kitab (pembebasan), maka adakanlah perjanjian dengan mereka, jika kamu tahu ada kebaikan pada mereka; dan berikan mereka daripada harta Allah yang Dia beri kamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba pemudi kamu melakukan pelacuran, jika mereka hendak kesucian, kerana kamu cari keuntungan kehidupan dunia. Sesiapa yang paksa mereka, maka sesungguhnya Allah, setelah mereka dipaksa, Pengampun, Pengasih." (24:33)

Ayat di atas menyentuh hal hamba perempuan dan perkahwinan. Segala penjelasan mengenai mereka, dan penjelasan yang terkandung di dalam ayat sebelumnya (24:32), adalah perkara yang dimaksudkan Allah jadi satu contoh dan satu teguran daripada amalan orang-orang yang telah berlalu, seperti dinyatakan di dalam ayat 24:34. Dan janggut didapati tidak disebut langsung di dalam mana-mana ayat tersebut.

Sebenarnya, janggut hanya disebut di dalam ayat yang dikemukakan oleh pengirim sebagai bukti pertama bagi pemakaian janggut, berbunyi,

"Berkata (Harun), 'Wahai anak ibuku, janganlah ambil aku dengan janggut, atau kepalaku!'" (20:94)

Di situ terletak satu-satunya perkataan 'janggut' di dalam al-Qur'an. Ia tentu agak panjang sehingga boleh dipegang untuk menarik Nabi Harun, tetapi tidak kuat untuk dijadikan alasan ke atas pemakaian janggut bagi kaum lelaki yang muslim.

Setelah segala keterangan dibentangkan, maka jelas bahawa kami tidak bersetuju dengan hujah mengenai janggut yang disuratkan di dalam e-mail di atas. Atas ketidaksetujuan demikian, kami memohon maaf.

Terima kasih.

10 Ogos 2005

Janggut disebut di dalam artikel:
Ajaran Islam daripada Bible

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman