Kritikan bukan Islam
terhadap al-Qur'an

 

E-Mail di bawah sudah lama diterima tetapi hanya kini selesai dijawab. Percubaan untuk menjawab dan melengkapkan jawapan sudah lama diusahakan tetapi kerana beberapa sebab, antaranya seperti yang dinyatakan di dalam e-mail saudara mohdradzee, ia ditangguh beberapa kali. Dan, hampir jadi sebuah projek terbengkalai!

Jawapannya pula ditulis selepas tiap-tiap soalan pada e-mail, tidak seperti yang lazim kami lakukan.


From: yusof_talib
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: qur-an
Date: Tuesday, April 19, 2005 11:50 PM

Salamun alaikum...

Tuan yang dirahmati Allah,

Saya ada beberapa kemusykilan berkenaan ayat alquran..

Surah PEMBUKAAN

1:5 Engkau sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkau sahaja kami meminta pertolongan.

Rakan saya orang bukan Islam mengatakan tak mungkin ayat tersebut di atas datang dari Allah... Kerana Allah tak perlu sembah siapa-siapa dan Allah juga tak perlu minta tolong dari sesiapa pun.

Salamun alaikum,

Terima kasih, terutamanya kerana sudi mengirim e-mail kepada kami dan maaf atas kelewatan menjawabnya.

Jadi, si rakan saudara itu mengandaikan bahawa 'kami' di situ ialah Allah!

Mengapa pula kalimat 'Allah' yang tercatat di ayat pertama ("Dengan nama Allah ...") tidak ditulis 'kami'? Atau di ayat kedua ("Segala puji bagi Allah ....")?

Siapa pula yang dianggapnya 'Engkau' di dalam ayat yang dibangkitkan? Tuhan lain yang lebih besar?

Kelihatan, dengan menekankan perkataan 'kami', seakan dia cuba menyamakan Allah dengan (konsep) tuhannya yang jamak, iaitu "tiga". Kerana dia diajar oleh orang-orang celik agamanya, kalau air boleh berada dalam tiga bentuk atau sifat, iaitu cecair, ice, dan wap, maka tuhan pun boleh jadi tiga!

Tuhannya seperti air! Seperti benda yang dicipta-Nya!

Kandungan surat disambung:


Kemudian, 

Surah GUA

18:86 Sehingga apabila dia sampai tempat terbenam matahari, dia dapati ia terbenam ke dalam mata air yang berlumpur, dan di situ dia dapati satu kaum...

Rakan saya tersebut juga bertanya saya, adakah matahari terbenam di dalam lumpur? 
Dengan soalan itu saya jadi terfikir balik adakah betul atau ada maksud lain. Sedangkan ayat Quran adalah jelas....

Saya rasa kitab quran mempunyai perkara-perkara yang berkaitan dengan sains tapi bila pasal matahari terbenam tu saya rasa semacam pulak...

Bagaimana pula jika dikatakan matahari terbenam ke dalam laut, seperti yang lazim mampu dilihat oleh mata kasar?

Sebenarnya, ayat 18:86 tadi jadi petunjuk kepada salah sebuah daripada tempat yang dijajahi oleh Zul-Karnain pada zaman dahulu. Abdullah Yusuf Ali (The Holy Qur'an, halaman 754) telah menjelaskan ayat tersebut di nota kaki 2430 berbunyi:

"If Zul-qarnain is Alexander the Great, the reference is easily understood to be to Lychnitis (now Ochrida), west of Macedonia. It is fed entirely by underground springs in a limestone region, where the water is never very clear."

Maka nama tempat matahari terbenam ke dalam mata air yang berlumpur itu mungkin Ochrida, di barat Macedonia, di mana airnya tidak pernah jernih disebabkan kawasan yang dipenuhi batu kapur.

Ayat tersebut adalah mengenai catatan dalam sejarah, bukan sains.

Selanjutnya kandungan surat berbunyi:


Satu lagi berkenaan kejadian janin dalam perut ibu... Depa kata ayat quran berkenaan part tu dah lama basi... sebab saintis-saintis hebat telah terlebih dahulu menemui benda-benda tu semua malah dengan lebih detail lagi... Lagi depa kata Muhammad cuma meniru benda yang dah ada dan knowledgenya amat terbatas dan sedikit...

Benarkah ada saintis-saintis hebat yang wujud sebelum kurun Masehi ke-7, dan yang lebih tahu daripada keterangan ayat-ayat Allah di bawah? Jika ada, sila namakan mereka.

"Kemudian Kami ciptakan daripada setitis mani, dadih darah; kemudian Kami ciptakan daripada dadih darah, seketul daging yang kecil; kemudian Kami ciptakan daripada seketul daging yang kecil, tulang; kemudian Kami kelubungkan tulang dengan daging; kemudian Kami tumbuhkan dia sebagai ciptaan yang lain. Berkatnya Allah, pencipta paling baik!" (23:14)

"Dia cipta kamu di dalam rahim ibu-ibu kamu, ciptaan demi ciptaan, dalam tiga kegelapan." (39:6)

Selepas memikirkan dan menulis perkara di atas kami teringat penulisan mengenainya sudah lama berada di laman web ini, tetapi dalam bahasa Inggeris. Sila rujuk artikel Koran and the Biomedical Sciences dan Scientific Revelation.

Selanjutnya kandungan surat berbunyi,


Lagi satu. Apa komen tuan berkenaan bumi itu rata seperti yang terdapat dalam quran... Kalau saya merujuk kepada tulisan ulamak lagilah memalukan saya...

Tidak ada ayat Tuhan di dalam al-Qur'an yang mengatakan bumi itu rata atau datar. Yang datar hanya langit. Firman-Nya,

"Dia yang ciptakan untuk kamu semua yang di bumi, kemudian Dia beranjak ke langit dan mendatarkannya tujuh langit; dan Dia tahu segala sesuatu." (2:29) dan,

"Dia naikkan bumbungnya (langit), dan mendatarkannya, ....... Dan bumi, sesudah itu, Dia bentangkannya," (79:28-30)

Bagi bumi pula, Dia hanya mengatakan "bentangkannya" (seperti ayat di atas, dan ayat-ayat 13:3, 15:19, 50:7).

Dan di dalam ayat di bawah, tetapi ditambah perkataan 'menghamparkan':

"Dan bumi - Kami bentangkannya; sangat baiknya yang menghamparkan!" (51:48)

Namun begitu, pembentangan dan penghamparan tersebut adalah seperti yang kita nampak sahaja, yang seterusnya tidak menunjukkan bentuk permukaan yang sebenar. Sila lihat ayat berikut:

"Dan Allah letak bumi untuk kamu sebagai hamparan," (71:19)

Kalau bumi itu dibentang seperti biasa, seperti kita membentang permaidani di lantai, mengapa pula Dia bertanya,

"Bagaimana bumi dibentangkan?" (88:20)

Dengan itu, tidak ada bukti di dalam al-Qur'an yang menunjukkan bahawa bumi adalah rata atau datar.

Walaupun Tuhan tidak mengatakan bumi itu bulat dengan jelas (dan kalau pun Dia mengatakan begitu tentu manusia ketika itu tidak percayainya jua) namun, Dia tentu beri bukti terhadapnya di dalam al-Qur'an.

Bagi kami, buktinya terdapat di dalam ayat berikut:

"Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, dan kapal yang berlayar di laut dengan manfaat kepada manusia, ....... adalah ayat-ayat (tanda-tanda) bagi kaum yang faham." (2:164)

Perhatian kepada kapal yang berlayar di laut sahaja. Semasa di bangku sekolah rendah dahulu, guru buktikan bumi ini bulat dengan kapal yang berlayar di laut. Kami masih ingat pada lukisannya di papan hitam (ketika itu papannya berwarna hitam). Mula-mula dia lukis garisan horizon. Kemudian asap kapal di atas garisan tersebut. Selepas itu dia melukis serombong kapal yang di atasnya asap tadi. Itu diiukti pula dengan lukisan sedikit daripada bahagian depan kapal, iaitu bahagian atas, yang menuju ke arah kami pelajar. Akhirnya dia melukis sepenuh "potret" bahagian depan kapal dengan air laut terbelah di bawah. Garisan horizon diletak di belakang kapal. Lukisannya sungguh menarik sehingga diingati sampai hari ini.

Mungkinkah idea yang menggunakan kapal di laut tersebut datang daripada Tuhan, seperti petunjuk-Nya di dalam ayat tadi?

Setakat itu sahaja daripada kami. Kami percaya orang-orang lain yang lebih arif dalam hal ini akan datangkan ayat-ayat yang lain pula.

Kembali kepada e-mail saudara Yusof. Bahagian akhirnya berbunyi:
 

Saya mohon agar tuan boleh beri penjelasan kepada saya. Saya lebih yakin dengan penjelasan dari tuan berbanding dengan yang lain2 since you have spent a lot of time doing research on quran. Hasil kerja tuan iaitu sebuah buku bacaan ..amat mengkagumi saya.

Seperti yang sedia maklum, al-Qur'an mengandungi berbagai-bagai ilmu, atau sains. Kami dapati sungguh ramai orang yang arif dalam ilmu-ilmu tersebut. Namun, tiada seorang pun yang boleh mengaku dia sudah menguasai kesemuanya. Apatah lagi dengan kami, yang tahu hanya 'asap' jika Tuhan mengatakan asap, atau setakat tahu asap itu gas sahaja, tetapi tidak tahu nama-nama gas yang berkaitan dan pengetahuan selanjutnya.

Bagi perkara seperti itu, atau mengenai bagaimana cara menundukkan orang agama lain yang mengutuk Islam, kenalah tanya orang lain yang bergiat di dalamnya. Pun begitu, bagi kritikan bukan Islam terhadap al-Qur'an kami sedia bantu sesiapa sahaja yang menentangnya, jika kami dapat membantu.

Terima kasih.

30 Jun 2005


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman