Kebenaran Mutlak

 

Bahagian kedua kandungan surat di bawah telah dipadam tetapi dijawab juga dalam jawapan kami yang tertumpu kepada bahagian pertama, iaitu yang tidak dipadam. Surat tersebut telah dibalas, tetapi jawapannya mungkin berlainan sedikit daripada apa yang didapati di sini.

Format bagi jawapan kepada e-mail pengunjung yang diterbitkan akan dipelbagaikan dari semasa ke semasa, sebagaimana yang dilakukan kali ini.

 

From: "M.Syah" <m_syah_07@yahoo.com>
Subject: Re: Mutlak
Date: Saturday, February 08, 2003 1:28 PM


Salam utk hamba Allah,

Sangat berterima kasih atas huraian tuan. Maka di sinilah terbuktinya sangkaan orang2 yang pernah berdiskusi dengan saya bahawasanya golongan yang berpeggang kepada Quran saja mengatakan diri mereka di atas kebenaran mutlak. Setiap hukum2 yang dikeluarkan mereka bersandarkan Quran telah muktamad benar.

<dipadam>

Terima kasih
Keselamatan di dalam Agama Allah
M.Syah

Ada dua perkara yang ingin dibangkitkan daripada kandungan surat di atas. Pertama, mengenai kenyataan yang berbunyi "bahawasanya golongan yang berpeggang kepada Quran saja mengatakan diri mereka di atas kebenaran mutlak."  

Kami percaya semua pihak bersetuju bahawa penulis surat kelihatan bersetuju dengan sangkaan atau tuduhan yang didengarinya itu.

Sebelum meneruskan jawapan, kami maklumkan iaitu frasa "kebenaran mutlak" tidak kami jumpai di dalam al-Qur'an. Hanya yang dijumpai adalah kalimat "kebenaran" atau frasa "kebenaran yang nyata" (27:79). Bagi kami, pilihan kata adalah agak penting dalam agama Allah.

Kenyataan tersebut, pada hemat kami, tidak bersifat benar dan adil sebab golongan lain, terutamanya mereka yang menggelar diri sebagai "ulama" serta pengikut-pengikutnya, dan ustaz-ustazah, juga kelihatan menganggap diri mereka berada di atas "kebenaran mutlak". 

Tidakkah pihak yang bersangka buruk itu pernah mendengar orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an digelar "sesat" (sekadar memetik satu gelaran sahaja) oleh golongan agama tersebut? Atau, mereka tidak pernah menonton TV, membaca surat khabar, mendengar khutbah Jumaat, syarahan-syarahan agama, melayari laman-laman web, dan sebagainya, yang melaung-laungkan "kesesatan" orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an saja, atau menyalahkan kepercayaan mereka? 

Tindakan serupa itu tentu lahir daripada kesedaran yang diri mereka sedang berada di atas "kebenaran mutlak".

Tambahan pula, pihak yang bersangkaan itu harus sedari bahawa setiap orang yang "beragama" termasuk mereka yang berada di dalam pelbagai kumpulan tarekat agama menganggap diri masing-masing berada di atas "kebenaran mutlak". Mungkin termasuk saudara penulis surat itu sendiri! (Maaf, sekiranya kami tersilap.)

Sehubungan itu, sila renungkan ayat berikut, di mana Allah menyatakan orang-orang yang mengambil syaitan sebagai sahabat pun menganggap diri mereka dapat petunjuk, atau berada di atas "kebenaran mutlak". Firman-Nya:

"Segolongan Dia beri petunjuk, dan segolongan wajar dengan kesesatan; mereka ambil syaitan-syaitan sebagai wali-wali (sahabat-sahabat), selain daripada Allah, dan mereka sangka mereka dapat petunjuk." (7:30)

Bagi kami pula, dengan pendirian kami, kami juga percaya kepada ayat-ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang tulus hati; mungkin Pemelihara kamu akan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan masukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai." (66:8)

"Atau, adakah orang yang patuh pada waktu malam, sujud dan berdiri, sedang dia takut pada akhirat, dan mengharapkan pengasihan Pemeliharanya?" (39:9)

Perkataan "mungkin" dan "mengharapkan" tidak menunjukkan "pasti" dan itulah pendirian kami. Kami hanya berusaha, rela dibetulkan apabila tersilap, dan tidak menggelar orang-orang yang berfahaman lain sesat, atau menuduh mereka beranggapan berada di atas "kebenaran mutlak".

Maka tuduhan itu tidak seharusnya dibuat atau disetuju jua, dan tidak perlu dikirim kepada kami.

Apakah pula tujuan mengirim tuduhan itu kepada kami, sambil enggan melihat kepada golongan lain yang nyaring ketika menyuarakan dengan senyap yang mereka berada di atas "kebenaran mutlak"? Apakah mesej sebenar dalam kata-kata penulis surat yang berbunyi "Sangat berterima kasih atas huraian tuan. Maka di sinilah terbuktinya sangkaan orang2 yang pernah berdiskusi dengan saya bahawasanya ...." setelah jawapan daripada kami kepada suratnya yang terdahulu diterima?

Kami berpendapat iaitu adalah hanya membazirkan masa untuk membicarakan kelemahan orang lain bagaimana yang nampak dilahirnya sahaja. Sebaliknya, pihak yang buat tuduhan itu, dan penulis surat yang kelihatan bersetuju dengannya, harus menggunakan masa itu untuk membaca dan mengkaji al-Qur'an, dan kemudian menerbitkan dapatan mereka, dan seterusnya, biarlah para pembaca melihat dan menilai pelbagai fahaman yang wujud, untuk memilih yang paling baik, sebagaimana yang dituntut Allah. Firman-Nya:

"Yang mendengar ucapan, dan ikut yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah beri petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang empunya minda." (39:18)

Beralih kepada perkara yang kedua, dan terakhir, iaitu mengenai al-Qur'an. Kenyataan saudara yang dihormati itu dirujuk, berbunyi "Setiap hukum2 yang dikeluarkan mereka bersandarkan Quran telah muktamad benar."

Beliau tidak bermaksud al-Qur'an tidak bersifat muktamad benar. Tetapi terjemahan yang diguna oleh orang-orang al-Qur'an itulah yang bukan muktamad benar (sebab itu mereka tidak berada di atas "kebenaran muktamad").

Kerana menurut beliau (di bahagian surat yang dipadam) - "Setahu saya di dunia ini tiada manusia yang berkemampuan mutlak menterjemah, mentafsir atau menghuraikan firman Allah yang ketahap mutlak benar". Dengan itu, penulis surat percaya bahawa Allah sahaja yang benar-benar memahami kata-kata-Nya (kami tidak menggunakan frasa "mutlak benar" kerana ia, seperti "kebenaran muktamad", bukan frasa al-Qur'an). Beliau tidak percaya bahawa manusia boleh faham ayat-ayat Allah dengan sempurna.

Kalau begitu, di akhirat kelak, beritahu Dia yang anda tidak dapat ikut petunjuk al-Qur'an sebab hanya Dia saja yang tahu maksudnya yang sebenar.

Akan tetapi, sebelum itu, renungkan ayat Allah yang berikut:

"Kami turunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham." (12:2)

Bermaksud, al-Qur'an yang mengandungi "kebenaran mutlak" diturunkan supaya difahami, kata Allah dengan benar. Bererti al-Qur'an itu mampu difahami oleh manusia. Takkan Dia turunkan sebuah kitab petunjuk bagi manusia, yang akan ditanya di akhirat kelak, dengan dibuat-Nya tidak difahami oleh manusia!

Jangan pulak ada pihak percayai bahawa bahasa Arab itu amat sukar diterjemahkan kepada bahasa lain lalu "kebenaran mutlak" tidak mampu diertikan oleh manusia di bumi ini. Sila rujuk ayat 16:103 dan 26:195 yang menyatakan bahasa Arab al-Qur'an itu jelas.

Lagi, bagaimana pula penulis surat mengertikan ayat-ayat 15:1, 27:1 dan 36:69 yang menyatakan al-Qur'an itu jelas? Atau ayat 3:7, mengenai muhkamat dan mutasyabihat? Atau ayat "kebenaran yang nyata" yang telah disebut?

Satu lagi sebab mengapa ayat-ayat al-Qur'an, mengenai hukum, yang dipakai oleh orang-orang al-Qur'an tidak bersifat "mutlak benar" (lalu mereka tidak berada di atas "kebenaran mutlak") kerana ayat-ayat itu adalah hanya pecahan (fragments). Kenyataan penulis surat yang berkaitan, di bahagian surat yang telah dipadam, dirakamkan di sini, berbunyi "Kita juga ambil firman Allah dengan sepotong2 (fragmented) saja sebagai penerangan dan tidak mampu keseluruhan..." Beliau berhenti di situ.

Dengan kata-kata itu, dapatlah disimpulkan iaitu orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an hanya memakai fragments sahaja dalam penerangan mereka, mengenai hukum, kerana "tidak mampu keseluruhan ..." 

(Kalaulah frasa "kebenaran yang nyata" daripada Allah itu dipakai, bukan "kebenaran mutlak" seperti yang diinput kepadanya, tentu penulis surat tidak berkata "tidak mampu keseluruhan ..."*)

Malahan, kami dapati pula daripada al-Qur'an bahawa ia, kitab al-Qur'an, tidak berciri pecahan (fragmented), kerana Allah didapati murka terhadap orang-orang yang memecah-memecahkannya (15:91).

Sebab yang terakhir dicatat di sini ialah mengenai ilmu. Tetapi, tidak pula dinyatakannya jenis ilmu yang harus diperolehi untuk memahami al-Qur'an hingga  "mampu keseluruhan ..."

Mungkin beliau bermaksud ilmu sains, umpamanya. Benar, hanya saintis yang mampu beri penjelasan ke atas ayat-ayat yang saintifik. Tapi, untuk menterjemahkan ayat-ayat tersebut kepada bahasa lain, seseorang tidak perlu jadi saintis. Sila rujuk bahagian Penemuan laman web ini.

Atau, beliau bermaksud ilmu yang bersifat mistik, yang kononnya datang dari langit, dan menunggu-nunggu akan kedatangannya. Menunggu interpretasi dari langit untuk memahami al-Qur'an! Kalau begitu, renunglah ayat berikut:

"Dan Kami telah datangkan kepada mereka sebuah Kitab yang Kami jelaskan, berdasarkan pengetahuan, menjadi satu petunjuk, dan satu pengasihan, bagi kaum yang percayai. Adakah mereka menanti-nanti hanya interpretasinya? Pada hari interpretasinya datang, orang-orang sebelumnya yang telah melupakannya, akan berkata, 'Sungguh, Rasul-Rasul Pemelihara kami telah datang dengan yang benar ....'" (7:52-53)

Itu adalah amaran. Interpretasinya tidak akan datang, kerana al-Qur'an sudah dibuat-Nya jelas.

Maaf, kami ingin berhenti di sini. Supaya tuduhan yang kami saja berada di atas "kebenaran mutlak" tidak dipanjangkan lagi.


*
cadangan selanjutnya

Adalah lebih baik juga dipakai kalimat "petunjuk" atau "petunjuk yang benar" (2:16, dll) atau "petunjuk yang lurus" (22:67) seperti yang Allah guna di dalam al-Qur'an untuk menggantikan frasa "kebenaran mutlak" yang bombastic lagi mengelirukan. Lalu tuduhan itu berbunyi "bahawasanya golongan yang berpeggang kepada Quran saja mengatakan diri mereka di atas petunjuk yang benar atau petunjuk yang lurus." Dengan itu, kitab al-Qur'an dapat di-scan dengan mudah untuk mencari siapa orang-orangnya yang dapat petunjuk, atau yang berada di atas petunjuk yang benar atau petunjuk yang lurus.

"Sesungguhnya Kami mudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya?" (54:17, 22, 32 & 40)

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman