Siapa Ulil Amri?
Perkataan amri terbit dari kata amara yang lazimnya diterjemah kepada perintah. Kerana itu ulil amri diertikan umat sebagai orang-orang yang memerintah, seperti ketua atau pembesar negara.
Pakar
Namun, al-Qur'an beri pengertian yang agak berlainan sedikit. Ia mengertikan ulil amri sebagai orang-orang yang "memerintah" dalam sesuatu bidang, kerana pengetahuan yang ada pada mereka setelah buat penyelidikan dalam bidang tersebut. Umpamanya bidang keamanan atau ketakutan, seperti yang dicontohkan di dalam ayat berikut:
"Apabila datang kepada mereka suatu urusan, sama ada daripada keamanan atau ketakutan, mereka siarkannya; tetapi jika mereka kembalikannya kepada Rasul, dan kepada ulil amri, orang-orang antara mereka yang ditugaskan untuk selidikinya, tentu akan ketahuinya. Dan sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu, dan pengasihan-Nya, tentu kamu akan ikut syaitan, kecuali sedikit." (4:83)
Ayat itu menunjukkan seolah-olah Rasul tidak tahu dengan mendalam mengenai perkara keamanan dan ketakutan tersebut (atau keselamatan dalam negeri). Yang mengetahuinya adalah "orang-orang antara mereka yang ditugaskan untuk menyelidikinya", atau yang dipanggil ulil amri.
Bacaan menterjemahkan ulil amri kepada "orang-orang yang dalam urusan" bukan orang-orang yang memerintah (ketua atau pembesar negara). Orang-orang yang dalam urusan itu pula bermaksud mereka yang menyelidiki, atau yang pakar, lagi yang mengetuai, dalam sesuatu bidang.
Pembesar
Bagi ketua atau pembesar, atau orang-orang yang memerintah, Tuhan (yang mencipta bahasa Arab) telah menggunakan kalimat lain di dalam Kitab-Nya. Kalimat yang dimaksudkan adalah seperti sayyid (ketua) atau kabir (pembesar). Contohnya adalah seperti berikut:
"Mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, kami telah taati ketua-ketua kami (saadatanaa) dan pembesar-pembesar kami (kubaraa-anaa), dan mereka sesatkan kami daripada jalan." (33:67)
Bagi raja, Dia menggunakan kalimat malik. Antara ayat-ayat yang mengandungi kalimat tersebut, yang sangat menarik, adalah 2:247, 5:20, 12:43, 18:79, dan 27:34.
Gelaran lain bagi pembesar negara, iaitu al-aziz, yang bermaksud gabenor, juga diguna Allah di dalam Kitab-Nya (12:30).
Lantaran itu, ketua-ketua atau pembesar-pembesar negara, tidak seharusnya dipanggil ulil amri, tetapi pakar-pakar yang mengetuai sesuatu bidang, seperti kepolisian, ketenteraan, perbendaharaan, pendidikan, perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya, adalah mereka yang dimaksudkan.
Teladan
Pada cerita Nabi Yusuf ada teladan yang baik bagi ulil amri. Pentadbir perbendaharaan negara yang berpengetahuan itu jadi begitu dikagumi sehingga dipanggil orang dengan gelaran al-aziz atau "yang perkasa" (12:78). Ketika itu negaranya sedang dilanda bencana alam.
Ditaati
Ulil amri haruslah ditaati. Itu perintah Tuhan. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan ulil amri antara kamu. Jika kamu berbalah dalam sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; itu lebih baik, dan kesudahan yang lebih baik." (4:59)
Sebab mereka yang pakar itu ditaati adalah supaya umat tidak condong kepada kehendak syaitan (lihat ayat 4:83 di atas) yang hanya akan datangkan kacau-bilau, ketakutan, kucar-kacir, atau bencana yang lebih berat lagi, kepada umat yang seharusnya hidup sejahtera. Apabila timbul perbalahan, seperti pada hukum, maka hendaklah Allah dan Rasul (atau al-Qur'an) dirujuk, serta ditaati.
Penulis
Bacaan
Ramadan / November 2002
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman