Sumpah
menurut petunjuk al-Qur'an

 

"Tidak! Aku bersumpah dengan tempat jatuh bintang-bintang, Dan ia sesungguhnya adalah sumpah yang besar, sekiranya kamu mengetahuinya, Sesungguhnya ia adalah sebuah al-Qur'an yang mulia," (56:75-77).

Allah bersumpah dengan sumpah yang besar bahawa ia adalah al-Qur'an yang mulia. Itu lafaz sumpah-Nya yang pertama, daripada lapan dirakam di dalam al-Qur'an, kebanyakan mengenai al-Qur'an juga.

Manusia juga bersumpah, antaranya jadi perjanjian dengan Allah. Perjanjian atau sumpah tersebut adalah atas Kitab diturunkan kepada mereka yang harus disampaikan tanpa sembunyikan mana-mana bahagian daripadanya (3:187). Ayat-ayat berikut pula menunjukkan sumpah berkenaan tidak dijual dengan sebarang harga (apapun harganya ia adalah sedikit) dan ia tidak dilanggar:

"Sesungguhnya orang-orang yang menjual perjanjian Allah dan sumpah-sumpah mereka untuk harga yang sedikit, mereka itu tidak dapat bahagian mereka di akhirat; Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka, dan tidak pandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan Dia tidak juga menyucikan mereka; dan bagi mereka, azab yang pedih" (3:77),

"Tepatilah perjanjian Allah apabila kamu buat perjanjian, dan janganlah melanggar sumpah-sumpah setelah kukuhkannya, dan kamu buat Allah penjamin kamu; sesungguhnya Allah tahu apa kamu buat" (16:91).

Sumpah ditunaikan, tidak dilanggar kerana Allah dijadikan penjamin, dan tidak juga ditukar walaupun sedikit, sehingga terdapat antara orang-orang mukmin sanggup mati demi menunaikan sumpah mereka, sementara yang lain masih menunggu. Firman-Nya,

"Antara orang-orang mukmin terdapat lelaki-lelaki yang benar terhadap perjanjian mereka dengan Allah; antara mereka telah menunaikan sumpah mereka dengan kematian, dan antara mereka masih menunggu, dan mereka tidak menukarkan dengan sesuatu pertukaran," (33:23).

Demikianlah rupa sumpah atau perjanjian manusia dengan Allah.


Perjanjian manusia dengan Rasul Allah diterangkan juga sebagai perjanjian dengan Allah. Ia berbentuk janji setia, yang jadi sumpah bagi orang-orang yang berjanji setia kepada baginda. Firman-Nya,

"Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa mungkiri sumpahnya, hanyalah mungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa tepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan beri kepadanya upah yang besar." (48:10)

Sesiapa mungkiri sumpahnya, hanyalah mungkiri terhadap dirinya sendiri. Hanya dirinya sahaja yang menerima padah. Sebaliknya, bagi orang yang menepatinya pula akan menerima upah yang besar.


Turut dibuat ialah perjanjian atau sumpah di kalangan manusia biasa, misalan antara orang-orang mukmin dengan orang-orang tidak percaya, seperti mereka yang sekutukan Allah. Sumpah dalam perjanjian mereka dibatalkan apabila mereka mungkirinya, dan ia boleh mengheret kepada peperangan atas sebab-sebab tertentu. Ayat di bawah menjelaskan:

"Tetapi jika mereka mungkiri sumpah-sumpah mereka setelah perjanjian mereka, dan mencela agama kamu, maka perangilah imam-imam (ketua-ketua) orang-orang tidak percaya; bagi mereka tidak ada sumpah, supaya mereka berhenti.
Tidakkah kamu akan perangi kaum yang mungkiri sumpah-sumpah mereka, dan bermaksud untuk mengusir Rasul, memulakan pada kali pertama terhadap kamu? Adakah kamu takut pada mereka? Adalah lebih baik bagi kamu untuk menakuti Allah, jika kamu orang-orang mukmin." (9:12-13)


Dengan Allah

Sumpah lazimnya disebut dengan Allah, atau menyebut Demi Allah, diguna oleh saksi, contoh atas wasiat yang dibuat oleh orang ditimpa maut. Wasiat dimaksudkan ialah yang tidak ditulis oleh si mati. Ayat-ayat di bawah (5:106-108) menghuraikan sumpah tersebut dengan lebih jelas:

Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: "Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa."

Jika didapati bahawa kedua-duanya benar dengan dosa, maka dua yang lain akan berdiri di tempat mereka, daripada orang-orang yang paling dekat dengan mereka yang berkenaan, lalu mereka bersumpah dengan Allah: "Kesaksian kami lebih benar daripada kesaksian mereka, dan kami tidak mencabuli; jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang zalim."

Maka ia lebih dekat bahawa mereka akan datangkan kesaksian yang sebenarnya, atau mereka takut bahawa sesudah sumpah mereka, sumpah akan dikembalikan. Takutilah Allah, dan dengarlah; Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang fasiq.

Takutilah Allah kerana sumpah akan dikembalikan, atau ditanya, kepada orang yang lakukannya. Dia yang tidak datangkan kesaksian sebenar atas wasiat adalah seorang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan) yang tidak diberi petunjuk Allah.

Wasiat melibatkan para waris, dan daripada harta ditinggalkan si mati terbahagi juga kepada orang-orang yang terikat dengan sumpahnya, seperti anak angkat, atau lain, misalan sesuatu pertubuhan kebajikan. Firman-Nya,

"Dan bagi tiap-tiap orang, Kami lantik waris-waris daripada apa yang ibu bapa dan sanak saudara tinggalkan, dan orang-orang yang terikat dengan sumpah kamu, maka beri mereka bahagian mereka; sesungguhnya Allah adalah saksi atas segala sesuatu." (4:33)


Bersumpah dengan Allah menurut petunjuk al-Qur'an turut dilakukan oleh orang-orang munafik setelah ditimpa penderitaan atas sesuatu mereka lakukan. Contoh kedua yang diturunkan di sini ialah sumpah musuh Nabi Salleh yang merancang membunuhnya. Ayat-ayat berkenaan berbunyi,

"Bagaimanakah ia, apabila mereka (yang munafik) ditimpa penderitaan kerana apa yang tangan-tangan mereka sendiri dahulukan, kemudian mereka datang kepada kamu, bersumpah dengan Allah, 'Kami hanya hendak yang baik dan pendamaian'?
Mereka itulah orang-orang yang Allah tahu apa yang di dalam hati mereka. Berpalinglah kamu daripada mereka dan tegurkanlah mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang menusuk jiwa mereka." (4:62-63)

"Dan Kami utus kepada Tsamud, saudara mereka Salleh, 'Sembahlah Allah!' Dan tiba-tiba, mereka jadi dua golongan yang bertengkar dengan satu sama lain.... Dan di kota, ada sekumpulan sembilan orang yang buat kerosakan di bumi, dan tidak membetulkan. Mereka berkata, 'Bersumpahlah kamu, satu sama lain, dengan Allah, 'Kita akan serangnya dan keluarganya pada malam hari, kemudian kita mengatakan kepada walinya, kita tidak saksikan kebinasaan keluarganya; dan sesungguhnya kitalah orang-orang yang benar.'" (27:45-49)


Selanjutnya Kitab beri beberapa contoh orang-orang yang bersumpah dengan Allah sewaktu peperangan. Saksikan sumpah-sumpah mereka yang diturunkan hanya tiga sahaja di bawah:

"Sekiranya ia satu keuntungan yang dekat diperolehi, dan satu perjalanan yang mudah, tentu mereka ikut kamu; tetapi jarak perjalanan yang dituju itu jauh bagi mereka. Mereka masih bersumpah dengan Allah, "Sekiranya kami boleh, tentu kami keluar bersama kamu", maka mereka musnahkan diri-diri mereka; dan Allah, Dia tahu bahawa mereka sebenarnya pendusta-pendusta." (9:42)

"Mereka bersumpah dengan Allah bahawa mereka adalah daripada kamu, tetapi mereka bukanlah daripada kamu; mereka adalah kaum yang takut." (9:56)

"Mereka bersumpah kepada kamu dengan Allah, untuk menyenangkan hati kamu; tetapi Allah dan Rasul-Nya - adalah lebih berhak untuk mereka menyenangkan hati-Nya, jika mereka orang-orang mukmin." (9:62)

Dalam sumpah mereka terdapat alasan untuk tidak pergi berjuang (alasan mungkin terdengar juga pada hari ini, kerana takut). Lagi, mereka didapati cuba menyenangkan hati Rasul, tetapi hati Allahlah yang patut disenangkan, bukan Rasul, laksana dilakukan orang-orang mukmin.

Tambahan pula, jika mereka bersumpah supaya Rasul berpuas hati terhadap mereka, namun jika Rasul sangat berpuas hati terhadap mereka pun, Allah tetap tidak berpuas hati terhadap kaum yang fasiq. Firman-Nya, "Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu sangat puas hati terhadap mereka; tetapi, jika kamu sangat puas hati terhadap mereka, sungguh, Allah tidak puas hati terhadap kaum yang fasiq" (9:96).


Dengan Allah Segenap Hati

Bersumpah dengan Allah diteguhkan lagi dengan dilakukan segenap hati. Terdapat beberapa ayat al-Qur'an yang berkaitan tetapi tiga juga diturunkan di bawah:

"Mereka bersumpah dengan Allah, dengan sumpah segenap hati, bahawa jika satu ayat (mukjizat) datang kepada mereka, mereka akan percayainya. Katakanlah, 'Ayat-ayat hanyalah di sisi Allah.' Apakah yang akan buat kamu sedar bahawa, apabila ia datang, mereka tidak akan percayai?" (6:109)

"Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati, bahawa jika kamu suruh mereka, mereka pasti akan keluar. Katakanlah, 'Janganlah bersumpah; ketaatanlah yang baik. Sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat.'" (24:53)

"Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati bahawa jika seorang pemberi amaran datang kepada mereka, tentu mereka lebih dapat petunjuk daripada mana-mana satu umat; tetapi apabila seorang pemberi amaran datang kepada mereka, ia hanya menambahkan mereka dalam pelarian," (35:42).

Sumpah-sumpah itu, walaupun dilakukan segenap hati, kepada Rasul, adalah bohong belaka. Mereka berbohong bila bersumpah akan percaya jika satu mukjizat didatangkan kepada mereka, dan akan keluar berjuang bila disuruh, dan akan dapat petunjuk jika seorang pemberi amaran datang kepada mereka.

Janganlah bersumpah, lakukan ketaatan adalah yang lebih baik!

Baginda pula, didapati tidak langsung buat sebarang sumpah kepada orang-orang yang mengikutinya. Tidak ada satu ayat pun yang menyebut baginda telah buat demikian. Tidak seperti sang Iblis, yang menurut firman berbunyi, "Dan ia bersumpah kepada mereka, 'Sesungguhnya aku, kepada kamu, adalah penasihat'" (7:21).


Sumpah Bohong

Banyak sumpah bohong diceritakan al-Qur'an untuk beri peringatan tentang sumpah manusia. Hari ini bersumpah, berjanji setia, tetapi hari esok entah apa pula yang dilakukan! Catatan mengenai sumpah bohong diteruskan dengan menyebut cerita pendusta-pendusta yang bersumpah kepada Allah!

"Pada hari apabila Allah bangkitkan mereka kesemuanya dan mereka bersumpah kepada-Nya, sebagaimana mereka bersumpah kepada kamu, dan sangka mereka berada di atas sesuatu. Sesungguhnya merekalah pendusta-pendusta!" (58:18)

Mereka tidak berada di atas sesuatu kerana melupakan Peringatan Allah, menurut ayat yang menyusuli (58:19). Sumpah itu telah juga dilempar kepada Rasul. Sumpah bohong kepada Rasul diceritakan lagi, iaitu mengenai orang-orang yang bersahabat dengan kaum yang Allah murkai tetapi bersumpah bahawa mereka segolongan dengan golongan Rasul, di dalam ayat berbunyi,

"Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang jadikan, sebagai sahabat-sahabat, satu kaum yang Allah murkai? Mereka bukanlah daripada kamu, dan bukan juga daripada mereka; dan mereka bersumpah bohong, sedang mereka mengetahuinya." (58:14)

Pendusta-pendusta turut didapati bersumpah bohong mengenai masjid, yang mereka guna dalam pertentangan, ketidakpercayaan, dan memecahkan orang-orang mukmin, tetapi bersumpah bahawa mereka lakukan kebaikan. Keadaan ini tidak asing di sini. Firman Allah,

"Dan orang-orang yang ambil masjid dalam pertentangan, dan ketidakpercayaan, dan memecahkan orang-orang mukmin, dan tempat memerangkap orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelumnya; mereka bersumpah, 'Kami tidak hendak sesuatu melainkan kebaikan'; dan Allah saksikan bahawa mereka adalah pendusta-pendusta." (9:107)

Lalu masjid-masjid serupa itu dijauhi oleh orang-orang mukmin.


Selimut dan Tipu Muslihat

Sumpah diguna sebagai selimut adalah untuk menghalangi jalan Allah. Mengenainya dipetik dua ayat. Pertama, mereka yang mengambil sebagai sahabat satu kaum yang Allah murkai, tetapi bersumpah mereka berdiri segolongan dengan Rasul:

"Mereka ambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, dan halangi jalan Allah; maka bagi mereka, azab yang hina." (58:16)

Kedua, mengenai orang munafik yang buat penyaksian atas kerasulan Muhammad berbunyi, “Kami saksikan bahawa kamu (Muhammad) benar-benar Rasul Allah” (63:1). Ayat yang mengikutinya menunjukkan bahawa sumpah itu adalah hanya selimut untuk menghalangi jalan Allah, iaitu jalan yang ditunjuk oleh al-Qur'an:

"Mereka ambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka halangi jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa mereka buat." (63:2)


Kepada sumpah tipu muslihat pula. Ia diguna juga untuk menghalangi jalan Allah. Diturunkan dua ayat yang berkait rapat:

"Dan janganlah jadi seperti perempuan yang memutuskan benangnya, setelah ia ditenun dengan kuat, kepada serabut, dengan mengambil sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, kerana kamu umat yang lebih ramai daripada umat yang lain. Allah hanya menguji kamu dengannya; dan sungguh Dia akan menjelaskan kepada kamu pada Hari Kiamat apa yang kamu padanya kamu selisihkan." (16:92)

Sumpah tersebut adalah perjanjian dengan Allah menurut ayat terdahulu, dan diguna sebagai tipu muslihat kerana berada dalam golongan lebih ramai daripada orang lain. Sumpah tipu muslihat ini, menurut ayat selanjutnya, dilakukan untuk menghalangi jalan Allah:

"Janganlah jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, supaya kaki tidak tergelincir setelah ia berdiri teguh, dan kamu akan rasakan keburukan kerana kamu halangi jalan Allah, dan bagi kamu, azab yang besar." (16:94)


Mengharamkan Sesuatu

Manusia juga didapati bersumpah untuk tidak lakukan sesuatu. Empat contoh diturunkan di sini. Pertama, bersumpah tidak beri orang-orang tertentu kerana marah, yang dinasihatkan supaya memaaf dan ampunkan mereka:

"Janganlah orang-orang antara kamu yang mempunyai pemberian dan keluasan bersumpah untuk tidak memberi sanak saudara, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang hijrah di jalan Allah; tetapi hendaklah mereka maafkan dan ketepikan. Tidakkah kamu suka bahawa Allah akan ampun kamu? Allah Pengampun, Pengasih." (24:22)

Kedua, sumpah yang tidak harus dilaksana walaupun sumpah disuruh Allah tidak dimungkiri. Misalan yang diberi ialah tidak membetulkan antara manusia yang dituntut Allah. Maka dalam ketaatan dan ketakwaan kepada-Nya perkara itu, membetulkan antara manusia, hendaklah dilaksana sambil tidak jadikan Allah penghalang:

"Janganlah buat Allah satu penghalang, melalui sumpah-sumpah kamu, untuk menjadi taat, dan bertakwa, dan membetulkan antara manusia. Allah Mendengar, Mengetahui." (2:224)

Ketiga, sumpah yang dikenakan denda. Di sini dendanya menunggu empat bulan sebelum suami isteri bercampur semula. Atau bercerai selepas tempoh tersebut:

"Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka tunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:226)

Dan keempat mengenai Nabi. Baginda telah mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah semata-mata untuk memuaskan hati isteri-isteri baginda. Perbuatan mengharamkan itu diterangkan sebagai sumpah, tetapi Allah telah membebaskan baginda daripada sumpah tersebut:

"Wahai Nabi, mengapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu, untuk mencari kepuasan hati isteri-isteri kamu? Dan Allah Pengampun, Pengasih. Allah tetapkan bagi kamu pembebasan daripada sumpah-sumpah kamu. Allah Pelindung kamu, dan Dia Yang Mengetahui, Yang Bijaksana." (66:1-2)


Sumpah Tidak Sengaja

Bersumpah adalah dengan mulut, hati dan perbuatan. Kalau dengan mulut sahaja ia jadi sumpah yang tidak sengaja lalu tidak dipertanggungjawabkan, menurut firman bermaksud,

"Allah tidak pertanggungjawabkan kamu atas sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia pertanggungjawabkan kamu atas apa yang hati-hati kamu usahakan; dan Allah Pengampun, Penyantun." (2:225)

Sumpah sebenar diikat dengan hati dan perbuatan. Namun, ikatan itu dapat dilepaskan dengan menunaikan penebusnya seperti digariskan di dalam ayat berbunyi,

"Allah tidak pertanggungjawabkan kamu kerana sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia pertanggungjawabkan kerana ikatan yang kamu buat dengan sumpah-sumpah itu. Penebusnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang biasa kamu beri keluarga kamu, atau memberi pakaian mereka, atau merdekakan seorang hamba. Jika sesiapa tidak dapatkannya, hendaklah dia berpuasa tiga hari. Itu penebus bagi sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah; jagalah sumpah-sumpah kamu. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu berterima kasih." (5:89)


Maka jagalah sumpah setelah bersumpah. Apabila bersumpah ia bukan sumpah bohong, tidak jadikannya sebagai selimut mahupun tipu muslihat. Dan berhati-hati sebelum berkata sesuatu, takut nanti ia jadi sumpah yang mengikat. Peringatan berakhir dengan nasihat supaya tidak mentaati setiap orang yang bersumpah yang berkelakuan keji. Firman Allah,

"Dan janganlah kamu taati setiap orang yang bersumpah, yang keji," (68:10).


Allah disanjung!


Sila rujuk:
Kalimat
Sumpah
Artikel
Perjanjian

Penulis Bacaan
22 Sept 2011
 

Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman