JIN di dalam al-Qur'an

 

Dua makhluk yang dicipta oleh Tuhan dan kemudian diperintah upaya menyembah-Nya adalah jin dan manusia. Walaupun sama dalam perintah namun dalam ciptaan mereka terdapat perbezaan yang besar.

Tidak seperti manusia yang dicipta daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk (15:26), makhluk jin dicipta daripada api yang membakar, yang tiada asap. Demikianlah mengikut penjelasan dua ayat al-Qur'an yang berikut:

"Dan jin, Kami cipta sebelumnya daripada api yang membakar." (15:27)

"Dan Dia cipta jin daripada api yang tiada asap." (55:15)

Sebaliknya, seperti manusia pula, mereka mempunyai keturunan. Antara keturunannya jadi musuh bagi manusia, iaitu keturunan Iblis. Kerana ia lakukan kefasiqan terhadap perintah Tuhan. Allah berfirman,

"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam'; maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia adalah daripada jin, dan ia lakukan kefasiqan terhadap perintah Pemeliharanya. Apa, adakah kamu ambil ia dan keturunannya untuk menjadi wali-wali (sahabat-sahabat) kamu, selain daripada Aku, sedang mereka musuh bagi kamu?" (18:50)

Manusia dilarang ambil Iblis dan keturunannya sebagai sahabat atau wali. Selain itu, jin dijadikan sekutu bagi Allah, dipercayai serta disembah, oleh sesetengah manusia. Firman-firman-Nya:

"mereka adakan bagi Allah, sebagai sekutu-sekutu, jin, padahal Dia yang cipta mereka." (6:100)

"tetapi mereka sembah jin; kebanyakan mereka mukmin pada mereka." (34:41)

Mungkin di kalangan manusia yang buat demikian lakukannya dengan tanpa disedar. Macam mereka yang jadikan orang alim sebagai sekutu Allah, tetapi menafikannya.

Pengaruh jin begitu kuat sehingga terdapat manusia yang percayai mereka berkeluarga dengan Tuhan, walaupun mereka tahu bahawa mereka akan dihadapkan kepada-Nya pada hari akhirat, seperti manusia. Firman-Nya,

"Mereka adakan satu pertalian keluarga antara Dia dan jin; dan jin tahu bahawa mereka akan dihadapkan." (37:158)

Terdapat juga manusia yang diambil oleh jin lalu mereka dapat kesenangan daripadanya. Kesenangan mereka hanya di dunia, tidak di akhirat. Tuhan menjelaskan,

"Pada hari Dia kumpulkan mereka kesemuanya: 'Wahai golongan jin, kamu telah banyak ambil daripada manusia.' Kemudian sahabat-sahabat mereka di kalangan manusia berkata, 'Wahai Pemelihara kami, sebahagian kami telah dapat kesenangan daripada sebahagian yang lain, dan kami telah sampai tempoh yang Engkau tentukan bagi kami.' Dia berkata, 'Apilah tempat tinggal kamu, di dalamnya tinggal selama-lamanya'; kecuali seperti yang Allah hendaki; sesungguhnya Pemelihara kamu Bijaksana, Mengetahui." (6:128)

Ada pula manusia yang meminta perlindungan daripada jin. Mereka terdiri daripada kaum lelaki, dan daripada golongan jin yang diminta, adalah lelaki juga. Perbuatan itu menambahkan mereka dalam kekejian. Firman-Nya,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6). 

Ayat di atas merupakan amaran bagi sesiapa yang ingin ambil perlindungan daripada jin. Satu lagi contoh amalan yang diterangkan keji menurut al-Qur'an ialah melupakan ayat-ayat Allah setelah dapat kesenangan hidup (25:18).

Beralih kepada kisah Nabi Sulaiman yang di sekitarnya diwarnai cerita luar biasa tetapi benar. Baginda didapati telah menghambakan makhluk jin, dengan masukkan mereka ke dalam pasukan tenteranya (27:17), dan jadikan mereka pekerja dalam sektor pembinaan, pengukiran patung-patung, serta pembuatan pelbagai perkakas yang berseni (34:13).

Ada juga yang telah berkedudukan dekat dengan Nabi Sulaiman, iaitu Ifrit. Dia telah berkata, ketika Nabi Sulaiman bertanya siapa antara pembesar-pembesarnya yang mampu datangkan singgahsana Ratu Sabak sebelum rombongannya sampai, berbunyi, "Saya akan datangkannya kepada kamu sebelum kamu berdiri dari tempat kamu; saya mempunyai kekuatan untuknya, dan saya dipercayai." (27:39)

Kehandalannya ditewaskan oleh seorang empunya pengetahuan al-Kitab yang berkata, "Saya akan datangkannya kepada kamu sebelum gerlingan mata kamu kembali kepada kamu." (27:40)

Pun begitu, golongan jin didapati tidak tahu perkara yang ghaib. Buktinya, dalam cerita kematian Nabi Sulaiman, tatkala baginda jatuh setelah tongkatnya dimakan sejenis haiwan daripada bumi. Ketika itu barulah "jin lihat dengan jelas bahawa sekiranya mereka tahu yang ghaib, tentu mereka tidak tetap dalam azab yang hina," (34:14) iaitu azab bekerja untuk Nabi Sulaiman.

Seterusnya, seperti manusia, golongan jin mengetahui kandunagn kitab al-Qur'an dan ada yang percaya kepadanya setelah mendengarkannya. Kisah tersebut diriwayatkan sendiri oleh Nabi di dalam ayat-ayat berikut:

"Katakanlah, 'Diwahyukan kepadaku (Muhammad) bahawa sekumpulan jin mendengarkan lalu mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami telah dengar sebuah al-Qur’an yang mengagumkan, ia beri petunjuk pada jalan yang benar. Kami percaya kepadanya, dan kami tidak akan sekutukan Pemelihara kami dengan sesiapa.'" (72:1-2)

Ayat-ayat tersebut dipetik daripada sebuah surah yang dinamakan khas menurut golongan mereka, iaitu al-Jin. Di dalamnya terdapat penjelasan mengenai golongan jin dengan banyak. Antaranya adalah pengakuan mereka terhadap golongan mereka sendiri, berbunyi:

"Yang bodoh di kalangan kami mengatakan terhadap Allah yang keterlaluan, dan kami sangka manusia dan jin tidak akan mengatakan dusta terhadap Allah." (72:4-5)

Sama seperti manusia, jin mengatakan yang keterlaluan dan dusta terhadap Allah. 

Selanjutnya dapat difahamkan bahawa mereka mampu naik ke langit untuk mendengar perkara-perkara yang ghaib, contoh, nasib manusia di bumi, tetapi mereka gagal mendapatkannya. Ayat-ayat di bawah jelaskannya:

"Dan kami menjulur ke langit, tetapi kami dapati ia dipenuhi dengan penjaga-penjaga yang keras, dan tahi-tahi bintang.
Kami telah duduk di sana di tempat-tempat duduk untuk mendengar; tetapi sesiapa yang mendengarkan sekarang dapati tahi bintang yang menunggunya.
Maka kami tidak tahu sama ada kejahatan dihendaki bagi orang-orang yang di bumi, atau sama ada Pemelihara mereka hendak kelurusan bagi mereka." (72:8-10)

Turut dikhabarkan ialah mengenai jin yang salih dan yang tidak, yang muslim dan yang menyimpang. Sama seperti manusia. Huraian daripada al-Qur'an berbunyi,

"Dan sebahagian daripada kami adalah yang salih, dan sebahagian daripada kami tidaklah demikian; jalan-jalan (tarekat) kami berlainan." (72:11)

"Dan sebahagian daripada kami muslim, dan sebahagian daripada kami menyimpang. Mereka yang tunduk patuh mencari kelurusan hati, tetapi bagi mereka yang menyimpang, mereka jadi kayu api untuk Jahanam!” (72:14-15)

Petikan beberapa ayat daripada surah al-Jin berhenti di situ.

Persamaan antara jin dan manusia adalah banyak. Selain daripada yang sudah disebut beberapa persamaannya yang lain diturunkan di bawah ini:

Dan, daripada kedua-duanya pula lahirlah syaitan yang derhaka kepada Tuhan dengan, misalan, wahyukan ucapan palsu yang indah-indah untuk menipu. Firman-Nya,

"Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (6:112)

Oleh itu, syaitan bukanlah suatu makhluk yang asing. Mereka terdiri daripada makhluk jin dan manusia yang jahat.

Ayat-ayat yang mengatakan syaitan jadi musuh yang nyata adalah banyak. Namun, terdapat satu ayat (satu sahaja) yang mengatakan bahawa ia dan kuncu-kuncunya tidak dapat dilihat (7:27).

Adakah yang tidak dapat dilihat itu syaitan daripada golongan jin? 

Atau, "kesyaitanan" pada jin dan manusia yang tidak dapat dilihat? Misalan, seorang manusia yang kelihatan sangat alim, tetapi sebenarnya seorang syaitan yang amat derhaka kepada Tuhan. Kesyaitanannya tidak dapat dilihat oleh orang ramai, mungkin kerana diselubungi oleh imejnya.

Akan tetapi, bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan), yang pada mulanya tidak nampak, akan akhirnya melihat dengan jelas kesyaitanan yang hadir, setelah mereka ingat (kepada ayat-ayat Tuhan). Ayat berikut menjelaskan:

"orang-orang bertakwa, apabila kunjungan syaitan sentuh mereka, mereka ingat, dan kemudian melihat." (7:201)

Apapun, Tuhan menyuruh supaya berlindung pada-Nya daripada kunjungan syaitan jenis jin dan manusia, yang berupa bisikan di dalam dada umpamanya. Untuk tujuan itu Dia ajar sebuah doa berbunyi,

"Aku berlindung pada Pemelihara manusia, Raja manusia, Tuhan manusia, Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap, Yang membisikkan di dalam dada manusia, Daripada jin dan manusia." (114:1-6)

Jin dan manusia yang jadi pembisik yang menyelinap itu tidak syak lagi adalah syaitan yang direjam, yang daripada kedua-dua makhluk tersebut.

Tentu banyak lagi rahsia mengenai jin dapat digali daripada ayat-ayat al-Qur'an yang dibentangkan di halaman ini atau di halaman Kalimat jin di dalam al-Qur'an. Semoga ada di kalangan pembaca yang ingin menyahut cabaran tersebut. Sudi-sudikanlah demi kemanfaatan kita semua.

 

Penulis Bacaan
15.3.2005

Bacaan lanjut:
Respon artikel "JIN"


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman