Idah dan Penceraian
menurut ajaran al-Qur'an
Menurut ajaran manusia, seperti tercatat di dalam sebuah kamus Melayu, idah bererti "masa menanti selama tiga kali haid (100 hari) bagi perempuan yang diceraikan atau yang kematian suaminya (dalam masa tersebut perempuan itu belum boleh kahwin)".
Dengan itu idah dimaksudkan kepada satu tempoh masa yang diperhati selepas berlaku penceraian suami isteri. Tempoh tersebut dikatakan 100 hari.
Idah merupakan suatu perkara berat yang harus dipertimbangkan. Ia jadi begitu berat apabila disebut pula di dalam ajaran agama Allah. Kalimat yang diguna di dalam ajaran-Nya ialah 'iddah, dan yang berkaitan dengan penceraian suami isteri, dirakam sebanyak empat kali pada tiga ayat al-Qur'an. Kalimat tersebut diterjemah kepada tempoh, dan ayat-ayat yang dimaksudkan itu berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu kahwini perempuan-perempuan yang mukmin, dan kemudian ceraikan mereka sebelum kamu sentuh mereka, tiadalah tempoh ('iddah) bagi kamu untuk kira terhadap mereka; maka berilah peruntukan bagi mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang manis." (33:49)
"Wahai Nabi, apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikan mereka apabila mereka sampai tempoh ('iddah) mereka. Hitunglah tempoh ('iddah) itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Jangan keluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga biarkan mereka keluar, kecuali mereka lakukan kesumbangan yang nyata. Itu had-had (hudud) Allah; sesiapa mencabuli had-had Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak tahu mungkin setelah itu Allah adakan perkara yang baru." (65:1) dan,
"Bagi perempuan-perempuan kamu yang berputus asa daripada haid selanjutnya, jika kamu ragu-ragu, maka tempoh ('iddah) mereka ialah tiga bulan, dan mereka yang tidak datang haid hingga kini. Dan mereka yang mengandung, tempoh (ajal) mereka ialah apabila mereka melahirkan kandungan mereka. Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan buatkan untuknya, daripada perintah-Nya, yang mudah." (65:4)
Daripada ayat-ayat di atas dapat difahamkan mengenai idah, iaitu kepada siapa ia dihitung dan tempoh yang dihitung, dan diringkaskan seperti di bawah:
idah dihitung ke atas perempuan yang dicerai setelah disentuh suami. Menurut ayat 2:228 pula tempohnya ialah tiga haid, dan ayat berbunyi, "Perempuan-perempuan yang diceraikan akan tunggu sendiri selama tiga haid, dan tidaklah halal bagi mereka untuk sembunyikan apa yang Allah cipta di dalam rahim mereka jika mereka percayai Allah dan Hari Akhir",
idah tidak dihitung ke atas perempuan yang dicerai sebelum disentuh suami,
idah bagi perempuan yang putus haid, jika ragu-ragu, ialah tiga bulan,
idah bagi perempuan yang hamil ialah sehingga kandungan dilahirkan.
Selain ayat-ayat di atas ayat di bawah turut beri penjelasan mengenai idah dan penghitungannya:
"Dan orang-orang antara kamu yang mati dan tinggalkan isteri-isteri, mereka akan tunggu sendiri selama empat bulan dan sepuluh hari." (2:234)
Terdapat satu lagi kes idah, iaitu setelah suami bersumpah memantangkan diri daripada isteri. Kes disebut di dalam ayat berbunyi,
"Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka tunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui" (2:226-227)
Maka senarai di atas dapat dipanjangkan lagi dengan tambahan dua perkara, seperti dicatat di bawah:
idah bagi isteri kematian suami ialah empat bulan sepuluh hari, dan
idah kerana suami memantangkan diri daripada isteri ialah empat bulan.
Oleh yang demikian, bagi idah, terdapat tempoh yang berbeza, menurut keadaan tertentu. Tempoh tersebut adalah seperti berikut:
3 haid,
3 bulan,
4 bulan,
4 bulan 10 hari,
sehingga melahirkan anak, dan
ada juga yang tidak dihitung langsung.
Semasa dalam idah, suami terus bertanggungjawab ke atas isteri,
dan dia (isteri) harus:
tidak dikeluarkan dari rumahnya
tidak dibiarkan keluar kecuali dia lakukan kesumbangan
tidak ditekan untuk menyempitkan keadaannya,
ditempatkan di tempat tinggal suami atau lain,
diberi nafkah, dan
diberi upah apabila perlu.
Demikianlah itu adalah menurut ajaran Allah melalui dua firman-Nya berbunyi,
"Jangan keluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga biarkan mereka keluar, kecuali mereka lakukan kesumbangan yang nyata. Itu had-had (hudud) Allah; sesiapa mencabuli had-had Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak tahu mungkin setelah itu Allah adakan perkara yang baru." (65:1) dan,
"Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal, menurut kemampuan kamu, dan janganlah menekan mereka untuk menyempitkan keadaan mereka. Jika mereka mempunyai kandungan, nafkahkanlah mereka sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. Jika mereka menyusukan untuk kamu, berikan mereka upah mereka, dan bermuafakatlah di antara kamu dengan baik. Jika kamu berdua menemui kesukaran, maka perempuan yang lain akan menyusukannya" (65:6).
Semasa dalam idah juga, suami isteri boleh kembali hidup sebilik sekiranya mereka hendak membetulkan. Firman berikut menjelaskan,
"Pada masa itu suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk kembalikan mereka jika mereka hendak membetulkan" (2:228)
Selanjutnya, pada satu daripada ayat-ayat yang telah disebut terdapat kenyataan berbunyi "maka ceraikan mereka apabila mereka sampai tempoh mereka" (65:1) - bermaksud penceraian sebenar berlaku setelah tamat idah, bukan diceraikan dahulu kemudian dihitung idah, seperti ajaran manusia! Ia bukan masa menanti untuk berkahwin lagi, tetapi untuk disahkan bercerai dengan suami.
Waktu tamat idah dipanggil ajal di dalam al-Qur'an, dan ia diterjemah kepada tempoh atau sampai tempoh. Terdapat beberapa ayat mengandungi perkataan ajal yang berkait dengan penceraian. Ayat-ayat tersebut beri penjelasan kepada perkara-perkara yang harus dilakukan setelah penceraian diputuskan, berbunyi,
"Apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh (ajal) mereka, maka tahanlah mereka dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik; jangan tahan mereka dengan paksa untuk mencabuli; sesiapa yang buat demikian itu menzalimi dirinya sendiri." (2:231)
"Apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh (ajal) mereka, janganlah halang mereka daripada kahwini suami-suami mereka, apabila mereka sudah saling setuju antara mereka, dengan baik. Dengan ini ditegurkan sesiapa antara kamu yang percayai Allah, dan Hari Akhir. Itu lebih suci dan lebih bersih bagi kamu; Allah tahu, dan kamu tidak tahu." (2:232)
"Kemudian, apabila mereka telah sampai tempoh (ajal) mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakanlah saksi, dua orang empunya keadilan di kalangan kamu; dan lakukanlah kesaksian kepada Allah Sendiri. Dengan ini ditegurkan sesiapa yang percayai Allah dan Hari Akhir. Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia buatkan untuknya satu jalan keluar," (65:2)
Dengan ringkas, daripada tiga ayat ini, dapat difahamkan tentang apa yang harus dilakukan ke atas perempuan apabila penceraian sudah diputuskan, adalah dia:
ditahan dengan baik, atau dilepaskan dengan baik; dia tidak ditahan dengan paksa,
tidak dihalang daripada kahwini suaminya, apabila mereka sudah saling setuju antara mereka, dengan baik, dan
dua orang saksi diadakan untuk menentukan keadilan dalam penceraian antara dia dengan suaminya.
Selain daripada perkara-perkara tersebut, perempuan yang diceraikan harus:
diberi peruntukan dengan baik,
segala yang telah diberi kepadanya tidak diambil balik, dan
apa dia buat tidak jadi tanggungjawab bekas suami.
Tiga perkara ini dipetik dan diringkas daripada tiga Peringatan Allah yang bermaksud,
"Bagi wanita-wanita yang diceraikan, (diberi) peruntukan dengan baik sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang bertakwa" (2:241)
"Tidak halal bagi kamu untuk mengambil daripada apa kamu sudah beri mereka (isteri) kecuali keduanya takut bahawa mereka tidak dapat lakukan had-had (hudud) Allah. Jika kamu takut mereka tidak dapat lakukan had-had Allah, maka tidak salah ke atas mereka untuk dia (isteri) menebus dengannya. Itu had-had Allah; jangan mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang zalim" (2:229).
Terdapat satu lagi ayat mengenai larangan ambil balik harta yang telah diberi kepada isteri yang diceraikan, dan ayat itu berakhir dengan satu pertanyaan berbunyi, "Apa, adakah kamu mengambilnya dengan cara fitnah, dan dosa yang nyata?" (4:20),"Apabila mereka sampai tempoh mereka, maka tiadalah kesalahan ke atas kamu mengenai apa mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik. Allah sedar apa kamu buat." (2:234),
Demikianlah sedikit penjelasan mengenai idah dan penceraian. Untuk keterangan lanjut sila rujuk artikel Wanita dalam Islam sebenar dan kalimat Idah/Tempoh dan Talak.
Idah dihitung setelah bercadang untuk bercerai, dan tempoh itu dikatakan seperti menanti hari penceraian atau perpisahan sebenar. Dalam penantian, pelbagai perkara boleh berlaku, yang mampu mempengaruhi keputusan atas penceraian. Apapun, dalam ajaran Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, idah dan penceraian dilaksana dengan muafakat, adil, dan manis.
"Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan buatkan untuknya, daripada perintah-Nya, yang mudah" (65:4).
Penulis Bacaan
Disember 2010
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman