Utusan Malaysia, Rabu 19 Julai 1995, muka 1

(Sambungan berita di muka 2 tidak diterbitkan di sini kerana kandungannya tidak berkait dengan Bacaan. Maaf!)


Makna asal ayat al-Qur'an


Kenyataan di perenggan ketiga, lajur kedua, dalam berita di atas didapati agak mengelirukan, berbunyi:

"Pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, ulama dan orang ramai mahukan kerajaan mengharamkan buku itu kerana ia boleh mengelirukan pembaca terhadap makna asal ayat yang berkaitan."

Yang mengelirukan ialah kata-kata "makna asal ayat yang berkaitan." Ini menimbulkan tiga pertanyaan di sini.

Pertama, adakah ia bermaksud makna atau interpretasi yang diturunkan dari langit selepas al-Qur'an diturunkan? Atau, adakah lagi sebuah kitab diturunkan untuk menjelaskan kitab pertama?

Itu tidak akan berlaku. Janganlah ditunggu-tunggu kedatangan interpretasi tersebut. Allah bertanya,

"Adakah mereka menanti-nanti hanya interpretasinya?" (7:53).

Namun, interpretasinya hidup di sepanjang zaman. Misalnya, interpretasi bagi sesetengah ayat yang tidak diketahui pada zaman Nabi dahulu, seperti penemuan-penemuan yang dilakukan oleh para saintis yang berkaitan dengan ayat-ayat al-Qur'an. Contohnya terdapat di halaman Penemuan laman web e-bacaan.com ini.

Kedua, adakah maksud "makna asal" itu seperti apa yang dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai ilmu tafsir ulama?

Tidak mungkin. Kepalsuan ilmu tafsir tersebut telah didedahkan beberapa kali di halaman lain. Kini didedahkan lagi dengan dua contoh yang sama:

Contoh 1:

Ayat 70:4. Makna di dalam kurungan adalah asal iaitu seperti yang diertikan oleh kamus.

"Ta'ruju (Naik), -lmalaa-ikatu (malaikat), warruuhu (dan Roh), ilaihi (kepada-Nya), fii yaumin (dalam sehari), kaana (adalah), miqdaaruhuu (kadarnya), khamsiina (lima puluh), alfa (ribu), sanatin (tahun)" (70:4).

Susunan lengkap bagi ayat di atas berbunyi, 

"Malaikat dan Roh naik kepada-Nya dalam sehari yang kadarnya adalah lima puluh ribu tahun."

Akan tetapi, ilmu tafsir ulama, atau apa yang dikatakan ilmu Islam sebenar, beri pengertian begini pula:

"Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soaljawabnya)" - (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, muka 1563).

Hanya orang yang lalai akan menerima tafsir itu sebagai yang beri makna sebenar kepada ayat Allah tersebut.

Contoh 2:

Ayat 53:53 yang berbunyi,

"walmu'tafikata (Dan negeri yang musnah) ahwaa (Dia menjatuhkannya juga)."

"Dan negeri yang musnah, Dia menjatuhkannya juga."

Bandingkan pula dengan pengertian daripada ilmu tafsir ulama:

"Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dialah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi" - (kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman terbitan Pusat Islam, muka 1430).

Sekali lagi ilmu tafsir ulama dibuktikan tidak beri makna asal kepada ayat-ayat al-Qur'an.

Di sini terdapat dua lagi contoh bagi apa yang dikatakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai "makna sebenar" kepada ayat-ayat al-Qur'an, tetapi sebenarnya tidak.

(Sila rujuk artikel Bacaan: Jawapan kepada Ulama untuk contoh-contoh lain.)

Dan soalan ketiga, iaitu yang terakhir, adakah maksud "makna asal" itu makna seperti yang dijelaskan oleh kamus, lexicon, dan sebagainya?

Sekiranya begitu, maka Bacaan tidak adil dilabel sebagai sebuah buku yang boleh "mengelirukan pembaca" untuk diharamkan. Kerana ia bersumberkan bahan-bahan tersebut.

 

Halaman Utama  Terkini  Perpustakaan  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman