Siri Kisah Nabi (7)
daripada al-Qur'an

 

Nabi Lut

 

Lut adalah antara orang-orang salih yang diangkat oleh Allah untuk menjadi seorang daripada Nabi-Nabi-Nya. Dia juga seorang utusan atau Rasul. Kepadanya Allah beri Putusan dan pengetahuan. 

Nabi Ibrahim mengenalinya. Mereka hidup pada masa yang sama tetapi di tempat yang berlainan. Nabi Lut percaya kepada apa yang Nabi Ibrahim diwahyukan. Nabi Lut dan kaumnya pula tinggal tidak jauh dari tempat Nabi Muhammad dan kaumnya tinggal.

Kaum

Kaum Nabi Lut jahat. Mereka lakukan kesumbangan yang tidak pernah seseorang pun di seluruh dunia lakukan sebelum mereka. Mereka datangi lelaki dengan hawa nafsu, bukan perempuan, dan lakukannya juga di majlis-majlis.  

Kejahatan mereka ditambah dengan mendustakan utusan Allah beserta amaran-amaran yang didatangkan kepada mereka. Mereka adalah sebenarnya orang-orang zalim, derhaka, berdosa, dan fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).

Seruan Nabi Lut

Nabi Lut telah beritahu kaumnya bahawa dia adalah seorang Rasul, dan menyeru mereka supaya takut kepada Allah. Dia turut menyatakan iaitu dia tidak minta upah atas seruan yang dibuatnya. Seruannya yang lengkap berbunyi, "Tidakkah kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)? Aku, bagi kamu, adalah seorang Rasul yang dipercayai, maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku. Aku tidak minta kepada kamu upah untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Pemelihara semua alam. Apa, adakah kamu datangi lelaki daripada semua alam, Dengan tinggalkan isteri-isteri kamu yang Pemelihara kamu ciptakan untuk kamu? Tidak, tetapi kamulah kaum yang derhaka."

Terhadap kejahatan yang dilakukan oleh kaumnya, Nabi Lut telah menegur lagi, "Apa, adakah kamu lakukan kesumbangan yang tidak pernah seseorang pun di semua alam lakukannya sebelum kamu? Kamu datangi lelaki-lelaki dengan hawa nafsu, bukan perempuan; tidak, kamulah kaum yang membazir (berlebihan)."

Dia juga bertanya, "Apa, adakah kamu lakukan kesumbangan dengan mata-mata kamu terbuka?"

"Apa, adakah kamu mendatangi lelaki, dan memotong jalan, dan kamu datangkan dalam majlis kamu, kemungkaran?" tanyanya lagi.

Selain mengatakan kaumnya menderhaka dan membazir, Nabi Lut telah mengatakan juga bahawa mereka adalah "kaum yang bodoh."

Jawapan Kaum

Jawapan kaumnya tiada lain melainkan mengugut untuk mengusinya keluar dari kota. Mereka berkata, "Jika kamu tidak berhenti, wahai Lut, pasti kamu akan jadi antara orang-orang yang diusir."

Sementara yang lain berkata, "Usirlah keluarga Lut daripada bandaraya kamu; mereka adalah orang-orang yang bersihkan diri!"

Dan ada pula yang sombong, yang minta didatangkan azab dengan berkata, "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu berkata benar."

Lalu Nabi Lut berkata kepada mereka dan berdoa kepada Tuhan berbunyi "Sesungguhnya aku adalah pembenci kepada amalan kamu. Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku dan keluargaku daripada apa mereka buat."

Dia memohon lagi, "Wahai Pemeliharaku, tolonglah aku terhadap kaum yang buat kerosakan."

Sememangnyalah hanya kepada Tuhan dipohon pertolongan. Permohonan baginda dikabulkan Allah.

Kedatangan Malaikat

Maka Allah utuskan malaikat-malaikat kepadanya. Sebelum mereka berjumpa Nabi Lut mereka telah, terlebih dahulu, menemui Nabi Ibrahim. Tujuan adalah untuk sampaikan berita gembira mengenai kelahiran seorang anak untuk Nabi Ibrahim, dan untuk beritahunya tentang tugas mereka terhadap Nabi Lut dan kaumnya.

Mereka berkata, "Kami akan musnahkan penduduk bandaraya ini, kerana penduduknya orang-orang zalim."

"Kami diutus kepada kaum yang berdosa, kecuali keluarga Lut; mereka akan kami selamatkan kesemuanya, kecuali isterinya; kami tentukan bahawa dia sesungguhnya termasuk orang-orang yang tinggal." ujar mereka lagi.

Apabila malaikat-malaikat atau Rasul-Rasul Allah datang kepada Lut, dia berasa susah dan cemas untuk mereka. Dia berkata "Inilah hari yang amat berat."

Dan berkata "Kamu adalah kaum yang aku tidak kenal," tatkala Rasul-Rasul itu mendampinginya.

"Wahai Lut, kami adalah Rasul-Rasul Pemelihara kamu." 

"Jangan takut, dan jangan juga susah, kerana sesungguhnya kami akan menyelamatkan kamu dan keluarga kamu, kecuali isteri kamu; dia termasuk orang-orang yang tinggal. Kami akan turunkan kepada penduduk bandaraya ini kemurkaan dari langit kerana mereka buat fasiq." kata mereka lagi.

Sebab mereka datang dijelaskan lagi dengan berkata, "Kami datangkan kepada kamu mengenai apa yang mereka ragui. Kami datang kepada kamu dengan yang benar, dan sesungguhnya kami berkata benar. Maka berjalanlah kamu dengan keluarga kamu pada sebahagian malam, dan ikutlah di belakang mereka, dan janganlah seseorang daripada kamu berpaling ke belakang; dan bertolaklah ke tempat yang kamu diperintah."

Akhirnya mereka berkata, "Waktu yang mereka dijanjikan ialah subuh; bukankah subuh sudah dekat?"

Kaum Gembira

Sejurus selepas Rasul-Rasul Allah datang kepada Lut, kaumnya datang kepadanya pula, berlari-lari ke arahnya, dengan gembira. Mereka berkeinginan pada tetamu-tetamu Lut.

Nabi Lut berkata kepada mereka, "Mereka ini tetamuku; janganlah memalukan aku. Dan takutilah Allah, dan jangan aibkan aku."

Mereka menjawab, "Tidakkah kami telah larang kamu daripada semua alam?" Kerana mereka telah, sebelum itu, melarang Nabi Lut daripada buat sebarang hubungan dengan manusia lain.

Nabi Lut telah juga berkata, "Wahai kaumku, inilah anak-anak perempuanku; mereka lebih bersih bagi kamu. Maka takutilah Allah, dan jangan aibkan aku pada tetamu-tetamu aku. Apa, adakah tidak ada seorang lelaki antara kamu yang berfikiran waras?"

Tawaran Nabi Lut supaya mereka ambil anak-anak perempuannya sebagai ganti, dan rayuan supaya tidak memalukannya di depan tetamu-tetamunya telah ditolak. Mereka berkata, "Kamu tahu bahawa kami tidak patut terhadap anak-anak perempuan kamu, dan kamu tahu benar apa yang kami hendaki."

Kemudian mereka menggoda tetamu-tetamu Nabi Lut pula. Tetapi mereka gagal.

Selepas itu, Nabi Lut dengan keluarganya beredar dari bandaraya itu pada waktu seperti yang disuruh. Akan tetapi, isterinya, seorang perempuan tua, tinggal di belakang.

Azab

Pada awal pagi, datang kepada kaumnya satu azab yang telah ditetapkan Allah. Suatu bunyi yang kuat, atau Teriakan, telah mengambil mereka pada waktu matahari terbit.

Dan bandaraya itu telah diterbalikkan, yang atasnya ke bawahnya. Angin ribut yang mengandungi batu diutuskan pula kepada mereka, bertubi-tubi. Batu-batu itu adalah daripada tanah liat yang dibakar serta ditanda di sisi Tuhan.

Begitulah buruknya balasan bagi orang-orang yang dustakan amaran-amaran daripada Tuhan.

Allah telah selamatkan keluarga Nabi Lut pada waktu sebelum dinihari ke bumi yang Dia berkati bagi semua alam. Itu adalah satu rahmat daripada Dia, dan begitulah Dia membalas orang-orang yang bersyukur (berterima kasih). Ke tempat itu juga Nabi Ibrahim telah diselamatkan terlebih dahulu.

Isteri

Keluarga Nabi Lut telah dirahmati Allah, kecuali isterinya, seorang perempuan tua. Dia tidak percaya dan mengkhianti Nabi Lut. Terdapat seorang lagi isteri Nabi yang serupa dengan isteri Nabi Lut, yang tidak percaya dan mengkhianti suaminya. Walhal, mereka berada di bawah dua hamba Allah yang salih, yang diangkat jadi Nabi dan Rasul. Kedua-kedua isteri tersebut akan dimasukkan ke dalam Api (neraka) pada Hari Kiamat.

Sesungguhnya terdapat pengajaran bagi para pelajar dalam kisah Nabi Lut. Bandaraya yang diterbalikkan itu, menurut Allah lagi, hanya mengandungi sebuah rumah orang-orang Muslim, iaitu rumah Nabi Lut, dan ia (bandaraya) pula berada di satu jalan yang masih berada, untuk menjadi satu amaran bagi semua manusia yang hidup selepas diturunkan kemurkaan dari langit tersebut.

Sila rujuk:
Kalimat Lut di dalam al-Qur'an

8 November 2004
Ramadan 1425
(dikemaskini 30 Nov 04)

Sudut Pelajar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Keratan Akhbar
Penemuan
  Soalan Lazim  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman