13.
saya ingin bertanya apa makna ulamak, adakah wujud
ulama itu atau hanya nama sahaja ,
soalan kedua, adakah kisah abrahah dan
burung yang ingin membinasakan kaabah adalah satu mitos atau adalah dari
al-quran dan tafsirannya
soalan ketiga, apa yang dinamakan mitos,
sejauh mana islam membangunkan umatnya
soalan 4' kenapa islam mundur dari bangsa lain dan kenapa org melayu selalu
ketinggalan
Mengenai makna ulama, ia dijelaskan
dalam artikel "Hanya al-Qur'an untuk Islam?" di bawah tajuk kecil
Ulama. Juga dijelaskan
mengenai ulama agama yang dipanggil habr. Ulama sebenar dan habr
memang wujud sejak dari dahulu lagi.
Mitos, menurut pengertian Kamus Dewan, adalah "cerita (kisah) tentang dewa-dewa dan orang atau makluk luar biasa zaman dahulu yang dianggap oleh setengah-setengah golongan masyarakat sebagai kisah benar dan merupakan kepercayaan berkenaan (kejadian dewa-dewa dan alam seluruhnya)."
Surah 105 (al-Fil atau Gajah) mengisahkan tentera bergajah yang dibinasakan oleh burung-burung dengan membaling batu-batu daripada tanah liat yang dibakar. Akan tetapi, nama Abraha tidak disebut.
Di dalam al-Qur'an terdapat bahan untuk kajian ahli sejarah. Seperti orang-orang Rom yang dikalahkan dan kemudian kalahkan lawan di negeri yang "dekat" (30:2-4). Ahli-ahli sejarah mampu beri keterangan lanjut mengenai peristiwa itu, misalnya, bila, di mana, siapa yang memerintah dan sebagainya.
Begitu juga dengan cerita tentera bergajah tadi. Daripada catatan sejarah didapati bahawa pada kira-kira tahun 570, negeri Yaman diperintah oleh orang-orang Kristian Abyssinia yang telah menamatkan pemerintahan Yahudi, Himyar. Abraha Ashram, seorang fanatik agama, adalah Gabenor Yaman dan dia telah mendirikan sebuah katedral di San'a. Dia ingin hapuskan Mekah sebagai tempat berkunjung orang-orang Arab (kerana ibadah haji) dan mengalih tumpuan mereka ke San'a. Lalu dia serang dengan tentera yang sebahagiannya menggunakan gajah.
Burung-burung, batu-batu daripada tanah liat, dan penyerang jadi seperti daun yang dimakan, yang disebut di dalam surah tersebut, adalah hanya metafora, menurut sesetengah pendapat. Metafora tersebut bermaksud tercetusnya wabak penyakit cacar atau tifus yang hapuskan tentera bergajah Abraha. Dia sendiri dikatakan mati akibat serangan penyakit tersebut. (Ini kelihatan seperti peperangan yang menggunakan senjata biologi! Namun, ia bukan buatan orang-orang Arab Mekah ketika itu.)
Di dalam al-Qur'an terdapat banyak metafora, tetapi mitos, tiada.
Sejauh mana islam membangunkan umatnya?
Allah berjanji sekiranya Dia dipercayai dan Kitab-Nya dipegang kuat maka orang-orang Islam akan jadi "pengganti" atau "raja" di bumi (24:55) - dalam semua bidang. Untuk itu orang-orang Islam harus berilmu. Sebagai contoh, lihat ruangan Penemuan dan saksikan ilmu-ilmu yang tersimpan di dalam al-Qur'an yang digali oleh hamba-hamba-Nya yang kelihatan seperti bukan Islam. Memang benar orang-orang Islam telah menyumbang kepada kemajuan manusia, tetapi itu dulu, bukan sekarang. Pada suatu masa dahulu Islam dan orang-orangnya jadi "raja" di dunia tetapi hari ini tidak lagi. Malah, kemuliaannya hampir lenyap di mata dunia pada hari ini.
Semua manusia adalah hamba Allah. Antara mereka, ada yang melabelkan diri sebagai Islam, dan ada yang tidak. Antara yang melabelkan diri sebagai Islam, ada pula yang didapati tidak Quranik, dan sebaliknya, iaitu antara yang melabelkan diri sebagai bukan Islam, ada yang didapati Quranik kerana ciri-ciri kehidupan mereka. Dan, Allah beri apa sahaja, kepada siapa sahaja, yang Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya. Renungkan ayat berikut:
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)
Ciri-ciri kehidupan yang memungkinkan kemajuan dan kemakmuran bagi sesuatu kaum atau bangsa, pada hemat kami, antaranya (tidak menurut keutamaan) adalah:
menggunakan akal, suka membaca (tajuk dan bahan tidak terhad), suka mencari ilmu yang berbagai-bagai, berpegang pada bukti dan kebenaran, berfikiran terbuka, dengar semua pendapat dan pilih yang terbaik, benar, jujur, rajin, pengasih, penyayang (bukan sahaja kepada sesama manusia tetapi alam keseluruhannya), tidak mengamalkan rasuah, tidak membazir dalam semua urusan, suka mengembara dan meneroka, makan makanan yang tidak diharamkan Tuhan, tidak sombong dan kasar, tegas, berani, takut kepada Tuhan yang dalam keadaan ghaib, tidak menganggap diri lebih suci daripada orang lain, suka bersedekah tanpa mengira bangsa atau agama, adil kepada semua manusia, hormat kepada orang lain dan agamanya, tidak memaksa dalam hal keagamaan, tidak melebihi hukum Tuhan dalam hukum, dan masyarakat tidak diperintah oleh ulama agama.
Mungkin ada yang tertinggal. Ciri-ciri tersebut menterjemahkan juga sikap bersyukur atau berterima kasih atas apa diberiAllah.
Kenapa islam mundur dari bangsa lain dan kenapa org Melayu selalu ketinggalan ?
Islam yang menuruti al-Qur'an tidak mundur. Ia berada di atas semua agama (dan penganutnya). Lihat ayat berikut:
"Dia yang utus Rasul-Nya dengan petunjuk (al-Qur'an), dan agama yang benar, supaya Dia pertinggikannya di atas setiap agama, walaupun orang-orang yang sekutukan membencinya." (9:33)
Yang memundurkan Islam adalah orang-orangnya yang memilih selain daripada kitab al-Qur'an sebagai petunjuk. Lalu mereka tidak banyak mengamalkan ciri-ciri yang menyemarakkan kemajuan dan kemakmuran seperti yang disenaraikan tadi.
Sekiranya benar orang Melayu selalu ketinggalan maka usaha selama berpuluh tahun untuk memajukan mereka telah gagal. Pemberian daripada Allah telah tidak menfaatkan mereka. Ini berlaku mungkin kerana mereka mengamalkan sikap tidak bersyukur atau berterima kasih. Firman-Nya,
"Sesungguhnya Pemelihara kamu mempunyai pemberian kepada manusia; tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih." (27:73)
Kemunduran yang dialami akan jadi seperti azab daripada Allah akhirnya. Kerana kaum yang mundur akan hidup tertekan dalam dunia yang maju. Azab itu tidak akan dialami sekiranya orang Melayu berterima kasih dan percaya kepada Allah dan Kitab-Nya. Firman-Nya,
"Apakah yang Allah buat dengan mengazab kamu, jika kamu bersyukur (berterima kasih), dan kamu percaya? Allah Mensyukuri, Mengetahui." (4:147)
Atau, azab itu merupakan ujian bagi orang Melayu untuk kembali kepada Allah dan Kitab-Nya, dan tinggalkan ajaran lain yang pecah belahkan mereka serta memundurkan mereka yang lambat-laun akan menghancurkan mereka. (Sila rujuk artikel Ujian daripada Allah).
(Di sini dibincangkan juga mengenai kedatangan Nabi Isa kali kedua di dunia ini.)
Telah timbul berbagai-bagai versi pada cerita Imam Mahadi. Lain golongan manusia dan kepercayaan, lain pula ceritanya. Namun, Imam Mahadi tidak disebut di dalam al-Qur'an. Maka cerita mengenainya tidak harus diyakini. Renungkanlah ayat berikut:
"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)
Adalah difahamkan bahawa Imam Mahadi merupakan kepercayaan golongan Syiah yang menunggu kedatangan Imamnya yang ke-12. Kepercayaan ini kemudiannya menyerap masuk ke dalam pegangan orang Suni, mungkin untuk "melawan" Mahadi orang Syiah.
Rujukan utama bagi kepercayaan kepada Mahadi adalah hadis. Akan tetapi, tidak semua kitab hadis ajar kepercayaan tersebut. Hanya kitab Sunan Abu Dawud dan Mishkat al-Masabih menyebutnya. Masing-masing mencatatkan dua hadis.
Daripada hadis (Nabi) mereka, adalah difahamkan bahawa Mahadi itu berketurunan Nabi, daripada Fatimah, berdahi luas, dan hidungnya menonjol. Dia akan melimpahi bumi ini dengan kesaksamaan dan keadilan seperti ia telah dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman. Dia dikatakan akan memerintah selama tujuh tahun.
Itu bermakna Nabi telah menyatakan sesuatu yang akan datang, atau yang ghaib, baginya. Kami dapati sukar untuk percayainya kerana Allah telah menyatakan bahawa Nabi tidak tahu barang yang ghaib. Firman-Nya,
"Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak kata kepada kamu, aku mempunyai perbendaharaan Allah. Aku tidak tahu yang ghaib, dan aku tidak kata kepada kamu, aku seorang malaikat; aku hanya ikut apa yang diwahyukan kepadaku (al-Qur'an).'" (6:50)
Tidak juga baginda mengetahui bahawa Presiden Bush sedang cuba jadi seperti seorang Mahadi kerana ambil peranan sebagai ketua polis dunia untuk hapuskan golongan teroris (termasuk daripada puak Islam) yang sedang mengancam keamanan dunia hari ini.
Selain Mahadi, hadis-hadis itu juga menyebut mengenai kedatangan al-Masih atau Nabi Isa. Kononnya, Nabi telah bersabda yang bermaksud bahawa baginda adalah yang pertama, Mahadi yang di tengah, dan al-Masih yang akhir (rujuk hadis #4 tadi).
Kepercayaan kepada kedatangan kali kedua Nabi Isa di dunia ini telah buat orang Kristian merendahkan orang Islam, kerana Isa mereka akan kembali lagi tetapi Muhammad orang Islam tidak. Justeru itu, mereka mendakwa bahawa Isa mereka adalah lebih hebat daripada Muhammad orang Islam.
Lazimnya, seseorang Nabi Allah diutus untuk sampaikan Kitab-Nya. Apakah Kitab yang akan dibawa oleh Nabi Isa nanti? Bukankah al-Qur'an itu sudah lengkap kata-Nya, dan agama-Nya sudah disempurnakan? Adakah lagi seorang Nabi selepas Nabi Muhammad setelah Dia menegaskan bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi yang terakhir?
Kemunculan semula Nabi Isa di dunia merupakan suatu peristiwa yang besar. Malangnya, peristiwa itu tidak disebut di dalam al-Qur'an. Tidak mungkin Allah telah terlupa untuk menyebutnya. Maka, cerita mengenai kedatangan Nabi Isa kali kedua di dunia tidak harus diyakini.
Kepercayaan kepada Mahadi dan kedatangan Nabi Isa di akhir zaman telah menimbulkan harapan di kalangan umat Islam. Mereka menunggu kedatangan seseorang yang akan membawa mereka kepada kemenangan. Janganlah menunggu orang yang tidak akan datang, tetapi percayalah kepada al-Qur'an yang sudah sampai, dan berpegangteguhlah padanya, nescaya kemenangan yang diimpikan jadi kenyataan. Ambillah iktibar daripada ayat berikut:
"Apabila datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah yang mengesahkan apa yang bersama mereka, dan mereka sebelum itu telah minta kemenangan terhadap orang-orang tidak percaya, maka apabila datang kepada mereka apa yang mereka kenali, mereka mengingkarinya; maka laknat Allah ke atas orang-orang tidak percaya." (2:89)
(Sila rujuk artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa.)
15. Saya memohon penjelasan bagi 2 soalan di bawah:
1. Saya pernah ditanya oleh paderi pasal waktu sembahyang, sahabat saya menjawab itu berdasarkan kedudukan matahari. Kemudian paderi tu tanya lagi 'macamana nak tentukan detik sebenar sampai ke 'fraction of the second'.
2. Satu hari lima waktu diukur berdasarkan kedudukan matahari; macamana pulak dikutub - siang mungkin berbulan pada jam biasa, malam pun mungkin berbulan pada jam biasa - bagaimana waktu sembahyang dan berapa lama nak puasa.
Saya musykil jugak hendak menjawab. Lantas paderi ini menyuruh saya mencari jawapannya.
Bagi mereka yang melakukan solat pada tiga waktu sehari akan dapati masalah itu tidak begitu rumit. Tuhan hanya menyatakan dua tepi siang dan awal malam untuk waktu solat. Dan siang, Dia membuatnya untuk umat bekerja atau mencari untuk kehidupan. Waktu-waktu tersebut mudah dikira dengan teknologi kini, tetapi bagi orang biasa memadai dengan ketahui waktu dua tepi siang dan awal malam itu dengan pemerhatian sahaja.
Begitu juga dengan waktu puasa yang ditetapkan pada waktu siang hari iaitu dari mula matahari terbit hingga ke malam (gelap).
Hanya syaitan yang membisikkan supaya lakukan amalan-amalan tersebut menurut "detik sebenar ke 'fraction of the second'" demi untuk menimbulkan keraguan dan perbalahan antara umat yang akhirnya akan menghancurkan mereka.
Bagi mereka yang tinggal di kutub pula, di mana waktu malam berbulan-bulan lamanya, mereka bukanlah seperti sesetengah haiwan ciptaan Allah, yang mampu tidur sepanjang musim tersebut. Mereka tentu akan menyesuaikan diri dalam keadaan itu, dengan membahagikan masa untuk tidur dan berjaga. Mereka tetapkan sendiri "siang dan malam", menurut naluri mereka. Lalu mereka dapat melaksanankan amalan solat dan puasa yang diperintah Tuhan dengan ikhlas.
Seperti itu juga dilakukan pada musim yang "tiada malam". Sesungguhnya Allah tahu, dan Dia tidak letak kesusahan ke atas hamba-hamba-Nya dalam agama.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
(Sila rujuk artikel Solat menurut al-Qur'an, dan Amalan puasa dan manusia sejagat, dan Amalan untuk waktu malam. Terima kasih.)
16.
Saya ada satu masalah yang berat
berkaitan dengan tuduhan mencuri yang berlaku ke atas diri saya. ..... Baru² ini
rakan serumah saya telah kehilangan sejumlah wang yang beliau sendiri tidak
menyatakan berapa banyak jumlahnya, beliau telah menuduh saya ambil di atas
alasan saya sering berulang alik pada waktu tengahari .... Rakan saya juga telah
menyebarkan perkara ini kepada rakan serumah yang lain ..... Saya di singkirkan
dari pergaulan mereka dan akan di singkirkan dari rumah sewa tidak lama lagi.
.... Baru² ini teman rakan serumah telah mengunci motosikal yang saya gunakan
untuk ..... di jadikan tebusan selagi sejumlah wang yang di katakan hilang itu
tidak dibayar balik. Kini saya dalam keadaan tertekan dan hilang pedoman.
Prestasi kerja saya juga menurun akibat masalah ini.
Saya berpendapat
untuk menyelesaikan masalah ini saya akan bayar wang tersebut dengan syarat
mereka mesti bersumpah Demi Allah dan RasulNya bahawa sekiranya tuduhan itu
palsu dan dakwaan itu bohong, maka pihak yang berbohong akan bersedia laknat
allah dan balasannya kelak. Kepada Allah lah tempat saya berserah.
Adakah
tindakan saya itu betul dan benar menurut islam, atau adakah cara lain yg lebih
baik daripada itu.Terima kasih saudara harap saudara dapat menolong
saya.
Terdapat satu petunjuk yang jelas di dalam Kitab mengenai buat tuduhan ke atas seseorang dengan tanpa bukti atau saksi - iaitu ke atas isteri yang dituduh lakukan kesumbangan. Daripadanya kami merasakan boleh dibuat panduan untuk menyelesaikan masalah saudara kita di atas.
Petunjuk yang dimaksudkan mengandungi empat ayat berbunyi,
"Dan orang-orang yang membaling kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar.
Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta.
Ia akan hindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta.
Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar." (24:6-9)
Dengan itu kami berpendapat bahawa dalam kes ini empat langkah harus diambil, seperti berikut:
Langkah 1:
Yang dituduh mengangkat sumpah seraya berkata empat kali seperti "Demi Allah, saya berkata benar, bahawa saya tidak ambil wang tersebut." Dan yang kelima, "Demi Allah, laknat Allah ke atas saya jika saya berdusta."
Atau, "Saya menyaksikan dengan Allah bahawa saya berkata benar, tidak ambil wang tersebut." Dan yang kelima "Saya menyaksikan dengan Allah bahawa laknat Allah adalah ke atas saya jika saya berdusta."
Langkah 2:
Penuduh pula mengangkat sumpah seraya berkata empat kali seperti "Demi Allah, saya berkata benar, bahawa kamu (yang dituduh) ambil wang tersebut." Dan yang kelima dia berkata, "Demi Allah, laknat Allah ke atas saya jika saya berdusta."
Langkah 3:
Yang dituduh, sekali lagi, mengangkat sumpah empat kali dan berkata "Demi Allah, kamu (penuduh) adalah pendusta." Dan yang kelima "Demi Allah, kemurkaan Allah adalah ke atas saya sekiranya kamu berkata benar."
Langkah 4:
Dan akhirnya, penuduh mengangkat sumpah dan menyebut empat kali - "Demi Allah, kamu (yang dituduh) adalah pendusta." Dan yang kelima, "Demi Allah, kemurkaan Allah adalah ke atas saya sekiranya kamu berkata benar."
Adakan saksi, seramai dua orang (rakan serumah tersebut). Itu lebih baik. Selepas itu, sabarlah menunggu keputusan daripada Allah. Demikianlah pendapat kami.
Kami tidak menyatakan di sini bahawa tindakan saudara itu tidak betul, cuma pada "bersumpah Demi Allah dan RasulNya" di mana frasa "dan RasulNya" tidak diajar di dalam petunjuk Allah. Bersumpah hanya atas nama Allah - itu ajaran Islam sebenar.