Mahkamah Arah Pasangan Berpisah



From: hanidew05
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Mahkamah arah pasangan berpisah secara "farakh"
Date: Friday, February 17, 2006 10:53 AM


Salamun Alaikum Tuan,

Pertama sekali saya ingin megucapkan terima kasih kerana adanya laman web ini. Boleh dikatakan banyak soalan saya terjawab dengan membaca artikel-artikel & juga jawapan tuan pada soalan pembaca. 

Di bawah ini, suatu lagi berita yang menimbulkan tanda tanya. Harap tuan dapat beri sedikit penjelasan hukum sebenarnya megikut Al - Quran. 

Soalan saya, kenapa pernikahan mereka tidak sah & soalan kedua, jika memang tidak sah, kenapa harus dipisahkan? Tidakkah mereka boleh dinikahkan terus.

Sekian terima kasih,


Mahkamah arah pasangan berpisah secara `farakh' 

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR 


MUAR 15 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan sepasang suami isteri, Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah perlu berpisah secara `farakh' dan hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci. 

Keputusan farakh itu dibuat oleh Hakim Shakirin Omar di hadapan pasangan terbabit, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim dan seorang pendaftar mahkamah di kamar hakim. 

Perintah itu berkuat kuasa mulai kelmarin (13 Februari). 

Menurut Shakirin, pernikahan pasangan terbabit tidak sah kerana ketika majlis akad itu berlangsung, terdapat wali lain yang lebih layak. 

"Nikah tersebut tidak sah dari segi hukum syarak kerana adanya wali yang lebih layak iaitu saudara lelaki seibu sebapa kepada Zanariah. 

"Sehubungan itu, keputusan mahkamah hari ini menetapkan bahawa pasangan itu difarakh sehingga tiga kali khuruk (suci daripada haid) sebelum dibenarkan bernikah semula,'' katanya melalui Ahmad Hanif. 

Kes pernikahan Muhammad Nazirul Azman, 24, dan Zanariah, 24, yang bernikah pada 5 Februari tahun lalu itu terpaksa diputuskan oleh Mahkamah Syariah setelah pasangan terbabit dakwa berlaku kekhilafan berhubung penggunaan wali hakim. 

Berikutan kekecewaan pasangan terbabit yang disiarkan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, perkara itu telah dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan hari ini. 

Pasangan itu sebelum ini dakwa Pejabat Agama Daerah Muar tidak mengiktiraf pernikahan mereka dan mengarahkan kedua-duanya berpisah secara farakh mulai 2 Februari lalu. 

Memetik laporan akhbar, majlis pernikahan yang dijalankan di rumah ibu Zanariah itu diiktiraf tidak sah kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu. 

Pernikahan itu dikatakan tidak sah kerana berlaku kesilapan pada wali iaitu menggunakan wali hakim, sedangkan ketika itu adik lelaki Zanariah berada pada majlis itu. 

Ekoran itu, pasangan berkenaan telah diarahkan berpisah secara farakh dan mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci. 

Menurut Ahmad Hanif, tarikh farakh itu bermula kelmarin iaitu bersamaan dengan perintah farakh sementara yang dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Muar. 

Sementara itu, pasangan terbabit dilihat berada di pekarangan mahkamah itu sejak pukul 8.30 pagi bersama keluarga mereka sementara menanti keputusan perbicaraan pada kira-kira pukul 12 tengah hari ini. 


--- Berita penuh di Utusan Online.



Komen Penulis:

Sila lihat apa kata Allah mengenai hukum perkahwinan-Nya melalui satu daripada ayat-ayat al-Qur'an berbunyi,

"Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka" (4:25).

Ayat didapati amat jelas. Iaitu Dia menghalalkan perkahwinan setelah seseorang lelaki dapat izin daripada keluarga perempuan yang dia ingin beristerikan.

Dalam kes Muhammad Nazirul Azman dan Zanariah yang disebut itu, izin yang diperlukan daripada pihak keluarga perempuan tidak dapat diragukan lagi.

Izin daripada ibu Zanariah jelas kelihatan apabila beliau membenarkan majlis pernikahan diadakan di rumahnya.

Sementara izin daripada saudara lelaki Zanariah dibuktikan dengan kehadirannya di majlis tersebut. Turut hadir, menurut adat Melayu, adalah ahli keluarganya yang lain seperti ibu-ibu dan bapa-bapa saudara. Sekiranya mereka hadir maka kehadiran mereka diertikan sebagai beri izin atas perkahwinan anak buah mereka.

Pernikahannya pasti telah disaksi oleh ramai orang, termasuk ibu dan saudara lelaki pengantin perempuan, dan difahamkan lagi, bahawa tiada seorang pun antara mereka yang menunjukkan sebarang ketidaksetujuan atas pernikahan mahupun orang yang mengakadnikahkan. Orang itu, yang lazimnya seorang imam, tentu telah disetuju oleh keluarga perempuan sebagai orang yang mengakadnikahkan.

Oleh yang demikian, pada hemat penulis, pernikahan yang telah dilangsungkan adalah sah.

Kalaupun dikatakan tidak sah, maka pernikahan harus dilaksana serta-merta bukan menunggu selama tiga kali suci sebelum diakadnikahkan sekali lagi. Sesuatu mungkin terjadi daripada perkongsian hidup bersama, selama satu tahun, sebelum mereka diperintah berpisah pada 2 dan 13 Februari lalu. Mereka bernikah pada 5 Februari tahun lepas (2005).

Apatah lagi apabila didapati perintah tiga haid itu adalah hukum bagi pasangan yang bercerai (talak). Hukum itu hukum Allah. Tujuan menunggu hanya untuk mengetahui sama ada perempuan yang ditalak membawa sebarang kandungan, sebelum dia dibolehkan berkahwin lelaki lain.

Beberapa soalan akan dibangkitkan. Misalan, apa akan jadi sekiranya sesuatu sudah terjadi di dalam rahim isteri Azman sebelum dinikahkan semula? Adakah satu lagi hukum yang hina akan dikeluarkan terhadap dia dan isterinya?

Mengapa guna hukum talak bagi kes ini? Hukum tersebut, yang ditetapkan Allah, hanya diguna dalam kes suami menceraikan isteri, dan ia berbunyi,

"Perempuan-perempuan yang diceraikan (talak) akan tunggu sendiri selama tiga haid, dan tidaklah halal bagi mereka untuk sembunyikan apa yang Allah cipta di dalam rahim mereka jika mereka percayai Allah dan Hari Akhir." (2:228)

Tentu sekali kes Muhammad Nazirul Azman dan Zanariah itu adalah bukan kes talak.

Kerana tidak menggunakan hukum daripada Allah, atau hukum yang tidak tepat dalam pengadilan, maka pasangan insan, yang dihalalkan Allah hidup bersama sebagai suami isteri, telah dizalimi. Perpisahan yang dipaksa itu berat ditanggung, bukan sahaja oleh pasangan terbabit malah ahli-ahli keluarga mereka jua.

Mereka dizalimi oleh hukum yang diadakan oleh manusia iaitu wali hakim dan farakh. Kedua-duanya bukan hukum Allah. Hukum Allah mengenai perkahwinan dan perceraian sudah jelas lagi memadai, tersurat di dalam al-Qur'an, dan satu daripada ayat-ayatnya telah disebut dari awal lagi, iaitu ayat 4:25. (Untuk keterangan lanjut bagi tajuk perkahwinan dan perceraian sila rujuk artikel Wanita dalam Islam sebenar.)

Kezaliman pasti berlaku apabila hukum Allah dibelakangkan. Firman-Nya,

"Dan sesiapa tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang zalim." (5:45)


(Terima kasih kepada pengirim berita iaitu "Hani Dew".)

20 Feb 2006

Keratan Akhbar
Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar 
English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman