Bahana didikan agama tanpa petunjuk

 

TheStar, Khamis 13 Mac 2003, muka 3

 

Berita di atas berjudul Pelajar lelaki dirotan kerana berbual-bual dengan seorang budak perempuan. Pelajar itu berusia 17 tahun sementara budak perempuan, juga seorang pelajar, berusia 13 tahun. Dia dirotan oleh salah seorang daripada dua penuntut sebuah maktab agama (Islam) yang ditangkap polis setelah kejadian itu. Menurut laporan akhbar itu lagi, pelajar tersebut telah disebat sebanyak 25 kali!

Adakah berdosa seorang lelaki berbual dengan seorang perempuan? Tidak. Malah, menurut Allah, mereka adalah sahabat satu sama lain. Firman-Nya:

"Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain" (9:71)

Maka, dalam pertalian persahabatan tentu mereka bercakap-cakap antara satu sama lain. Seperti pelajar lelaki dan pelajar perempuan itu. Akan tetapi, mengapa pula dia disebat? Mengapa dia sahaja disebat dan rakannya tidak? Bukankah hukum Allah sama bagi lelaki dan perempuan? Bukankah hukum sebat itu hanya ke atas kesalahan berzina? Adakah kedua-dua pelajar itu lakukan zina?

Sungguh banyak persoalan yang boleh dibangkitkan atas perbuatan kejam penuntut maktab agama (Islam) itu. Apapun, tindakannya salah dari segi undang-undang sivil, dan kerana dikira bersalah, maka undang-undang sivil didapati Quranik.

Tindakan penuntut tersebut tentu banyak dipengaruhi oleh didikan agama yang diterima daripada guru, ustaz atau pensyarah di sekolah dan maktab tempat dia menuntut.

Adakah sifat kejam atau zalim itu antara buah didikan orang-orang yang mengambil upah dalam mengajar agama? Sekiranya benar, maka itulah satu contoh bahana didikan agama (Islam) dengan tanpa petunjuk daripada Allah dan Kitab-Nya, al-Qur'an yang mulia. 

Buat mengakhiri di sini, disaji tiga ayat al-Qur'an untuk dijadikan iktibar:

"Dan Kami turunkan daripada al-Qur'an, satu penyembuhan, dan satu pengasihan bagi orang-orang mukmin," (17:82).

"Sesiapa mencabuli hudud Allah (daripada al-Qur'an), mereka itulah orang-orang zalim." (2:229)

"Ikutlah (ajaran agama) orang yang tidak minta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar." (36:21)

*****

Menurut laporan akhbar yang sama pada hari keesokannya (Jumaat 14 Mac 2003), pelajar tersebut telah dituduh dan didapati bersalah lakukan zina sedangkan dia hanya duduk berbual-bual dengan rakannya di kantin sekolah, di mana beberapa pelajar lain turut berada! Menurut laporan itu lagi, ketika pelajar tersebut dirotan beberapa orang lain turut hadir. Ada yang memegang kedua-dua tangannya, dan ada pula yang menghitung sebatan yang dilangsungkan.

Mungkin sudah sampai masanya bagi orang Melayu memandang serius untuk kembali kepada al-Qur'an.

 

Sila rujuk:
Upah Mengajar Agama
Kesopanan dan Zina

Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman