Salah guna Islam kerana keliru

 

 

Sunday Star, 28 April 2002, muka 8

 

"Banyak anggapan telah dibuat mengenai Islam kerana orang condong kepada kekeliruan antara budaya Arab dengan ajaran Islam" ujar Prof. Dr H. Nasaruddin Umar dari Indonesia.

Dengan melencong sedikit daripada tema berita di atas, lalu menyebut mengenai pakaian dalam budaya Arab. Pakaian mereka sudah mula jadi basahan dalam masyarakat dan budaya orang Melayu. Yang demikian itu adalah akibat ajaran ulama-ulama palsu yang mengistilahkannya sebagai pakaian Islam. 

Pakaian yang dikatakan Islam itu ialah yang menutup bahagian kepala (dan ada kalanya termasuk bahagian muka) dengan tudung (dan purdah) bagi wanita, sarban bagi lelaki, dan untuk bahagian badan pula, dengan jubah, bagi kedua-dua wanita dan lelaki.

Pakaian tersebut adalah pakaian orang Arab. Orang Arab, baik pada zaman Nabi Muhammad dahulu mahupun zaman sekarang, adalah bukan kesemuanya Islam. Maka, orang-orang Arab yang kafir pun berpakaian seperti Nabi Muhammad dan isteri-isterinya - kerana fesyen pakaian itu adalah budaya mereka, sesuai dengan iklim di sana.

Oleh kerana itu, tidaklah ada pahala memakai pakaian Arab dalam ajaran Islam yang sebenar. Pahala itu hanya diadakan oleh ulama palsu yang berleluasa di tanah air kita sekarang.

Untuk keterangan lanjut mengenai kesopanan dan pakaian, bagi perempuan terutamanya, sila click di sini untuk beralih ke sebuah tajuk kecil dalam artikel "Wanita dalam Islam sebenar" yang membincangkan perkara ini.

Frasa "religious language" dalam berita di atas juga menarik perhatian. Secara literal ia bermakna "bahasa agama". Dalam konteks perjuangan di laman web ini, penulis mengandaikan bahasa agama itu sebagai "bahasa al-Qur'an".

Dalam bahagian artikel "Wanita dalam Islam sebenar" yang baru dilayari, terdapat dua perkataan iaitu "jilbab" dan "mindeel". Perkataan yang pertama adalah daripada bahasa agama kerana ia disebut di dalam al-Qur'an. Sementara yang kedua, iaitu bermaksud tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita Melayu dewasa ini, adalah bukan bahasa agama kerana tidak disebut di dalam al-Qur'an.

Lain pula dengan perkataan "Hadis" yang merupakan suatu kata dalam bahasa agama. Perkataan ini telah dikelirukan maknanya, oleh ulama palsu, sehingga jadi bukan bahasa agama. (Sila click di sini untuk suatu contoh.)

Seperti itu juga terjadi pada kalimat-kalimat lain, misalnya aurat, sunnah, ummiy dan zakat, sekadar untuk namakan empat sahaja.

Prof. tersebut selanjutnya berkata, "Ramai ulama telah menyalahgunakan Hadis dan ayat-ayat daripada al-Qur'an untuk menggalakkan pembentukan masyarakat kuasa baka."

Maksudnya adalah masyarakat yang dikuasai oleh kaum lelaki. Di negara kita kuasa baka tidak begitu ketara, hanya diamalkan oleh sesetengah golongan orang Melayu sahaja yang mirip kepada budaya Arab.

Kaum wanita di negara kita, dalam alam pendidikan, boleh dikatakan sudah berjaya. Lantas, mereka memegang jawatan-jawatan penting atau berperanan penting dalam masyarakat. Mereka sudah jadi rakyat yang berilmu. Akan tetapi, melihat kepada pakaian dan amalan kebanyakan daripada mereka, mereka masih dikelirukan dengan ajaran agama yang diterima daripada ulama palsu seperti yang disebut oleh tokoh agama tersebut.

Mungkin sudah sampai masanya bagi mereka untuk bangkit dan menolak ajaran-ajaran ulama palsu dan menerima ajaran al-Qur'an supaya tidak direndah-rendahkan oleh kaum lelaki, terutamanya yang berbudaya Arab.

 

Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman