Jilbab bukan Tudung Kepala

 

Salamun alaikum,

Berikut adalah emel kedua seperti yang telah disebut dalam emel Suriani Mdan yang lalu (diterbit pada 14.4.13). Sudilah membacanya:

 

From: suriani_abd@hotmail.com
To: ebacaan114@gmail.com
Subject: AYAT ALQURAN MENGENAI MENUTUP AURAT
Date: Sun, 7 Apr 2013 16:33:21 +0000

Salamun alaikum

Semoga sejahtera. Maafkan saya terus bertanya. Sambungan kepada emel saya tadi, sahabat saya juga baru saja menukilkan ayat al Quran berikut yang di salin dari e bacaan:

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan perempuan orang-orang mukmin, supaya mereka merapatkan penudung mereka pada mereka; demikian itu lebih mudah bagi mereka untuk dikenali, dan tidak diganggu. Allah Pengampun, Pengasih" (33:59)

Soalnya:
Tidakkah ayat tersebut bermaksud Allah memerintahkan perempuan memakai tudung menutup rambut (merapatka penudung mereka) supaya mudah dikenali (memang kita mudah membezakan perempuan Islam dan bukan Islam melalui tudung kepala yang menutupi mereka)?

Pohon penjelasan lanjut. Terima kasih.
Salamun alaikum


  TIDAK! - adalah jawapan kami kepada pertanyaan di atas yang bermula dengan kata-kata berbunyi "
Tidakkah ayat tersebut bermaksud Allah memerintahkan........" kerana,

(1):
Ia hanya suatu andaian yang melayang jauh daripada dasarnya, dengan tanpa sokong daripada ayat al-Qur'an lain. Ayat tersebut tidak menyebut
perempuan memakai tudung menutup rambut tetapi hanya merapatkan penudung mereka pada mereka,

Penudung di situ diterjemah daripada satu-satunya kalimat jilbab di dalam al-Qur'an. Ia adalah suatu yang menudungi atau menutupi sesuatu yang lain. Terdapat juga penafsir al-Qur'an yang mengatakan ia adalah baju panjang. Dan tidak syak lagi, ia tidak bermaksud tudung kepala perempuan, yang dalam bahasa Arab, bukan jilbab.

Orang Arab, lelaki atau perempuan, mukmin atau tidak, zaman dahulu atau kini, didapati menutup kepala mereka, kerana cuaca panas dan bumi yang berpasir, lalu menjadi budaya dalam pakaian mereka. Justeru, tidak mungkin ayat tersebut bermaksud tudung kepala, yang menjadi seakan wajib, seperti kasut atau selipar, yang tidak perlu lagi diperintah untuk dipakai.

Sebelum ini, sudah disebut tentang bahagian-bahagian aib, dan tentunya penudung harus dirapatkan pada mereka. Bahagian-bahagian aib adalah bahagian badan yang disembunyikan. Ayat berikut menjelaskannya:

7:20. Kemudian syaitan bisik kepada mereka (Adam dan isteri), untuk menampakkan kepada mereka apa yang disembunyikan daripada mereka, bahagian-bahagian aib mereka.

Maka terdapat bahagian-bahagian badan yang harus tidak dinampakkan kepada orang lain. Bahagian-bahagian ini tidak termasuk dalam "wuduk" di mana bahagian-bahagian yang terdedah (kepada kotoran misalannya), termasuk muka dan kepala, harus dibersihkan dengan air jika ada air.

Cerita Adam dan isteri disambung lagi untuk menjadi tambahan dalam iktibar:

7:22. Maka ia (syaitan) bujuk mereka dengan tipuan; dan apabila mereka merasakan pokok itu, bahagian-bahagian aib mereka jadi nyata kepada mereka, lalu mereka mulai menjahit pada mereka daun-daun Taman.

Bahagian-bahagian aib mereka ditutup dengan daun-daun. Kerana malu.

Fikirkanlah pula, adakah daun-daun yang dijahit itu sampai kepada bahagian kepala? Atau kepada kepala dan muka, seperti andaian sesetengah pihak, sehingga menjadi tidak dikenali langsung sebagai makhluk yang bernama manusia?

Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan merapatkan penudung, menurut pendapat kami, adalah bukan merapatkan tudung kepala, tetapi merapatkan untuk mengelak bahagian-bahagian aib (atau sulit) perempuan daripada dapat dilihat oleh orang lain, yang boleh menyebabkan dia diganggu. Dengan tindakan itu kemukminan seseorang perempuan mampu dikenali.


(2):
Kenyataannya yang berbunyi
"memang kita mudah membezakan perempuan Islam dan bukan Islam melalui tudung kepala yang menutupi mereka" dirasai telah dihasilkan daripada akal yang bertempurung, lalu menjadi seperti katak yang berduniakan hanya sebuah tempurung, dengan tidak nampak perempuan-perempuan beragama lain memakai tudung kepala.

Kenyataan itu juga tidak nampak perkataan mukmin yang diguna Allah di dalam ayat tersebut, bukan perkataan Islam.

Kalimat mukmin bermaksud (orang) yang mempercayai Allah, Hari Akhir (iaitu seperti yang diceritakan di dalam al-Qur'an), dan Kitab al-Qur'an. Sila renungkan ayat-ayat di bawah:

2:8. Dan sebahagian manusia, ada yang berkata, "Kami percaya kepada Allah dan Hari Akhir"; tetapi mereka bukanlah orang-orang mukmin (yang percayai).

2:91. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Percayalah kepada apa yang Allah turunkan", mereka berkata, "Kami percayai apa diturunkan kepada kami", dan mereka tidak percaya kepada apa yang sesudah itu, sedang ia yang benar, yang mengesahkan apa yang bersama mereka. Katakanlah, "Mengapa pula kamu bunuh Nabi-Nabi Allah masa dahulu, jika kamu orang-orang mukmin?"

2:285. Rasul percaya kepada apa diturunkan kepadanya (al-Qur'an) daripada Pemeliharanya, dan orang-orang mukmin, ......

10:99. Dan sekiranya Pemelihara kamu hendaki, sesiapa yang di bumi tentu percaya, kesemua mereka, kesemuanya. Adakah kamu akan paksa manusia sehingga mereka menjadi orang-orang mukmin (yang percayai)?

Lantas, orang-orang yang bukan mukmin adalah mereka yang tidak percaya kepada Allah dan Kitab-Nya, al-Qur'an. Atau dengan kata lain, tidak ikut ayat-ayat Allah.


Selain daripada itu turut menjadi lawan bagi sifat mukmin, ialah sifat fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan), dan perbuatan mendustakan ayat-ayat-Nya, atau yang menganggap ayat-ayat-Nya sebagai bohong lalu tidak mengikutinya. Sila lihat ayat-ayat ini pula:

3:110. Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu percayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq.

6:27. Jika kamu dapat lihat ketika mereka diberhentikan di hadapan Api, dan mereka berkata, "Aduhai, sekiranya kami dapat dikembalikan, dan kami tidak dustakan ayat-ayat Pemelihara kami supaya kami jadi antara orang-orang mukmin."

Sampai di situ sahaja dalam memetik ayat-ayat al-Qur'an. Daripada ayat-ayat yang dikemukakan mungkin kita dapat memutuskan bahawa jumlah orang-orang yang bukan mukmin menjadi lebih ramai lagi apabila ditambah dengan bilangan orang-orang yang mengaku Islam, atau bertudung kepala, tetapi tidak percaya kepada-Nya, Kitab-Nya, atau tidak mempedulikan perintah-Nya, atau dustakan ayat-ayat-Nya.


Akhir sekali, kami ingin tegur mengenai perkataan aurat. Didapati pengirim emel masih diserkup tempurung kerana jelas kelihatan dia masih tidak mengetahui maksud perkataan aurat sebenar, iaitu seperti dimaksudkan Allah dalam agama-Nya.

(Terdapat banyak lagi perbincangan mengenai tudung kepala dan aurat, yang sudah lama diterbitkan, dan dapat dibaca di sini.)


Terima kasih.

Allah disanjung!

17 April 2013

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman