Tutup Perut, Punggung, Paha dan bahagian lain

 

From: Suriani Mdan
To: "ebacaan@yahoo.com" <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Sunday, April 7, 2013 11:29 PM
Subject: Rambut adakah aurat perempuan

Salamun alaikum

Semoga tuan sihat sejahtera. Saya berbincang dengan kawan, lalu timbul perbincangan mengenai aurat perempuan. Saya mengatakan rambut seseorang perempuan tidak termasuk sebagai aurat yang wajib ditutup kerana tiada satu ayat pun dalam alQuran yang menyatakan demikian. Sahabat saya membidas dengan berkata;

"Dalam alQuran juga tiada ayat yang menyuruh menutup perut, punggung, paha dan lain-lain lagi. Jadi mengapa wanita Islam menutupnya?"

Saya yang kurang ilmu ini terkedu dibuatnya. Harap tuan dapat membantu. Terima kasih.

Salamun alaikum


Salamun alaikum,

Mungkin dalam kitab petunjuk agama bagi penanya ada menyuruh perempuan Islam menutup perut, punggung, paha dan bahagian lain (jika tidak keberatan, sila tunjukkan hadisnya dengan menyebut bahagian-bahagian anggota tersebut) lalu dia bertanya untuk memperbodohkan ajaran Kitab Allah yang dikatakan tidak menyebutnya.

Tidak saudara, sesungguhnya Allah adalah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana. Dia tidak bodoh, kerana telah menurunkan beberapa ayat mengenai pakaian. Antaranya berbunyi,

2:233. Para ibu akan susukan anak-anak mereka dua tahun genap, bagi  orang  yang  hendak sempurnakan sususan. Adalah atas bapa untuk beri rezeki dan pakaian mereka dengan baik.

7:26. Wahai Bani Adam, Kami telah turunkan kepada kamu suatu pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib kamu, dan (pakaian) perhiasan .....

7:27. Wahai Bani Adam, janganlah syaitan goda kamu sebagaimana ia keluarkan ibu bapa kamu dari Taman, dengan melucutkan daripada mereka pakaian mereka, untuk perlihatkan kepada mereka bahagian-bahagian aib mereka.

74:4. Dan pakaian kamu, bersihkan,

Maka jelaslah bahawa Allah menyuruh manusia supaya memakai pakaian.

Kalau bahagian-bahagian perut, punggung, paha dan bahagian lain badan anda didedahkan, tidak ditutup (dengan pakaian), bolehkah anda dikatakan berpakaian, sedangkan Dia menyuruh supaya anda berpakaian? Tambahan pula, setujukah anda jika bahagian-bahagian anggota tersebut disifatkan sebagai bahagian-bahagian aib seperti disifatkan Allah?

Maaf kerana banyak bertanya, supaya penanya berfikir, setelah melihat dia tidak berfikir sebelum mengajukan soalannya. Itu mungkin kerana Kitab Allah tidak dibaca lalu tidak menjadi bijaksana dalam tindakannya.

Sebenarnya, pengirim emel di atas telah mengirim satu lagi emel serentak (terima kasih), menyentuh hal Tudung Kepala juga, tetapi kami bercadang memberi jawapannya pada kali lain. Perkara yang diajukan itu pula sudah lama dibincang di laman web ini. Dan dimaklumkan bahawa sebelum ini, beliau telah mengirim emel buat kali pertama pada bulan April 2011 yang diberi tajuk Ikut Ezra, Bible dan Berkhatan dan dapat dibaca di sini.

Terima kasih.

Allah disanjung!


14 April 2013

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman