Ikut Ezra, Bible dan Berkhatan

 


From: Suriani Mdan
Date: 2011/4/10
Subject: Bertanya Kepada Sari Nande
To:
ebacaan114@gmail.com
Cc: abdullah md dan


Salamun 'alaikum

Semoga sdra pengurus laman serta keluarga sentiasa dalam rahmat dan keredhaan Allah.
 

Sebenarnya saya telah lama membaca paparan dalam ebacaan. Saya berdoa supaya saya dan semua pendokong dan peminat ebacaan akan sentiasa dipanduNya ke jalan yang benar.

 

Saya ingin berhubung terus dengan sahabat Sari Nande tapi tak ada alamt email beliau. Jika dapat berhubung dengan sahabat itu, saya ingin bertanya atau menyelami kefahaman beliau dalam hal 'mengikut ezra' atau 'mentaati bible'. Kenapa apabila bila orang berkata 'aamin' lalu dikatakan menyannjung ezra atau berekhatan dikatakan taati bible?.

 

Kenapa kalau dahulu pengikut ezra meng 'amin'kan doa si ezra, lalu sekarang bila orang meng 'amin'kan doa yang sesungguhnya dipanjatkan kepada Allah dipandang serong?. Apakah apabila bible mengatakan lelaki perlu berkhatan maka orang Islam yang berkhatan dikatakan taati bibble?

 

Ingatlah! orang yahudi dan nasrani juga makan dan berpakaian, maka adakah orang Islam tak boleh makan dan berpakaian kerana itu dikatakan mengikut ajaran yahudi atau nasrani?. Bukankah yang tidak boleh orang Islam turuti dari yahudi dan nasrani semata-mata kepercayaan dan pengabdian mereka yang menyeleweng, yang bukan kepada Allah yang maha Esa.

 

Perlulah kita sadari, bukan semua yang tertulis dalam bible itu palsu atau dipalsukan. Sebahagiannya masih kekal sebagai firman Allah, ini dapat dilihat pada ayat-ayat yang tidak bertentangan dengan ayat-ayat Quran. Bagaimanapun kita tidak boleh percayai bible itu masih tulin (asal) keseluruhannya. Jadi mana-mana yang tidak bertentangan dengan Quran (firman Allah), jika kita lakukannya, bukanlah bermakna kita mentaati bible tapi sebenarnya kita mentaati Allah.

 

Dan ingatlah, asas perbuatan berkhatan (bagi lelaki sahaja, tiada berkhatan bagi wanita) dalam Islam adalah kebersihan, iaitu bagi memudahkan membersihkan diri untuk beribadah dan hukumnya sunat (pilihan, tak wajib).

Sekian, Allah disanjung

 

 

Salamun alaikum,

 

Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami untuk berkongsi pendapat dengan para pembaca, di samping kata-kata yang baik atas keluarga kami dan laman web ini.

 

Kami dahulukan pendapat tentang berkhatan kerana dapati ia agak menarik, terutama apabila ia dikatakan "hukumnya sunat (pilihan, tak wajib)". Apa yang dikatakan hukum sunat dan wajib melibatkan kepercayaan dalam agama di mana sunat bermaksud dapat pahala apabila dibuat dan tidak berdosa jika tidak dibuat. Hukum berkhatan itu tidak ditetapkan oleh Allah, atau agama Islam-Allah, dan jika dipercayai maka orang yang percayainya boleh dikatakan percayai atau ambil tuhan selain daripada Allah. Itu amat berat. Firman-Nya,

 

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan? Jika tidak kerana Kata Ketetapan, tentu ia diputuskan antara mereka. Bagi orang-orang zalim, azab yang pedih." (42:21)

 

Tertarik juga dengan kenyataan "Dan ingatlah, asas perbuatan berkhatan (bagi lelaki sahaja, tiada berkhatan bagi wanita) dalam Islam adalah kebersihan, iaitu bagi memudahkan membersihkan diri untuk beribadah". Islam siapakah yang dimaksudkan di situ? Cara membersihkan diri untuk beribadah, dalam Islam-Allah, ditunjuk, bagi solat misalannya, adalah dengan membersihkan empat bahagian anggota badan (dikenali umum sebagai wuduk) dan bahagian-bahagian itu tidak termasuk bahagian yang dikhatan atau disunat.

 

Bagi kaum yang tidak berkhatan, bahagaian anggota berkenaan termasuk dalam amalan menjaga kebersihan badan, atau health science yang turut merangkumi atas kaum perempuan. Kami telah buat penyelidikan internet dalam perkara berkhatan (beberapa tahun lalu), dan telah difahamkan bahawa perbuatan itu, apabila dilakukan kepada lelaki dan perempuan (perempuan Islam, boleh dikatakan sedunia, berkhatan, selain terdapat di America Selatan dan sedikit di Australia) akan melibatkan sedikit sebanyak gangguan dalam kehidupan seksual mereka. Mereka mungkin dapati sedikit kesukaran dalam mencapai kepuasan sepenuhnya. Timbul pertanyaan, adakah itu merupakan salah satu daripada sebab-sebab mengapa Allah Yang Bijaksana tidak turunkan sebarang ayat mengenai berkhatan?

 

Dan daripada lelaman mencari jodoh di Barat terdapat agak ramai perempuan yang membubuh tanda rait pada kotak tidak berkhatan sebagai pilihan mereka bagi lelaki yang bakal jadi teman hidup. Tentang lelaki pula, kami tidak ingat sama ada pilihan seperti itu ada disediakan. Mungkin tidak, kerana masyarakat di sana tidak mengamalkan langsung berkhatan bagi perempuan.

 

Kami syak Allah tidak pernah turunkan sebarang ayat berkhatan sejak awal zaman lagi. Cerita awal berkhatan dalam Bible (mengenai Nabi Ibrahim berkhatan) adalah tulisan Ezra, seorang ulamak agung Yahudi, di mana berkhatan adalah amalan kaumnya, atau budaya, untuk menunjukkan identiti. Malah pada bahagian Kamus di Al-Kitab (Bible Melayu) di bawah perkataan Sunat tertulis "Orang-orang yang tidak bersunat" bererti: bangsa-bangsa bukan Israel (Gal. 2.7). Boleh jadi kerana itu juga, agama Kristian tidak menganjurkan amalan berkhatan (kecuali satu atau dua golongan mazhab kecil sahaja) walaupun tersurat di dalam Bible.

 

Ezra telah diambil jadi tuhan selain Allah, dan digelar anak Tuhan menurut al-Qur'an. Dengan gelaran itu, Allah mengisyaratkan supaya tidak jadi seperti Ezra atau menuruti ajarannya, contoh Aaamin, yang tidak diturunkan hukum ke atasnya dalam Islam-Allah, lalu tidak jadi sunat serta dapat pahala seperti amalan berkhatan tadi. Namun, sekiranya ada pihak yang ingin mendekatkan diri dengan Allah melalui dia atau ajarannya tiada siapa yang dapat menghalang pihak tersebut. (Di laman web ini terdapat penjelasan mengenai ulamak itu, seperti terdapat di sini atau di sini.)

 

Tentang ikut Bible, harus diingat Tuhan tidak menganjurkannya. Dia hanya suruh ikut al-Qur'an. Bible kononnya mengandungi semua kitab yang diturunkan Allah sebelum al-Qur'an. Lima "surahnya" yang pertama dikatakan kitab Taurat, ditulis oleh Ezra. Yang lain, iaitu sebahagian besar kandungan Bible ditulis oleh macam-macam orang. Lalu terdapat kata-kata yang menunjukkan kebijaksaan sepertimana terdapat di dalam mana-mana novel yang baik. Al-Qur'an, kitab petunjuk, diturunkan untuk menjadi pengawal bagi kitab-kitab sebelumnya (5:48), dan daripada Bible yang boleh diterima sebagai petunjuk ialah solat 3 kali sehari, sujud dengan letak muka di bumi, dan babi dibunuh (kesemuanya bukan tulisan Ezra) dan mungkin ada yang lain kami tidak ingat. Harap dapat bantu kami di sini.

 

Tersenyum pula apabila melihat latah berbunyi "Ingatlah! orang yahudi dan nasrani juga makan dan berpakaian, maka adakah orang Islam tak boleh makan dan berpakaian kerana itu dikatakan mengikut ajaran yahudi atau nasrani?" Kelatahan itu agak berbeza kerana terbit daripada sedikit ramuan perasaan marah dengan benci setelah kepercayaan digeletek. Justeru izinkan kami mengingatkan dengan peringatan Allah mengenai kebencian dan fikiran waras berbunyi,
 

"tetapi Allah jadikan cinta pada keimanan kepada kamu, nampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia jadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras." (49:7)


Setelah mendengar pandangan, dan seterusnya memilih untuk ikut Ezra dan Bible, maka ikutilah mereka, sambil tidak mempedulikan apa orang lain kata. Tepuk dada tanya selera!

Maaf jika tersinggung lagi.

Allah disanjung!

12.4.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman