Seru selain Allah

 

From: syed muhammad
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Wednesday, October 31, 2012 11:41 PM
Subject: SERU


Salamun Alaikum atuk,

Tujuan Habib kali ini adalah, Habib nak tanya sikit mengenai "PERSOALAN" yang sedang bermain-main di fikiran Habib tika ini, dan Habib nak minta pendapat atuk membantu mengenai "PERSOLAN" di bawah.

"PERSOALAN" yang dimaksudkan di sini ialah mengenai "SERU NAMA SELAIN NAMA ALLAH SEWAKTU BERSOLAT (SEDANG BERKOMUNIKASI DENGAN ALLAH) " Seperti yang terkandung di dalam ayat tersebut :-

"Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18)

Dalam masa yang sama , Allah juga menyuruh kita supaya meminta pertolongan kepada DIA di dalam solat bukan?

"Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat...." (2:45)

Kalau kita nak memohon pertolongan daripada DIA supaya dipanjangkan umur kedua ibu bapa kita dengan menyebut nama mereka, adakah salah?

Habib bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Mengengah Rendah (PMR) pada tahun ini. Jadi , kalau permintaan Habib berbunyi begini "Ya Allah ya tuhanku , yang pemurah , yang penyayang , tahun ini ya Allah , aku bakal menduduki 'Peperiksaan Penilaian Mengengah Rendah (PMR)' jadi tolonglah aku ya Allah , engkau berilah keputusanku yang 'CEMERLANG' untuk peperiksaan ini ya allah"

Adakah salah? kerana dalam masa yang sama, kita sedang meminta pertolongan kepada DIA.

Habib harap atuk dapat membantu menjawab permasalahan Habib ini.

Salam .


Salamun alaikum,

Soalan Habib bagus. Tapi hanya hari ini diterbitkan, selepas respon peribadi diberi sejurus selepas kami menerimanya. Diharap respon itu sudah diterima, tidak seperti yang terdahulu atau pertama yang dikirim lebih setahun sebelum tarikh di atas yang dikatakan tidak diterima. Agak ralat juga atas kejadian itu. Lazimnya soalan seperti di atas, atau soalan daripada Habib, kami jawab dengan pantas. Mungkin ada sesuatu yang berlaku.

Tinggalkan ia di situ. Menyentuh mengenai jawapan yang telah diberi kepada Habib pula, yang akan didapati sedikit tidak sama dengan yang diterbitkan di sini. Kerana kira-kira dua bulan selepas menerima persoalan Habib, datang pula satu ketukan, atas ayat yang sama, iaitu ayat melarang menyeru selain Allah di masjid (72:18).

Ayat itu menyebut kalimat masjid. Bukan solat. Demikianlah ketukannya.

Kerana kami percaya kalau Tuhan kata itu, maka itulah ia. Tetapi bukan dia, masjid di situ boleh bermaksud solat (bagi kami pula, solat boleh dilakukan di masjid), sebagaimana dia mengambil kalimat sanjung untuk turut dimaksudkan kepada solat, lalu dia bersolat lebih daripada tiga kali sehari. (Bagi kami tidak ada sengketa dalam hal ini).

Tentu dia tidak terlepas pandang ayat-ayat menyebut waktu-waktu bagi amalan menyanjung Allah, atau bersolat baginya. Waktu-waktunya ialah pagi dan petang. Beberapa contoh ayat diturunkan di bawah:

24:36. Di dalam rumah-rumah yang Allah izinkan untuk dinaikkan, dan nama-Nya disebut di dalamnya; di dalamnya menyanjung-Nya, pagi dan petang,

33:42. Dan sanjunglah Dia pada waktu awal pagi dan petang.

40:55. Maka sabarlah kamu; sesungguhnya janji Allah benar, dan mintalah ampun atas kesalahan kamu, dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu pada waktu petang dan awal pagi.

48:9. Supaya kamu percayai Allah dan Rasul-Nya, dan teguhkan-Nya, dan muliakan-Nya, dan supaya kamu sanjung-Nya pada awal pagi dan petang.

Dan juga ketika bangkit,

52:48. Dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu ketika kamu bangkit,

Maka dia bersolat pada waktu pagi dan petang, dan ketika bangkit (dari tidur) juga.


Kembali kepada soal menyeru hanya Allah yang ayatnya (72:18) menyebut masjid, bukan solat.

Kami berpendapat orang-orang al-Qur'an tidak menyeru selain daripada Allah bukan sahaja di situ. Malah dalam keseluruhan kehidupan mereka juga.

Bagi mereka, ada ayat lain, yang menyuruh menyeru hanya nama-Nya dalam solat. Ayat tersebut berbunyi,

17:110. Katakanlah, "Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik." Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu.

Mungkin tidak silap menyimpulkan bahawa apa saja nama yang diseru dalam solat, maka nama itu haruslah nama-Nya sahaja, bukan nama selain nama-nama-Nya yang paling baik.

Oleh itu, larangan menyeru selain Allah dalam solat turut tersurat di dalam al-Qur'an.


Bagaimana pula dengan nama ibu bapa yang disebut dalam solat? Sebutan dibuat dalam memohon pertolongan kepada Allah.

Nasihat paling senang bagi masalah itu ialah jangan sebut nama mereka :(

Atau cari jalan lain, umpamanya bertanya, adakah sebutan nama-nama ibu bapa itu serupa dengan seruan dibuat kepada-Nya?

Apakah pula maksud seru di dalam al-Qur'an? Daripada kesemua ayat mengandungi kalimat tersebut dapat difahamkan bahawa maksudnya ialah panggil, mohon, atau doa. (Sila rujuk kalimat Seru. Terima kasih.)

Bertanya lagi, adakah nama-nama ibu bapa itu disebut untuk memanggil, memohon atau mendoa kepada mereka?

Kami berhenti di situ.


Di samping itu, harus direnungkan juga tentang doa memohon supaya dilanjutkan umur. Kami berpendapat, doa tersebut bukan sahaja tidak disebut di dalam al-Qur'an malah umur yang (sangat) panjang tidak semestinya mendatangkan (banyak) kebahagiaan. Carilah yang lain, di Doa di dalam al-Qur'an misalannya.
 

Tentang doa mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang pula. Memang benar, kalau kita mintak, tentu kita hendak yang best sekali. Dan ia bermula dengan diri sendiri. Kecemerlangan adalah atas usaha diri sendiri.

Kami rasa, dalam kes macam ini, lebih baik berdoa, selepas berusaha, agar apa-apa yang baik daripada peperiksaan tersebut yang diturunkan-Nya, diturunkan kepada pemohon, sejajar dengan doa Nabi Musa berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku fakir (memerlukan) apa-apa kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku." (28:24)


Sebelum berhenti, ingin menyentuh hal soalan Habib berbunyi "Adakah salah?" Soalan itu menakutkan kami kerana mengajak menurunkan hukum sedang mengetahui benar bahawa hak itu hanya kepunyaan Allah. Hanya Dia yang menetapkan salah atau betul. Namun tahniah kepada Habib yang tidak malu bertanya. Orang yang tidak malu bertanya tidak akan sesat jalan, dengan izin Allah.

Dan kami di sini hanya mampu memberi pendapat sahaja.

Terima kasih.


Allah disanjung!


26 Januari 2013

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman