Pengalaman Hidup Seorang Muslimah XIII

 

From: Sari Nande
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Thursday, September 13, 2012 9:39 PM
Subject: Pengalaman Hidup Seorang Muslimah XIII


Pengalaman Hidup Seorang Muslimah XIII

Salamun alaikum,

Selamat bertemu kembali. Semoga semuanya berada dalam keberkatan Allah. Kpd warga e-bacaan, teruskanlah menulis, saya juga.” Kpd Sdr OA, “Just be strong…” J

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman yang terbaru, tetapi isu lama.

Hidup dikalangan masyarakat ASWJ banyak baiknya, terutama jika kita sabar mendengar dan bijak meggunakan minda. Tetapi tidak menilai atau menghakim, kerana: Bukanlah atas kamu jadikan mereka dapat petunjuk, tetapi Allah beri petunjuk kpd siapa Dia hendaki. (2:272)

Peringatan-Nya:
"Yang mendengar ucapan, dan ikut yang paling baik drpnya, mereka itulah orang-orang yang Allah beri petunjuk kpd mereka; mereka itu, merekalah orang2 yang empunya minda." (39:18)

DAKWAH VS DAKYAH dlm masyarakat kini

Penyebaran dakyah oleh habr2 sekarang semakin pesat. Dan trend terkini, ia disulami dengan unsur2 humor, selain melagu-lagukan ayat2 Quran, untuk menarik, kerana salah satu sifat manusia ialah gemarkan hiburan. Habr2 ini sanggup memikul dan meringankan tugas2 syaitan demi upah yang sedikit. Peringatan (al-Quran) hanya untuk dapat pahala baca bukan untuk penghayatan. Cukuplah bagi mereka dengan menerima bulat2 dan bertaklid dengan apa yang disampaikan oleh media massa dan para penceramah upahan ini.

    Salah satu pendekatan yang diamalkan oleh para ilmuan agama dahulu ialah kaedah bercerita juga. Mereka menyiratkan ajaran dalam apa yang tersurat. Cereka2 begitu biasanya akan lebih diminati, difahami dan diingati.

    Masih ingat lagi semasa kecil saya suka mengikut nenek ke rumah Tuan2 Guru yang sesekali menerima tetamu drp kalangan habr. Mereka akan bermalam dua/tiga hari di situ sebelum meneruskan perjalanan memenuhi undangan ke kampung2 lain. Pada malam2 tersebut beliau akan bercerita atau sampaikan takzirah agama sama ada drp ingatan atau membaca kitab2 lama. Salah seorang yang tidak dapat saya lupakan memetik gambus sambil bersyair dan menyanyikan lagu2 Padang Pasir. Habr2 ini biasanya pernah mengaji hingga sejauh Timur Tengah atau dari pondok2 di negara jiran seperti Patani atau Indonesia. Tetapi selepas sepuluh minit saya akan belayar di alam mimpi, lena di riba nenek. Namun dalam perjalanan pulang esoknya nenek akan ceritakan balik cerita2 yang dianggap menarik dan mungkin bermanfaat yang disampaikan oleh habr tersebut.

    Salah satu dongeng yang saya masih ingat ialah kisah suatu kafilah yang mengembara untuk berdagang. Suatu hari salah seorang anggota kafilah itu telah mengadu kpd “nabi” bahawa nasinya telah dimasuk cicak. Bekatalah “nabi” tersebut, “Buangkan bahagian atasnya.” Walaupun cicak dianggap “haram”, nasi itu masih boleh dimakan. Di lain hari seorang lagi mengadu yang nasinya dimakan anjing. Jawab “nabi”, “Buangkan nasinya dan samak periuk itu.” Maka pada suatu ketika yang lain pula seorang lagi mengadu bahawa nasinya telah dijamah seorang yang tidak sembahyang. Lalu kata “nabi”, “Buangkan dengan periuk2nya sekali.” Begitulah kotornya seseorang yang tidak sembahyang dibandingkan dengan cicak dan anjing. Oleh itu dirikanlah solat...

    Menggunakan “nabi” adalah suatu kaedah bagi menambah kesahihan kisah yang disampaikan. Ia dapat menginsafkan para pendengar. (Tetapi mereka tidak sedar bahawa biskut cabin, yang tawar dan keras dan kopi yang mereka celup dan minum pada malam2 itu dibuat oleh bukan Islam yang tentunya tidak sembahyang.)

    Kini cereka2 yang seumpama itu telah banyak dikumpul dan dibukukan. Drp Jawi dirumikan dan dialih bahasa kpd bahasa2 lain. Salah satu kisah yg masih terkesan dlm jiwa saya bertajuk Mencari Punca Rezeki.

    Kisahnya, pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki yang selalu tertanya-tanya, dari mana punca rezeki. Maka suatu hari, dia pun pergilah mengembara untuk mencari jawapan. Dia berjalan kaki dari kampungnya dengan mengharungi sebuah sungai, menuju ke hulu. Setelah beberapa hari dia ternampak sesuatu sedang terolang-aleng dihanyuti air. Dia ambil benda tersebut dan dapati sabut kelapa yang berisi sejenis juadah yang berbau harum dan apabila dimakan berasa sungguh enak. Selang hari2 berikutnya dia akan diketemukan dengan juadah yang serupa. Ini buat dia ternanti-nanti ketibaan rezeki itu dan semakin ingin tahu dari manakah ia datang dan siapakah pengirimnya.

    Setelah berbulan berjalan maka tibalah dia ke sebuah penempatan. Merata-rata dia bertanyakan tentang juadah yang dijumpainya itu namun tiada siapa yang tahu. Akhirnya seseorang mengusulkan agar dia ke istana untuk bertanya, kerana juadah seperti itu tidak mungkin didapati dari kalangan rakyat biasa.

    Dia pun pergi menghadap ke istana. Setelah bercerita dan sampaikan tujuannya dia pun tunjukkan contoh juadah yang ditemuinya itu. Apabila diajukan kpd Tuan Puteri dan inang2 pengasuhnya, berderailah tawa mereka.

    Apa yang dikatakan juadah yang enak itu sebenarnya adalah bahan penyental daki di badan Tuan Puteri. Ramuannya drp susu segar, madu lebah, tepung badam, dll bahan lagi. Setelah berendam di dalam adunan tersebut, inang2 akan menggosok badan Tuan Puteri. Sisa yang terkumpul drp buangan itulah jadi makanan yang enak bagi lelaki itu.

    Pelbagai tafsiran boleh dibuat drp cereka di atas. Ia bukan suatu appresiasi tetapi suatu persepsi. Jadi terpulang kpd pembaca.

    Tafsiran saya: Keperluan setiap makhluk itu berbeza mengikut kemampuan, darjat atau kedudukan, citarasa, dsb. Kebahagiaan atau kepuasan itu adalah subjektif. Ia tidak diukur berdasarkan harta benda yang dimiliki, tetapi ia adalah soal hati dan kesyukuran. Sesuatu yang tidak kita perlukan walaupun berharga, mungkin berguna bagi orang lain. (Itu sebabnya setiap kali kami buat spring cleaning kami akan menawarkan kpd yang ingin untuk mengambil apa yang mereka perlukan. Ini juga meringankan tugas kami untuk membungkus dan membawanya ke tempat pembuangan, yang mana di situ juga ada lagi ‘penyaring2’ yang akan mengutip untuk dijual atau kegunaan sendiri.)

    Sepuluh ringgit yang tidak akan membakar lubang di dompet anda, jika disedekahkan kpd si miskin yang kemudiannya tukarkannya kpd makanan untuk hidangan keluarganya, senyuman kegirangan di wajah2 mereka tidak ternilai.

    Namun, berapa ramaikah yang akan terkesan oleh cereka seperti di atas, jika membaca pun ramai yang culas, apatah lagi berfikir. Ramai yang saya temui apabila ditanya, “Suka membaca?” Kebanyakan akan menjawab, TAK! Internet yang menghidangkan pelbagai hiburan lebih diminati.

Membaca

Tidak berapa lama dahulu saya dapat message drp seseorang yang bertanyakan pendapat saya tentang hadis. Saya linkkan beberapa artikel dari laman e-bacaan dan menyuruh dia membaca dan berfikir sendiri. Dalam beberapa minit dia jawab balik, “Dah baca, dah. Tapi bukankah hadis2 yang terbukti sahih telah diterima oleh masyarakat Islam?” Saya berikan kesemua artikel tentang hadis drp e-bacaan dengan pesanan, “Baca dengan teliti dan fahami. Mana yang tak faham tanya saya.” Tidak sampai sepuluh minit dia menulis lagi, “Bukankah mereka (perawi/penulis hadis) ini ‘berijazah’ terus dengan nabi?” (Saya akan ambil masa lebih setengah jam untuk membaca artikel2 tersebut.)

    Apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi? Adakah ia selari dengan perintah Tuhan seperti yang terkandung di dalam al-Quran? Siapakah mereka itu? Zaman bila hadis2 itu ditulis? Adakah nabi bersetuju dengan apa yang mereka tulis?

    Soalan saya tidak dapat jawapan. Tetapi disoal kembali melalui orang lain, “Mengapa aunty mesti emotional apabila berbicara tentang agama?” ??? Diikuti dengan komen, “Saya rasa ada yang tak kena dengan aunty tu.” Dan saya dicadangkan supaya pergi belajar di sebuah surau di Jalan Kelang Lama. Ia sentiasa terbuka 24/7. Di sana terdapat ramai orang yang mendalami agama dan orang yang ingin belajar atau sekadar bertanya. Terdapat juga beberapa orang tahfiz yang boleh menjawab segala soalan dengan hanya menunjukkan nombor2 surah dan ayat yang berkaitan sebagai penjelasan, katanya.

    Jawapan saya, “Tak apalah, saya kurang selesa dengan lelaki bercelak…” kerana saya dapati dua orang yang dikatakan seguru ini bercelak tebal.

Ceramah

Saya juga selalu ditegur kerana tidak lagi suka berjemaah di masjid, mendengar ceramah agama, atau membaca Quran seperti dahulu. “Cukup-cukuplah… usia semakin tua. Beramallah untuk akhirat”, katanya. Saya diam terkedu. Dengan rendah hati saya memujuk diri dengan ayat ini, “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku!" (109:6). Bagi saya, cukup-cukuplah kita dihidangkan dengan dakyah2 dalam ceramah2 agama. Kekalutan berikut hanyalah sebahagian kecil drp apa yang pernah disampaikan dalam ceramah2 agama.

Khalifah

Atas arahan tugas, saya selalu dihendaki menghadiri kursus. Kursus2 tentunya menekankan penerapan Islam. Pada kursus yang terbaru penceramah bertanyakan maksud ‘khalifah’. Berbagai-bagai jawapan yang diberi oleh para peserta yang kesemuanya adalah Melayu Islam (70% warga emas). Akhirnya saya menjawab, “Pengganti.”

    “Iya, betul… tapi pengganti kpd siapa?” dia bertanya lagi.
    “Pengganti kpd Tuhan di muka bumi ini!” beliau menjawab sendiri.
    “Subhan Allah, silap tu, Tuan…” secara refleks dengan suara perlahan saya menjawab.
    “Maksud saya… sebagai pengganti siafat-sifat Tuhan.” kalutnya lagi. Saya cuma menggeleng kepala. Tidak sanggup mengaibkan penceramah bertauliah itu. Saya berpegang kpd pesanan guru saya dahulu tentang adap murid dan guru.
    Sila lihat apa maksud khalifah sebenar:
Khalifah di dalam al-Qur'an.

    Di sesi yang lain dia bertanya lagi, “Tuhan kita dan tuhan hindu sama tak?”
    Ramai yang menjawab, “Tidak!” Diikuti beberapa penerangan yg kurang jelas.
    “Sama.” Jawab saya tegas, tanpa diminta. “Sebab Tuhan itu hanya satu. Yang tidak sama adalah kepercayaan.” Dan penceramah menegaskan jawapan itu kpd peserta2 lain.

Solat Jamak

Kerana kursus itu selama tiga hari dua malam, peserta dari jauh disarankan menjamakkan solat. “Itu adalah hadiah dari tuhan,” katanya. Dalam hati saya berkata, tak cukup lagikah hadiah yang Tuhan beri? Bukankah perintahnya … lakukan solat; sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin. (4:103).

    Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam; (11:114). Jika solat Isyak dijamak pada waktu Wusto atau vice versa, maka terluanglah waktu yang ditentukan untuk salah satu solat tersebut.

Talak

Seorang penceramah jemputan bercakap tentang kepimpinan dalam keluarga. Betapa beratnya pengorbanan seorang isteri yang tidak patut dipandang remeh oleh suami. Memandangkan Ramadan yang akan tiba beliau menasihatkan supaya banyak sabar. Dia ceritakan pengalaman yang dilaluinya pada Ramadan yang lepas, sebagai iktibar. Dia telah didatangi oleh seorang sahabat yang menghadapi masalah kerana telah menjatuhkan talak tiga kpd isterinya. Sahabat yang telah terlanjur itu sangat menyesal dan ingin rujuk kembali. Tetapi dinasihati supaya isterinya bernikah lain sebaik habis tempoh iddah. Bayangkan setahun lebih tanpa isteri tercinta, katanya. Terpaksa pula ‘dikongsi’ dengan orang lain. Isterinya dipakai enam bulan lagi sebelum diceraikan suami kedua. (Otak saya mencongak. Oh, ok. Campur dua kali tempoh iddah.)

    Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia drp selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan. (4:82)

    Al-Quran mengatakan:
   
Penceraian (talak) adalah dua kali; kemudian tahan dengan baik, atau lepaskan dengan baik. (2:229)

    Jika dia ceraikannya, dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia kahwin suami lain. Kemudian jika dia (suami baru) ceraikannya, maka tidak salah ke atas mereka untuk kembali kpd satu sama lain, jika mereka sangka mereka akan lakukan had-had Allah. Itu had-had Allah; Dia jelaskannya bagi kaum yg tahu. (2:230)

    Fasakh

Beberapa tahun lalu saya ke Pejabat Agama SA untuk menuntut fasakh.
    Pegawai Agama (PA) bertanya, “Pernahkah suami melafazkan talak?”
    Saya:   Banyak kali.
    PA:   (Hairan.) Dan kamu masih bersama?
    Saya: Sebab perceraian tidak berlaku.
    PA:   (Diam berfikir beberapa saat.) Kenapa sekarang ingin berpisah?
    Saya:   Saya sudah dapatkan pengganti tempat saya. Sudah enam tahun. Dalam waktu itu saya tidak pernah diberi nafkah zahir dan batin. Walaupun saya tidak memerlukan apa2 drp dia,     saya merasakan adalah lebih baik, adil, dan selesa bagi semua pihak jika kami berpisah.
    PA:   Tadi Puan katakan suami melafazkan talak banyak kali.
    Saya:   Ya, sebelum saya dapatkan pengganti. Selepas itu, kali terakhir talak seribu…
    PA:   (Diam, sambil tersandar, mata memandang saya. Kemudian bercakap dengan perlahan dan jelas.) Selepas tiga kali talak, Puan tidak boleh kembali sebagai suami isteri, kecuali Puan berkahwin lain, bercerai, dan bernikah balik dengannya.
    Saya:   Saya berpegang kpd surah al-Baqarah ayat 229. Penceraian (talak) adalah dua kali. Bukankah bercerai bermaksud berpisah? Tetapi kami tidak berpisah.
    PA:   Talak seribu??? (Hampir tidak kedengaran)
    Saya:   Adakah talak jatuh dengan lafaz? Niat tanpa perbuatan? Walaupun dia sebut tiga atau seribu, tempoh iddahnya tetap sama. Tidak mungkin seorang isteri yang dipisah dan dalam tempoh iddah, diceraikan lagi dan lagi.
    PA:   (Diam, Kemudian seperti seorang psychiatrist berhadapan dengan pesakitnya, dia melihat jam tangan.) Saya minta maaf kerana harus menghadiri mesyuarat. Puan isikan Borang Laporan dan berikan kpd kerani tadi. Dia akan menguruskan temujanji seterusnya, dan siapa2 yang lain lagi yang akan dipanggil nanti.
    Saya: Terima kasih. Salamun alaikum.
   
PA:   Waalaikum mussalam wa rahma tullahi wa barakatuh.
   
Itu kali terakhir saya bertemu dengannya.

    Saya berharap coretan ini dapat manfaatkan pembaca dan mencetuskan minda untuk berfikir. Pengalaman mematangkan kita, jika dikongsi diharap ia dapat jadi iktibar pula.

    Sekian dulu untuk kali ini. Semoga saya diberkati dengan kesihatan, kecergasan minda, dan kerajinan untuk menulis lagi. Insya Allah.

Allah disanjung!


Salamun alaikum,

Kami terima kiriman SN sebagai hadiah, tetapi tidak dapat melahirkan kegembiraan kecuali kini. Mesejnya kepada kami, be strong, amat tepat sekali, literally, kerana sejak kebelakangan ini, kami benar-benar dalam keadaan lemah, physically, sehingga untuk berjalan kaki jauh sedikit pun dirasakan tidak terdaya.

Kerana tidak melahirkan kegembiraan sebelum ini, kami rasa bersalah. Harap dapat dimaafkan.

Coretan pengalaman SN memang sentiasa disambut baik - relevan, direnungkan, geli hati - atau dengan satu kata, manfaatkan. Terima kasih Puan SN.

Permintaan supaya diberi kerajinan untuk menulis lagi tentu Didengar, dan kami harap begitu jua, memandangkan keadaan kami yang masih belum menghabiskan beberapa tajuk yang sudah lama terbengkalai.

Balik kepada isi kiriman. Soalan, sampai bilakah perkara seperti itu harus berlaku, tidak kami tanya, kerana mereka sudah sampai ke tahap menghadang ayat-ayat Allah daripada tersiar. Namun, penyebaran ayat-ayat-Nya diteruskan, dan diteruskan seterusnya, bersama hujah-hujah berwarna kemanfaatan, supaya hue hitam dapat dipadam, sedikit demi sedikit, dengan titik-titik halus bercahaya.

Allah tidak turun ke bumi untuk hapuskannya, tetapi kita sudah dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan.

Allah disanjung!

17 Sept 2012


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman