Khalifah di dalam al-Qur'an

 

Mungkin sudah sedia maklum tentang kewujudan satu lagi perkataan al-Qur'an yang dipakai umat dengan agak berbeza daripada maksud asal. Perkataan yang dimaksudkan ialah khalifah, yang sama dalam sebutan baik dalam al-Qur'an mahupun bahasa Melayu. Kamus Dewan beri makna kepada perkataan tersebut seperti berikut:

khalifah Ar
1. pengganti (kepada Nabi Muhammad s.a.w), (gelaran) ketua agama dan raja di negara Islam; Sayidina Abu Bakar jadi ~ yang pertama selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w.
2. = ~ dabus ketua (pemimpin) permainan dabus; ahli leka berdikir, ~ leka berdabus, pendekar leka memencak
3. ketua murid.

Perbezaan yang diisyaratkan dapat diintai ketika memandang kepada ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan tersebut. Lantaran itu, dipaparkan di bawah ini ayat pertama mengandungi perkataan khalifah, dan akan dapati walaupun maknanya sama, iaitu pengganti, tetapi tidak dipakai seperti dinyatakan di atas. Ayat berkenaan berbunyi,

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau letak di dalamnya orang yang akan buat kerosakan di dalamnya dan tumpahkan darah, sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)

Tuhan beritahu para malaikat bahawa Dia akan letak makhluk manusia di bumi, sebagai pengganti bagi, mungkin, suatu makhluk lain. Makhluk manusia yang mengganti itu diketahui pula oleh para malaikat sebagai bersifat jahat, dengan buat kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Namun, ada lagi mengenai manusia yang mereka tidak tahu.

Antara perkara yang tidak diketahui para malaikat mungkin terselit pada ayat kedua yang mengandungi perkataan bersabit, iaitu tentang diadakan darjat-darjat yang berlainan di kalangan manusia setelah dilantik sebagai khalifah dibumi. Ayat yang dinyatakan berbunyi,

"Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi, dan naikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain, supaya Dia uji kamu pada apa yang Dia beri kamu. Sesungguhnya, Pemelihara kamu cepat dalam balasan-Nya; dan sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:165)

Ayat menyedarkan tentang adanya darjat-darjat di kalangan khalifah, iaitu golongan manusia, dalam kehidupan masyarakt, atau sosial, di mana terdapat kedudukan yang tinggi dan kedudukan rendah, yang selanjutnya jadi ujian Allah atas pembahagian-Nya.

Ayat ketiga membawa kepada zaman lampau, kepada kaum Ad (Rasulnya Hud), yang dijadikan Allah khalifah selepas kaum Nabi Nuh. Antara yang diucap oleh baginda kepada kaumnya adalah:

"Apa, adakah kamu hairan bahawa Peringatan daripada Pemelihara kamu sudah datang kepada kamu melalui seorang lelaki antara kamu supaya dia beri amaran kepada kamu; dan ingatlah apabila Dia lantik kamu sebagai pengganti selepas kaum Nuh, dan tambahkan kamu dengan luas dalam ciptaan kamu; ingatlah kamu akan pemberian Allah agar kamu beruntung." (7:69)

Berita itu dapat dipanjangkan lagi dengan membaca ayat-ayat mulai dari empat ayat sebelum petikan di atas, iaitu ayat 7:65 yang berbunyi "Dan kepada Ad, saudara mereka Hud. Dia berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah Allah! Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia; tidakkah kamu bertakwa?" Ayat 7:66 dan seterusnya hingga ke ayat 7:72 dapat dibaca di sini.

Selepas Ad, kaum Tsamud (Salleh, Rasulnya) pula dipilih sebagai khalifah. Seperti Hud, Salleh juga telah berucap kepada kaumnya, dan dalam ucapan mereka berdua kalimat khalifah telah disebut. Antara ucapan Salleh terkandung di dalam ayat keempat, seperti berikut:

"Dan ingatlah apabila Dia lantik kamu pengganti-pengganti selepas Ad, dan Dia tempatkan kamu di bumi, ambil untuk kamu istana-istana daripada tanah-tanah datarnya, dan pahat gunung-gunungnya menjadi rumah-rumah. Ingatlah akan pemberian Allah, dan janganlah buat celaka di bumi dengan buat kerosakan." (7:74)

Cerita sepenuhnya boleh dibaca mulai ayat 7:73 (ayat sebelum di atas) berbunyi, "Dan kepada Tsamud, saudara mereka Salleh. Dia berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah Allah! Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia; sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bukti yang jelas daripada Pemelihara kamu. Ini ialah unta betina Allah untuk menjadi satu ayat bagi kamu. Tinggalkanlah ia, supaya ia boleh makan di bumi Allah, dan jangan sentuh ia dengan kejahatan supaya kamu tidak diambil oleh azab yang pedih." Sila baca hingga ayat 7:79.

Ayat kelima, daripada sembilan, membawa pula kepada zaman Nabi terakhir dan al-Qur'an, terus hingga ke manusia hari ini, yang jadi pengganti generasi sebelum, yang telah dimusnahkan, seperti Ad dan Tsamud. Ayat itu dan konteksnya berbunyi,

10:13. Kami musnahkan generasi-generasi sebelum kamu apabila mereka buat zalim, dan Rasul-Rasul mereka telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tidak mahu percayai; maka Kami balas kaum yang berdosa.

10:14. Kemudian Kami lantik kamu sebagai khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi selepas mereka supaya Kami perhatikan bagaimana kamu buat.

10:15. Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami berkata, "Datangkanlah al-Qur'an selain yang ini, atau tukarkanlah ia." Katakanlah, "Tidak patut bagiku untuk menukarkannya dengan kemahuan diriku sendiri. Aku tidak ikut apa-apa, melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. Sesungguhnya aku takut, jika aku ingkari Pemeliharaku, akan azab hari yang besar."

Disebut lagi tujuan melantik khalifah - perhatikan apa yang manusia buat - termasuk kita semua pada hari ini. Adakah kita akan minta supaya diadakan al-Qur'an yang selain daripada yang telah diturunkan, seperti mereka itu buat? atau dustakan ayat-ayat-Nya laksana dilakukan oleh kaum Hud dan Salleh? Mungkin itu termasuk perkara-perkara yang diperhatikan Allah.

Ayat keenam membawa balik kepada zaman lampau, kepada zaman sebelum kaum Ad lagi, iaitu zaman Nabi Nuh dan kaumnya. Kaumnya yang dustakan ayat-ayat Tuhan telah ditenggelamkan, dan orang-orang yang bersama Nuh telah dilantik sebagai khalifah, pengganti, di bumi. Firman-Nya,

"Tetapi mereka dustakannya; maka Kami selamatkan dia dan orang-orang bersama dia di dalam kapal, dan Kami lantik mereka sebagai pengganti-pengganti, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami; kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang diberi amaran." (10:73)

Ayat ketujuh mengalih perhatian kepada kita semua, sebagai khalifah. Setelah menyahut seruan kita supaya dihilangkan kejahatan yang menimpa, Dia bertanya, "Adakah tuhan selain Allah?" Atau dengan maksud lain, "Adakah kitab selain al-Qur'an?" Firman-Nya,

"Atau, siapakah yang sahut orang yang dalam kesulitan apabila dia seru kepada-Nya, dan hilangkan kejahatan, dan lantik kamu jadi pengganti-pengganti (khalifah) di bumi? Adakah tuhan selain Allah? Amat sedikit kamu mengingati." (27:62)

Selepas itu, kelihatan seperti Dia berkata lagi kepada kita semua, dengan peringatan supaya jangan tidak percaya kepada-Nya, atau ayat-ayat-Nya, kerana tindakan itu hanya datangkan kerugian. Firman-Nya,

"Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi. Maka sesiapa yang tidak percaya, atasnyalah ketidakpercayaannya; ketidakpercayaan mereka menambahkan orang-orang tidak percaya hanya dalam kebencian di sisi Pemelihara mereka; ketidakpercayaan mereka menambahkan bagi orang-orang tidak percaya hanya dalam kerugian." (35:39)

Sampai kepada ayat terakhir yang mengandungi kalimat khalifah, iaitu yang kesembilan. Ayat mengisahkan Nabi Daud yang telah dilantik Allah jadi khalifah, atau pengganti, dan firman Allah kepadanya dalam perlantikan itu berbunyi,

"Wahai Daud, sesungguhnya Kami lantik kamu sebagai khalifah (pengganti) di bumi; maka hakimkanlah antara manusia dengan adil, dan jangan ikut keinginan supaya ia tidak menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan Allah, bagi mereka, azab yang keras kerana mereka melupakan Hari Perhitungan." (38:26)

Boleh jadi tidak salah jika bertanya, siapakah yang diganti Daud? Untuk menjawab soalan, dan ceritanya agak panjang hingga kepada baginda menjadi raja, diturunkan ayat-ayat berikut daripada halaman lain:

2:246. Tidakkah kamu renungkan pembesar-pembesar Bani Israil selepas Musa ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, "bangkitkan untuk kami seorang raja dan kami akan berperang di jalan Allah." Dia berkata, "Mungkin sekali, bahawa jika perang dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, kamu tidak akan berperang?" Mereka berkata, "Mengapa kami tidak mahu berperang di  jalan Allah, yang telah diusir daripada tempat tinggal kami, dan anak-anak kami?" Maka, apabila perang dituliskan bagi mereka, mereka berpaling kecuali sedikit antara mereka; dan Allah tahu orang-orang zalim.

2:247. Kemudian Nabi mereka berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Allah bangkitkan Thalut bagi kamu sebagai raja." Mereka berkata, "Bagaimanakah patut bagi dia menjadi raja kepada kami, yang lebih berhak daripadanya pada kerajaan, memandangkan dia tidak diberi harta yang banyak?" Dia berkata, "Sesungguhnya Allah memilihnya di atas kamu, dan tambahkannya dengan luas dalam pengetahuan dan tubuh. Allah beri kerajaan kepada siapa Dia hendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui."

2:248. Dan Nabi mereka berkata kepada mereka, "Ayat (tanda) kerajaannya ialah bahawa tabut (peti) akan datang kepada kamu, di dalamnya suatu ketenangan daripada Pemelihara kamu, dan satu sisa daripada apa yang keluarga Musa dan keluarga Harun tinggalkan yang dibawa oleh malaikat-malaikat. Sungguh, pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kamu, jika kamu orang-orang mukmin."

2:249. Dan apabila Thalut berangkat dengan tentera, dia berkata, "Allah uji kamu dengan sebuah sungai; sesiapa minum daripadanya adalah bukan daripada aku, dan sesiapa yang tidak rasainya, dia adalah daripada aku, kecuali orang yang ceduk seceduk dengan tangannya." Tetapi mereka minum daripadanya, kecuali sedikit antara mereka; dan apabila dia menyeberanginya, dan orang-orang yang percaya bersamanya, mereka berkata, "Kami tidak ada kekuatan pada hari ini terhadap Jalut dan tenteranya." Berkata orang-orang yang sangka akan temui Allah, "Berapa kalikah satu golongan yang sedikit telah kalahkan satu golongan yang banyak, dengan izin Allah? Dan Allah berserta orang-orang yang sabar."

2:250. Maka, apabila mereka pergi kepada Jalut dan tenteranya, mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya (kafir)."

2:251. Dan mereka kalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud bunuh Jalut; dan Allah beri kepadanya kerajaan dan kebijaksanaan, dan Dia ajarnya apa yang Dia hendaki. Sekiranya Allah tidak usir manusia, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, tentu rosaklah bumi, tetapi Allah mempunyai pemberian kepada semua alam.

Mungkinkah Nabi Daud telah mengganti seorang Nabi yang tidak disebut nama, atau Thalut sebagai raja? Atau kedua-duanya sekali? Dan Allah telah juga memberinya kebijaksaan dan ajar baginda apa yang Dia hendaki.

Sedikit tentang perktaan kerajaan yang telah disebut. Ia adalah mulk dalam bahasa al-Qur'an, atau kingship, yang seakar dengan kalimat malik atau raja dalam bahasa Melayu.

Cerita Daud memberangsakan, kerana ditinggikan Allah darjatnya hingga menjadi raja, dan menurut sejarah, empayarnya luas. Demikianlah contoh pemberian Allah yang baik kepada khalifah atau pengganti yang dilantik-Nya.

"Dan sejahtera ke atas para utusan," (37:181).

Hanya satu daripada sembilan ayat mengandungi khalifah yang kelihatan memenuhi sedikit erti menurut kamus. Ayat tersebut menyebut hanya Daud seorang sahaja dilantik sebagai pengganti. Yang lain disebut sebagai golongan manusia, seperti kaum dan generasi. Pun begitu, baginda bukan pengganti Nabi Muhammad, dan khalifah bukan gelaran yang dipakai sebagai seorang raja (malik). Didapati pula segolongan manusia pada hari ini memanggil baginda dengan penghormatan berbunyi King David.

Cerita yang panjang mengenai khalifah hampir melupakan pokok perbincangan di sini. Akan tetapi, adalah dirasakan tidak perlu dipanjangkan lagi perbincangan mengenai perbezaan pada maksud kalimat khalifah daripada al-Qur'an dengan maksud difahamkan umum, terutama orang Islam. Yang penting ialah mengetahui maksudnya menurut dihendaki Allah.

Allah disanjung!


Penulis Bacaan
Disember 2010


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman