Terjemahan Aurat & Tudung Kepala Wanita Dalam Islam

 

From: arch emerith
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Wednesday, May 16, 2012 8:13 AM
Subject: Terjemahan Aurat & Tudung Kepala Wanita Dalam Islam.
 

Salam Saudara,

Saya menemui blog / artikel berkenaan penjelasan rapi tentang terjemahan maksud sebenar aurat dan tudung kepala wanita dalam Islam.

Secara peribadi, saya seorang wanita muda lingkungan 20-an dan tidak memakai tudung, hanya kerana saya tidak memakainya tidak bermaksud saya benci tudung, bagaimana mungkin saya membencinya? Tudung itu mempunyai sejarah keunikannya tersendiri dan saya sendiri pernah tinggal di Arab Saudi dan memakai tudung, bukan kerana terpaksa akur dengan undang-undang di negara itu, tetapi saya selesa dan merasa selamat apabila tubuh dan kepala saya terlindung dari pandangan lelaki asing terutamanya di negara Islamik dan berada dekat dengan Kaabah, Mekah.

Namun saya terpaksa menghadapi kebencian dan diskriminasi masyarakat pula terutamanya gadis-gadis sebaya dan wanita-wanita yang lebih berusia, tidak ketinggalan para ustaz dan ustazah serta kaum lelaki yang 'kuat agama' serta golongan tua yang sering memandang rendah terhadap wanita tidak bertudung seperti kami.

Saya terkilan dan sedih apabila mereka mengata serta mencemuh kami yang tidak bertudung sebagai 'perempuan jalang', 'munafiq', 'fasiq' dan perempuan kotor, sial, celaka, jahat dan tiada maruah. Jahatkah kami kerana tiada tudung yang menutupi rambut kami?

Ya, aurat kami terdedah, dan pelbagai kelemahan kami, tapi, tidak semestinya kami berzina, minum arak, berjudi, membunuh, merompak, mengutuk, menfitnah, menderhaka, melacur, tidak! Kami juga manusia seperti yang bertudung. Kami solat, puasa, bersedekah, muhasabah diri, pergi ke ceramah dan menutup aurat di dalam masjid dan majlis agama, kami bersopan-santun, kami bekerja dan membahagi rezeki, menolong dan meringankan beban, kami ikhlas beribadat dan sujud kepada-Nya. Pernah sekali saya singgah ke surau di Tol Lebuhraya R&R untuk bersolat, saya menutup tubuh cuma tidak kepala, dan ahli ibadat muslimah di dalam surau itu menjeling melihat saya ambil wudhu, da meilhat dari atas ke bawah, apakah aneh bagi pandangan mereka, melihat kami ingin bersolat? Hanya kerana mereka memakai tudung, mereka sahaja kah yang layak bersolat dan disayangi Allah?

Mengapa mereka memandang seperti kami penjenayah? Kami tidak jahil, kami bukan Kafir!

Saya sedih setiap kali saya ke ceramah-ceramah agama, apabila para ustaz lazimnya berceramah tentang aurat, saya tidak menafikan memang kesopanan itu dituntut dalam agama Islam tapi ceramah mereka seperti menghina dan melampaui dari segi kata-kata, berbaur kebencian yang teramat sangat, sehingga bersifat 'sexism' dan menyebabkan para Feminist menentang diskriminasi kaum Adam yang sesuka hati menghina dan merendahkan wanita serendah-rendahnya. Saya bukan seorang Feminist tetapi saya dilahirkan perempuan, saya sedari saya yang bersifat lemah dan fitrah kewanitaan mampu buat kaum Adam tergoda, yang juga fitrah lelaki yang bernafsu terhadap kaum Hawa, tetapi bukan niat dari jiwa kami untuk menimbulkan rasa keji itu, walaupun iblis dan syaitan juga memainkan peranan untuk merosakkan manusia tetapi kami tidak bertudung bukan kerana degil atau berniat melanggar perintah Allah, kami dilahirkan lemah dan sentiasa lupa dan ingin mengikut kehendak hati sendiri, tetapi itu bukan bermaksud kami jahat, munafiq, fasiq atau kafir! Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang, Dia sahaja yang layak menghukum hamba-Nya dan bukan bermakna golongan alim ulama ini boleh sesuka hati menghembur kata-kata hinaan dan benci terhadap kami yang tidak bertudung. Kononnya kes-kes rogol adalah dari kesalahan wanita semata-mata! Ini berat sebelah! Semua kesalahan diberi kepada kaum Hawa. Apakah kami sahaja yang dikurniakan kehendak bebas dan nafsu? Apakah kami sahaja yang dikurniakan akal? Bukankah manusia itu sama tarafnya, yang berbeza hanya amalan, bukan tudung kepala semata-mata! Golongan ustaz anti-perempuan ini lazimnya suka berceramah merendahkan wanita. Maaf, saya bukan gender-biased tapi mereka seperti kerasukan apabila masuk bercerita dalam bab aurat ini, mereka seperti sedang lakukan 'brainwash' kepada pemuda-pemuda atau gadis-gadis serta masyarakat yang hadir, supaya benci kami yang tidak menutup rambut. Kamilah yang paling jahat di mata mereka. Adakah IMAN dan TAUHID itu diukur dari Tudung Kepala semata-mata?

"Ahli Neraka! Neraka lah tempat perempuan yang nampakkan aurat rambutnya!" Bagai halilintar suara ustaz-ustaz yang berceramah, saya akui, berasa takut dan cemas. Itu kata-kata hemburan yang saya dengar di setiap ceramah agama, mereka masukkan ayat-ayat dari Hadis, entah saya tidak pasti Hadis Sahih atau Maudhu atau Dhaif, saya seringkali terfikir, jika mereka sudah tahu bahawa saya atau wanita yang tidak bertudung akan masuk ke neraka maka handalnya mereka, sedangkan Rasulullah pun tidak menjatuhkan hukuman seperti itu kepada umatnya, Rasulullah memang ada menyebut dalam riwayat yang saya baca tentang aurat wanita di zaman Arab Jahiliyah, di malam Isra' Mikraj, Nabi Alaihisalam pergi ke langit menemui Allah dan Malaikat, dan dia diperlihatkan akan keadaan Syurga dan Neraka, ketika Nabi melihat wanita yang dibakar kepalanya dari air yang menggelegak panas kerana tidak menutup auratnya dan nampakkan perhiasan dirinya, saya ingat akan riwayat Hadis itu, saya tidak menafikannya. Terdapat juga kisah-kisah umat Islam yang berziarah umrah atau menunaikan haji ke kota Mekah,mereka mengharungi pelbagai ujian disana, mengikut pengalaman saya, mereka telah lakukan pelbagai dosa-dosa besar dan telah insaf. Saya percaya akan hidayah Allah, kerana Dia sahaja yang mampu beri petunjuk dan Dia sahaja yang LAYAK menghukum setiap hamba-Nya, dan setiap hamba-Nya diberi masa untuk hidup dan bertaubat, dan Dia Maha Pengampun. Luasnya rahmat Allah, Dia tidak bersifat pembenci atau hasad dengki, Allah itu indah dan penuh kasih sayang, Dia kasih dan pemurah terhadap semua makhluk-Nya, kerana Dia yang ciptakan mereka. Apabila saya diberitahu bahawa tempat saya akan berada di neraka, sudah tentu saya putus asa dalam hidup ini dan terputuslah kasih-sayang atau harapan saya terhadap sifat pengasih dan pengampun Ilahi, saya meraguinya hanya kerana seseorang ustaz itu mencampakkan kesahihan kepada wajah saya bahawa saya AHLI NERAKA. Apa perasaan seseorang manusia itu jika seseorang hamba lain sesuka hati cuba memutuskan kasih-sayang, cinta Allah kepada hamba-Nya? Bukankah dari segi psikologi saya akan merasa sangat terganggu? Sudah tentu saya hampir gila fikirkannya. Neraka! Api Neraka! Itu lah kata-kata yang sering disembur dalam ceramah agama. Cukuplah, ustaz-ustaz yang riak ini hanya tahu ingin melontar kami wanita ke dalam api neraka sahaja. Lebih baik mereka berceramah tentang kisah-kisan nabi, fitnah dajjal, penyalahgunaan dadah, mat rempit, zina, arak, judi, hasad dengki, rasuah, sihir, syirik, khurafat atau bahaya-bahaya rosaknya akidah yang lain.

Saya masih ingat, seorang sahabat pemuda Arab Saudi menasihati saya, ketika kami berbicang tentang Osama Laden dan 'Jihad' nya, sahabat saya ini berkata, "Sebagai seorang anak keturunan Arab, aku tidak setuju dengan perjuangan Osama. Jika dilihat dari sudut luaran, dia hanya berjihad demi kepuasan dan marahnya kepada Amerika dan penindasan mereka terhadap rakyat Palestin. Tetapi jika kamu teliti di dalam Al-Quran, jihad sebenar adalah dari dalam rohani kamu sendiri, iaitu Jihad Ruh. Bukan roh orang mati, tetapi ruh kamu yang Allah ciptakan, rohani kamu harus bersih dari nafsu jahat, dendam, marah-marah, hasad dengki, dan harus sabar. Itu Jihad sebaik-baik Jihad. Kamu lihat sekarang ini, rakyat Saudi yang asalnya Ahlul-Bayt Sunnah Wal Jamaah sudah berpecah-pecah, ada yang mengikut Wahabi, Shia dan entah apa-apa.... Aku kesal dengan bangsaku sendiri. Sekarang Yahudi sudah makin ke hadapan tetapi kita, Islam, makin berpecah-belah...Kamu lihat saja nanti tanah Arab akan dibanjiri Bidaah..." Itu diantara perbualan saya dan sahabat di Jeddah. Memang benar ramalannya. Ketika perbualan itu pada tahun 2010, dia sudah dapat meramalkan situasi kekecohan politik di Arab-Afrika, dan kini pada 2011-2012 telah berlaku kekcohan tersebut.

Islam itu luas pengetahuannya. Dari Fardhu Ain, laksanakan yang wajib, dan amalan sunat serta rukun Islam dan amalan amal ibadat yang lain untuk dikumpulkan sebelum kiamat. Jadi, saya sebagai seorang Muslim, cuba melengkapi diri secara perlahan-lahan dan sabar...

balik kepada topik asal, Tudung:


Apa yang saya fahami dari pendapat anda, melalui kajian bahasa Arab - English - Melayu adalah:
(Sila maafkan jika salah tafsir pendapat anda).

1. Secara lazimnya, tudung wanita itu tidak semestinya untuk dipakai di kepala sahaja, tetapi sebagai menutupi tubuh wanita (buah dada).

2. Dalam Bahasa Inggeris, Veil, Scarf itu bererti kain sarung, kerudung dan tudung. Lazimnya ia mempunyai
banyak fungsi iaitu sebagai menutupi rambut atau leher wanita.

3. Dalam bahasa Arab, Jilbab atau Khumur, adalah kain penutup. Kain penutup yang disuruh Allah di dalam Surah An-Nur, adalah menutup bahagian tubuh seksual wanita iaitu dada, jadi dada itu adalah aurat dan bukannya rambut. Manakala Niqab iaitu penutup wajah adalah sama sekali tiada dalam Al-Quran kerana wajah bukan aurat bagi wanita.

4. Allah Subhanawata'ala tidak turunkan sebuah kitab yang mengelirukan atau dengan tujuan untuk para teologi (alim ulama), para penterjemah Al-Quran dan Hadis untuk mengubah struktur dan menambah maksud ayat, dengan kata lain, menggunakan pendapat sendiri demi ego dan sifat dominasi sebagai lelaki. Lazimnya, mereka terdiri dari kaum Adam yang berketurunan Arab, yang amat protektif dan cemburu akan wanita di zaman itu, sehingga sanggup mengubah dan menterjemah ayat-ayat itu dengan hasutan nafsu sahaja. Mereka ingin mendominasi kaum Hawa dan mengelakkan perkara-perkara yang menimbulkan fitnah, jadi mereka memutar-belit kata Al-Quran dan mewujudkan Hadis palsu (Maudhu) demi kepentingan diri sendiri dan kebencian terhadap kaum Hawa. Semua ini berlaku selepas Rasulullah wafat.

5. Maksud perhiasan itu bukanlah tubuh badan wanita kerana wanita bukan objek yang boleh dijadikan fantasi seksual lelaki, sepertimana wujudnya terjemahan bersifat nakal dan agak lucah berkenaan ghairah lelaki akan timbul dengan melihat perhiasan (rambut, wajah, leher) dan bukannya tubuh badan semata-mata. Jelas sekali hanya kaum Adam yang bernafsu binatang dan berfikiran kotor sahaja yang akan 'ghairah' dengan hanya melihat rambut, wajah dan leher wanita lalu berniat ingin mencabuli dan merogol kaun Hawa yang sudah sedia ditindas dengan hal ehwal yang didominasi kaum Adam dalam agama Islam. Jadi, maksud perhiasan itu jelas sekali adalah barang kemas, rantai gelang tanganm gelang kaki, loceng yang berlebihan atau melampaui batas. Cukuplah dengan pakaian yang sederhana dan alat perhiasan yang 'simple' atau ala kadar sahaja dan tidak menarik perhatian kaum Adam. Sesungguhnya Allah itu bukan penipu atau pembohong akan janji serta kitab-Nya, kata-kata wahyu-Nya jelas dan tidak berunsur diskriminasi terhadap kaum Hawa sedikitpun, namun semuanya diubah dan digubal sesuka hati oleh mereka yang diberi 'kuasa' untuk menterjemah ayat-ayat suci Al-Quran ini.


SOALAN:

1. Saudara, sudah jadi lumrah, wanita mukmin atau Islam yang 'baik' terpamer dengan tudungnya yang sopan, dan mereka sudah serasi dengan tudung jilbab atau niqab di wajah mereka, jadi bagaimana reaksi mereka jika dapati bahawa kajian terbaru terhadap tudung ini berleluasa? Mungkinkah mereka akan menanggalkan tudung mereka? Jadi bagaimanakah persepsi masyarakat seandainya mereka benar-benar mendalami maksud perintah Allah (SWT) akan aurat ini, bahawa pemakaian tudung itu tidak wajib, dan adakah para ustaz/ ulama lain akan bersetuju dengan penemuan anda?

2. Adakah berdosa jika buat kajian melalui perterjemahan Al-Quran dengan niat untuk mencari kebenaran, dan apakah risikonya jika tersalah tafsir?

3. Apakah tujuan sebenar hadis-hadis palsu diwujudkan dan apakah mungkin mereka mereka-cipta hadis dengan menggunakan nama Rasulullah demi mencapai matlamat mereka, dan apakah matlamat dan agenda tersebut?

4. Apakah pendapat saudara tentang Illuminati, Freemason dan Dajjal (Antichrist)?


Terima kasih atas masa yang saudara berikan dan saya harap saudara dapat membalas dan beri pendapat dalam email seterusnya.

As Salam Alaikum.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Mungkin saudari sudah baca semua perbincangan mengenai tudung kepala di laman ini. Harus juga dibaca mengenai masjid, jihad, dan mungkin juga salam, antara lain. Kami tidak ada komen panjang kecuali beri nasihat supaya al-Qur'an sentiasa dibaca kerana daripadanya, selain petunjuk yang benar, malah kekuatan untuk berhadapan dengan orang-orang tidak percaya dan tindakan mereka, turut dapat diperolehi.

Tidak juga kami akan jawab soalan-soalan saudari, termasuk mengenai Illuminati dan lain, yang tidak ada kaitan dengan al-Qur'an mahupun dengan apa yang kami usahakan di sini. Maaf.

Allah disanjung!


17 Mei 2012

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman