Hudud untuk suami isteri sahaja?

 

From: azrulyahya77
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Thursday, April 19, 2012 2:19 PM
Subject: Hudud.


Salamun 'alaikum.

Tuan yang dihormati, saya membaca tulisan di laman tuan mengenai hudud. Tulisan yang sangat baik dan saya bersetuju dengan kenyataan bahawa hukuman hudud yang hendak dilaksanakan oleh parti yang disebut, tidak berlandaskan al-Qur'an.

Lantas saya juga mencari-cari hukuman hudud yang tertulis di dalam al-Qur'an, dan ingin saya kongsikan apa yang saya jumpa dan mohon agar tuan dapat membetulkan saya jika terdapat kesilapan.

Hudud.

**

Mencampuri isteri pada bulan puasa.

2:187. Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah tahu bahawa kamu khianati diri-diri kamu sendiri, dan terima taubat kamu, dan maafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka, dan carilah apa yang Allah menuliskan(tetapkan) untuk kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar (pagi), kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan campuri mereka sedang kamu bertekun(iktikaf) di masjid. Itu had-had (hudud) Allah; janganlah keluar daripadanya. Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertaqwa.

**

Perceraian.

2:229. Penceraian(thalaq) adalah dua kali; kemudian tahan dengan baik, atau lepaskan dengan baik. Tidaklah halal bagi kamu untuk mengambil daripada apa kamu sudah beri mereka(harta benda) kecuali keduanya takut bahawa mereka tidak dapat lakukan had-had (hudud) Allah. Jika kamu takut mereka tidak dapat lakukan had-had Allah, maka tidak salah ke atas mereka untuk dia tebus dengannya. Itu had-had Allah; jangan mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang zalim.

**

Wasiat.

4:12. Dan bagi kamu (para suami), separuh daripada apa yang isteri-isteri kamu tinggalkan, jika mereka tidak ada anak; tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka tinggalkan, satu per empat, sesudah sebarang wasiat yang mereka wasiatkan, atau sebarang hutang. Dan bagi mereka(para isteri), satu per empat daripada apa yang kamu (para suami) tinggalkan jika kamu tidak ada anak; tetapi jika kamu ada anak, maka bagi mereka, daripada apa kamu tinggalkan, satu per lapan, sesudah sebarang wasiat yang kamu wasiatkan, atau sebarang hutang. Jika seorang lelaki atau seorang perempuan tidak mempunyai waris yang terus (ibu bapa dan anak), tetapi ada saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya, satu per enam; tetapi jika mereka lebih ramai daripada itu, maka mereka bersekutu dalam satu per tiga, sesudah sebarang wasiat yang dia wasiatkan, atau sebarang hutang yang mudaratkan; wasiat daripada Allah, dan Allah Mengetahui, Penyantun.
4:13. Itu adalah had-had (hudud) Allah, dan sesiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, Dia akan masukkannya ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

**

Menzihar isteri.

58:2. Orang-orang antara kamu yang menzihar isteri-isteri (berkata kepada isteri-isteri, ''Kamu, kepadaku, adalah seperti punggung ibuku!'') mereka, mereka bukanlah ibu-ibu mereka; ibu-ibu mereka hanyalah yang melahirkan mereka, dan mereka benar-benar mengatakan satu ucapan yang mungkar, dan dusta. Namun begitu, sesungguhnya Allah Pemaaf, Pengampun.
58:3. Dan orang-orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik kembali apa yang mereka telah mengatakan, mereka akan merdekakan seorang hamba sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dengan itu kamu ditegurkan; dan Allah sedar apa kamu buat.
58:4. Tetapi sesiapa yang tidak dapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dan jika sesiapa yang tidak boleh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin - itu, supaya kamu percayai Allah dan Rasul-Nya. Itu had-had (hudud) Allah; dan bagi orang-orang tidak percaya, azab yang pedih.

**

Tempoh perceraian.

65:1. Wahai Nabi, apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikan mereka apabila mereka sampai tempoh mereka. Hitunglah tempoh itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Jangan keluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga biarkan mereka keluar, kecuali mereka lakukan kesumbangan yang nyata. Itu had-had (hudud) Allah; sesiapa mencabuli had-had Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak tahu mungkin setelah itu Allah adakan perkara yang baru.

**

Tuan; inilah ayat-ayat yang mengandungi perintah hudud yang saya temui di dalam al-Qur'an. Apabila membaca kesemua ayat-ayat ini, terdapat satu persamaan, iaitu, kesemua ayat-ayat ini ceritakan perihal suami dan isteri.

Tuan; adakah pemahaman mengenai hudud ini luas hingga merangkumi hukuman memotong tangan pencuri, atau ianya satu perintah yang berbeza yang dikenakan pada yang berkahwin ?

Diharap tuan sudi membincangkan persoalan saya ini.

Terima kasih.

Segala puji hanya bagi Allah pemelihara seluruh alam. Dia Yang Bijaksana, Yang Agung.


Salamun alaikum,

Terima kasih atas sumbangan satu pandangan mengenai hudud yang belum pernah diketengahkan di sini. Adalah dipercayai ia akan beri kemanfaatan kepada para pembaca sekalian.

Pertama, dalam membincangkan perkara tersebut, ingin menyatakan bahawa frasa hukum hudud didapati agak mengelirukan. Sebaliknya, frasa had-had hukum dirasakan lebih sesuai, walaupun ia atau frasa terdahulu tidak disebut di dalam al-Qur'an. Kitab itu hanya menyebut hudud (had-had), atau hudud Allah (paling banyak disebut), di samping hudud-Nya, dan hudud yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya.

Benar, kebanyakan ayat-ayat mengandungi perkataan hudud menyentuh perihal pasangan suami isteri, lalu jadikan perkara itu sangat penting dalam peringatan. Dan kebanyakan daripadanya pula berkait dengan penceraian. Sila lihat halaman kalimat hudud, yang mengandungi kesemua 9 ayat-ayat-Nya.

Mereka didapati hanya kebanyakan sahaja, bukan kesemuanya menyentuh hal suami isteri, seperti tercatat di emel iaitu "kesemua ayat-ayat ini ceritakan perihal suami dan isteri."

Itu kerana terdapat ayat yang menyentuh perkara lain, misalan wasiat, yang berbeza dengan hal suami-isteri tersebut. Ayat itu sebenarnya dapat dibaca di emel di atas, di bawah tajuk kecil ketiga, Wasiat, dengan menyebut ayat-ayat 4:12-13. Konteksnya yang bermula dari 4:11 membawa mesej mengenai pembahagian harta pesaka, menurut wasiat daripada Allah sesudah menjelaskan sebarang wasiat yang si mati wasiatkan, atau sebarang hutang yang memudaratkan.

Pada ayat-ayat pembahagian harta pesaka itu (4:11 dan 12) kalimat hudud tidak disebut tetapi disebut berulang kali pada ayat-ayat yang menyusuli mereka. Sila lihat di bawah ini:

4:13. Itu adalah had-had (hudud) Allah, dan sesiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, Dia akan masukkannya ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

4:14. Tetapi sesiapa mengingkari Allah dan Rasul-Nya, dan mencabuli had-had-Nya, dialah yang Dia akan masukkan ke Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan baginya azab yang hina.

Maka jelas bahawa kalimat hudud tidak hanya diguna untuk perkara-perkara berkaitan pasangan suami isteri sahaja. Ia didapati diguna bagi perkara lain, jadikannya sebagai umum.


Sehubungan itu terdapat lagi kalimat hudud diguna sebagai umum pada ayat bererti,

9:97. Orang-orang Arab lebih sangat dalam ketidakpercayaan dan kemunafikan, dan lebih wajar untuk tidak tahu had-had (hudud) yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya; dan Allah Mengetahui, Bijaksana.

Perkataan hudud di situ berkait dengan perkara-perkara yang menerbitkan ketidakpercayaan (kekafiran) dan kemunafikan. Tidak mungkin ia hanya bermaksud ke atas hubungan suami isteri sahaja.

Ayat tersebut, iaitu antara hudud (had-had) yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya, diekori ayat menyebut mengenai pemberian nafkah, seolah beri satu contoh ke atas ketidakpercayaan dan kemunafikan orang Arab. Ayat berkenaan berbunyi,

9:98. Antara orang-orang Arab ambil apa yang mereka nafkahkan sebagai denda dan menunggu-nunggu akan giliran yang buruk kepada kamu. Bagi merekalah giliran yang buruk; Allah Mendengar, Mengetahui.


Selain daripada itu terdapat satu lagi ayat hudud yang kelihatan turut diguna secara umum, dan ia berbunyi,

9:112. Orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh pada yang baik dan melarang daripada yang mungkar, dan orang-orang yang menjaga had-had (hudud) Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin.

Ayat menjelaskan tentang orang-orang mukmin. Penjelasan bermula dari ayat terdahulu iaitu:

9:111. Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan Taman; mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh dan mereka dibunuh; itu ialah satu janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan al-Qur'an; dan siapakah lebih menepati perjanjiannya daripada Allah? Maka gembiralah dengan jual beli kamu yang kamu jualbelikan dengan-Nya; itulah kemenangan yang besar.

Maka dengan itu, kami berpendapat hudud tidak hanya diguna atas hubungan suami isteri sahaja tetapi umum.


Mungkin boleh dilihat pada konteks ayat-ayat mengandungi kalimat hudud untuk mencari lagi maksudnya. Misalan ayat-ayat 4:13 dan 14 yang sudah disebut. Ayat-ayat hudud itu diikuti ayat-ayat di bawah yang didapati mengandungi kata hukum:

4:15. Dan perempuan-perempuan kamu yang lakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka saksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian matikan mereka, atau Allah adakan bagi mereka satu jalan.

4:16. Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya. Sesungguhnya Allah Yang Menerima Taubat, Pengasih.

Rasanya tidak keterlaluan untuk mengatakan terdapat hubungan di antara hudud dengan hukum di situ, iaitu hukum ke atas kelakuan sumbang lelaki dan perempuan, kelakuan yang mencabuli had-had dalam hubungan jenis.


Masih dalam memperkatakan hudud bukan sahaja untuk suami isteri. Lalu, dengan pendekatan yang sama, diturunkan ayat-ayat di bawah untuk menunjukkan kalimat itu berkait pula dengan hakim atau penghakiman dalam memakan harta sesama sendiri dengan cara salah:

2:187. Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah tahu bahawa kamu khianati diri-diri kamu sendiri, dan terima taubat kamu, dan maafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka, dan carilah apa yang Allah tuliskan (tetapkan) untuk kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan campuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid. Itu had-had (hudud) Allah; jangan keluar daripadanya. Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertakwa.

2:188. Jangan kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara palsu, dan kamu menawarkannya kepada hakim-hakim, supaya kamu dapat makan, dengan dosa, sebahagian daripada harta manusia yang lain sedang kamu mengetahuinya.

Sebenarnya ayat kedua dimulakan dengan wa atau dan dalam bahasa Melayu, justeru ia seharusnya bermula denagn frasa Dan jangan bukan Jangan sahaja - yang seakan menunjukkan lagi contoh bagi hudud.


Apapun, hudud merangkumi perkara-perkara yang bukan sahaja menyentuh perihal suami isteri, yang sangat penting, tetapi perkara-perkara lain yang apabila dicabuli had-hadnya akan mengheret kita masuk ke dalam golongan orang-orang kafir (tidak percaya) atau munafik.

Terima kasih. Maaf terlewat sikit dalam beri pendapat kami.

Allah disanjung!


22 April 2012

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman