Bezakan Nabi dan Akibatnya

 


From:
Fairuz Mohd
To: "ebacaan@yahoo.com" <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Monday, November 21, 2011 11:48 AM
Subject:


Salam Tuan.

<dipadam>


Dan kat bawah ni saya sertakan senarai 25 Rasul yang saya belajar dari kecik:

1.Nabi Adam a.s

2.Nabi Idris a.s

3.Nabi Nuh a.s

4.Nabi Hud a.s

5.Nabi Salleh a.s

6.Nabi Ibrahim a.s

7.Nabi Luth a.s

8.Nabi Ismail a.s

9.Nabi Ishak a.s

10.Nabi Yaakub a.s

11.Nabi Yussuf a.s

12.Nabi Ayyub a.s

13.Nabi Syuaib a.s

14.Nabi Musa a.s

15.Nabi Harun a.s

16. Nabi Zulkifli a.s

17.Nabi Daud a.s

18.Nabi Sulaiman a.s

19.Nabi Ilyas a.s

20.Nabi Ilyasa a.s

21. Nabi Yunus a.s

22.Nabi Zakariya a.s

23.Nabi Yahya a.s

24.Nabi Isa a.s

25. Nabi Muhammad s.a.w


Sekian, wassalam.

 

Salamun alaikum,

Sukacita dimaklumkan iaitu pengirim emel ialah dia yang telah mengesan kesilapan kenyataan tentang Nabi Daud dan Nabi Musa yang diterbit dua hari lalu. Lalu kandungan di emel beliau mengenainya dipadam untuk tinggalkan senarai Nabi yang ingin dibicarakan pula di sini.

Bukan tentang Adam yang tidak disebut sebagai Nabi di dalam al-Qur'an, yang sudah disebut di laman web ini, dan tidak juga disebut di dalam artikel Nama-nama Utusan Allah: Nabi & Rasul tetapi tentang suatu perkara lain yang agak berat yang ingin dibicarakan kali ini. Perkara dimaksudkan ialah penghormatan yang diberi kepada para Nabi yang diringkaskan kepada a.s dan s.a.w.

Daripada penghormatan tersebut jelas kelihatan bahawa para Nabi telah dibezakan, sedangkan perkara bezakan Nabi sudah pun disentuh kian lama di laman web ini.

Dan ia, jika al-Qur'an sudah dibaca dan difahamkan tentu dapat diketahui, kerana disebut di awal lagi di dalam al-Qur'an, iaitu di surah al-Baqarah, surah kedua.

Pun begitu, ayat berkenaan diturunkan lagi, bersama ayat yang menyusulinya supaya dapat jadi peringatan dengan lebih ingat. Ayat-ayat Allah yang dimaksudkan berbunyi,

2:136. Katakanlah, "Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan apa diberi kepada Musa dan Isa, dan apa diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim."

2:137. Jika mereka percaya kepada yang serupa dengan kepadanya kamu percaya, maka sungguh mereka dapat petunjuk yang benar; tetapi jika mereka berpaling, maka mereka hanya dalam perpecahan; Allah mencukupi bagi kamu terhadap mereka, dan Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.

Daripada ayat-ayat ini, dapat difahamkan iaitu seseorang akan diterangkan sebagai muslim kepada Allah apabila dia tidak beza-bezakan seseorang pun antara para Nabi-Nya dan perbuatan itu juga akan jadikan dia dapat petunjuk yang benar daripada Allah. Sebaliknya, jika dia berpaling maka dia hanya berada dalam perpecahan dengan orang lain yang turut percayai para Nabi.

Ayat kedua mengenai perkara bersabit dapat dibaca di surah yang berikutnya pula. Ia berbunyi,

3:84. Katakanlah, "Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan kepada apa diberi kepada Musa dan Isa, dan Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim."

Sekali lagi, kalimat muslim disebut. Sekiranya dilihat pada konteks ayat ini, iaitu pada ayat sebelum dan sesudahnya, maka perkara tidak bezakan para Nabi akan diketahui jadi amat berat, kerana berkaitan dengan apa yang dikatakan agama Allah dan Islam. Di bawah ini diturunkan ayat sebelum ayat di atas:

3:83. Apa, adakah selain daripada agama Allah mereka cari, dan kepada-Nya tunduk patuh sesiapa di langit dan di bumi, dengan rela atau benci, dan kepada-Nya mereka akan dikembalikan?

Dan ayat selepasnya pula berbunyi seperti berikut:

3:85. Sesiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirat dia adalah antara orang-orang yang rugi.

Justeru perkara tidak bezakan antara para Nabi jadi suatu yang dituntut dalam agama Allah, iaitu Islam. Bukan sahaja para Nabi tidak boleh dibeza-bezakan malah para Rasul juga. Ayat pertama mengenainya juga terdapat di surah al-Baqarah berbunyi,

2:285. Rasul percaya kepada apa diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya, dan orang-orang mukmin, dan tiap-tiap seorang  percaya kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya, dan Rasul-Rasul-Nya. "Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara Rasul-Rasul-Nya." Mereka berkata, "Kami dengar dan kami taat. Wahai Pemelihara kami, kurniakanlah kami ampunan-Mu; kepada Engkau kepulangan."

Perhatikan lafaz "Kami dengar dan kami taat" selepas disebut tentang tidak bezakan antara para Rasul, lalu jadikannya suatu yang wajar dilakukan kerana Allah!

Allah Yang Pemurah tidak berhenti di situ sahaja, malah Dia berjanji pula, dengan janji bahawa sesiapa yang tidak bezakan antara para Rasul-Nya akan diberi upah atau pahala. Demikianlah diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi,

4:152. Dan orang-orang yang percaya kepada Allah, dan Rasul-Rasul-Nya, dan mereka tidak beza-bezakan antara seorang pun antara mereka, maka mereka itu, pasti Kami akan beri mereka upah mereka; Allah Pengampun, Pengasih.

Maka dengan itu, patutkah kita terus membiarkan anak-anak kecil kita dididik supaya tidak dapat upah, tidak dapat petunjuk, tidak mentaati perintah Tuhan, dan tidak jadi muslim atau Islam dengan menerima ajaran bezakan para Nabi dan para Rasul Allah daripada sesetengah pihak?


Allah disanjung!

24.11.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman