Berjabat Tangan

 

From: husmali
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Friday, July 15, 2011 8:31 PM
Subject:
 

Tuan Pengurus Laman
Semoga di dalam pengasihanNya.

Salamun alaikum,

Baru-baru ini saya telah terbaca sebuah artikel berkenaan haramnya berjabat tangan dengan yang berbeza jantina, antara lelaki dan perempuan. Dan artikel itu telah mengupas amalan berjabat tangan dengan agak detail. Saya jadi tertanya-tanya bahawa adakah satu-satunya ayat Quran yang menyebut berkenaan ini. Amalan berjabat tangan yang sekarang dilakukan oleh kebanyakan besar manusia hari ini, tidak kira daripada golongan Islam atau tidak, terdapat juga daripada pengajaran hadis.

Mungkinkah amalan ini berpunca daripada pengajaran puak-puak Kristian yang telah dapat menyelusup ke dalam Islam melalui hadis-hadis.

Adakah amalan berjabat tangan yang berleluasa ini menyalahi pengajaran Allah di dalam Quran dengan ayat-ayatNya ini:

1) 6:54. Dan apabila orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, "Salamun alaikum (Sejahtera ke atas kamu)." Pemelihara kamu tuliskan (tetapkan) untuk diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu buat jahat dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih

2) 11:69. Rasul-Rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, "Salam!" Dia berkata, "Salam"; dan sebentar kemudian, dia datangkan seekor anak lembu panggang.

3) 51:24. Sudahkah datang kepada kamu hadis tamu Ibrahim yang mulia?
    
51:25. Apabila mereka masuk kepadanya, dengan berkata, "Salam!" dia berkata, "Salam! Kamu adalah kaum yang aku tidak kenal."


Daripada ayat-ayat di atas, kita diajar cara bertemu dengan beri ucap salam. Tidak disentuh soal berjabat tangan.

Mungkin dengan beri salam dengan cara yang diajar Allah lebih terkesan di hati daripada berjabat tangan. Apatah lagi dilakukan dengan ikhlas, sedang di hati sentiasa mengingati bahawa cara ucapkan salam itu sebenarnya daripada Allah sendiri. Tentulah Dia akan merakamkan pengasihanNya kepada sesiapa yang taat kepadaNya.

Saya mohon agar Tuan Pengurus Laman dapat beri pendapat dan penjelasan yang lebih lanjut mengenai soal ini. Terima kasih.

Salam.

Allah disanjung!


Salamun alaikum,

Terima kasih. Kami baru sahaja dikunjungi pemilik laman web free-mind, dan pertemuan di luar pintu pagar rumah kami, untuk menyambut kedatangan beliau, dimulakan dengan salam hormat dan berjabat tangan. Beliau adalah seorang Arab ahlul Qur'an dari ibu negara Arab Saudi.

Salam hormat ajaran Allah tidak lagi dibincang di sini kerana sudah nyata disebut di dalam al-Qur'an dan sudah banyak kali disentuh.

Justeru, tajuk yang akan dibincang ialah hanya berjabat tangan, yang tidak disebut di dalam al-Qur'an lalu tidak juga disebut tentang pengharamannya.

Selain berjabat tangan, manusia didapati berpelukan atau berpelukan dengan mencium pipi (sesama jenis), menundukkan kepala, dan sebagainya, untuk menunjukkan talian persahabatan atau kekariban antara satu sama lain. Kepelbagaian pendekatan itu adalah kerana perbezaan budaya yang terbit daripada ciptaan Allah:

"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari." (49:13)

Kerana terdapat pelbagai bangsa dan suku maka Allah tidak tetapkan umpamanya cara makan, sama ada mengguna tangan sahaja, atau dengan sudu dan garpu, atau dengan chop stick. Tiada seorang pun boleh mengatakan mana-mana cara itu haram sebab ia tiada kaitan dengan urusan agama Allah.

Seperti itu juga dengan berjabat tangan yang diamal oleh beberapa bangsa dan suku. Adakah kita jadi Kristian jika mengamalkan berjabat tangan atau jadi orang Cina beragama Budha jika menggunakan chop stick? Ingat, yang Allah lihat hanya ketakwaan manusia.

Pun begitu, sila renungkan ayat berikut:

"Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa mungkiri sumpahnya, hanyalah mungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa tepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan beri kepadanya upah yang besar." (48:10)

Di situ tangan diguna untuk menunjukkan kesetiaan atau talian persahabatan. Gaya ia diguna tidak dijelaskan. Salahkah jika tangan itu diguna untuk bersalaman dengan Rasul?

Apapun, berjabat tangan, atau berpelukan, atau menundukkan kepada adalah bukan urusan agama. Sesiapa yang ingin jadikannya urusan agama dengan mengatakan haram maka dia hanya ada-adakan dusta terhadap Allah.

Mungkin orang yang mengatakan haram berjabat tangan dengan jenis lain dipengaruhi pendapat tentang menyentuh perempuan dalam perintah wuduk. Sekiranya benar, maka kesilapan tersebut telah dijelaskan di sini.

Adalah difahamkan, dalam adat berjabat tangan yang diamalkan oleh orang-orang tertentu, apabila berjabat tangan dengan kaum bukan sejenis, kaum lelaki harus menunggu tangan perempuan dihulurkan dahulu sebelum berjabat tangan dengan mereka, tidak seperti dengan kaum mereka sendiri. Sekiranya mereka (perempuan) tidak menghulurkan dahulu maka lelaki tidak berjabat tangan dengan mereka.

Adakah kita jadi kafir jika ikut adat itu?

Allah disanjung!
 

18.7.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman