Sedih, Marah dan Keras

 


From: proquran
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Thursday, May 26, 2011 8:48 PM
Subject: Empat Saksi(Qazaf)


Salamun Alaikum Tuan Pengurus Laman,

Melihat bagaimana sekelompok manusia bermain-main(berolok-olok) mengenai deen Allah dalam kebejatan hidup yang semakin kucar-kacir ini, saya yan tinggal di malaysia tidak dapat tidak turut berada dalam arus kehidupan sebagai pemerhati kepada kelompok-kelompok manusia yang mengaku tiap-tiap kelompok mereka adalah kelompok yang benar di sisi tuhan mereka. Kalau di lihat sepintas, ya, memang mereka benar dan betul, tetapi benar dan betul mereka disisi tuhan mereka ternyata belum tentu benar dan betul di sisi Allah.

Bukan berniat untuk menyeret citarasa politik di dalam email kepada Tuan pada kali ini, tetapi sekadar ingin berkongsi cerita dan memohon pandangan tuan pengurus laman dan sahabat-sahabat berAlQur'an sekelian. Polemik mengenai isu Qazaf. Apakah ada istilah Qazaf di dalam AlQur'an aau ianya hanyalah istilah ciptaan manusia untuk kemashalatan hidup tetapi dengan sengaja di nisbahkan kepada Allah agar ia jadi satu bentuk paksaan halus supaya manusia yang jauh hidup mereka dari AlQur'an terpaksa telan perkara ini dan terpaksa mengiyakan kerana seluruh masyarakat menerimapakai hukum ini bahawa ianya dari Allah.

Saya mohon pandangan tuan mengenai ayat di bawah:

24:4. Dan orang-orang yang membaling kepada wanita-wanita yang berkahwin, dan kemudian tidak datangkan empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan, dan jangan terima sebarang kesaksian mereka selama-lamanya; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).

24:13. Mengapa mereka tidak datangkan empat saksi terhadapnya? Oleh kerana mereka tidak datangkan saksi-saksi, maka pada pandangan Allah, merekalah pendusta-pendusta.

Jika melihat terjemahan ayat-ayat Allah di atas, apakah pandangan rakan-rakan mengenai empat saksi? Tidakkah ianya berbeza dengan tafsiran yang selalu di gunakan oleh mereka yang ingin selamatkan diri dari mereka terhadap dosa yang telah mereka lakukan? lalu mereka menafsir empat saksi kepada empat orang saksi? Bolehkah kita mengatakan bahawa ayat empat saksi itu adalah empat jenis bukti, iaitu sekurang-kurangnya empat bukti sebagai persaksian ke atas kesalahan yang telah mereka lakukan? Maka empat saksi ini bolehlah merangkumi pertama, saksi adalah terdiri dari kalangan manusia(ramai atau seorang), saksi saintifik seperti DNA, saksi bergambar seperti vedio dan gambar, saksi bertulis dan mungki akhirnya saksi fizikal seperti pakaian atau sebagainya. Allah AlAlim.

Allah diSanjung!!!


Salamun alaikum,

Kami faham apa yang sahabat rasa. Kesedihan itu juga menyentuh ramai orang kerana mereka sudah tahu melalui artikel bersabit yang sudah lama disiarkan. Kandungannya juga telah dikirim kepada sesetengah pihak. Oleh itu kesedihan mendanguk buat sementara waktu sahaja. Penyebabnya pun turut sama, tidak dibincang lagi, kerana kebanyakan manusia tidak percaya.

Justeru, perkara lain pula diacu, yang turut berfaedah, tapi belum disentuh, seperti jadi baik menurut ajaran al-Qur'an. Siapa dia orang baik, orang beramal salih, buat baik, dan lain yang bercangkuk, dihuraikan menurut petunjuk daripada Allah, iaitu Kitab-Nya, dan kemudian disiar untuk bacaan umum. Semoga pendekatan ini mampu menggerakkan orang-orang tidak percayai al-Qur'an untuk menilai semula kepercayaan mereka, dan lari kepada ajaran Allah.

Selepas itu, buat kerja lain. Tidak termasuk politik. Politik tidak jadi sebutan di sini. Tidak juga terlintas sedikit pun di minda. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan artikel yang sudah lama diterbit (dan dapat dibaca bila-bila masa), dan sudah lama juga jadi umpama menyiram air ke daun keladi.

Kami baru tahu kalimat Qazaf adalah Arab bagi Empat Saksi - terima kasih sahabat atas info itu! Kalau al-Qur'an dirujuk pada Arabnya, ia berbunyi lain sedikit, iaitu arba'ati syuhadaa yang bererti empat saksi (sila lihat 24:4). Pun begitu, kami rasa ia bukan isu sebenar dalam hal dibangkitkan, walaupun motif kegunaan istilah tersebut mampu disangka buruk.

Benar, ketidakpercayaan boleh membawa kepada keadaan kucar-kacir seperti dinyatakan sahabat di atas. Namun, ketidakpercayaan mereka tidak seharusnya menimbulkan kesedihan pihak lain pula. Sentiasa diingati bahawa Tuhan tidak beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki. Tambahan pula, Dia telah berpesan supaya tidak bersedih atas perbuatan mereka, melalui ayat berbunyi,

 

"Dan sesiapa tidak percaya, jangan ketidakpercayaannya sedihkan kamu; kepada Kami mereka kembali, dan Kami beritahu mereka apa mereka buat. Sesungguhnya Allah tahu apa yang di dalam dada. Kepada mereka kami beri sedikit kesenangan, kemudian Kami paksa dia kepada azab yang keras." (31:23-24)

 

Ayat turut menyebut mereka yang tidak percaya diberi sedikit kesenangan. Bermaksud kesenangan di dunia - mungkin seperti dikecapi sekarang - yang mendorong supaya tempoh ketidakpercayaan mereka jadi kekal.

 

"Kalau sedih tak boleh, marah boleh tak?" Soalan nakal ini mungkin terbit. Peringatan tentang tiga perkara yang harus disegerakan, dan dua daripadanya ialah menahan kemarahan dan maafkan manusia, perlu diselitkan dalam jawapan. Peringatan itu adalah petunjuk daripada ayat berbunyi,

 

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Pemelihara kamu, dan kepada sebuah taman yang luasnya seperti langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang bertakwa, Yang nafkahkan dalam kesenangan dan kesusahan, dan menahan kemarahan mereka, dan maafkan manusia; dan Allah suka orang-orang buat baik," (3:133-134).

 

Maka manusia buat baik, dengan turut nafkahkan daripada harta, semasa senang dan susah, seperti yang pertama disebut tadi, untuk menjadi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan).

 

Boleh jadi sesudah itu soalan nakal terbit lagi, buat kali terakhir, yang berbunyi "Kalau sedih tak boleh, marah pun tak boleh, apa pulak yang boleh?" Biarlah ayat di bawah, yang jadi terakhir diturunkan di sini, menjawab soalan itu:

 

"Muhammad adalah Rasul Allah, dan orang-orang bersama dia, keras terhadap orang-orang tidak percaya, pengasih sesama mereka. Kamu lihat mereka tunduk, sujud, mencari pemberian daripada Allah, dan kepuasan hati." (48:29)

 

Sikap keras dapat kami lihat dipakai oleh sahabat proquran. Ia akan jadikan beliau antara orang-orang yang dikatakan berada bersama Rasul Allah. Alhamdulillah. Dengan kata-kata ini perbincangan ringkas mengenai sedih, marah dan keras, yang digerakkan beliau berakhir di sini. Terima kasih.

 


Allah disanjung!

30.5.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman