Empat Saksi, Lima Kali Sumpah, atau Mubahalah?
Tuduh menuduh antara satu sama lain seolah sudah jadi resam di negara kita dewasa ini. Ia jadi ketara apabila disebar luas melalui akhbar-akhbar tempatan dan internet. Kebimbangan bertambah apabila agama diguna untuk menegakkan kebenaran oleh sesetengah pihak.
Pendapat dalam agama yang songsang dalam amalan tuduh menuduh akan memburukkan lagi nama baik Islam di kalangan masyarakat bukan Islam serta menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam sendiri tentang hukumnya. Di samping itu orang yang bersalah, baik yang menuduh mahu pun yang dituduh, mungkin akan terlepas daripada tindakan sewajar yang harus dikenakan ke atasnya.
Empat saksi jadi sebutan keramat hari ini. Itu dikatakan kehendak Islam dalam buat tuduhan. Memang benar, al-Qur'an ada menyebut mengenai datangkan empat saksi apabila buat tuduhan, dan ayat berkenaan berbunyi,
“Dan orang-orang yang membalingkan (tuduhan berzina) kepada wanita-wanita yang berkahwin, dan kemudian tidak datangkan empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan, dan janganlah terima sebarang kesaksian mereka selama-lamanya; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).” (24:4)
Ayat itu menyebut mengenai tuduhan berzina ke atas perempuan yang berkahwin. Pada hemat penulis, tuduhan ke atas golongan lain, seperti perempuan yang tidak berkahwin dan kaum lelaki yang berkahwin atau yang tidak, pun harus sama syaratnya. Pendapat berdasarkan tidak ada lagi ayat al-Qur'an yang menyentuh mengenai tuduhan ke atas golongan-golongan tersebut. Tambahan pula, ayat tadi harus diterima sebagai satu contoh atas segala tuduhan berkaitan perlakuan seks yang sumbang.
Untuk mendapatkan empat saksi atau empat pasang mata manusia yang melihat kesumbangan dilakukan adalah agak mustahil melainkan ia dijadikan satu pertunjukan atau dilakukan di tempat lapang di mana sekurang-kurangnya empat orang dapat menyaksikan adegannya.
Penulis percaya empat saksi seperti itu bukan maksud Tuhan yang sebenar. Kerana Dia telah beri satu lagi iktibar di dalam Kitab-Nya, iaitu dalam cerita Nabi Yusuf tatkala baginda dituduh oleh isteri Gabenor lakukan sesuatu yang sumbang terhadap dirinya. Kisah berbunyi,
“Berkata (Nabi Yusuf), ‘Dia yang goda diriku’; dan seorang saksi daripada keluarganya saksikan, ‘Jika bajunya (Yusuf) dikoyakkan daripada depan, maka dia (perempuan) telah berkata benar, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang dusta,
Tetapi jika bajunya dikoyakkan daripada belakang, maka dia (perempuan) telah berdusta, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang benar.’
Apabila dia (Gabenor) melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia berkata, ‘Ini muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar.’” (12:26-28)
Saksi yang tampil itu tidak melihat kejadian yang berlaku tetapi hanya menyuruh melihat kepada bukti jelas yang ada, iaitu baju yang koyak. Dengan kesaksian tersebut Nabi Yusuf didapati tidak salah. Maka, saksi tidak semestinya bermaksud biji-biji mata manusia.
Mungkin ada yang bertanya tentang bukti-bukti lain supaya jadi empat. Jika begitu, sayugia diingat iaitu pihak yang buat tuduhan ialah isteri Gabenor, bukan Yusuf, seperti dijelaskan ayat berikut:
"Dan kedua-duanya berlumba ke pintu; dan dia (isteri Gabenor) mengoyakkan bajunya dari belakang. Mereka dapati ketua mereka di depan pintu. Dia (isteri Gabenor) berkata, 'Apakah balasan bagi orang yang hendakkan kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?'" (12:25)
Justeru, dalam kemelut empat saksi bagi tuduhan seks luar biasa, yang sedang disebut-sebut hari ini, adalah bukan bermaksud empat orang yang saksikan kejahatan, seperti didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi empat bukti yang jelas.
Sekiranya penuduh tidak dapat datangkannya maka dia harus dihukum dengan hukuman tidak melebihi lapan puluh sebatan.
Bagi yang dituduh pula, apabila sabit kesalahan, dia dihukum, bukan dengan sebatan maksima seratus kali kerana itu untuk zina, tetapi dikurung atau dipenjara. Diturunkan dua ayat berkaitan di mana yang pertama disebut mengenai seks perempuan dengan perempuan:
"Dan perempuan-perempuan kamu yang lakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka saksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian matikan mereka, atau Allah adakan bagi mereka satu jalan.
Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah Yang Menerima Taubat, Pengasih." (4:15-16)
Mereka dikurung atau dipenjara sehingga pulih daripada penyakit yang terbenam di dalam jiwa mereka. Demikianlah hanya pendapat penulis.
Selanjutnya pula, jika empat bukti atau saksi tidak dapat ditunjukkan, maka Tuhan ajar pula supaya bersumpah lima kali seperti diisyaratkan oleh ayat berikut:
“Dan orang-orang yang membalingkan (tuduhan) kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar.
Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta.
Ia akan hindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta.
Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar.” (24:6-9)
Bermaksud, orang yang menuduh harus bersumpah empat kali dengan Allah, atau menyebut Demi Allah, bahawa dia adalah benar, dan sumpah kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya jika dia berdusta.
Seperti itu jua sumpah orang yang dituduh, iaitu sebanyak lima kali juga. Selepas itu, tunggu kedatangan azab daripada-Nya. Yakinlah, ia pasti datang.
Terdengar juga sesetengah pihak menyarankan agar diadakan mubahalah dalam kes sumbang seks yang jadi tumpuan dewasa ini. Penulis berpendapat perbuatan itu tidak begitu tepat kerana Tuhan hanya menyuruh buat demikian dalam kes yang berlainan. Firman-Nya,
“Dan sesiapa debat kamu mengenainya (kewafatan Nabi Isa), setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka katakanlah, ‘Marilah, hendaklah kita seru anak-anak kami dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, dan diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian hendaklah kita mohon dengan rendah hati dan letakkan laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta.’" (3:61)
Demikianlah tujuan dan cara lakukan mubahalah, iaitu atas perselisihan mengenai agama dan memanggil anak-anak dan isteri-isteri masing-masing untuk bersama memohon laknat Tuhan ke atas, antara mereka, yang berdusta.
Yang baik dalam tuduh menuduh hari ini ialah apabila didapati semua pihak terbabit bersetuju untuk mendapatkan penyelesaian menerusi agama. Tentu sekali, apabila ayat-ayat Tuhan dituruti dengan betul maka keadilan dapat ditegakkan tanpa ragu-ragu lagi.
Penulis Bacaan
13 Julai 2008
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman