Janji dan Sumpah
From: syed muhammad
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Sat, June 5, 2010 8:57:59 AM
Subject: Fwd: surat kepada ebacaan
Salamun’alaikum tuan, sekali lagi kita bertemu ye? hehe,tujuan Habib menulis artikel pada kali ini ialah berkenaan janji dan sumpah. Maksud Habib daripada janji dan sumpah itu adalah seperti soalan-soalan berikut:-
Bolehkah kita berjanji melalui hati?
Apakah bezanya antara janji dan juga sumpah mengikut Al-Quran?
Bagaimanakah cara sumpah yang sebenar mengikut Al-Quran?
Jikalau kita ingin selamatkan diri kita dari sesuatu perkara itu yang boleh menyebabkan kematian, adakah boleh kita bersumpah dengan cara Al-Quran untuk selamatkan diri kita daripada dibunuh atau apa-apa yang menyebabkan nyawa kita, dan bagaimanakah? adakah hanya mulut sahaja bersumpah malah hati tidak bersumpah juga atau dengan cara lain?
Habib harap tuan dapat memahami apa yang Habib cuba sampaikan kepada tuan dan dapat menolong Habib dalam masalah ini. Dan maaf jika soalan Habib ini membebankan tuan.
Terima kasih.
Salamun
alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Cuti sekolah ni pergi mana? Atuk syorkan pergi ke Universal Studios di seberang Causeway. Best sangat! Satu daripada show yang atuk suka ialah Shrek 4D. Cucu-cucu atuk yang lebih kecil pun sangat enjoy berada di sana. Night Safari pun bagus. Banyak pembelajaran mengenai haiwan nocturnal boleh didapati. Pergilah Habib! Bila lagi nak ketuk Abi/Babah/Daddy kalau tak masa cuti. Sorry Daddy!
Kalau dia janji nak bawa Habib ke sana, jangan suruh dia berjanji dalam hati, nanti Habib tak tahu dan tak boleh tuntut pulak! Heh heh, atuk bergurau saja!
Perkara diketengahkan oleh Habib adalah baik. Tentang janji, teringat pesan arwah bapa. Katanya, kalau berjanji hendak buat sesuatu kebaikan jangan sebut dengan lantang, kerana takut syaitan akan mendengar, dan kemudian menghasut supaya tidak lakukannya pula! Maka janji lebih baik dibuat di hati, menurutnya.
Bagi kami, janji boleh disuarakan dan boleh disebut di hati sahaja, bergantung pada keadaan. Janji yang dilantangkan mampu menghilangkan kedukaan orang-orang yang berduka apabila mendengarnya. Sama seperti sedekah, boleh dinampakkan dan boleh juga diberi dengan cara rahsia, iaitu yang paling baik, kata Allah.
Janji jadi perjanjian, menurut ajaran al-Qur'an. Satu contoh ayat yang membawa maksud tersebut ialah:
"Dan apabila Pemeliharanya menguji Ibrahim dengan kata-kata tertentu, dan dia tunaikannya. Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku buat kamu seorang imam (ketua) bagi manusia.' Berkatalah dia, 'Dan daripada keturunanku?' Dia berkata, 'Perjanjian-Ku tidak mencapai orang-orang zalim.'" (2:124)
Ayat menyebut mengenai janji Allah yang akan buat Nabi Ibrahim seorang ketua bagi manusia. Janji-Nya itu jadi Perjanjian-Ku pula.
Janji hendaklah ditepati. Menepati janji adalah satu daripada amalan dalam ketakwaan dan ketaatan kepada Allah. Ayat di bawah menjelaskan:
"Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu palingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberi harta, walaupun dicintainya, kepada sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, dan orang-orang yang meminta-minta; dan merdekakan hamba, dan lakukan solat, dan beri zakat, dan mereka yang tepati perjanjian mereka, apabila mereka buat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam musibah, dan kesusahan, dan bencana. Mereka inilah orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan) dengan benar." (2:177)
Sesuatu janji harus diiringi frasa Inyasyaa Allaahu yang bermaksud Jika Allah hendak. Jika terlupa (manusia memang selalu terlupa) harus menyebut ayat seperti diajar Allah di bawah:
"Dan janganlah berkata terhadap sesuatu, "Aku akan buat itu esok",
Tetapi hanya, 'Jika Allah hendak'; dan ingatlah akan Pemelihara kamu apabila kamu lupa, dan katakan, 'Mudah-mudahan Pemeliharaku beri petunjuk kepadaku pada sesuatu yang lebih dekat dengan yang lurus daripada yang ini.'" (18:23-24)
untuk mendapatkan maksud perkataan janji dengan tepat, Kamus Dewan dirujuk di mana tercatat maksudnya berbunyi pernyataan kesediaan untuk buat atau beri sesuatu. Begitu juga maksudnya di dalam al-Qur'an.
Bagi maksud sumpah pula, yang seakan sama dengan janji tetapi mengandungi ciri-ciri tertentu, kamus tersebut beri beberapa penjelasan. Antaranya adalah seperti berikut:
- pengakuan yang dibuat (dengan bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci) untuk menguatkan apa yang dikatakan dll.
- pengakuan bahawa apa yang dikatakan itu memang benar (berani lakukan sesuatu dan berani menderita sesuatu jika pengakuannya itu tidak benar)
- janji yang teguh untuk melakukan sesuatu, ikrar
Ayat-ayat mengandungi kalimat sumpah banyak terdapat di dalam al-Qur'an. Di bawah ini diturunkan lima contoh:
"Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.'" (5:106)
"Jika didapati bahawa kedua-duanya benar dengan dosa, maka dua yang lain akan berdiri di tempat mereka, daripada orang-orang yang paling dekat dengan mereka yang berkenaan, lalu mereka bersumpah dengan Allah: 'Kesaksian kami lebih benar daripada kesaksian mereka, dan kami tidak mencabuli; jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang zalim.'" (5:107)
"Bagaimanakah ia, apabila mereka ditimpa penderitaan kerana apa yang tangan-tangan mereka sendiri dahulukan, kemudian mereka datang kepada kamu, bersumpah dengan Allah, 'Kami hanya hendak yang baik dan pendamaian'"? (4:62)
"Mereka bersumpah dengan Allah bahawa mereka adalah daripada kamu, tetapi mereka bukanlah daripada kamu; mereka adalah kaum yang takut." (9:56)
"Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati bahawa jika seorang pemberi amaran datang kepada mereka, tentu mereka lebih dapat petunjuk daripada mana-mana satu umat; tetapi apabila seorang pemberi amaran datang kepada mereka, ia hanya menambahkan mereka dalam pelarian," (35:42)
Frasa bersumpah dengan Allah boleh dimaksudkan menyebut kata Demi Allah. Pendapat dikutip daripada ayat berbunyi,
"Kemudian tiadalah pertikaian mereka, melainkan mereka berkata, 'Demi Allah, Pemelihara kami, bukanlah kami orang-orang yang sekutukan.'" (6:23)
Selanjutnya difahamkan iaitu sumpah yang tidak dilaksana harus ditebus. Penebusnya disebut di dalam ayat bermaksud,
"Allah tidak pertanggungjawabkan kamu kerana sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia pertanggungjawabkan kerana ikatan yang kamu buat dengan sumpah-sumpah itu. Penebusnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang biasa kamu beri keluarga kamu, atau memberi pakaian mereka, atau merdekakan seorang hamba. Jika sesiapa tidak dapatkannya, hendaklah dia berpuasa tiga hari. Itu penebus bagi sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah; jagalah sumpah-sumpah kamu. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu berterima kasih." (5:89)
Maka sumpah adalah suatu yang berat. Lantas, sumpah adalah dijaga, Kata-Nya! Dia juga didapati bersumpah beberapa kali di dalam al-Qur'an. Satu daripadanya berbunyi,
"Tidak! Aku bersumpah dengan tempat jatuh bintang-bintang,
Dan ia sesungguhnya adalah sumpah yang besar, sekiranya kamu mengetahuinya,
Sesungguhnya ia adalah sebuah al-Qur'an yang mulia," (56:75-77)
Untuk mengetahui segala ayat yang mengandungi kalimat sumpah di dalam al-Qur'an sila rujuk di sini. Mungkin di situ dapati jawapan kepada segala yang dimusykilkan mengenai sumpah.
Kembali kepada pertanyaan Habib, iaitu yang akhir, diturunkan di sini sekali lagi:
Jikalau kita ingin selamatkan diri kita dari sesuatu perkara itu yang boleh menyebabkan kematian, adakah boleh kita bersumpah dengan cara Al-Quran untuk selamatkan diri kita daripada dibunuh atau apa-apa yang menyebabkan nyawa kita, dan bagaimanakah? adakah hanya mulut sahaja bersumpah malah hati tidak bersumpah juga atau dengan cara lain?
Pada hemat kami, dalam keadaan demikian, adalah lebih baik berdoa memohon pertolongan Allah, dan memohon supaya diampunkan segala dosa. Jika buat sumpah seperti berkata, "Demi Allah, jika engkau selamatkan aku daripada ini, aku akan memberi makan orang miskin di mana sahaja aku menjumpainya!" - itu bagi kami seakan buat ugutan kepada Allah. Ia tak baik, kan?
Rasanya sudah sampai masa bagi pendapat kami atas tajuk Janji dan Sumpah ditamatkan di sini kerana segala pertanyaan sudah cuba dijawab.
Atuk harap Habib berpuas hati. Selamat bercuti, dan jangan lupa baca story book, heh heh!
Terima kasih.
Salam.
8 Jun 2010
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman