Pengalaman Hidup Seorang Muslimah VII (KEHAKIMAN)

 

 

From: Sari Nande
Date: 2010/2/16
Subject: KEHAKIMAN
To: Pengurus Laman <ebacaan114@gmail.com>


Pengalaman Hidup Seorang Muslimah VII

KEHAKIMAN

 

 

Salamun ‘alaikum,

 

1:2. Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.

 

Semoga para sahabat yg disayangi sekalian sentiasa diberkati-Nya. Sebagai respon kepada dilema dyana1515 saya berharap agar beliau jelas dan lega dengan kedudukan taraf perkahwinannya. Terima kasih sahabat Pengurus Laman kerana banyak penerangan tuan telah mengikis dan hapuskan keraguan saya selama ini. Saya selalu menberdoakan agar Allah menghindarkan kita drp kemalasan, kesedihan, ketakutan, syak, zan, waham dan bisikan-bisikan jahat syaitan.

 

23:97-98. … "Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku."

 

Apa yang dilalui oleh Dyana memang menggambarkan kebanyakan situasi kehakiman di negara ini. Bila orang bercerita saya pun ingin bercerita juga, dengan harapan pengalaman yang pernah saya tempohi ini dapat beri iktibar dan manfaat kepada para pembaca. Tambahan pula saya sudah selesa dengan e-bacaan kerana ia banyak menyedarkan saya. Saya tersentuh dan tertarik dgn cara tuan PL menjawab setiap artikel mengikut rentak dan cara penulisan kami.

 

Saya pernah ditanya, “Awak yakin ke (dengan pendapat penulis-penulis di ebacaan)?” Sebenarnya saya ambil masa selama hampir lima tahun sebelum benar-benar yakin sepenuhnya (haqul yakin) dengan dalil-dalil ayat-ayat al-Quran SAHAJA. Dalam pada masa itu saya berserah kepada Allah, mengkaji, belajar, merujuk, bertanya, berdebat, (difitnah dan dicemuh) dan berdoa mohon yang terbaik demi masa depan (akhirat) saya dan orang-orang yang saya sayangi.

 

Balik kepada tajuk.

 

Kami telah diminta hadir ke Mahkamah Rendah Syariah jam 8.30 pagi untuk perbicaraan permohonan berpoligami. Hingga waktu rehat untuk makan tengah hari pun kami masih belum dipanggil. Perbicaraan diteruskan lagi bermula jam 2.30 petang. Kami tidak kisah kerana kami dapat melihat dan mendengar kes-kes yang yang melibatkan watak-watak sebenar dalam senario yang menyentuh, lucu, dan tidak membosankan. Jam lima setengah petang barulah nama kami disebut. Mahkamah masih separuh penuh berbanding sebelah pagi tadi. Mungkin sesi-sesi sebelumnya yang ‘menghiburkan’ buat mereka sabar untuk sedikit masa lagi. Mungkin juga kerana kes kami lain daripada yang lain. Kerana ingin tahu mereka masih ada di situ.

 

Saya dipanggil dahulu ke kandang saksi. Hakim bertanyakan mengapa saya ingin membenarkan. Memandangkan saya ada banyak sebab dan tidak mahu semua yang hadir tahu, saya telah menulis surat terlebih dahulu menyenaraikan sebab-sebabnya. Saya meminta Hakim membaca surat tersebut. Dia mula membaca dengan kuat. Tiba ke senarai #3 saya menyampuk bahawa itu adalah surat suami saya. Sebenarnya kedua-dua surat itu isinya sama. Suami saya telah menceduk surat saya dan hanya menggantikan perkataan suami saya, dia, dan nya kepada saya, dan mereka kepada kami.

 

Contoh:

#?. Kerana kami hanya mempunyai seorang anak oleh itu saya berharap dengan perkahwinan ini mereka akan dikurniakan anak yang ramai.

#?. Memandangkan calon isteri suami saya telah berumur begitu juga suami saya, eloklah disegerakan pernikahan mereka atas sebab kesuburan dan untuk mengelakkan maksiat.

 

Inilah antara kelucuan yang berlaku di mahkamah. Hakim menunjukkan reaksi yang kurang senang diwajahnya. Tapi elok juga kerana dia tidak lagi membaca senarai itu dengan kuat.

 

Selepas itu suami saya pula dipanggil. Saya sungguh terkejut kerana dia berani berbohong dimahkamah asalkan permohonan itu berjaya yang mana saya rasa tidak perlu kerana alasan yang saya berikan sudah cukup kuat. Apabila ditanya tentang pendapatan dia beri angka sekali ganda pendapatan saya daripada sumber-sumber yang tidak saya ketahui.

 

Hakim bertanyakan tentang anak yang ketika itu masih belajar di IPT yang saya biaya sendiri dan dengan bantuan pinjaman, dia mengatakan anak saya ‘telah lepas’. Memang tepat, kerana dia ‘telah lepaskan’ tanggungjawabnya. Tetapi Hakim memilih untuk lebih percayai dia.

 

Ketika saya disoal kembali Hakim bertanya mengapa saya katakan anak saya masih belajar. Bertentangan dgn keterangan suami saya. Memang benar, kata saya, dia masih berada dalam semester akhir sebelum menjalankan amali.

 

“Tetapi suami kamu mengatakan dia sudah lepas.”

 

“Ya, saya dengar, Tuan. Mungkin dia lupa atau gugup.”

Panggil Tuan Hakim - YANG ARIF, desis bailif di sebelah saya.

 

“Suami kamu mengatakan dia beri kamu RM500 sebulan. Benar?”

 

Saya terkesima hakikatnya cuma sekali dalam bulan biru dia beri RM50-100 untuk perbelanjaan Hari Raya. Itu pun saya berikan kepada anak saya. Saya terdiam.

 

Jawab soalan Yang Arif, bailif mendesis lagi.

 

Saya menggeleng kepala.

 

“Berapa? Dua ratus? Tiga ratus?” desak Hakim.

 

“Mungkin…” saya teragak-agak mencari jawapan yang tepat kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa.

 

“Saya mahukan angka yang tepat, jangan agak-agak.” Tahap kesabaran Hakim mula menurun.

 

Mata saya melirik jam di dinding dan berasa terdesak oleh masa. manusia adalah tergesa-gesa. (17:11)  “Tiga ratus…” mulut saya menyebut dalam hati saya menyambung, “dalam masa empat tahun”.

 

“Dia juga akan mengagihkan masa giliran seminggu dengan kamu dan seminggu dengan isteri mudanya. Kamu setuju?” Suara Hakim mulai bernada bosan. Isteri muda? He’s being very positif. Good Sign.

 

“Tuan Hakim, tentang giliran, pendapat saya…” Saya ingin menerangkan bahawa saya redha jika dia tidak boleh berlaku adil daripada bercakap tidak serupa bikin, atas sebab-sebab yang saya sedia maklum. Berbohong, apatah lagi ketika masih dalam sumpah untuk berkata -- benar, tiada yang lain melainkan yang benar belaka,-- adalah sifat seorang munafik.

 

Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang jadikan, sebagai sahabat-sahabat, satu kaum yang Allah murkai? Mereka bukanlah daripada kamu, dan bukan juga daripada mereka; dan mereka bersumpah bohong, sedang mereka mengetahuinya. (58:14)

 

Kerana manusia dicipta bersifat tergesa-gesa. (21:37) maka Hakim hilang sabar.

“Jika mahkamah mahu mendengar pendapat kamu, sampai BESOK pun perbicaraan tidak akan selesai.”

 

Saya terasa seperti teraniaya, dizalimi, hingga terkunci mulut.

 

Dia menyambung, “Oleh itu mahkamah meluluskan permohonan suami kamu untuk berpoligami kerana:

 

1. Kamu tidak tahu-menahu tentang pendapatan beliau, dan berapa jumlah yang diberinya kepada kamu setiap bulan.

 

2. Kamu tidak tahu sama ada anak kamu masih belajar atau sudah habis pengajiannya.

 

3. Masa giliran telah disetuju seminggu dengan kamu dan seminggu dengan isteri mudanya.”

 

(Rumusannya saya adalah seorang yang tidak mengambil berat dan tidak bertanggungjawab, maka wajarlah ‘diganti’ dengan yang baru.)

 

“Memang itulah yang saya mahukan, tuan. Kebenaran untuk suami saya berpoligami. Terima kasih.” Saya seakan mengharap, seperti yang selalu saya saksikan di kaca tv, Hakim akan berkata, “Contempt of court!” For showing disrespect for the judge.

 

Tapi Tuan Hakim hanya merenung saya, tajam. Saya telah buat mereka bekerja lebih masa.

Kami bersurai kerana ramai yang masih belum solat (meny)Asar lagi. Forgive the pun.

 

4:105. Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar supaya kamu hakimkan antara manusia dengan apa yang Allah perlihatkan kepada kamu. Maka jangan kamu jadi pembela pengkhianat-pengkhianat.

 

5:42. Yang dengar yang dusta, dan makan yang haram. Jika mereka datang kepada kamu, hakimkan antara mereka, atau berpaling daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka, mereka tidak akan mudaratkan kamu sedikit pun; dan jika kamu hakimkan, maka putuskan dengan adil antara mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil.

 

Salam drp Putri Nande.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Kami telah menyuruh isteri kami baca sebelum menerbitkan kiriman, bukan sahaja kerana dia suka baca karangan SN tapi untuk mendengar komennya. Pada mula terdengar ketawa, kemudian keluhan "Kesian dia" dan setelah habis membaca dia berkata "Apa ni Islam, semua orang dengar!" Dan akhir sekali, "She should tell the truth."

Itu yang terlintas di kepala kami setelah membaca cerita benar di atas. Pada hemat kami, kes harus didengar di kamar hakim sahaja kerana ia amat peribadi. Dengan adanya penonton yang ramai perkara-perkara yang sulit, lagi benar, tidak dapat diluahkan sepenuhnya atas sebab kesopanan, dan menjaga kehormatan orang yang terlibat.

Kami tabek kepada SN atas ketabahannya! Semoga Allah rahmatinya setiap masa.

Salam.


17 Februari 2010

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman