Penceraian yang sah?
From: dyana1515
Date: 2010/1/5
Subject: Fwd: Sah kah Talak 3 mengikut mazhab Syafie walaupun dalam keadaan marah yang terlampau dan juga paksaan dari isteri?
To: ebacaan114@gmail.com
Assalamualaikum.Saya ingin bertanya kepada pihak saudara/saudari adakah sah jatuh talak 3 dalam sekali lafaz kalau diucapkan dalam keadaan yang teramat marah hingga hilang pertimbangan dan kewarasan akalnya ? Lebih-lebih lagi untuk seseorang yang menghidap "Bipolar Mood Disorder" ? Dan juga dicabar dan dipaksa oleh isterinya dalam keadaan emosi yang tidak stabil?
Kisah sebenar:-
Pada 2 hb. November 2009, saya dan suami telah pergi ke Mahkamah Rendah Syariah <dipadam> untuk mendaftarkan Pengesahan Lafaz Cerai di Luar Mahkamah. Pada waktu itu, saya telah dibimbing oleh kerani kaunter pendaftaran untuk mengisi borang tersebut. Kerani itu mengarahkan saya agar hanya menulis 'lafaz yang disebut' di hujung sahaja oleh suami mengikut tarikh dan masa berlakunyanya lafaz tersebut kerana itu yang akan dinilai oleh tuan hakim nanti.
Pada 23 November 2009, kami pun dibicarakan dihadapan Tuan Hakim. Pada waktu itu Tuan Hakim cuma bertanya bagaimana lafaz itu disebut oleh suami saya dan apa yang berlaku selepas lafaz itu berlaku. Saya mengaku bahawa pada waktu saya beri keterangan, saya berada dalam keadaan yang tidak selesa kerana dibicarakan dalam keadaan terbuka iaitu bersama dengan beberapa pasangan lain yang akan dibicarakan mengikut kes yang berlainan. Saya dan suami juga sedari akan keadaan itu dan berasa kurang selesa kerana tiada privasi seandainyanya kisah kami didengar secara terbuka oleh mereka yang berada di belakang kami. Tuan Hakim juga mendesak agar saya cepat-cepat mengingat tarikh dan waktu kejadian kerana alasan Tuan Hakim ada banyak lagi kes yang hendak diselesaikan, kalau tidak kes kami akan dibicarakan pada tahun hadapan sahaja.
Dengan tidak berfikir panjang, saya pun letak tarikh dan waktu dilafazkan talak itu tanpa bercerita penuh bagaimana situasi sebelum lafaz itu terkeluar dari mulut suami saya.
Yang kesalnya juga, suami saya pun terpaksa mengaku bahawa dia ada menyebut lafaz itu tetapi tidak berpeluang menerangkan hal sebenar bagaimana dan kenapa dia terlepas lafaz itu.
Akhirnya, dalam keadaan tergesa-gesa, ketika itu saya sempat mendengar azan zohor berkumandang diluar mahkamah, Tuan Hakim memutuskan bahawa lafaz suami saya sah dan saya disabitkan Talak Bain Kubra. Tetapi, malangnya pada waktu Tuan Hakim memutuskan keputusan itu, pendengaran saya kurang jelas dan seolah-olah saya mendengar Talak Bain Sughra.
Saya dan suami juga sempat bertanya kepada pegawai yang mengiringi perbicaraan itu dan puan pegawai itu juga berkata talak yang jatuh cuma Talak Satu dan kami dihendaki menyerahkan surat nikah kami kepada JHEINS untuk dilupuskan dan kami dibenarkan bernikah semula selepas itu.
Disini, kekeliruan telah berlaku. Setelah menerima surat perintah dari mahkamah rendah, keputusannya ialah sah Talak Bain Kubra ke atas saya.
Saya dan suami berasa amat kecewa, sedih dan tidak puas hati dengan keputusan itu. Kami tidak sangka sama sekali bahawa kami dipisahkan dengan cara begini sedangkan ikatan kasih sayang kami dan anak-anak terlaku kuat pada waktu ini. Saya juga bersyukur pada ALLAH swt kerana saat kejadian selepas 'terlafaz cerai' itu (2 tahun yang lepas), saya dan suami semakin rapat dan jarang bertengkar. Rumahtangga kami pun cukup bahagia walaupun ada kekurangan. Tujuan kami buat pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah adalah untuk menghilangkan rasa was-was kami sebagai pasangan suami isteri tetapi tidak pula sangka jodoh kami sebagai suami isteri hanya terhenti di situ sahaja.
Perkara sebenar yang berlaku adalah :-
Pada bulan syawal 2007 (2 tahun yang lepas), suami saya telah berpuasa sunat. Dengan tidak disangka-sangka, saya dan suami telah bertengkar kerana rasa tidak puashati buat kerja rumah dalam keadaan yang sibuk,penat dan lapar. Waktu itu saya sedang usahakan perniagaan kantin sekolah dan suami saya seorang pegawai di sebuah Universiti di <dipadam> ini. Dalam keadaan yang 'stress', kami telah bertengkar sehingga membawa kepada percakapan mencabar, memaksa dan mengugut. Ini adalah antara dialog yang boleh saya ingat hingga saat ini :
Suami : keluar kau dari rumah ni, satu sen pun kau tidak pernah keluarkan untuk rumah ni !
Saya : apa kau cakap ? kalau bukan aku dan keluarga aku yang bantu kau, jangan harap kau dapat duduk senang dalam rumah ni. Sia-sia saja aku bantu kau cari duit untuk menampung keluarga ni. Kau jangan cabar aku, tidak payah usir, aku boleh keluar dengan anak-anak. Tapi satu perkara kau kena ingat, kau jangan harap dapat jumpa anak-anakmu lagi selepas ni.
Suami : Mana kau mau pergi ? Kau sangka ada tempat untuk kau ka ? Jangan berani-berani keluar dari rumah ni tanpa izin aku.
Saya : Bukan kau yang halau aku ka tadi ? Aku boleh pergi bawa anak-anak, tidak susah untuk aku sebab aku banyak adik-beradik yang boleh bantu aku. Lagi pun aku ada bisnes, aku mampu tanggung diri aku dan anak-anak.
Suami : Kau jangan berani bawa anak-anak, kau tiada hak !
Saya : (dalam keadaan mendesak dan mencabar) Apa pula tiada hak ? Kau sangka kau tu mampu ka jaga budak-budak ni ? Sedangkan tolong buat kerja rumah sikit-sikit pun kau mau bising. Kalau begitu bagus kau cerai ja aku, tak payah halau-halau. Kalau boleh talak 3 sekaligus, supaya kau puas !
Suami : Kau jangan cabar dan paksa aku !
Saya : Bukan cabar tapi itu yang kau mau kan ?
Suami : (dalam keadaan yang teramat marah dan seolah-olah seperti orang yang hilang kawalan dan kewarasannya) Kau jangan berani keluar dari rumah ni dan dan bawa anak-anak !
Saya : Kalau aku keluar juga?
Suami : Kalau kau keluar jugak hari ni aku cerai kau talak 3 !
Begitulah kisah yang berlaku sebenarnya dan cerita ini bukan dibuat-buat oleh saya untuk melepaskan kami dari sabit kesalahan itu. Tujuan kami adalah ingin menegakkan kebenaran dan hak kami. Dimanakah keadilan dan kebijaksanaan tuan hakim dalam mengendalikan kes ini. Sepatutnya tuan hakim terlebih dahulu menyiasat situasi kes ini dan bukannya mendesak dirinya untuk buat keputusan segera dengan kerana banyak lagi kes yang perlu diselesaikannya pada hari itu. Penderitaan yang kami tanggung sekarang ini sudah cukup menyiksakan kami, kami tidak sanggup dipisahkan kerana kesilapan dari kata-kata dan keterangan kami sendiri kerana tergesa-gesa buat keterangan di hadapan tuan hakim. Saya juga mengaku bahawa suami saya seorang penghidap penyakit "Bipolar Disorder" sejak dari tahun 1999, yang membawa kepada perbuatan luar kawalan ketika sedang marah ataupun teruja. Suami saya juga sukar untuk mengingat kembali kata-kata yang dilafazkan atau diucapkannya ketika dia sedang marah atau bingung.
Buktinya ialah apabila selepas dia melafazkan cerai itu, saya telah pergi ke arahnya dan bertanya kembali betulkah apa yang saya sudah dengar sebentar tadi. Ternyata dia sendiri bertanya kembali kepada saya samada dia ada melafaz talak itu. Dia juga sempat berkata bahawa puasa sunatnya telah terbatal kerana terlalu marah tadi. Saya cuma dapat mengesahkan kata-katanya mengikut apa yang saya dengar. Tetapi, selepas itu kami cuma duduk mendiamkan diri.
Selepas beberapa jam dan keadaan sudah jadi tenang dan sejuk, saya telah meminta izin dari suami saya untuk keluar pergi ke kantin kerana setiap petang saya akan bayar gaji pekerja-pekerja saya. Suami saya mengizinkan saya pergi kerana dia faham tugas harian saya sebagai seorang pengusaha kantin sekolah.
Pada petang itu suami saya telah merujuk balik kepada saya dan dia beritahu bahawa dia amat menyesali akan perbuatan dan percakapan yang diluar kawalannya. Kami pun bersama semula kerana kami tidak ada berasa ragu-ragu dengan lafaz talak itu dan mengaku bahawa pada waktu itu kami jahil tentang hukum hakam agama Islam. Kami cuma merujuk melalui al-quran dan hadis mengenai lafaz dan rukun talak.
Namun, selepas suami saya mendengar syarahan dari ustaz yang berceramah di masjid universiti mengatakan bahawa suami-suami yang ada terlafaz cerai kepada isteri haruslah ke pajabat agama untuk buat pengesahan lafaz dan rujuk, kami berasa curiga dengan hubungan kami sebagai suami isteri. Suami saya juga memujuk saya agar kami buat pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di pejabat agama demi untuk menghilangkan rasa was-was itu. Tujuan kami datang ke pejabat agama bukan berniat untuk bercerai-berai tetapi untuk kukuhkan lagi hubungan kami sebagai suami isteri dan ingin tahu status rujuk kami. Namun, keputusannya..amat menghampakan kami.
Pada waktu ini kami telah memfailkan afidavit surat rayuan kepada mahkamah tinggi dan memohon 'Penggantungan Surat Perintah Mahkamah dari Mahkamah Rendah Syariah kerana kami mahu kes ini disebut semula dan berharap agar rayuan kami diterima. Kami akan dibicarakan berkenaan kes Penggantungan ini pada 12 hb Januari 2010 ini didepan hakim yang sama dan berharap agar diberi walaupun sedikit ruang untuk kami jelaskan hujah-hujah kami.
Disini juga, kami beharap agar pihak saudara/saudari dapat beri sedikit nasihat dan petunjuk agar kami tenang dalam menangani kes kami ini kerana ianya agak rumit sekali lebih-lebih lagi kes ini dibicarakan dalam mazhab syafie (walaupun kami bukan pengikut mazhab syafie).
Bagi kami, sekiranya ada kemusykilan agama, kami akan merujuk al-quran dan hadis sebagai panduan dan pedoman hidup kami. Tetapi saya juga menghormati hukum syarak yang digunapakai oleh pihak mahkamah kerana kita berada dalam negara Malaysia, yang mana rata-ratanya menggunakan mazhab syafie sebagai garis panduan hidup, lebih-lebih lagi dalam buat keputusan oleh hakim mahkamah syariah.
Terima kasih.
wallahualam...
Salamun
alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami, dan maaf tidak dapat membalas lebih awal. Kami harap pihak puan tidak tersinggung setelah dapati e-mel diterbitkan di sini. Kandungannya yang dapat beri pengajaran kepada para pembaca telah mendorong kami untuk buat demikian.
Perkara mengenai penceraian telah dibincang beberapa kali di laman web ini, termasuk apa yang dikatakan talak menurut ajaran al-Qur'an. Justeru, soalan "adakah sah jatuh talak 3 dalam sekali lafaz" tidak akan ditanya oleh orang-orang yang menganut agama Allah, kerana talak bermaksud (sudah) bercerai. Talak satu sebenarnya bermaksud setelah sekali bercerai atau putus hubungan perkahwinan, dan talak tiga pula, setelah tiga kali putus hubungan tersebut.
Selanjutnya, apa yang dilafaz di bibir dengan tidak sengaja tidak dipertanggungjawabkan, tetapi yang dipertanggungjawabkan ialah apa yang diusahakan oleh hati, atau, dalam kes ini, apa yang dilakukan daripada lafaz di bibir tadi. Firman-Nya,
"Allah tidak pertanggungjawabkan kamu atas sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia pertanggungjawabkan kamu atas apa yang hati-hati kamu usahakan; dan Allah Pengampun, Penyantun." (2:225)
"Allah tidak pertanggungjawabkan kamu kerana sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia pertanggungjawabkan kerana ikatan yang kamu buat dengan sumpah-sumpah itu." (5:89)
Sungguh, Dia pertanggungjawabkan kita atas apa yang kita usaha atau kerjakan sahaja. Firman-Nya lagi:
"Dia pertanggungjawabkan mereka atas apa yang mereka usahakan" (18:58)
Oleh itu, pada hemat kami, hakim harus mengetahui dahulu sama ada selepas lafaz yang dibuat telah berlaku perpisahan selama empat bulan (kerana sebelum bercerai harus berpisah dahulu) sebelum dia menjatuhkan hukum cerai, atau menandatangani surat cerai, ke atas pasangan yang terlibat.
Itu sahaja yang ingin kami sampaikan buat kali ini supaya hati puan jadi tenang dengan mengingati Allah dan ajaran-Nya. Daripada ajaran-Nya, dan keterangan yang puan kemukakan, dapat disimpulkan bahawa puan suami isteri masih lagi dalam ikatan perkahwinan.
Allah disanjung!
Salam.
8 Januari 2010
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman